Bab 10
"YA ALLAH, Ya Allah, Ya Allah, tenangkanlah hati ini. Jadikanlah aku seorang isteri solehah yang reda dengan keputusan suamiku. Kau berikanlah aku ketabahan dan kesabaran untuk menghadapi kenyataaan ini. Ku mohon pada-Mu untuk rawat luka dalam hati ini, Ya Allah. Hanya pada-Mu kuberserah, hanya pada-Mu kumengadu, hanya Engkau yang memahami hati ini. Ya Allah, aku mohon untuk Engkau kuatkanlah diriku. Hanya pada-Mu kumengharap, kuatkan aku yang tengah lemah ini, kuatkan aku, kuatkanlah hati aku, kuatkanlah jiwaku..."
Akhir-akhir ini doa Dhiya sudah bertukar. Tidak lagi mohon supaya dijauhi anasir-anasir jahat dan gangguan pihak ketiga, si sondol dalam rumah tangga, sebaliknya dia hanya meminta supaya diberi kekuatan demi kekuatan, luar dan dalam untuk menghadapi saat-saat getir ini.
Beberapa jam saja lagi...
Ya, tak berapa jam lagi Aidan, suaminya akan melafazkan akad. Kali kedua, selepas lima tahun usia perkahwinan mereka. Dengan wanita idamannya. Perempuan yang dicintai, isteri yang dinanti-nanti dan yang buat tulang rusuknya bergetar kuat setiap kali memandang.
Sedangkan dia, akan terus menjadi isteri kusam, atau mungkin sebagai isteri tempel-tempelan sahaja. Maklumlah, dia bukan isteri yang dicintai, tetapi hanya isteri gantian yang disayangi. Nak dibuang sayang, hendak diambil sepenuhnya, tiada nafsu. Isteri melukut di tepi gantang, beginilah keadaannya.
Krik... Krik. Bunyi pintu kayu bilik Dhiya berada terbuka. Dia menoleh.
"Sini rupanya you, Dhiya. Puas I cari..."
"Eh... Sorrylah Dan, Dhiya solat duha tadi... Tak tahu Dan cari. Kenapa, Dan?"
Mata Dhiya tertancap pada tubuh Aidan yang sudah tersarung baju Melayu dan seluar warna putih. Baju nikah. Tinggal belum bersamping saja lagi.
"Dhiya, ada nampak butang baju Melayu I tak? Puas geledah beg, tak jumpa."
Berkerut dahi Dhiya memikir. Sungguh dia tak perasan di mana, sebab Aidan yang kemas barang-barangnya sendiri sebelum bertolak balik kampung. Beberapa hari sebelum tu lagi dia dah siap-siap packing. Takkan boleh tertinggal kut? Jangan tuduh Dhiya sabotaj cukuplah. Isy... Tak baik tau bersangka buruk, Dhiya.
"Bukankah semua barang Dan dah letak dalam beg roda merah tu?"
"Tu la tu... Dhiya tak ada ambil ke? Semalam Dhiya yang unpack baju Dan, kan?"
Dhiya geleng. Kan dah kata, mesti dia dikaitkan dengan kehilangan tu.
"Allah... Mana pula perginya? Jangan tertinggal sudah. Mana sempat nak pi cari kat pekan dah," rungut Aidan dengan muka gabra.
Lagipun butang baju tu hadiah daripada Humaira dengan permintaan istimewa, Aidan kena pakai masa majlis nikah. Kalau pakai yang lain, mesti Humaira kecewa. Takkan permintaan kecil itupun dia tak mampu tunaikan?
"Jangan panik dulu, Dan... Biar Dhiya tolong carikan..."
Dhiya bingkas bangun, tanggalkan telekung yang dipakai lalu gesa-gesa berlalu ke bilik tidur mereka.
Dalam bilik, mulalah Dhiya periksa sana sini dalam beg roda warna merah kepunyaan Aidan. Tak susah mana mencari pun, kejap aje jumpa bungkusan kotak kecil berisi butang baju Melayu yang dicari Aidan bagai nak rak itu. Dhiya senyum sinis sendirian. Dasar orang nak nikah dengan cinta hati, gelabah tak tentu hala, sampai butang celah poket tu aje pun tak jumpa.
"Ada, Dhiya?" tanya Aidan yang baru masuk. Gaya macam dah tak sabar. Dhiya angkat kotak kecil tu tinggi-tinggi. Lebar senyuman Aidan.
"Itulah... Mata tu asyik nampak bakal bini muda aje, mana nak nampak yang lain dah," usik Dhiya.
Aidan gelak malu-malu. Merah juga muka kena smash dengan bini tua.
Dhiya lalu membetulkan samping songket di pinggang Aidan, supaya terletak lebih teratur dan kemas. Kemudian dia mengeluarkan butang dari kotak dan memasangnya di leher baju Melayu Aidan. Masa tu kedua-duanya membisu seribu bahasa. Hanya nafas masing-masing yang berlagu halus. Sentimental. Seketika, tangan Dhiya terhenti tugasnya. Empat bebola mata menyatu dengan penuh perasaan.
Aduh... Keluar pula mutiara jernih dari anak mata Dhiya. Lalu Aidan mengesat air mata tersebut dengan jari-jemarinya.
"Dhiya sedih ke dengan keputusan Dan?"
Dhiya hulur senyum tawar. Geleng.
"Dhiya reda, demi kebahagiaan Dan..."
Terpaksalah menipu. Gila tak sedih. Suami kesayangan nak pi kahwin dengan perempuan lain tu. Perempuan mental saja yang tak sedih! Nak serahkan milik dia untuk dikongsi sama-sama.
"Dan nak Dhiya tahu, walau apa pun berlaku... Dhiya tetap isteri yang Dan sayang. Ada sudut tertentu dalam hati Dan khas untuk Dhiya."
Dhiya senyum untuk pengakuan Aidan. Satu sudut khas pun jadilah. Jangan tamak, Dhiya.
"Dan happy?"
Perlahan Aidan mengangguk.
"Terima kasih, Dhiya. Pengorbanan yang Dan takkan lupakan sampai bila-bila. Moga Dhiya dapat ganjaran pahala yang besar dari Allah S.W.T. I tak mampu untuk membalasnya. Moga Dhiya dapat rezeki istimewa daripada Allah, lebih dari rezeki Dan sekarang ni. Moga hidup Dhiya terus dirahmati."
Dhiya senyum. Insya-Allah, amin amin, kata hatinya. Hanya Allah saja yang tahu perasaan dan harapannya.
"Selamat pengantin baru, Dan... Suami kesayangan Dhiya," ucap Dhiya dengan syahdu.
Aidan tarik Dhiya ke dalam pelukannya.
"SAH?" tanya tuan kadi.
"Sah." Seorang saksi mengeyakan.
"Sah." Seorang lagi saksi menyokong.
Alhamdulillah.
Dengan empat kali lafaz, baru ikatan pernikahan antara Aidan dan Humaira disahkan oleh saksi-saksi pernikahan. Puan Rahmah dan suaminya Encik Roslan, sudah kelihatan gelisah, begitu juga dengan wakil-wakil bagi pihak perempuan.
Aidan yang segak dan maco asyik tersasul-sasul bila menyebut nama Humaira. Pada cubaan kali kedua, boleh dia tersebut nama Nur Dhiya Binti Dahlan. Menjerit ayah Humaira. Anak dia yang nak dinikahkan, apa pasal sebut nama perempuan lain?
Masa tu ahli keluarga yang mengenali, ramai yang toleh ke arah Dhiya yang turut sama hadir di situ.
Dhiya?
Tetap kelihatan tenang. Tidak senyum, tak juga bermasam wajah. Menangis apatah lagi. Pandai sungguh dia menjaga air muka sendiri dan keluarga suami. Tak buat perangai, tak meroyan, tak mengamuk. Malah sikit pun tak buat hal. Dhiya hadir ke majlis pernikahanan Aidan sebagai tanda hormat untuk suaminya. Sebagai tanda sokongan, kasih sayang dan tanda cinta untuk Aidan.
Yalah tu, Dhiya...
Pandai bukan dia berlakon? Padahal hatinya menangis, merintih pedih menyaksikan majlis penyerahan suami kepada wanita lain. Segala perasaan sedih, sebak, terhina, berjaya disimpan kemas-kemas di dalam, sehingga tak terzahir langsung di pandangan mata mereka yang memandangnya.
Upacara pembatalan air sembahyang sedang dijalankan. Dari kejauhan, Dhiya lihat betapa bahagianya Humaira dan Aidan. Sempat masing-masing bermain mata. Ya... Sinar mata yang terpancar dari mata Aidan terhadap Humaira, berbeza dari sinar mata Aidan apabila memandang Dhiya.
Itulah bezanya antara cinta dan sayang...
Dhiya sudah tak boleh nak bertahan lagi. Perlahan-lahan dia mengatur langkah, keluar dari masjid. Hanya sebuah mesej dihantar kepada bapa mentua, memberitahu yang dia sudah pulang.
"Shhh... Jadi bini nombor dua, kan?"
"Hurm... Kalau mak jan, macam tu la, mana kira laki orang ke, tok wan orang ke... Main rembat aje la..."
"Bukan macam tu la kau orang. Bini tua reda aje Aidan tu kahwin lain. Nak buat macam mana dah dia yang mandul. Lima tahun kahwin belum ada tanda nak beranak. Orang lelaki mana mahunya. Mestilah nak beranak-pinak. Tambah-tambah Aidan tu anak tunggal Rahmah. Harus kena desak bagi cucu kat emak ayah dia, kan. Dah tanggungjawab dia sebagai anak."
"Ooo... Gitu. Tak boleh kasi zuriat rupanya. Memang patutlah dapat madu. Baguslah pilih Humaira, dah terang-terang boleh beranak."
Dalam hati yang tengah koyak rabak tu, Dhiya terdengar pula soksek-soksek beberapa orang mak cik bawang versi kampung Aidan. Telinga pun, masa hati tengah berduka lara inilah, dia boleh tangkap dengar semua bisik-bisik orang.
Hati yang dah sedia terluka, bertambah-tambah pedih, macam luka kena siram air garam pekat. Tapi biarlah. Apa yang mampu dia buat untuk menutup mulut orang? Dia bukan tak berusaha untuk mengandung. Macam-macam cara dah dicuba. Malah dah buat appointment doktor untuk cuba cara IVF, tapi tiba-tiba pula Humaira muncul dan Aidan seperti terlupa langsung hal tersebut.
Dhiya ke yang salah?
Aduhai...
Majlis resepsi diadakan esoknya. Dhiya tak bercadang untuk hadir. Lagipun kenduri hanya dibuat di rumah Humaira. Tidak ada sebarang majlis di rumah Puan Rahmah. Dhiya dah minta izin dari Aidan untuk balik ke Johor Bahru. Memang dia plan macam tu. Esok Dhiya kena bertugas. Yang cuti panjang adalah Encik Aidan, bukan Puan Dhiya. Yang kahwin pula, dah tentu bukan Dhiya.
Sementelah Aidan pun akan luangkan masa bersama Humaira selama tujuh hari bermula hari ini. Kasi chance la pada pengantin baru. Dhiya tak patut kacau.
Biarlah Aidan mengecapi hari bahagianya bersama Humaira, tanpa ada orang ketiga mencelah. Selamat berbahagia, suami tersayang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro