
10 Adik angkat
Lama tidak datang ke sini. Hari ini sampai jua langkah sekadar melawat niat di hati. Segulung kek pandan dibawa sebagai buah tangan. Dia berlabuh ke sofa dengan sekuntum senyuman. Sungguh dekat dengan insan kesayangan Nain. Usai bersalam dan mengucup pipi, kerinduan pada arwah bertambah di hati.
"Hari tu Ika kata Huda pitam. Kenapa? Huda sakit ke?" soal Raudhah.
"Bukan sakit, cuma penat je. Sekarang dah segar. Itu yang boleh datang rumah ibu," terang Huda.
Lega hati mendengar. Dek terdedah dengan pelbagai penyakit negara asing, Raudhah juga khuatir dengan kesihatan gadis di hadapannya. "Huda lama ke duduk Malaysia?"
"Setakat ni takde perancangan lagi nak ke luar negara. Huda akan duduk dekat Malaysia je untuk bantu pasukan Huda. Pak cik sihat?" Mata hazel Huda meliar ke kiri dan kanan. Sunyi pula rumah ini tanpa kelibat ahli keluarga lain. Dalam sepersalinan kasual begini pun kecantikannya terserlah. Tidak perlu gaya fancy bagi menonjolkan diri. Cukup sekadar sehelai selendang pastel dan blouse bermotif flora.
"Macam tu lah Huda..." Wanita setengah abad itu tersenyum nipis. Khabaran kesihatan Faizal sebenarnya kian merosot berbanding bulan lepas. "Nak kata sihat, tak sihat. Nak kata sakit tenat, mampu lagi berjalan."
"Kalau ibu perlukan apa-apa, boleh minta pada Huda juga. Huda akan bantu yang mana boleh untuk kesihatan pak cik."
"Insya Allah. Pak cik ada dalam bilik. Huda nak jumpa ke?"
"Eh, saja je nak tanya." Huda tersipu malu. Dia tidak begitu akrab dengan Faizal, barangkali kerana perbezaan jantina atau sikap dingin Faizal. Huda lebih gemar berdua dengan Raudhah. Layanan Raudhah tak ubah sama seperti arwah Iskandar, membuatkan hatinya tenang sentiasa. "Ibu, mana salah?"
"Dia ada dekat sekolah. Sekejap lagi baliklah tu. Kalau tahu Huda datang ni, mesti dia akan teruja sangat."
"Kenapa?" Kening Huda berkerut seketika.
"Sebab dia suka Huda. Hari tu pun Salah nak ikut Ika ke rumah Huda tapi Ika tak izinkan. Mulalah merajuk semalaman." Raudhah dapat membaca perasaan anak sendiri dengan mudah.
"Ada pula macam tu..." Huda tersenyum. Agak terhibur akan sifat keanak-anakan Salahuddin. Salahuddin juga adik pada Iskandar, sikapnya tidak berkepimpinan seperti anak sulung. Pertemuan kali pertama pun sudah nampak perbezaan yang dimiliki. "Huda bawa kek untuk ibu. Kek ni Huda suka sangat kalau duduk dekat rumah. Ibu makanlah nanti dengan pak cik dan Salah."
Huluran buah tangan bertukar tangan. Huda akan sentiasa teringatkan insan kesayangannya apabila menikmati suatu makanan. Senyuman terlekuk di garisan bibir.
Sempat mata bundar Raudhah menangkap sebentuk cincin pada jari manis Huda. Dia memandang wajah anak dara itu. "Huda pakai lagi cincin Nain?"
"Huda tak rasa nak tanggalkan cincin ni." Huda membiarkan tangannya diraih wanita kesayangan Iskandar.
"Pandai Huda jaga," puji Raudhah. Kekura tangan berurat hijau itu dielusnya. Huda banyak bekerja keras dalam kerjaya, ke sana ke mari. Tangan yang memakai cincin pun berubah kasar sedikit.
"Cincin ni teman Huda bila Huda sendiri di negara orang. Yang lihat Huda beri bantuan pada anak-anak Rohingnya... Yang teman Huda rawat pelarian Syria... Kebanyakan masa, cincin ni ada dengan Huda. Huda sayang sangat pemberian Nain ni... Biar pun cincin ni takde nilai di mata manusia. " Nilai sentimental pada sebentuk cincin yang tersarung elok pada jari melebihi bayaran emas dan permata. Tak siapa mengerti betapa berharganya barang itu pada seorang gadis yang memegang kesetiaan selama 15 tahun lamanya. Jasad Iskandar tiada di sisi, namun ke mana bumi dipijak pun terasa lelaki itu menemani.
Raudhah tahu cinta Huda pada Iskandar masih berpasak. "Huda, terima kasih sebab sayangkan Nain."
Gadis itu menjatuhkan kepala. "Sama-sama." Jeda. Mata hazel menekur lantai sofa. Balasan bonda Iskandar sentiasa membelai hatinya. "Ramai paksa Huda lupakan Nain. Ramai kata Huda tak move on dan lawan takdir Tuhan. Huda macam tu ke, ibu?" Sayu sahaja suaranya.
"Tak, sayang..." pujuk Raudhah. Dagu Huda ditariknya naik, mengizinkan mata mereka searas. "Move on bukan memaksa kita lupakan seseorang. Itu perbuatan yang sangat kejam sebab kita bukan robot yang boleh sesuka hati memadam memori silam. Tapi move on ni bermaksud kita menerima takdir. Kita tak persoalkan ketetapan Tuhan."
"Huda tak menerima takdir ke?" soal gadis itu. Kepala sedang diusap tangan tua, usapan yang memujuk rasa.
"Huda sedang persoalkan kenapa Nain mati?" Lembut balasan soalan Raudhah.
"Tak. Huda terima Nain pergi sebab ajal ni ketentuan Allah. Huda takde kuasa nak halang." Mata hazelnya mula berkaca-kaca memandang wajah bonda Iskandar.
"Macam tu juga dengan ibu. Ibu terima takdir Allah yang mana anak kesayangan ibu hanya dipinjamkan hingga dia berusia 17 tahun. Tapi tak pernah sekalipun ibu salahkan takdir."
"Kawan Huda kata Huda tak akur dengan takdir... Sebabnya Huda masih berharap pada arwah."
"Huda berharap pada Nain untuk dipertemukan lagi?"
Huda menggeleng perlahan. "Tak... Huda berharap pada Allah supaya kami boleh berjumpa. Tapi mereka tak faham dan terus salahkan Huda." Setitis air mata mengalir di tubir. "Dorang kata Huda gila... Sebab bercinta dengan orang yang dah mati..."
Lemah pula hati menyaksikan seorang gadis yang pernah diniatkan Iskandar buat disunting jadi begini. Wanita itu melurutkan jari Huda daripada terus mengesat air mata. Makin deras pula tangisan dengan senduan tatkala Raudhah mengusap pipinya. "Pemikiran sesetengah orang memang macam tu. Yang tak berkahwin sampai umur 30 akan dianggap hina dan tak capai standard. Yang tak ada anak, lagilah terus dicop mandul. Yang anak ramai pula dikatanya tak pandai family planning. Mulut orang ni kita tak boleh ubah. Biarkan mereka hidup dengan tomahan busuk, kita tak rugi apa-apa. Sayang, jangan menangis... Huda ada ibu, kan? Ibu tak salahkan Huda. "
"Papa paksa Huda terima lamaran kawan Huda. Hu-Huda tak nak..." katanya. Orang tua itu tidak sedar bahawa dia sedang mendera emosi anak sendiri. Desakan dan hinaan pada lelaki yang dicintai Huda tidak membaiki apa-apa. Rasa sakit bertapak di hati tidak terubat. Diingatkan hanya kawan-kawan yang suka bercakap buruk tentangnya. Namun, ibu bapa juga begitu. Itulah penyebab Huda bersedih hati.
"Berdosa ke Huda kalau Huda tak nak kahwin di dunia ni?" Huda menyoal dalam linangan air mata.
"Rabiatul Adawiyah tak bernikah dengan mana-mana lelaki tetapi dijanjikan masuk ke syurga. Perkahwinan bukan tiket untuk masuk ke syurga atau neraka, sayang"
"Tapi perkahwinan ni sunnah Nabi..." Lagi teruk jika cemuhan padanya berkait dengan sunnah Nabi. Ada yang kata Huda tak mahu ikut tuntutan dalam Islam kerana tak mahu berkahwin. Sungguh banyak tomahan orang di sekeliling atas niatnya yang mahu mengejar keredhaan Allah atas dunia tanpa memikirkan soal kahwin.
Raudhah menarik tubuh Huda ke dalam dakapan. Diusap belakang tubuh anak itu. "Berdosa ke orang yang tak pakai serban? Serban juga sunnah Nabi."
"Tak."
"Macam tu juga dengan nikah. Kalau Huda mampu berkahwin, silakan. Kalau tak mampu, biarkan sahaja. Asalkan Huda tak menafikan yang nikah tu sunnah Nabi. Jangan menangis... Huda tak salah... Huda boleh buat banyak lagi sunnah Nabi yang lain. Terlalu banyak. Huda boleh solat witir... Solat dhuha... Ikut zikir Nabi... Kan banyak tu? Sayang, jangan menangis macam ni."
"Terima kasih, ibu."
Deruman motosikal memecah suasana. Gadis itu menghapuskan segala anasir di wajah.
***
Liur bagaikan tersekat di kerongkong. Ucapan salam Aqil berlalu di angin tidak diendahkan Salahuddin. Kaki menapak ke lantai setelah kunci motor ditarik keluar. Maka, enjin motornya pun dimatikan.
Remaja lelaki itu menenyeh kedua-dua mata.
Sebuah kereta yang dinanti telah tiba. Hujung vermilion tertarik naik tidak semena-mena. Betapa hati itu melonjak teruja. Rambut disisir kemas dengan laluan celahan jemari. Muka juga ditilik agar tampak kacak seperti sedia kala. Renik peluh tengah hari itu dikesatnya dengan sapu tangan daripada poket seluar.
"Assalamualaikum." Salahuddin memberikan salam sambil menanggalkan kasut sekolah di muka pintu utama. Dari sudut itu, matanya disapa dengan wajah bonda dan tetamu yang sedang duduk bersebelahan di atas sofa.
"Waalaikumsalam," balas Raudhah.
"Eh, kak Huda dah lama sampai?" Salahuddin pura-pura kehairanan. Kakinya melangkah lebih dekat ke dalam atmosfera.
Mata hazel milik gadis 30-an itu bertaut dengan seraut wajah. Makin dipandang, makin pula menyerupai lelaki yang dicintainya.
Salahuddin sedar dia sedang ditatap Huda lalu menurunkan beg sekolah ke sofa. Kekura tangan ibunya disalam seperti kebiasaan.
"Kak Huda sihat?" soal remaja lelaki itu.
Huda menggeleng perlahan. Dia tak sepatutnya memerhatikan seorang remaja 17 tahun dengan pandangan sedemikian. "Sihat, alhamdulillah."
Kali ini Salahuddin benar-benar kehairanan. Waktu pertama kali berjumpa, Huda tidaklah sebegini dengannya. Rasa mahu duduk lama-lama pula di sofa dan merungkai asbab di sebalik hal itu.
"Salah, tukar baju dulu. Nanti kita makan sama-sama," ujar Raudhah. Tali leher sekolah anak lelaki itu ditanggalkan. Tangan tunya tidak ditepis Salahuddin pada hari ini. Mungkin hati si bongsu semakin terpujuk setelah seminggu berlalu. Berkat kesabaran Raudhah, api dalam diri Salahuddin akan terpadam jua.
"Bukan ke ibu dah makan dengan ayah?" Salahuddin beralih kepada ibunya. Amukan tempoh hari tidak diingati dek leka akan kehadiran tetamu rumah.
"Ibu dah makan dengan ayah tadi. Tapi ibu nak teman adik makan pula." Kesalahan dalam layanan cuba dibaiki wanita bergelar ibu itu.
"Oh." Salahuddin mengetap dua ulas bibirnya. "Jomlah makan sekali, kak Huda. Akak tak balas pun mesej saya sebelum ni..."
"Mana awak dapat nombor akak?" Huda tahu Salahuddinlah yang asyik menghantar mesej kepadanya. Anak mata tidak akan memandang tepat ke wajah itu lagi, nanti bayangan Iskandar akan muncul. Huda tak mahu dia diperingatkan tentang pengarang jantungnya dengan cara begini.
"Ambil dari telefon Kak Ika." Terus Salahuddin tersengih.
"Akak sibuk. Jadi sempat baca je." Huda tersenyum kecil.
"Sekarang tak sibuk dah?" Lagi berminat dia mahu mengorek peluang keemasan.
"Sekarang ni minggu cuti."
"Nanti akak datanglah gerai burger saya."
"Burger?" Kening gadis 30an itu berkerut.
"Salah baru je nak buka gerai burger dekat tepi gelanggang futsal. Sederet dengan kedai makan. Tapi... Entahlah jadi ke tidak. Mulut je cakap nak buka gerai, tapi ibu tengok Aqil yang paling bersungguh," sindir Raudhah.
Mata hitam Salahuddin membulat. Bibir bawahnya digigit. "Ibu... Jangan cakap macam tu dekat kak Huda," bisik remaja itu. Dia benar-benar takut 'nilai saham'nya jatuh.
Tawaan halus Huda kedengaran. Terhibur dengan sikap hingusan Salahuddin. Mungkin muka dia seiras dengan Iskandar Dzulkarnain, namun Huda dapat membezakan jurang antara adik dan abang. "Nanti akak datang, ya? Kalau dah beroperasi gerai itu, beritahu akak. Insya Allah akak akan promote pada kawan-kawan akak."
"Baiklah Kak Huda ni. Saya jadi adik angkat akak boleh tak?" Tanpa segan silu, Salahuddin menyatakan hasrat. Jalan yang diambil bagaikan telah disuluh lampu.
"Adik angkat?" Huda tidak mengerti. "Apa tu?"
"Macam... Bukan kawan tapi adik. Macam saya jadi adik Kak Ika." Pelipis yang tidak gatal digaru Salahuddin. Dia harus menerangkan dengan cara yang bijak, barulah Huda akan terpegun dan kagum. "Bila ada adik angkat, nanti--"
"Tak apalah. Macam ni pun dah okay dah." Huda menolak dengan baik. "Ibu, biar Huda tolong susun pinggan. Kita boleh makan tengah hari sama-sama."
Terkilan juga Salahuddin dibuatnya. Deringan telefon kedengaran dari kabinet televisyen. Langkah dipanjangkan ke arah telefon pintarnya yang terbaring di situ. Bateri telefon penuh hingga ke bar yang terakhir dek dicas semenjak pagi sebelum ke sekolah.
Salahuddin terpaksa memencilkan diri ke dalam kamar buat mengangkat panggilan itu.
"600 karton baru masuk stok."
***
votexkomen
***
Tahu dekat Fahim ni, habislah Salah. Kalau Faizal tahu, lagilah. Makan penampar je nanti :)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro