Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

Hisham dengan muka yang kurang tidur dan keletihan muncul di hadapan pintu rumah sewa Sofi Aidura. Dia tahu dia sudah terlalu lewat untuk mempelawa Sofi Aidura makan tengah hari.

Jam pun sudah menunjukkan ke pukul tiga petang tetapi Hisham tahu, kejutan begini mampu menyejukkan hati gadis yang kuat merajuk itu.

"Errr... Dura pulang ke Tasik Kesuma. Mak dia telefon tadi..." beritahu Suraya yang tergagap kerana terkejut Hisham tiba-tiba muncul.

"Balik Semenyih? Ada apa?"

Hisham agak hairan. Dia sendiri maklum cuti panjang gadis itu tidak lama lagi. Kenapa tiba-tiba pulang ke rumah?

"Entah, kami pun tak tahu. Tapi mak dia memang kata ada hal penting tadi," sampuk Nora yang juga berderau darah.

Selepas Sofi Aidura pergi tadi, dia dan Suraya sudah mula memanjangkan gosip. Ramalan mereka, Hisham yang masuk meminang.

Huh, tiba-tiba Hisham terpacul di muka pintu. Habis tu siapalah pula yang datang bawa tepak sirih di rumah Sofi Aidura?

"Tak apalah... Abang Sham telefon dialah nanti."

Hisham dengan nada hampa minta izin untuk pergi. Menyesal pula hatinya kerana tidak menelefon Sofi Aidura terlebih dahulu.

Kalaulah dia tahu Sofi Aidura mahu pulang ke Semenyih, dia sanggup menghantar dan menjemput gadis itu.

"Eh, tak payah telefon dia! Dura memang pesan dia tak mahu diganggu. Dia kata dia nak ke hospital. Datuk dia masuk wad," pantas Nora mencelah. Dia tahu dalam waktu kritikal begini, dia sebagai sahabat Sofi Aidura perlu cover line untuk temannya itu.

Kalaulah Hisham tahu ada manusia lain yang sudah mengusung keluarga meminang Sofi Aidura, tentu berkecai persahabatan mereka yang panjang itu.

"Datuk? Bukan ke Dura dah tak ada datuk? Dua-dua datuk Dura tu dah jadi arwah?"

Hisham memandang dengan wajah yang berkerut. Dia cuba mengingat semula.

Sepanjang mengenali Sofi Aidura, apa yang dia tahu datuk gadis itu sudah pulang ke rahmatullah.

"Bukan datuk betul, tapi datuk saudara dia. Datuk sebelah ayahnya."

Panjang sungguh akal Suraya yang terpaksa backup Nora pula.

Huh, tersalah ayat pula Nora!

"Hmmm, tak apalah... Nanti abang cuba telefon dia jugak."

Hisham memang tidak puas hati. Sudah tiga hari dia tidak keluar makan bersama gadis buah hatinya itu. Hambatan kerja di pejabat mengekang masa untuk dia bersama Sofi Aidura.

"Abang Sham telefonlah dia sebelah malam. Entah-entah dia balik KL malam ni. Dia kata dia balik sekejap aje. Lagipun ada assignment dia yang nak kena submit esok."

Bersungguh-sungguh Nora membantu Sofi Aidura. Dia tahu hubungan Sofi Aidura dengan Hisham amat istimewa. Biarpun Sofi Aidura tidak pernah mahu mengakuinya, semua rakan Sofi Aidura dapat merasainya.

"Okeylah... Terima kasihlah sebab beritahu. Dura tu marah pada Abang Sham agaknya sebab tak sempat call dia." Spontan Hisham mengeluh dan memberitahu.

"Tak apa... Dia okey aje kami tengok. Abang Sham cuba telefon dia sebelah malam." Suraya macam biasa, memang bijak menyambung skrip.

Hilang kelibat Hisham di luar pangsapuri itu, Nora dan Suraya menarik nafas panjang.

"Fuhhh, mujur kau terror bab nak kelentong orang ni. Kalaulah Hisham tu tahu ada mamat lain masuk meminang Si Dura, mahu terjun dari KLCC aku rasa Si Hisham tu!" ujar Suraya yang menggeleng beberapa kali.

"Hei, kalau bukan Hisham yang punya rombongan, siapa pulak yang datang nak merisik kawan kita tu?" Nora mula menyambung gosip mereka.

"Entahlah. Susah nak agak. Aku pun ingat Si Hisham, rupa-rupanya salah tekaan kita."

Suraya sendiri tidak mampu membuat andaian. Teman-teman Sofi Aidura memang ramai. Entah kenapa, gadis itu cukup popular dalam kalangan lelaki.

Gelak manja dan keramahan Sofi Aidura memang sering membuat lelaki yang mahu mengenalinya akan mudah cair hati.

Tidak hairan kalau sahabat lelaki yang mesra dengan Sofi Aidura disenarai pendekkan tetapi menjadi satu senarai yang amat panjang.

Nora dan Suraya memang tidak sabar untuk mengetahui apa yang berlaku pada Sofi Aidura. Gatal sahaja tangan mereka menelefon Sofi Aidura tetapi panggilan itu tidak berjawab.

"Eh, kenapa aku pulak yang berdebar, ya?" ujar Nora sambil menghirup Milo panas.

"Entah, aku pun rasa saspens. Macam aku pulak yang kena pinang," sahut Suraya sebelum mereka sama-sama tergelak besar.

"Habislah Dura. Hmmm... Itulah balanya bila layan lelaki beria-ia sangat. Orang bersungguh-sungguh, dia selalu main-main," sambung Nora lagi sebelum sekeping biskut lemak yang sudah lembik dicecah Milo hilang dalam mulutnya.

"Lepas ni kalau dia tak serik, tak tahulah aku!"

Suraya menggeleng namun hati tetap digaru dengan perasaan ingin tahu. Siapalah jejaka malang yang mahu memikat Sofi Aidura.

Cincin bertatah berlian yang diikat dengan emas putih, mengerdip indah di dalam bekas kecil baldu.

Sofi Aidura memandang dengan rasa jengkel. Kalau diturutkan hati, mahu sahaja dia membalingnya ke dalam lubang tandas.

WhatsApp daripada Nora dan Suraya sudah lebih tiga kali memberi isyarat. Sofi Aidura mengeluh panjang. Dia tahu dua rakan serumahnya itu sama kecoh mahu tahu apa yang terjadi. Sengaja dia membiarkan telefon itu menjerit tanpa dilayan.

"Kenapa mamat tu? Bagi cincin berlian ni kenapa? Dia hilang akal apa?" cebik Sofi Aidura sewaktu Puan Anum masuk ke bilik untuk menyerahkan kotak kecil itu.

"Orang tu cuma hantar cincin bertanya..."

"Ah, mengada-ada! Kalau setakat nak bertanya, tanyalah sendiri... Macam tak ada mulut! Rumah sewa pun dekat. Selama ni pandai cari telefon kacau orang siang malam, ini tak reti pulak!" rengus Sofi Aidura yang memang benci benar kalau nama Farhan disebut.

"Eh, bukan ke Dura yang selama ni melayan dia? Boleh sampai tertidur waktu bergayut telefon. Lagipun dia datang cara beradat, takkan mak nak halau pulak?"

"Esok mak telefon dia... Pulangkan balik cincin tu!" Sofi Aidura tetap tidak berganjak dengan hatinya yang keras.

Puan Anum tergamam dan memandang Sofi Aidura dengan mata yang terbeliak. Sofi Aidura selamba, pura-pura tidak perasan ibunya yang sudah merah muka.

"Mak mintak tempoh seminggu... Nanti apa kata dia orang? Belum sehari kau dah beri kata putus..." jerkah Puan Anum. Suaranya semakin cemas.

Dia tahu benar kerenah Sofi Aidura. Keras kepalanya memang sukar diubah.

"Lantak dia oranglah nak kata apa pun! Siapa suruh gatal sangat hantar cincin tak berbincang dengan Dura?"

Gadis yang berambut hitam perang itu seperti tidak boleh bertolak ansur.

"Kalau kau tak suka, kenapa layan macam dia tu kekasih kau dunia akhirat?"

Puan Anum mula naik angin. Memang terbakar sungguh dia melihat kerenah Sofi Aidura.

"Siapa kata dia tu kekasih dunia akhirat Dura? Eee... Alergilah, mak! Dura ada ramai lagi stok kawan, bukan dia sorang aje. Si Farhan ni saja yang perasan terlebih." Selamba Sofi Aidura memberi alasan.

Memang tidak ada sebesar kuman pun rasa cinta atau sayangnya pada Farhan. Dia menganggap Farhan yang ramah itu tidak lebih sebagai seorang kenalan dan jiran terdekat.

"Inilah masalahnya! Sudah-sudahlah tu simpan boyfriend keliling pinggang! Awak tu perempuan."

Panas hati Puan Anum dengan jawapan Sofi Aidura. Dia memang faham benar gaya lincah anaknya itu yang suka menghadiahkan lelaki dengan senyum manja.

Nafas Puan Anum naik turun menahan sabar. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Direnungnya wajah Sofi Aidura seperti singa lapar mahu menerkam mangsa.

Sofi Aidura leka melipat baju masuk ke dalam beg. Kemarahan ibunya bagai tidak berbekas dalam hati.

"Ni kemas-kemas nak ke mana?"

"Balik KLlah..." jawab Sofi Aidura.

"Budak bertuah! Kita pulak nak pecah kepala fikirkan masalah dia," gerutu Puan Anum.

"Bukan Dura yang cari masalah. Kalau mak nak leter, patutnya mak telefon Farhan tu, leter dan beri ceramah pada dia tu... Cakap dengan dia, lain kali jangan main terjah aje!"

Belum sempat Puan Anum berkata panjang, Sofi Aidura sudah memotong.

Ikutkan hati yang panas, mahu sahaja mulut celopar Sofi Aidura dicili-cilikannya. Tidak mahu pertengkaran menjadi lebih panjang, Puan Anum segera meninggalkan anak gadisnya itu sendirian di dalam bilik.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro