Bab 1
JAUH lagi Dhiya dah nampak senyum tersungging di bibir Aidan. Manis. Dengan lesung pipit Aidan yang dalam di pipi, buat mata terus terpaut. Hilang semua stres dan penat dek tugasan kerja di pejabat tadi.
Aduhai, suami... Tak pernah tak jatuh cinta setiap kali pandang seraut wajahmu. Semakin hari, semakin menebal perasaan sayang. Betul la kata orang, suami syurga seorang isteri. Mendapat senyumannya sahaja, boleh buat badan lunyai terus kembali segar, segala masalah tiba-tiba terbang melayang. Sempat lagi Dhiya bermonolog dalam hati, memuja suami sendiri.
"Dhiya okey ke hari ni? Ada masalah kerja ke?" tanya Aidan sebaik saja Dhiya menyalami tangan.
"Okey aje. Kenapa? Nampak muka Dhiya macam serabut sangat ke?"
Aidan tak jawab soalan Dhiya sebaliknya menghadiahkan lagi sejuring senyuman yang penuh pengertian. Dengan pandangan mata yang redup merenung wajah Dhiya penuh kasih. Tak pernah luak perhatian dan kasih sayang Aidan terhadap Dhiya. Manalah Dhiya tak jatuh cinta berjuta-juta kali pada suaminya.
Seingat Dhiya, masa mula-mula kahwin dulu, taklah berlebih-lebih dia sayangkan Aidan. Tapi dari sehari ke sehari menjadi isteri seorang Aidan, buatkan Dhiya bahagia sangat. Dunia rasa dah cukup lengkap.
Aidan tu baik giler. Dah la sejenis lelaki yang tak pernah tinggal solat, tak pernah miss mengaji Quran. Nafkah Dhiya, sekali pun dia tak pernah lupa beri. Ringan tulang pula tu. Kat rumah, Aidan yang lagi banyak buat kerja rumah tangga berbanding Dhiya. Aidan memang jaga Dhiya sungguh-sungguhlah! Ingat lagi masa Dhiya masuk hospital sebab apendiks dua tahun lepas... Siang malam Aidan jaga Dhiya sampaikan tak balik rumah langsung. Sama-sama masuk hospital dengan Dhiya.
Manalah Dhiya tak sayang Aidan sangat-sangat...
Aidan taklah kaya. Taklah melimpah ruah harta. Yalah, kerja pun makan gaji, kan. Walaupun ketua engineer, tara mana sangat boleh dapat jana pendapatan di hujung bulan. Lain la big boss, tuan punya syarikat.
Cumanya... Aidan ni sangat kaya dengan tanggungjawab, perhatian dan kasih sayang pada Dhiya!
Tapi untuk sara keluarga kecil dia orang, gaji Aidan tu berlebihan banyak juga. Nak buka cawangan lagi satu pun Aidan mampu. Haippp... Jangan!
"Dhiya kena buli dengan Majid Jering ke tadi di pejabat?"
Bila kereta dah mula bergerak, Aidan ulang tanya. Berkisar pada persoalan yang sama.
"Taklah! Mana ada..." balas Dhiya bersahaja, konon-konon cuba sembunyikan sesuatu.
Aidan toleh ke sebelah. Satu jari telunjuk dinaikkan ke atas dan cuit pipi putih Dhiya. Lembut saja perlakuannya. Hati Dhiya semakin terpujuk. Tak ada apa dah yang nak dimarahkan pasal kerja yang tak seharusnya dia tanggung hari ini.
"Tak payah nak sorok sangat, okey? Luahkan saja pada husband you. Sekarang dah lepas office hours kan. I bukan lagi bos. Majid Jering buat hal lagi eh, masa I tak ada?"
Aidan dah sedia maklum, Majid tangkai jering ni selalu buat perangai sewaktu ketiadaannya di pejabat. Dia suka membuli pekerja dengan bagi tugasan banyak-banyak, supaya dia dapat mengular sana sini. Dah ramai yang mengadu. Cuma Aidan tengah mengumpul bukti kukuh untuk ambil tindakan. Dengan Dhiya isterinya pun Majid tak takut. Dikulikan aje semua orang. Bajet jadi big boss sungguh!
Dhiya mengerling sambil melarikan mukanya ke arah tingkap cermin di sisi.
"Tahu-tahu aje dia..."
Tak boleh nak sembunyikan apa-apa daripada Aidan. Dari benda besar sampailah sekecil-kecil perkara, semua Aidan dapat meneka. Walaupun Dhiya rasa benda tu remeh untuk dikongsi, tetap akan menjadi topik bualan mereka akhirnya.
Aidan ketawa.
"Bukankah tiada rahsia antara kita?" jawab Aidan bersahaja kemudiannya.
Sungguh, tidak ada rahsia yang boleh Dhiya sembunyikan daripada Aidan. Mereka berkongsi segala-gala cerita. Bagi Dhiya, Aidanlah suami merangkap kawan paling akrab. Best friend forever, sampai syurga. Tak melampau kan statement ni?
Dah Aidan tu laki dia pun. Kalau tak bercerai hidup kat dunia ni, kat akhirat nanti boleh bersama lagi. Sambung bahagia.
Eh... Tapi kat pejabat, Aidan bos Dhiya tau!
Aidan tu Head Department. Jadi masa kerja, Dhiya tak boleh la melebih-lebih dengan Aidan. Di situ, Aidan hak semua pekerja, bukan hak Dhiya seorang. Lagipun pejabat Aidan di aras tujuh, sementara Dhiya pula di aras sepuluh. Department ni ada beberapa unit dan ketua unit Dhiya, Majid Jering itu la. Ketua unit yang berperangai pelik dan jelik.
Oh ya... Majid dipanggil jering, sebab kedekut. Bukan kedekut dari segi duit saja, tapi segala-galanya dia bakhil. Termasuklah tenaga dan kudratnya. Selagi dia boleh kaut orang lain punya tenaga, dia akan kaut. Ada manusia begitu, kan? Selfish!
"Empat tahun dah you jadi wife I, Dhiya. Sekali kerling ke muka you pun I dah tau kalau ada yang tak kena. Apa yang si jering tu buat pada you, sampai ada urat marah, urat stres, urat letih timbul kat muka you yang cute and cool ni?"
Hamboih! Gitu sekali nak cari kesalahan Majid.
Bulat mata Dhiya pandang Aidan. Si suami balas dengan sengih.
"Tadi memang kemurungan sangat, tapi semua tu terus hilang bila dapat tengok muka ajaib husband I. Kiranya dah dapat ubat mujarab free of charge untuk tekanan I ni."
"Ouch... Kembangnya dada I!"
Aidan usap-usap dada dengan sebelah tangan.
"Untung ada wajah magis. Kalau buka klinik psiko, tentu untung, kan? Tak payah bagi ubat, cukup tadah muka I ni aje, semua perempuan yang kemurungan tukar jadi happy. Yang nak terjun Jambatan Pulau Pinang pun cancel lepas tengok muka I."
Spontan Dhiya gelak. Lepas tu dia goyang-goyang tangan laju-laju.
"Tak setuju!"
Tak sukalah nak kongsi-kongsi ubat privasinya dengan perempuan-perempuan lain.
"Kenapa pula? Cemburu eh?"
Dhiya gelak lagi. Cemburu? Agaknya...
Tapi jarang-jarang sekali Aidan tanya Dhiya dengan soalan 'cemburu ke?' Eh... Boleh kata tak pernah tanya kut. Tadi tu pertama kali selepas dia orang kahwin.
Jeda.
Hanya suara Nisa Sabyan mendayu-dayu perlahan mengalunkan lagu ketuhanan Deen Assalam. Dhiya suka lagu-lagu nasyid. Aidan juga.
"Dan..."
"Hmmm..."
"Thank you tau susah-susah datang ambil I kat office. Dah la you outstation jauh, terkejar-kejar balik sebab nak jemput I."
"I tak pernah rasa susah untuk you, Dhiya. Tak perlu rasa bersalah."
"Tapi I kasihan you, Dan. You pun penat. I boleh aje drive sendiri."
"I ni suami you, Dhiya... Seorang suami kena jaga kebajikan isterinya selagi mampu, tak kira dalam apapun keadaannya."
Diam.
Betul tu. Pada Dhiya, kata-kata Aidan biasanya selari aje dengan tindakan. Aidan bukan sejenis lelaki yang cakap lain, buat lain. Cakap tak serupa bikin, kata sinisnya. Sebab tu Dhiya terlalu mengagungkan suaminya.
Sejak kahwin, Aidan memang tak benarkan Dhiya memandu kereta kecuali kalau terpaksa. Dhiya patuh saja arahan. Suami kan... Mana boleh seorang isteri bantah cakap, kecuali pada benda-benda yang dimurkai Allah. Biarpun kereta milik Dhiya terperuk saja di anjung rumah, jadi besi buruk.
Seronok apa... Pergi dan balik kerja berdua.
Lagipun, dia orang selalu aje bersama ke sana sini. Tak pernah berpisah melainkan terpaksa kerana tugasan kerja. Digelar pasangan paling bahagia oleh teman-teman sepejabat.
Memang bahagia pun...
Bukan pura-pura. Bukan juga sekadar menunjuk-nunjuk. Tak ada pun Dhiya over-over tayang pasal mereka suami isteri dalam Facebook mahupun Instagram. Dhiya bukan perempuan jenis tu. Aidan lagilah. Akaun Facebook pun tak ada. Instagram pun sama. Ada tak ada, aplikasi WhatsApp tu ajelah. Itupun sebab wajib ada untuk kerja. Kolot, kan?
Dhiya tu, selalu aje rindu diam-diam pada suami sendiri. Walaupun tidur satu katil, tinggal satu rumah, kerja satu bangunan, cuma lain-lain tingkat saja.
Macam mana Dhiya dan Aidan ni boleh terkahwin?
Dah jodoh kut, mudah aje jadinya...
Lima tahun dulu, Dhiya mula kerja di syarikat Aidan kerja. Syarikat sekarang. Aidan yang ditugaskan melatih Dhiya. Mula-mula baik gitu-gitu aje. Lama-lama hubungan dia orang makin baik. Mutual friend la lebih kurang. Aidan suka Dhiya... Dhiya pun suka Aidan. Selepas setahun Dhiya kerja, Aidan ajak kahwin. Dhiya setuju sajalah. Simple, kan?
Nak kata bercinta sangat sebelum kahwin, memang taklah. Tapi rasa sayang dan cinta Dhiya pada Aidan semakin bertambah dari sehari ke sehari setelah dia orang dah jadi suami isteri. Isteri mana yang tak jatuh hati bila dilayan macam tuan puteri?
Bagi Dhiya, Aidan ialah suami dan kawan yang sangat baik. Perfect 10!
TELEFON bimbit dalam beg tangan Dhiya berbunyi. Kelam-kabut Dhiya cari dan jawab. Aidan kerling melihat kelakuan si isteri. Dah faham dah. Dhiya memang suka campak saja telefonnya ke dalam beg. Puas dah dia pesan suruh letak kat poket beg yang khas untuk telefon, senang cari. Tapi Dhiya memang selalu aje lupa.
"Abang Dzik?"
Tanya Aidan sebaik saja Dhiya campak semula telefonnya ke dalam beg selepas tamat perbualannya.
"Haah. Dia nak ke Korea, jadi dia tanya berapa pasang stoking yang Dhiya nak. Dhiya jawab la... Sebanyak mana yang abang mampu bawa balik," jawab Dhiya sambil ketawa.
"Sekadar stoking, kat shopping mall sini pun banyak, sayangku. Satu lori I boleh belikan untuk you."
Mengekeh Dhiya gelak dengan gurauan si suami.
"Tapi tak sama, Dan. Stoking sana cantik-cantik, tambah-tambah kalau Abang Dzik yang pilihkan. Unik-unik belaka. Tahu aje dia corak dan warna yang Dhiya suka. Tapi yang lebih penting lagi, semua tu free of charge. Duit suami Dhiya pun selamat. Dan tak bersyukur ke?"
Wajah Dhiya akan jadi lebih berseri-seri tiap kali bercerita pasal Abang Dzik. Aidan perasan tu. Namun dia tak pernah berprasangka yang tak baik.
"Yalah, yalah. Betul la tu. Dan juga yang untung. Nanti bertambah K-poplah isteri I setiap malam. Baju tidur seksi giler, tapi kaki bertutup. Mentang-mentang la dapat supply stoking free."
Gelak besar Dhiya. Depan Aidan dia jarang cover-cover malu. Betul kut...
Tahun lepas, Abang Dzik pergi Korea, dia belikan 20 pasang stoking cute-cute. Melampau bukan Abang Dzik ni? Kalau nak pakai masa pi jalan, joging yang seminggu sekali tu aje, memang tak terpakai la kan. Lebih baik melaram time tidur. Lagipun Aidan tidur suka pasang air cond. Sejuk. Sebab tu Dhiya suka pakai stoking.
"Dhiya... Abang Dzik tu tak nak kahwin ke?"
Tiba-tiba Aidan tanya soalan popular yang selalu ditanya ahli keluarganya. Apa taknya Abang Dzikri tu macam belum ada cita-cita untuk kahwin walaupun umur dia setahun lebih tua daripada Aidan. Jika Aidan dah tiga puluh tiga tahun, bermakna Abang Dzikri tiga puluh empat tahunlah, kan? Sikit hari lagi boleh digelar bujang terlajak.
"Girlfriend pun tak ada, kat mana nak wujudnya seorang isteri? Ibu ayah nak carikan, Abang Dzik tak mahu. Habis, macam mana nak kahwinnya kalau calon tak ada?"
"Memilih sangat kut..." komen Aidan perlahan.
"Kannn... Ibu pun kata gitu, tapi Abang Dzik tu buat derk aje. No komen."
Eh... Dzikri Hafiy tu abang kesayangan Dhiya. Abang sulung. Selain Dzikri, Dhiya ada dua orang abang lagi. Namun Dhiya paling rapat dengan Dzikri, sebab Abang Dzik ni yang lebih-lebih manjakan dia.
Yang sebenarnya, Dzikri ni abang sepupu merangkap anak angkat ibu dan ayah Dhiya. Bukan anak kandung. Dijaga sejak umur lapan tahun sebab emak dan ayah Dzikri meninggal dalam kemalangan. Semua orang tak pernah anggap Dzikri sebagai orang luar. Lebih-lebih lagi Dhiya.
"Ke dia sedang tunggu seseorang, Dhiya?"
"Siapa? Abang Dzik pernah beritahu Dan ke?"
Aidan geleng kepala.
"Mungkin seseorang yang mustahil untuk dia miliki? Tapi dia masih menaruh harapan?"
Dhiya pandang muka Aidan dengan kerut di dahi.
Blur...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro