Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Tangisan Aryssa

Media : When Aryssa is crying in the heavy rain.

***

"Eh, Rul!" panggil Asri Nizam sambil menyiku perlahan Fakrul yang sedang bersandar pada tiang pondok berdekatan asrama lelaki dengan mata yang terpejam. Ketika itu, mereka berdua sedang berteduh di pondok tersebut kerana hujan lebat turun secara tiba-tiba. Sebenarnya, boleh sahaja jika mereka mahu meredah hujan tersebut. Tetapi memandangkan mereka baru sahaja pulang daripada bermain bola sepak di padang yang terpaksa dihentikan kerana hujan, mereka mengambil peluang itu untuk berehat sebentar melepaskan lelah.

"Hmm... apa hal?" sahut Fakrul perlahan tanpa membuka mata.

"Tu bukan 'awek' kau ke? Dia buat apa sorang-sorang dalam hujan lebat tu?"

Terus tercelik luas mata Fakrul mendengar bicara rakan karibnya itu. Dia mengerling Asri Nizam, tidak puas hati. "Dah banyak kali aku beritahu kau, dia tu bukan awek aku! Jadi, jangan sesekali kau panggil dia awek aku!" Fakrul memberi amaran. Asri Nizam tersengih.

Mata Fakrul mula meliar mencari kelibat yang dikatakan oleh Asri Nizam. Dia nampak Aryssa sedang berjalan seorang diri dalam hujan, tidak jauh daripada pondok ini. Kemudian, dia kembali memejamkan mata.

"Weh, kau tak nak pergi dekat dia ke?" tanya Asri Nizam kembali menyiku Fakrul perlahan.

"Nak buat apa?"

"Tengok-tengokkan dialah. Manalah tahu kena sampuk ke, apa ke, tengah-tengah hujan lebat macam ni. Mana ada manusia normal yang berjalan relaks aje dalam hujan lebat."

"Biar ajelah dia tu. Minah tu bukannya betul sangat pun," balas Fakrul bersahaja dengan mata yang masih terpejam.

"Suka hati kaulah, Rul. Kalau jadi apa-apa, jangan menyesal pulak."

"Hmm..."

Asri Nizam hanya menggelengkan kepalanya. Tiba-tiba, akalnya terfikirkan sesuatu untuk mengenakan sahabatnya itu. Dia tersenyum nakal. "Weh, Rul! Minah tu pengsanlah!" Cemas Asri Nizam bersuara.

Terus badan Fakrul tegak daripada bersandar pada tiang. Tindakan refleks! Matanya tercelik luas. "Mana? Mana?" suaranya bertanya cemas.

Asri Nizam mengekek ketawa. "Eleh, tadi tak kisah sangat," perlinya kepada Fakrul yang sudah memandangnya bagaikan ingin ditelan hidup-hidup.

"Risau jugak kau pada dia, kan?" Asri Nizam tersenyum nakal sambil mengangkat-angkat sebelah keningnya.

Fakrul tidak menjawab. Hanya bebola matanya dilarikan daripada memandang Asri Nizam yang masih beriak nakal.

***

Aryssa jatuh melutut. Kedua-dua belah tangannya menekup muka. Air hangat yang mengalir di pipinya dibiarkan saja disapu oleh air hujan yang turun dengan lebatnya. Tangisannya yang kian menggila langsung tiada tanda akan berhenti. Sebagaimana lebatnya hujan menimpa bumi, selebat itulah tangisan yang dihamburkannya. Suara tangisannya tenggelam dalam kebisingan hujan.

Setelah sekian lama dia memendam rasa, hari ini dia tewas jua. Tewas dengan rasa hati yang semakin hari, semakin dalam dan bernanah lukanya. Hampir tujuh tahun air matanya membeku. Kini, air itu mencair dan jatuh mencurah-curah bagaikan air terjun yang tiada hentinya.

"Kenapa 'kau' buat aku macam ni?! Kenapa 'kau' seksa hati aku macam ni?! Apa salah aku?! Siapa sebenarnya aku? Siapa sebenarnya aku pada 'kau'?!" jerit Aryssa sekuat hati. Tangisannya kian lebat berlagu di celah-celah bunyi hujan yang memenuhi gegendang telinga.

Tiba-tiba, dia terasa diri dipayungi. Tidak lagi merasakan kedinginan titisan air yang menimpa tubuhnya. Dengan mata yang masih berair, dia mendongak. Bertambah lebat air matanya menodai pipi apabila terpandangkan sepasang mata itu. Mata yang redup merenungnya itu bagaikan mencurah segala rasa simpati kepadanya. Dia pula hanya menangis, menangis dan menangis tanpa menghiraukan sepasang mata itu yang masih di sampingnya, merenungnya tanpa jemu.

***

"Kau okey?" tanya Fakrul kepada Aryssa setelah sekian lama membiarkan gadis itu menyepi. Tangisan gadis itu telah lama reda. Kini, mereka berdua berada di pondok yang mana dia dan Asri Nizam melepak sebentar tadi. Sebaik sahaja Asri Nizam berlalu, dia segera 'merembat' sekaki payung entah kepunyaan siapa dan terus mendekati Aryssa. Agak lama juga dia berdiri di belakang Aryssa dan memerhatikan gadis itu dalam hujan tadi sebelum memayunginya.

Pertanyaan Fakrul hanya dibiarkan sepi dibawa angin lalu yang kadang-kadang melintasi mereka. Fakrul mengeluh perlahan. Jam di pergelangan tangannya sudah menunjukkan pukul lima petang. Hujan pula masih tidak berhenti membasahi bumi.

"Aryssa," panggil Fakrul. Jari telunjuknya menolak perlahan bahu gadis itu. Gadis itu tersentak bagaikan baru tersedar daripada mimpi, memandangnya dengan mata yang berkaca-kaca.

Kali ini Fakrul pula yang terkedu. Lama matanya merenung wajah itu. Dalam jarak sedekat ini, dia dapat melihat pipi, pucuk hidung, bibir dan di bawah mata gadis itu yang kemerah-merahan. Terutamanya bibir gadis itu yang merah menyala bagaikan dioles dengan gincu, habis sebatang! Comel!

Kemudian, mata Fakrul meliar pula pada sepasang mata milik gadis itu. Mata itu tidak pula bertukar merah walaupun lama gadis itu menangis. Namun, mata itu jernih berwarna putih dan kelihatan bercahaya. Fakrul bagaikan terpukau dan tenggelam dengan keindahan sepasang mata itu. Air jernih yang bergenang di tubir mata itu bagai meluahkan rasa sakit yang terpendam jauh di dasar hati gadis itu yang tidak pernah diketahui sesiapa.

"Kk... kau okey ke tak?" tanya Fakrul sedikit gagap.

Mendengarkan pertanyaan itu, tidak semena-mena air mata gadis itu tumpah untuk kesekian kalinya. Terkejut Fakrul dibuatnya. Cemas juga dia untuk seketika melihatkan air mata gadis itu yang tiba-tiba sahaja jatuh.

"Aryssa, kau kenapa ni?" tanya Fakrul lembut. Simpatinya melimpah melihat Aryssa yang hanya menangis. Tidak pernah dia melihat gadis itu menangis sebegini. Ke mana menghilangnya Aryssa yang dia kenali selama ini? Ke mana menghilangnya semua kekuatan dan keberanian gadis itu selama ini?

Aryssa erat memeluk kedua-dua belah lututnya. Kepala diletakkan di atas kepala lutut. Air mata begitu degil mengalir tanpa henti. Tetapi yang peliknya, tiada sedu-sedan yang kedengaran walaupun telah lama dia menangis.

"Orang yang jarang menangis, bila dia menangis, itu tandanya dia sangat sedih, tidak mampu menahan duka dan derita lagi. Selama aku mengenali kau, belum pernah aku melihat kau menitiskan air mata. Setitis air mata pun belum pernah aku lihat jatuh dari tubir mata kau. Selama mengenali kau, aku hanya melihat senyuman dan gelak ketawa yang lahir daripada bibir kau. Di hadapan sesiapa sahaja, hanya senyuman yang kau pamerkan dan senyuman itu sangat ikhlas pada pandangan mata aku. Tidak pernah sekalipun kau pamerkan kelukaan pada wajah kau sehinggakan kadang-kadang aku tertanya sendiri, tidak pernahkah kau merasai kedukaan?" Fakrul berkata-kata tanpa memandang Aryssa. Tidak tahan lagi dia melihat Aryssa terus bersedih dan berdiam diri.

"Kau tak pernah kenal aku." Akhirnya, keluar juga suara emas itu.

Fakrul tersenyum sedikit. "Ya, betul tu. Aku memang tak kenal kau. Aku memang tak pernah pun mengenali kau. Aku sangkakan kau seorang gadis yang tak pernah mengenali erti sebuah kesedihan. Aku sentiasa melihat kau ceria walau di mana pun kau berada. Namun, aku silap menilai.

Hari ini, aku dikejutkan dengan tangisan seorang gadis yang sama, gadis yang selama ini sentiasa ceria. Aku sangat terkejut melihat tangisannya. Tangisan yang pada pendapat aku boleh membanjiri sekolah ini."

"Jangan nak mengarutlah. Mustahil sebuah tangisan boleh membanjiri sebuah sekolah," pangkah Aryssa. Tangisannya mulai reda mendengar bicara Fakrul yang tak masuk akal.

"Tiada yang mustahil dalam dunia ni. Kalau beginilah caranya kau menangis, memang tak mustahil kau boleh banjirkan sekolah ini dengan tangisan kau. Kau tengoklah, sekali kau menangis, awan pun turut menangis bersama-sama kau. Semakin lebat tangisan kau, semakin menggila hujan turun membasahi bumi."

"Kau perli aku ke?" tanya Aryssa bersama senyuman kecil di bibir.

Fakrul tersenyum. Dia memandang Aryssa. "Nampaknya aku dah berjaya mengembalikan senyuman kau."

Bersaat-saat berlalu tanpa biaca.

"Aku insan yang bertuah kerana dapat melihat air mata kau," ujar Fakrul setelah membiarkan sepi mengisi ruang antara mereka untuk seketika.

Kata-kata Fakrul membuatkan Aryssa terkedu. "Aku tahulah kau bencikan aku, tapi takkanlah sampai kau gembira melihat kesedihan aku." Wajahnya bertukar redup.

Fakrul tersenyum lagi. "Ya, aku memang gembira melihat kau menangis kerana hari ini baru aku sedar, rupa-rupanya kau seorang manusia biasa, yang ada hati dan perasaan, yang tahu erti suka dan duka. Aku fikirkan, selama ini kau sebuah robot bernyawa yang hanya tahu senyum dan ketawa dalam hidupnya."

Aryssa terdiam mendengar bicara Fakrul yang penuh dengan makna tersirat. Dia mengakui kebenaran kata-kata Fakrul. Dia ibarat robot bernyawa yang hanya tahu senyum dan ketawa, sedangkan jauh di sudut hatinya penuh dengan kelukaan dan kedukaan yang tak pernah diluahkan. Hari ini, dia tewas dengan kata-kata Fakrul. Segala kesedihan dan kesakitan kembali menggamitnya. Air mata kembali mengisi ruang matanya. Dia mahu menangis sepuas-puasnya, meluahkan segala kedukaan hatinya yang selama ini dipendam jauh di lubuk hatinya yang paling dalam kepada seseorang dan seseorang itu ialah Fakrul. Dia mahu melepaskan segala kedukaan hatinya pergi jauh-jauh. Biarlah rasa itu terbang ke mana-mana sahaja daripada terus menghuni sekeping hatinya.

***

Malam itu terasa begitu sepi. Fakrul mengeluh entah kali yang keberapa. Tangisan dan luahan hati Aryssa pada petang tadi begitu meruntun hatinya, terngiang-ngiang di telinganya hingga kini. Tidak dia sangka, di sebalik senyuman dan gelak ketawa gadis itu tersembunyi seribu kedukaan yang terpendam.

"Bukan senang aku nak sayangkan seseorang. Tapi, bila aku sudah mula menyayangi, rasa sayang aku hanya sia-sia. Rasa sayang yang aku curahkan tidak dihargai. Aku rasa sangat bodoh bila menyangka dia menyayangi aku. Walaupun sikit, aku tak kisah. Tapi, aku silap. Dia tak pernah sayangkan aku," luah Aryssa tanpa memandang Fakrul. Air mata yang menodai pipi mulusnya dibiarkan saja.

Fakrul setia mendengar walaupun dia keliru. Aryssa bercakap tentang siapa? Namun, dia hanya mendengar tanpa niat ingin mencelah. Tidak mahu merosakkan 'mood' bercerita gadis itu. Leka dia memandang sisi wajah gadis itu yang nampak begitu 'natural'. Tiba-tiba, Aryssa berpaling ke arahnya bersama mata yang berkaca-kaca. Fakrul terkedu! Pantas dia memalingkan wajah ke arah lain.

Setelah agak lama Aryssa yang kembali menyepikan diri, Fakrul memberanikan diri bertanya. "Sebenarnya... kau bercakap tentang siapa? 'Dia' tu... siapa?"

"Mak aku."

Berkerut dahi Fakrul mendengar jawapan Aryssa. "Mana ada ibu dalam dunia ni yang tak sayangkan anak?"

Aryssa tersenyum sedikit. Penuh kelukaan. "Kalaulah apa yang kau cakapkan tu betul, aku tak akan jadi macam ni, Fakrul. Aku tak akan terluka macam ni."

Fakrul bersimpati. "Mana kau tahu mak kau tak sayangkan kau?"

"Mak aku sendiri yang cakap. Depan-depan aku dia cakap yang dia tak pernah sayangkan aku," suara Aryssa sebak. "Dia cakap, dia bela aku kerana kasihankan aku. Dia buat macam aku ni bukan anak dia, kan?"

Fakrul sedikit mengeluh. "Habis tu, ahli keluarga kau yang lain macam mana?"

Aryssa ketawa kecil yang dibuat-buat. "Tak payah tanya. Memang dari aku kecil lagi mereka bencikan aku. Mereka sentiasa sisihkan aku. Memang mereka tak boleh terima kehadiran aku. Aku pun tak berharap pada mereka. Aku tak peduli dah pada mereka. Biarlah mereka tu. Cuma, aku kecewa bila dapat tahu yang mak aku pun sama dengan mereka. Selama ni, mak aku tak pernah pun hina, caci maki aku sepertimana ahli keluarga aku yang lain. Sebab tu aku fikir mak aku sayangkan aku... walaupun sekelumit," luahnya sayu.

Fakrul terdiam. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Akhirnya, dia mengeluh lagi, entah untuk kali yang keberapa. "Aku tak tahu nak cakap apa lagi. Aryssa, aku harap kau tabahlah untuk melalui semua ni. Aku pasti, suatu hari nanti kau akan tahu jugak kenapa keluarga kau layan kau macam tu. Aku akan sentiasa doakan yang terbaik untuk kau. Kalau kau tak ada sesiapa untuk meluahkan perasaan kau, kau boleh cari aku. Aku akan sentiasa ada untuk kau," ujar Fakrul lalu tersenyum, cuba menceriakan gadis itu.

Aryssa memandang Fakrul. Dia menyapu butiran jernih yang mengaburi penglihatannya itu sambil tersenyum tawar. "Aku tak faham dengan kau. Kenapa tiba-tiba aje kau baik dengan aku?"

Fakrul mula menggaru-garu belakang kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih sumbing. Dia sendiri pun tidak tahu mengapa. Dia hanya mengikut naluri hatinya yang ingin mendekati dan mengenali gadis itu yang baginya pelik dan misteri. "Entahlah. Aku tak ada jawapan untuk soalan kau tu."

"Aku minta maaf," Tiba-tiba sahaja Aryssa meminta maaf dengannya.

"Untuk apa?"

"Untuk segala-galanya. Selama ni aku selalu ganggu hidup kau. Aku tak pernah biarkan kau hidup aman. Maafkan aku."

"Kau tak bersalah dengan aku. Aku tak terasa diganggu pun selama ni. Malu aku nak mengaku, tapi sebenarnya... aku terhibur dengan segala yang kau dah buat pada aku. Aku tak marah pada kau. Aku mengaku, waktu kau kacau aku, kau prank aku, memang aku geram pada kau. Tapi aku geram waktu tu ajelah." Fakrul tersengih.

Aryssa tidak berkelip memandang Fakrul. Rasa tak percaya Fakrul tidak memarahinya atas segala perbuatannya selama ini.

"Aryssa, kalau aku minta peluang daripada kau untuk aku lebih mengenali kau, kau bagi tak?" Tiba-tiba Fakrul bertanyakan soalan itu sambil tersengih sumbing.

Aryssa angkat kening. "Maksudnya?"

"Maksudnya, kalau aku nak jadi kawan kau, kau sudi tak?"

Fakrul tersedar daripada lamunan panjangnya. Sejak peristiwa petang tadi, dia telah menghulurkan salam persahabatan kepada Aryssa. Walaupun pada mulanya gadis itu teragak-agak, namun salamnya bersambut juga. Niatnya hanya satu, dia ingin menjadi teman untuk gadis itu mencurah segala rasa. Dia ingin merasai setiap kegembiraan dan keperitan gadis itu.

Aryssa... entah mengapa saat kau mula hadir dalam hidupku, hanya kau dalam fikiranku...

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro