Bab 5
DI sebuah taman permainan, Dhiya mencuri-curi lihat dari sudut terselindung gelagat sebuah keluarga yang sedang bergembira. Si ayah sibuk melayan sepasang kanak-kanak lelaki dan perempan bermain papan gelongsor dan buaian. Bukan main ceria dan seronok masing-masing. Sementara si ibu yang duduk di kerusi berhampiran tersenyum-senyum memerhati. Sesekali si ibu dan si ayah berpandangan sesama mereka. Berbicara dengan bahasa mata. Senyum tersungging di bibir masing-masing.
Oh, alangkah bahagianya!
Sedangkan hati Dhiya bagaikan tersagat-sagat. Kerana ayah yang melayan isteri dan anak-anak dengan penuh mesra dan kasih sayang itu adalah satu-satunya lelaki yang dia sangat cinta. Hanya pinjaman saja untuk mereka itu. Namun apakan daya dia?
Sebelum pergi, Aidan dah beritahu Dhiya yang dia nak keluar bawa anak-anak Humaira pergi main. Minta izin Dhiya. Kata Aidan, kasihan budak-budak tu tak dapat kasih sayang seorang ayah. Biarlah dia pinjamkan sikit untuk dia orang. Tak rugi apa-apa pun.
Ya. Tak rugi apa-apa. Cuma perasaan dan jiwa Dhiya saja yang memberontak secara diam-diam. Takkan Dhiya nak halang Aidan pula, kan? Nak marah dan merungut pun, memang tak la. Itu semua bukan sikapnya. Dhiya seorang perempuan yang tenang dan relaks. Bukan sejenis yang suka meroyan tak tentu pasal.
Tapi Dhiya nekad untuk mengekori Aidan. Maka sampailah ke tempat ni. Si suami tak perasan pun. Mungkin sebab bahagia sangat menjadi seorang ayah.
Pertama kali Dhiya melihat Humaira, walaupun dari jauh. Sebelum ni hanya dengar dari mulut Aidan saja yang Humairanya cantik. Aidan tak bohong. Humaira kelihatan sangat sempurna.
Cantik. Manis. Anggun.
Perkataan yang layak untuk Humaira. Dengan penampilan yang menyenangkan mata. Tertib tingkah lakunya. Ibarat perempuan Melayu terakhir. Itu dilihat dari jauh. Jika pandang dari dekat, apatah lagi. Patutlah Aidan tak pernah melupakan Humaira. Cinta sampai mati. Dari kaca mata perempuan Dhiya pun sudah tertarik, inikan pula mata lelaki.
Tiba-tiba Dhiya rasa amat rendah diri. Antara dia dan Humaira, bagaikan langit dengan bumi jika mereka berdua dibandingkan. Humaira perempuan yang cukup sempurna untuk Aidan. Sementara dia pula ibarat sampah, menunggu masa untuk diketepikan dan dibuang.
Humaira dah la cantik, bijak pula. Sebab itu mudah dapat kerja selepas bercerai, walaupun dia langsung tak ada pengalaman kerja. Cerita Aidan, Humaira pelajar cemerlang semasa di sekolah dan di universiti. Ditambah dengan gaya yang menarik dan keyakinan diri yang tinggi, memang tak susah untuk dapat kerja. Sekadar jawatan eksekutif, petik jari sajalah.
Lama Dhiya duduk di sudut tersembunyi itu. Memerhati dan melihat gelagat suami dan pesaingnya. Tidak tertahan lagi menanggung perasaan, perlahan dia angkat kaki, pergi.
Dalam kereta, masih lagi termenung...
Kenapa dia mesti mengalah? Seharusnya dia berusaha mempertahankan haknya.
"You tetap isteri yang I sayang..."
Kata-kata yang selalu diucapkan Aidan ke telinganya.
Ya, sementara rasa sayang tu masih ada, dia kena usaha untuk selamatkan rumah tangganya. Tak boleh dibiarkan begitu sahaja. Sebelum hubungan Aidan dan Humaira pergi jauh lagi, dia kena lakukan sesuatu. Mengalihkan perhatian Aidan daripada Humaira. Buatkan Aidan nampak dia lebih dari nampak Humaira.
Dhiya ambil telefon bimbit dari dalam beg. Kecewa juga bila tidak ada satu mesej pun dari Aidan. Nampak gayanya hubungan Aidan dan Humaira anak-beranak dah naik taraf. Dhiya dah tak wujud ketika Aidan bersama mereka.
Dan... You balik lunch di rumah tak? I nak masak.
Mesej Dhiya untuk menguji Aidan. Beberapa minit, tak berjawab. Tanda biru pun tak muncul. Sampai sudah, mesej Dhiya tak dibaca. Sibuk benar ya Aidan, melayan cinta hati dan anak-anak.
Sabar, Dhiya...
DI rumah, asyik Dhiya dengan research barunya. Orang sekarang panggil kerja ni sebagai stalking, tapi Dhiya tak nak mengaku. Dia sedang membuat penilaian dan perbandingan untuk mencari keinginan suaminya. Apa sebenarnya yang Aidan mahu dari seorang perempuan, lebih-lebih lagi dari seorang isteri.
Empat tahun lebih usia perkahwinan, mungkin belum cukup untuk Dhiya mengenali hati budi dan kemahuan Aidan yang sebenar-benarnya. Yalah, Aidan jarang kompelin pasal diri Dhiya. Pakai apa pun, perangai macam mana pun, Aidan okey saja selama ini. Tapi, kenapa Aidan tak boleh lupakan Humaira? Bermakna, apa yang ada pada diri Humaira tu sangat memukau perasaan Aidan.
Satu per satu gambar-gambar Humaira di Instagram dikaji Dhiya. Video pun banyak. Aktif juga Si Humaira ni di media sosial. Tak padan dengan bekas isteri seorang ustaz, yang konon-konon sangat fanatik.
Sekali lagi Dhiya kagum dengan Humaira melalui gambar-gambar yang dilihat. Cantik dan bergaya. Walaupun sudah beranak dua dan umur kurang setahun saja dari Aidan. Cara dia lilit tudung dan bersolek, memang kelas sangat. Boleh kata baju-baju yang dipakai Humaira, semuanya pakaian Muslimah. Baju kurung, jubah, blaus labuh, tapi kelas dan kena sangat dengan tubuhnya. Hurm... Orang cantik, sarung guni bawang sekalipun, tetap nampak cantik kut.
Oh... Humaira juga pandai masak. Macam-macam gambar makanan yang dimasak dimuatkan ke dalam laman Instagram dan Facebooknya. Nampak menarik dan sedap-sedap belaka. Makanan Melayu, Cina, western, semua ada.
Siapa pandai buat tortilla jagung berinti ikan dengan guacamole, makanan dari Mexico tu? Kulit tortilla tu buat sendiri tau. Humaira pandai buat. Pengsan kalau Aidan minta Dhiya masak. Mujur Aidan tak pernah merengek minta makanan yag pelik-pelik macam ni. Mungkin sejak jumpa semula, Humaira selalu buat makanan sedap-sedap untuk Aidan.
Video masakan pun banyak dalam Instagram Humaira. Belum lagi dikira tutorial pakai selendang. Banyak sungguh masa Humaira ni. Dengan anak-anak lagi yang perlu diberi perhatian.
Oh... Dalam video-video ni, suara Humaira lembut sangat. Tertib dan teratur. Tak over. Natural saja caranya.
Kesimpulannya... Humaira memang seorang perempuan yang sangat wow!
Haruskah Dhiya menangis melihat keistimewaan Humaira?
Haruskah?
Dhiya tak pandai melawa. Memasak pun tak pandai juga. Penampilan pun tak wow mana. Belum lagi dikira pasal mengemas rumah. Dia hanya pandai ala kadar saja.
"Helo, Najah... Temankan aku shopping kejap lagi boleh?"
Dhiya telefon Najah, minta temankan dia membeli-belah. Najah tu, kawan sepejabat Dhiya. Kawan baik, boleh dipercayai dan fesyen pakaiannya kelas sekali. Satu level dengan Humaira.
"Uik... Mimpi apa tiba-tiba ajak aku? Cik abang kau mana?" soal Najah, hairan.
"Alah... Aku nak buat surprise untuk dia. Tak boleh la ajak dia shopping sama. Nak minta bantuan kau ni... Make over aku, bagi stylo sikit. Kau kan pakar."
Mengekeh Najah ketawa di talian sebelah sana.
"Okey... Okey beres. Bab nak bagi lawa, serah kat aku. Biar bos aku tu aum aum memalam, tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak kenyang... Asyik duk ingat bini yang cantik jelita tu aje."
Berlebih-lebihan la pula komentar Najah seorang ni!
Namun itulah harapan Dhiya. Jika Humaira cantik, dia akan berusaha untuk jadi seperti Humaira. Jika itu yang Aidan suka!
Sakan Dhiya berbelanja. Berpasang-pasang baju Muslimah diborongnya. Yang cantik di mata Najah, semua dirembat. Pandai betul Najah membuat pilihan, tapi Dhiya kena tahan telinga dengan bebelan si teman. Pok pek, pok pek Najah berleter. Katanya Dhiya cantik, tinggi lampai, banyak fesyen baju boleh pakai, tak semestinya baju Muslimah saja. Namun Najah tetap juga cari baju Muslimah yang cantik-cantik untuk Dhiya.
Lepas tu, Najah bawa Dhiya ke salon yang selalu dia pergi. Kasi trim dan ubah sikit stail rambut. Bagi impak wajah Dhiya lagi comel gitu. Akhir sekali mereka pergi spa buat rawatan muka dan badan. Hasilnya Dhiya rasa dia lebih segar. Kurang sikit stres. Bukan dia tak pernah ke spa sebelum ni. Pergi, cuma kadang-kadang Dhiya ni selalu saja buat-buat sibuk sehingga terlupa sisi lain yang perlu dititikberatkan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro