Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"KAU follow tak page KRT?"

"Mahu tak follow, sejuta lebih kut followers page tu. Aku tiap-tiap hari join persatuan membawang kat situ. Geram, banyak sangat babi sondol yang suka kacau rumah tangga orang."

"Itulah. Aku pun selalu naik angin bila baca. Yang aku pelik tu, ada yang tak malu mengaku... Dah la merampas laki orang, lepas tu buat dosa zina sampai mengandung pula. Ada yang bertahun-tahun buat dosa besar, berzina, ajak kahwin tak nak pula."

"Pening, kan? Tapi ramai kat luar sana macam tu. Perempuan la ni dah tak tau jaga maruah diri. Malu dah ikat tepi. Cerita diri buat zina macam tak berdosa aja."

"Pssst... Tapi kau perasan tak, yang buat kelaku tak senonoh ni kebanyakan mak jan, kan?"

"Haah... Memang. Kebanyakannya janda. Gersang sangat kut. Selalu tu dapat habuan, ni dah tak dapat... Ketagih la. Laki orang ke, bapak orang ke, pak mentua orang ke... Dah tak nampak dah. Sambar saja mana dan."

"Kannn... Tak kira halal haram, main bedal semua, asalkan dapat."

Humaira yang tengah makan di meja belakang perempuan yang sedap mengutuk tu tersedak-sedak, tercekik makanan. Berapa kali dah dia togok air. Bukan pedas makanan, tapi pedas dengan kata-kata yang telinga dia dengar. Pedih wooo, walaupun tak kenal perempuan bawang tu. Mungkin pekerja di bangunan yang sama dia kerja. Ataupun bangunan sebelah.

Dia pun janda... A.k.a ibu tunggal!

Orang yang tak pernah pegang status ni, takkan faham apa yang mereka rasa. Tohmahan demi tohmahan masyarakat terpaksa ditelan sendiri. Seorang janda selalu dipandang serong. Buat itu salah, buat ini salah, serba tak kena di mata orang sekeliling. Sedangkan seorang duda, tak pula mengalami dilema macam ni. Bebas aje dia orang ke sana ke mari. Malah saham melantun naik pula tu.

Selera Humaira dah terbantut. Mata lihat makanan yang masih banyak berbaki dalam pinggan. Dah bukan rezekinya tengah hari ini. Cuba ditelan lagi, memang tak boleh masuk dah. Dia bangun pergi kaunter, buat bayaran dan terus naik ke pejabat.

Sambung menung.

Bukan kehendak dia untuk jadi janda. Perempuan mana yang nak menjanda? Rasanya tak ada yang mahu. Tapi kalau dah terjadi, dia kenalah hadap. Dia minta cerai sebab dah tak tahan ikut cara hidup bekas suaminya, Fatah.

Fatah tu ustaz, lulusan universiti di Timur Tengah, banyak ilmu agamanya. Sebab tu emak ayah sanggup putuskan pertunangan dia dan Aidan, semata-mata nakkan menantu lebih alim. Terjamin masa depan anak mereka dunia dan akhirat. Akhirnya siapa yang menderita? Anak perempuan emak dan ayah juga yang sengsara.

Fatah terjebak dengan aktivis pergerakan Islam melampau di luar negara. Habis Humaira nak diseret sekali, tapi Humaira ada akal, mati-mati dia bantah tak mahu ikut. Dah terang-terang Fatah tu salah, buat apa patuh? Humaira nekad minta cerai. Lagipun Fatah dah madukan dia dengan berkahwin seorang lagi di negara Arab sana. Humaira tak kesah sangat berkongsi kasih, cuma bila dipaksa untuk berjuang sama dengan misi yang entah apa-apa tu, dia tak sanggup! Dia tak bodoh.

Sekarang tinggallah Humaira bersama sepasang anak mereka berumur lapan dan sembilan tahun. Ibu tunggal anak dua. Rezeki budak-budak tu agaknya... Cepat saja dia dapat kerja lepas diceraikan. Cukuplah gajinya untuk mereka tiga beranak.

Nasib masing-masing...

Sesekali tu, timbul rasa menyesal sebab tak pandai membantah masa emak ayah suruh kahwin dengan Fatah dulu dan buang Aidan. Bodoh dia masa tu. Ikut saja kehendak emak ayah sedangkan hati dia cinta gila pada Aidan. Tak mahu jadi anak derhakalah konon. Nak jadi anak yang solehah, yang taat.

Agaknya... Inilah balasan sebab kecewakan Aidan. Padahal Aidan tak salah apa-apa. Keluarga dia kejam. Aidan tu sebaik-baik lelaki yang boleh jaga dia. Humaira tahu yang Aidan sayang sangat padanya. Lelaki tu sanggup buat apa sahaja untuk lihat dia bahagia.

Jari Humaira memusing kad yang tertera nama dan jawatan Aidan. Head Department. Engineering. Hebat! Rupa pun semakin kacak dan matang. Senyum dan pandangan Aidan masih seperti dahulu, tapi semakin wow!

Humaira capai telefon bimbit. Terdetik hati nak WhatsApp Aidan. Nak juga tanya lebih-lebih sikit. Semalam jumpa tak sempat sembang panjang. Gugup punya pasal, cepat-cepat dia minta diri. Tak sangka sungguh dapat jumpa Aidan semula. Lepas jadi single balik pula tu. Macam ada petanda untuk jodoh kali kedua aje.

Isy, Humaira. Ingat kamu tu janda. Jagalah sikit maruah. Sebab tu tak boleh salahkan geng bawang kalau perangai si janda ni spesies tak boleh nak kawal gedik dalam diri.

Dan dia pun tahu yang bekas tunangnya tu dah jadi suami orang. Mungkin juga dah jadi bapa orang. Apa tujuan nak main mesej-mesej lagi? Tak ke itu ciri-ciri perempuan sondol?

Sentap!

Telefon bimbit diletakkan semula di atas meja. Jika rumah tangga sendiri dah punah ranah, janganlah pula ada niat nak pi ranapkan rumah tangga orang lain. Berdosa.

Telefon meja tiba-tiba berbunyi. Tersentak Humaira. Diangkat juga walaupun waktu rehat masih bersisa.

"Helo... Sales department, Cempaka Holdings."

"Puan Humaira?"

"Cik Humaira, encik... Boleh saya bantu?"

"Oh... Hai, assalamualaikum, Maira. Abang ni..."

Aidan ketawa halus sambil perkenalkan diri di talian sebelah sana. Seperti yang dijangka, Humaira memang tak cam suaranya lagi. Yalah kan... Orang dah lama bersuami.

"Ya Allah... Abang... Betul ke ni?"

Serius, suara Humaira tergagap-gagap. Sekali lagi tak sangka yang Aidan boleh telefon. Padahal semalam dia beritahu nama tempat kerja aje, tak bagi pun nombor telefon.

"Maira free ke sekarang? Abang nak tanya khabar aje."

"Lunch hour belum habis lagi, kan? Lagipun Maira duduk termenung saja sorang-sorang. Kawan pun tak ada sangat, orang baru kan, belum jumpa geng lagi."

Aidan ketawa senang. Lenggok suara Maira masih seperti dahulu. Masih manja dan lembut saja.

"Maira apa khabar?"

"Macam yang abang nampak semalam. Zahirnya nampak biasa-biasa saja, kan? Abang pula macam mana? Sihat?"

"Alhamdulillah. Masih kacak kan Maira lihat?"

Humaira ketawa.

"Sangat."

Hinggakan ada orang tak nyenyak tidur malam semalam, asyik terbayang-bayang figura Aidan.

Jeda seketika.

"Macam mana life abang sekarang? Okey tak?"

"Alhamdulillah, syukur. Baik-baik saja. Tak ada apa yang nak dirungutkan. Allah sebaik-baik perancang untuk kita, Maira," balas Aidan dengan intonasi jujur. Benar belaka. Hidup dia dan Dhiya bahagia aje selama ini.

Tapi... Kenapa hati perempuan Humaira terasa pedih pula bila mendengar pengakuan Aidan? Sepatutnya dia tumpang gembira sama. Dia yang tinggalkan Aidan. Bila Aidan hidup bahagia, sekurang-kurangnya dia tak rasa bersalah dan berdosa.

"Boleh abang dapatkan nombor telefon bimbit Maira?"

"Boleh!"

Spontan Humaira menyebut angka nombor telefon peribadinya tanpa berfikir terlebih dahulu patut ke tidak dia memberi. Diulang lagi untuk kali kedua supaya Aidan tak salah mencatat. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro