4 Rahsia
"Salahuddin ada abang ke selama ni?" Khaifa menongkat dagu. Kotak rokok bersalut putih dan merah dibalikkannya dengan kuisan jari. Sementara menanti pesanan air sirap laici tiba di bawah langit malam, dia harus membincangkan perkara penting dengan rakan-rakannya. Suasana kedai makan di hadapan padang bola ini tidak terlalu sesak dengan penduduk setempat pada waktu lewat sebegini. Hanya ada beberapa buah motor melintasi.
"Berdasarkan kajian aku, Salahuddin memang tak ada abang. Dia cuma ada seorang kakak bernama Zulaikha. Kira-kira tu abang ipar dia," balas Hazim. Sebuah buku nota 555 buat mencatat segala maklumat diselaknya. Nama Salahuddin Ayub berada pada muka surat itu. Cantik sahaja tulisannya, padanlah dengan tugas selaku setiausaha dan pembantu Khaifa.
"Oh, abang ipar. Kerja apa? Apa status pendapatan rumah dia?" soal Khaifa.
"Kakak Salah ialah seorang doktor di hospital yang tak jauh dari sini. Pekerjaan abang ipar dia aku tak pasti. Pada aku, mungkin gaji abang Salah dalam RM5000 juga sebulan. Jadinya... Pendapatan rumah dia mungkin dalam RM1000 hingga RM2000 atas huluran abang ipar dia. Ibu dan ayah salah tak bekerja. Dari segi masalah kewangan, aku rasa Salah tak runsing sangat tentang hal tu. Itu je laporan aku setakat ni, bos." Hazim telah menjalankan apa yang disuruh ketua kumpulan mereka. Maklumat Salahuddin digerap sekelip mata, hasil pertanyaan kepada orang sekeliling membuahkan hasil juga.
"Sekarang ni... Macam mana aku nak tarik dia untuk tolong kita? Aku perlukan dia," ujar Khaifa. Sepuntung rokok dicucuh pada nyalaan pemetik api. Mata sepetnya memandang Haikal dan Hazim silih berganti.
"Lupakan je lah," celah Haikal. Remaja berkening terbelah itu merasakan idea Khaifa buat menjerat Salahuddin tidak akan menemui hasil. "Ramai lagilah orang lain yang bijak."
"Kau tengok tak markah addmath Salah baru-baru ni?" Kepulan asap dibiarkan ke atmosfera malam. Khaifa menikmati rokok mahalnya bagi setiap tarikan nafas. Bau harum ini digiurkan siang dan malam.
Gelengan Haikal akan dijawab Hazim sendiri. Biar pun di sekolah mereka kelihatan seperti pelajar yang tidak punya masa hadapan, di dunia luar ada sesuatu yang lebih daripada gelaran 'pelajar nakal'. Hazim membuka ke helaian muka surat seterusnya. "Markah subjek matematik tambahan Salahuddin ialah 95 peratus. Dia ambil subjek perakaunan sejak di tingkatan empat yang mana subjek tu juga berjaya difahami Salahuddin dengan baik. Subjek-subjek lain, Salahuddin agak lemah."
Penerangan pembantu Khaifa itu mendiamkan bibir Haikal. Hendak membalas lagi, dia sendiri jahil dalam pelajaran. Di kalangan kumpulan mereka, yang paling bijak itu Khaifa. Kini, Khaifa agak tergugat dengan prestasi akademik Salahuddin yang memberangsangkan dalam peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini.
"Aku tak suka kerja kita macam sampah. Mana jumlah untung bersih pun tak dapat kesan, nampak sangat ada orang dalam yang songlap duit. Bila minta detail perbelanjaan, haprak pun tak tahu. Aku perlukan Salahuddin. Dia je yang paling sesuai untuk mudahkan kerja kita ni. "
"Khaifa, aku lupa nak maklumkan... Salahuddin baru dapat motosikal baharu," tambah Hazim.
"Oh," Khaifa mengangguk. Dia tidak sedar pula akan hal itu dek sibuk menguruskan bisnes di luar kawasan.
"Kau dah tak boleh ejek dia lepas ni. Pelan kau nak sogok dia dengan motor percuma gagal." Haikal tersenyum sinis. Mahu tahu jaga apa perancangan ketua mereka. Hidangan air sirap limau ais dibawa lebih dekat lalu bibir menyedut air buat hilangkan dahaga.
"Jim, kau korek lagi semua rahsia Salahuddin. Aku nak segalanya ada di hujung jari aku keesokan hari. Kau ada 48 jam untuk dapatkan maklumat budak tu. Biar nanti... Dia sendiri yang akan datang dekat aku. Aku nak kira balik segala barangan kita dan aku perlukan Salahuddin secepat mungkin." Arahan telah dikeluarkan Khaifa. Dia mengangkat panggilan yang menerpa ke skrin utama dengan isyarat mata pada Haikal. Air pesanannya tidak berusik lagi.
Satu beg hitam di bawah meja berisi barangan yang tidak diketahui digalas Haikal menuju ke sebuah kereta bercermin gelap. Pacuan empat roda itu terparkir tidak jauh dari kedai warung. Inilah pembeli yang dinanti Khaifa sejak tadi. Dengan bertemankan Haikal dan Hazim, segalanya akan berjalan lancar. Haikal kelihatan semakin mahir melakukan kerja kotor itu meskipun baru memasuki kumpulan Khaifa sebulan yang lalu. Upah yang lumayan menjadi penyuntik semangat.
Ada satu kod rahsia diberikan sebelum transaksi itu dibuat. Penuh berhati-hati, setiap barang diperiksa terlebih dahulu.
Jauh di meja makan, Hazim leka menyelak buku notanya. Dia hendak pastikan di mana lagi rahsia Salahuddin boleh diperoleh dalam tempoh waktu dua hari. Sambil menanti si Haikal selesai berurusan dengan pelanggan, air teh panas dihirup remaja lelaki itu.
"Aku rasa... Aku pernah dengar yang Salah pernah ada abang kandung. Kau tahu tak?" soal Khaifa pada Hazim. Ingatannya tidak berapa kuat. Entah dari siapa gosip luar itu didengari.
Kedua-dua bahu dijongketkan Hazim menyatakan bahawa dia tidak tahu. "Tak pernah pula aku dengar tentang tu. Ada lagi rupanya perkara yang aku tak beritahu..."
"Apa?" Khaifa sendiri tidak tahu bagaimana rupa ayah kepada bakal ahli barunya itu.
"Ayah Salah sakit. Sebab tu lah kita jarang nampak ayah dia sejak dari tingkatan satu lagi. Bila ada perjumpaan ibu bapa, yang datang hanyalah ibu atau kakak Salah."
"Sakit apa?"
"Aku tak pasti. Tapi... Aku cuba dapatkan maklumat tentang ayah dia pula esok," ringkas Hazim membalas.
***
Herot bibirnya ke tepi buat beberapa ketika. Dahi pula berkerut seribu.
"Qil, ajarlah betul-betul," marah Salahuddin. Kekura tangan sahabatnya diketuk dengan sebatang pen.
Hairan melihat mata Aqil seakan terpaku pada sesuatu. Buku teks Biologi di atas meja langsung diabaikan remaja lelaki itu.
Lalu Salahuddin juga menoleh ke belakang. Gamaknya ada sesuatu yang lebih menarik di belakang perpustakaan berbanding ulangkaji pelajaran. Lama juga akal Salahuddin hendak membuahkan asbab kenapa dan mengapa Aqil bertingkah begini.
Beberapa rak buku berdiri gah di bahagian sana, menempatkan pelbagai jenis bahan bacaan daripada fiksyen hingga ke bukan fiksyen. Sayang sekali pelajar sekolah di sini tidak pandai menggunakan kemudahan yang ada dengan berhemah. Habis buku-buku yang tebal itu jadi tunggang langgang bagai dilanda ribut musim tengkujuh.
"Kau ni kenapa Qil... Kau nak tolong budak dekat belakang susun buku juga ke?" Hujung kening yang tidak gatal digaru Salahuddin. Kekura Aqil kembali diketuknya lagi dan lagi.
"Sakitlah," marah Aqil. Tangan segera dijauhkan daripada pen sahabatnya.
"Kau ni kenapa? Dah cucuk ubat? Pening ke?"
"Pasal ubat ni tak payahlah cakap kuat-kuat. Nanti orang lain dengar, aku juga yang malu..." gumam pengawas berbaju biru itu. Dia meniup bekas pukulan Salahuddin di tulang penumbuk.
"Ajarlah aku cepat. Kalau kau tak nak ajar... Aku adu pada kakak aku." Buku teks dipandang Salahuddin sepi. Banyak lagi rupanya yang perlu ditelaah. Padan muka, siapa suruh banyak mengelamun di dalam kelas.
"Dasar anak manja. Semua benda nak adu dekat kakak," sindir Aqil. "Hm, cepatlah."
"Kau tengok apa dekat belakang? Pengawas pusat sumber tu ke?" Senyuman Salahuddin terukir penuh makna. "Yang belakang tu?" Suara sengaja dikuatkan lagi. Matanya disapa dengan seorang gadis berbaju kurung ungu yang sedang menyusun buku-buku di rak bersama-sama pengawas perpustakaan yang lain. Iris hitam itu beralih ke Aqil kembali.
"Jangan cakap kuat-kuat..." Aqil menahan geramnya. Lantang sungguh Salahuddin mencari pasal.
"Oh, datang ke perpustakaan ni nak cuci mata rupanya. Kesian kawan aku ni, dah lama membujang. Sini aku tolong kenalkan, ya?" Baru hendak berdiri, tangan ditarik Aqil memaksa dirinya untuk duduk kembali. Tawa hampir saja meledak di situ. Mujurlah mereka sedang berada di perpustakaan sekolah, kawasan dilarang bercakap. Otot-otot muka dikeraskan agar tawanya tidak terhambur.
"Eh, kau pun single. Jangan nak menganjing aku sangat," balas Aqil. Sedap mulut saja mahu kata dia ini lelaki sunyi dan sendu. Sesendu Aqil pun, tidaklah menyedihkan mana.
"Taste aku bukan dalam kalangan budak sekolah ya Aqil. Taraf aku ni macam kak Huda tu." Salahuddin membela diri seperti kebiasaan. Dia langsung tak ingin pandang dan memberi hati pada remaja perempuan sekolahnya apatah lagi rakan sekelas. "Kau kenal tak siapa belakang tu?"
"Em, tak. Aku cuma tahu dia selalu datang ke sini selepas tamat sekolah untuk susun buku." Aqil menundukkan pandangan ke meja.
"Tu Ismahani. Selalunya orang panggil Hani. Kalau berkenan, pergilah masuk line," kata Salahuddin. Menikus pula si Aqil ini. Kekura tangan lelaki itu dikuis dengan batang pen lagi. Salahuddin sendiri tidak sedar gadis yang menjadi perbualan mereka sedang melintasi. Memandangkan kedudukan kerusinya yang membelakangi si Hani, manakan nampak lenggang lenggok gadis itu melainkan jikalau badan dikilas ke belakang.
Dada diurut perlahan. Aqil bersandar pada bahu kerusi dengan helaan nafas. "Nasib baik dia tak syak apa-apa. Kau ni... Mulut tu jangan cakap kuat sangat. Nanti dia dengar, buat malu muka aku je."
"Biarlah dia dengar pun. Biar dia tahu yang kau syok usha dia selama ni. Padan muka." Salahuddin tidak gerun sesekali malah dia seronok melihat Aqil dalam ketakutan ibarat cacing kepanasan.
"Sampai hati kau, Sal..."
"Oh..." Salahuddin menarik kerusi rapat ke dada. Sebelah kening dijongketkannya. "Yang kau tipu aku tu apa cerita? Kononnya kak Huda datang ke sini..."
"Tu je pun," gumam Aqil. Bibir dicebikkan, mata pula memencil tidak puas hati ke arah sahabatnya.
"Tengok tu, merajuk pula... Usik sikit pun nak merajuk." Salahuddin menggeleng.
Beberapa orang pelajar lelaki di luar koridor seakan sedang memerhati tingkah mereka berdua semenjak tadi menerusi bingkai tingkap. Salahuddin dan Aqil tidak sedar tentang itu.
"Cepatlah... Kau nak aku ajar yang mana?" Mood Aqil bergelora seperti perempuan datang bulan.
"Qil, maaf tau sebab susahkan. Tapi tolong ajar aku dari bab satu tingkatan empat. Otak aku ni biul sikit bab sains." Telapak dirapatkan remaja lelaki itu, sengihan ditambah lagi agar Aqil jadi lembut hati. Salahuddin cepat-cepat membuka penutup pen dengan gaya siap sedia menerima arahan.
"Hm.. Sel. Kau tahu tak sel tu apa?"
Buku teks biologi diselak pengawas sekolah itu. Matanya tidak melihat Salahuddin, agak sibuk mencari muka surat permulaan bab organisasi sel.
"Sel tu... Benda kecil..." Belakang telinga digarunya.
"Hampir betul. Kau tahu tak kalau nak buat bangunan kita perlukan batu bata? Apa jadi kalau letak simen semata-mata." Inilah soalan penghubung sel-sel otak Salahuddin. Aqil tahu yang Salahuddin ini pandai orangnya, cuma ilmu yang terkandung di dada belum lagi dihubungkan.
"Tak jadilah bangunan yang kita nak," jawab Salahuddin laju. Dia tak mahu mengecewakan 'guru import' pada petang itu.
"Ya, betul. Sama juga dengan badan kita, ada batu bata yang diperlukan. Bermula dengan sel... Kumpulan sel yang banyak akan membentuk tisu. Tisu yang banyak akan membentuk organ. Bila dah lengkap semua tu, jadilah seorang manusia yang sihat untuk beribadah kepada Allah."
"Kita ni sel je ke?"
"Tak. Kita juga ada nyawa. Nyawa ini pinjaman dari Allah. Tanpa nyawa, sel-sel dalam tubuh badan jadi tidak berguna. Faham?"
"Mantaplah... Patut markah Biologi kau bukan biasa-biasa." Terkelip-kelip Salahuddin memandang Aqil. Dia agak tidak percaya kerana Aqil dapat menerangkan pelajaran dalam konsep yang begitu mudah.
"Hadza min fadli rabbi." Aqil tersenyum kecil. "Aku pandai yang ni, boleh ajar kau. Kau pandai matematik, ajar aku ya nanti?"
***
votexkomen
***
double update! sebab terkejut hari ni dah 600 reads. Komen la juga! Hit buku ni supaya ramai support!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro