Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

12 Gaji pertama

Deruman enjin motor dimatikan.

"Kenapa kau tiba-tiba nak matching kan aku dengan Hani semalam? Bukan kau ke yang mabuk cinta dengan dia?" Tiba-tiba Salahuddin teringat satu perkara. Dia menanggalkan topi kaledar lalu menoleh ke belakang. Dua kakinya utuh menahan badan motorsikal untuk berdiri tegak sebelum menurunkan penyendal.

Lagak Aqil yang semalam agak berbeza daripada sebelum ini. Sungguh tenang tanpa angau cinta terhadap Hani. Pelik sungguh.

"Aku tak nak bercinta atau suka siapa-siapa. Perkara macam ni hanya menganggu prestasi akademik aku," kata Aqil. Topi kaledarnya dibawa ke dalam dakapan. Kedua-dua bahunya diangkat sekali tanda tidak mahu masuk campur.

"Dah tu kenapa kau nak matching kan aku dengan dia? Prestasi akademik aku macam mana?"

"Kau budak pandai, tak apa... Kalau menurun pun bagus juga, dapat aku merasa jadi top student."

Salahuddin tersenyum sahaja. Wajah Aqil yang memperlihatkan tulang rahang diperhatikan lama. "Kenapa kau nak jadi top student? Biar aku teka... Untuk banggakan mak kau yang macam singa tu?" selorohnya.

"Aku nak kejar cita-cita aku. Mak aku tak pernah kisah pun pasal aku. Sekali pun dia tak pernah ucap tahniah selama aku hidup 17 tahun atas muka bumi ni."

Dua remaja lelaki itu mengatur langkah meninggalkan pekarangan kawasan berturapkan tar. Di kaki lima, Salahuddin Ayub masih memandang Aqil.

"Kau sedih?" Tercebis rasa bersalah Salahuddin. Lengan kirinya melingkar di belakang bahu Aqil. Perbuatan itu merapatkan tubuh mereka berdua. Seorang berbaju pengawas seorang lagi berbaju putih bersih.

"Sedih. Tapi nak buat macam mana, kan?" Aqil ketawa hambar. Dia mengerdipkan mata beberapa kali untuk mengawal tubir daripada mengalir. "Sebab tu aku suka datang rumah kau... Tengok ibu kau yang baik tu. Walaupun dia suka bandingkan kau dengan arwah abang kau, at least ibu kau masih sayangkan kau."

"Aku minta maaf buat kau sedih pagi-pagi."

Sepanjang langkah mereka berdua melintasi bilik darjah, ternyata ada yang memerhati dari jauh.

Perkara itu terlebih dahulu disedari Salahuddin. Kepalanya menoleh kiri dan kanan. Matanya menular ke segenap penjuru.

"Sal, kau tengah cari apa?"

"Tak- Tak ada apa-apa." Seperti yang disangka, itu mata-mata Khaifa. Mereka berada berdekatan tangga sejak dari mula. Salahuddin berlagak biasa. "Qil, aku nak pergi tandas. Sakit perut pula. Kau geraklah ke tapak perhimpunan dulu," tipunya.

Selang beberapa blok lagi, mereka akan sampai ke tapak perhimpunan di hadapan kantin sekolah. Salahuddin meninggalkan rakannya dalam keadaan terburu-buru. Ke mana lagi hendak dituju melainkan menghadap Khaifa dan lain-lain pelajar yang dia juga tidak kenal mana.

Atas dasar 'kerja'. Dan keselamatan Aqil.

"Kau nak jumpa aku ke?" sapa Salahuddin yang semakin menghampiri kawasan bertangga di hujung bangunan blok C.

Terdapat dalam lingkungan empat orang pelajar lelaki tingkatan lima di situ.

"Pandai. Ingat ke dah buta dah," perli Khaifa.

"Ada apa?"

"Bayaran gaji kau untuk minggu ni." Sampul surat putih dihalakan benar-benar di hadapan wajah Salahuddin.

Tanpa riak, Salahuddin mengambil sampul yang agak berisi itu. Tidak pasti berapa nilai yang terkandung. Dia mula membuka beg galas hitamnya dan menyelitkan sampul berkenaan di celahan buku teks madah pada hari itu.

"Minggu ni, barang akan banyak masuk. Ready je lah tunggu maklumat sampai dan macam biasa. Tugas kau cuma bahagian kewangan. Tak lebih dari tu." Khaifa memesan awal-awal.

"Korang jual apa sebenarnya?" Soalan cepumas terbit pada bibir Salahuddin. Hingga kini dia masih tidak mengetahui produk yang dikemas kininya. Hanya sedikit maklumat diperoleh ketika bekerja jarak jauh. Khaifa pernah mengkhabarkan bahawa ini bisnes keluarga.

"Kau tak perlu tahu," bidas Khaifa. "Dan orang lain pun tak patut tahu yang kau kerja dengan aku termasuklah si Aqil."

Siang-siang Khaifa memberi amaran. Suaranya menerpa gegendang telinga Salahuddin. "Aku tak suka orang luar masuk campur urusan aku. Kau pun aku tak suka juga. Tapi sebab kau budak pandai dekat sekolah ni, sayanglah kalau tak gunakan kebolehan kau."

"Aku tak nak kerja kalau aku tak tahu bisnes apa yang aku libatkan diri. Kerja aku selesai dengan bayaran ni." Beg galas disandang pada bahu kanan. Ternyata Salahuddin tidak takut pada ancaman itu. Sanubarinya berasa tidak enak.

Khaifa sedikit terhibur. Bibir melekuk senyuman sinis. "Ah, kau kerja dengan aku pun sebab takut apa-apa jadi pada Aqil. Jadi, kau fikirlah kalau kau cabut sekarang, aku akan tarik lesen perlindungan kau dan Aqil?"

"Mengarut. Kau yang tak akan selamat dekat sekolah ni. Pengawas-pengawas boleh naikkan nama kau pada pengetua."  Setiap pasangan mata sedang menekurnya. Dia masih tenang. Gema suara mikrofon daripada tapak perhimpunan menandakan bermulanya perhimpunan pagi para pelajar. Tiada pelajar lain yang berada di blok akademik melainkan dia dan kumpulan Khaifa.

Anak kelahiran Singapura itu memandang ke arah tapak perhimpunan. Meskipun tidak kelihatan empunya suara, mereka di situ tahu itu adalah suara Aqil yang sedang menguruskan perhimpunan pelajar. "Pengawas macam Aqil tu? Dia sendiri pun sakit..."

Salahuddin menelan liur kesat. Sungguh tidak disangka rahsia Aqil ada di pengetahuan orang asing.

"Kau ingat aku tak tahu? Yang Aqil ada Diabetes Mellitus Type I. Mata aku ni tak buta dan telinga aku ni tak pekak. Kau, Salahuddin Ayub. Mungkin sihat sejahtera tapi ayah kau penghidap HIV. Aku jijik juga dengan kau... Takut-takut pembawa virus." Dada Salahuddin ditolak perlahan, cukup kuat untuk dia menapak ke belakang sekadar bertahan. Tapak tangan yang menyentuh badan Salahuddin dikesat pada sisi seluar.

"Mana kau tahu semua ni?" soal Salahuddin mendatar.

"Jadi, aku tanya sekali lagi. Kau nak kerja atau tidak?" Pertanyaan itu tidak diendahkan Khaifa.

Salahuddin sedar dia akan meletakkan dirinya dan Aqil dalam bahaya jika lari daripada Khaifa waktu itu. Namun, status bisnes ini juga masih tidak diketahui. Apa sahaja yang dia hendak jangkakan daripada samseng darat seperti Khaifa? Itulah yang merunsingkan kepalanya hingga kini.

***

Usai menghantar Aqil di hadapan pintu pagar rumah, Salahuddin kembali meningkatkan had laju motornya memecut pergi. Sepatah pun dia tak mahu berbual dengan Aqil.

Ugutan Khaifa menerawang dalam benak tidak henti.

Patutkah dia mencari tahu sendiri?

Tentang rahsia yang disembunyikan Khaifa di sebalik perniagaan misterinya.

Atau.

Kekal membisu begini.

Wang sebanyak RM3000 ada di dalam beg galasnya. Itu gaji pertama pemberian Khaifa seperti yang dijanjikan. Salahuddin tidak hairan sedikit pun kerana dialah yang mengemas kini dan mengaudit segala keluar masuk duit. Rata-rata keuntungan yang diperoleh Khaifa hasil stok yang lalu menghampiri RM50, 000.

Bisnes apa?

Itulah yang Salahuddin asyik fikirkan hingga berani untuk menarik diri.

Dalam kusutnya, dia sempat menyedari akan sebuah motorsikal yang tersadai di tepi jalan. Lalu brek ditarik perlahan. Matanya melihat wajah penunggang motorsikal yang berbaju sukan sekolah. Di sebalik tudung putih itu, terdapat wajah yang amat dikenali.

"Kenapa, Hani?" tegur Salahuddin.

Hani mengangkat kepala. Dia tidak menjawab pertanyaa sehingga dapat mengecam wajah Salahuddin di sebalik helmet. "Motor rosak."

Motorsikal model Yamaha Lagenda yang dimaksudkan Hani. Gadis itu menghembuskan nafas lega dengan ketibaan Salahuddin. Berpuluh orang yang lalu lalang, tidak ada seorang pun mahu membantunya.

"Rumah kau jauh ke?"

Hani berfikir sesaat. "Ada la juga dalam 2km lagi."

"Aku tunda kau balik je la," tawar Salahuddin Ayub.

Remaja lelaki yang masih serabut itu tidak banyak bicara. Hani juga tidak menolak dan cuba memberikan kerjasama.

Setelah gadis itu menaiki motorsikal Lagendanya, Salahuddin merapatkan jarak antara dua buah pacuan. Kaki kanan iaitu kaki dominan digunakan untuk menolak.

Perlahan-lahan motorsikal mereka mula bergerak di atas bahu jalan.  Kedua-dua motosikal dihidupkan double signal.

"Rumah kau yang mana ea? Dekat lorong mana?" tanya Salahuddin. Matanya sentiasa berwaspada pada kenderaan dari belakang.

"Nanti simpang depan, kena masuk kiri. Lepas tu straight je... Akan sampai rumah aku," jawab Hani.

"Okay."

"Kenapa kau tiba-tiba baik hati tolong aku?"

"Entah. Mungkin sebab kau beli burger dekat gerai kitorang," kata Salahuddin. Aqil teramat gembira gara-gara jualan mereka pada malam itu melebihi jangkaan. Selesai sahaja separuh masa pertama, berpusu penonton menempah burger mereka berdua. Sampaikan habis roti dan daging burger!

Salahuddin tahu. Pasti Hani yang mempromosikan kewujudan gerai mereka pada yang lain. Kelajuan motosikal dikawal supaya tak terlalu
laju dan tak terlalu perlahan sangat. Jika terlalu perlahan, agak sukar untuk tolak dan jika terlalu laju, susah pula untuk fokus.

Wajah Hani teriak bahagia.

Tak banyak yang boleh disembangkan. Mereka berdua membelah angin, maka bunyi deruan dan deruman motor salih berganti. Hani mendiamkan diri di sekelumit senyuman.

"Rumah aku yang warna kelabu tu." Mereka semakin menghampiri destinasi.

"Okay."

Setibanya di hadapan pagar rumah, Hani menapak ke atas tanah. Wajah Salahuddin dipandangnya.

"Terima kasih. Aku-"

Remaja lelaki itu memotong bicara Hani. "Gerak dulu. Aku ada hal lain."

Tiada hal lain. Hanya fikirannya sedikit kusut dan mahu cepat-cepat masa menyendiri. Dia tidak mahu bergaul dengan sesiapa pun saat itu.

Mungkinkah masalahnya akan bertambah besar jika tidak menarik diri daripada Khaifa?

***

vote x komen

****

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro