Bab 8
Tengah hari itu juga setelah bersiap lebih kurang, Sofi Aidura memecut menuju ke Semenyih. Berdebar hatinya apabila melihat ada dua buah kereta di hadapan rumahnya.
Kereta Toyota Vios yang berwarna hitam itu macam menggamit hatinya.
Macam pernah nampak, tapi kat mana ya?
Sebuah lagi Honda CR-V dengan nombor plat pendaftaran Johor.
Malu untuk melintasi ruang tamu, Sofi Aidura segera mengayun menuju laluan belakang rumahnya. Masuk sahaja ke dapur rumahnya, riuh mulut ibu saudaranya, Bibik Jarah menyambut kepulangannya.
"Hah, orang jauh dah sampai..."
Puan Anum kemudian menjengah. Di tangannya ada loyang kuih seri muka.
"Nah, potong kuih ni!"
"Eh, balik aje dah dapat kerja?" sahut Sofi Aidura yang masih berdebar-debar. Sambil menghidangkan kuih yang dipotong, dia cuba mengintai-intai di hadapan.
Hmmm, hampa... Tak nampak pun kelibat tetamu yang dikenali.
"Bibik, siapa datang tu?"
"Kamu tak tahu ke?"
Sofi Aidura geleng.
"Kawan kamu..." jawab Bibik Jarah sambil tersenyum-senyum simpul.
"Siapa?" Sofi Aidura semakin berdebar.
"Mak tak cakap?"
Gelengan semakin panjang.
"Bukan ke kawan kamu nak masuk meminang kamu..."
"Siapa?"
Kali ini Sofi Aidura semakin cuak. Kalau tidak dikuatkan hati, mahu sahaja terlepas pisau di tangan.
Huh, kawan? Kawan aku ramai! Kawan yang mana satu ni? Kawan lama ke, kawan baru ke atau kawan aku stok untuk lepaskan bosan? Kalau kawan sesama mengeteh memang ramai!
Eh, takkan geng lepak kedai mamak nak masuk meminang? Semua itu masih bergelar studen. Tak ada hasil pun lagi nak melamar anak dara orang. Siapalah pulak ni?
Sofi Aidura berdebar bukan kepalang. Fikirannya terlintas pada Hisham. Tak mungkin Hisham. Mamat tu tengah sibuk dengan projek baru.
Alamak, lecehlah! Sofi Aidura semakin curiga. Ikutkan hatinya, mahu sahaja dia meredah ke ruang tamu dan menyuruh tetamu emaknya itu pulang sahaja ke rumah!
"Mak tak bincang pun?"
Sofi Aidura semakin angin. Kepala terasa berat dan mata mulai berpinar-pinar.
"Ni nak ajak kamu berbincanglah! Tu yang paksa kamu balik," sampuk Puan Anum tiba-tiba yang muncul sambil menatang dulang nasi.
"Apa ni, mak? Ingat ni zaman enam puluhan ke, paksa-paksa orang pulak!" rengus Sofi Aidura yang semakin terbuku hatinya.
Ikutkan perasaan, mahu sahaja dia angkat kaki dan meninggalkan rumah pulang terus ke Kuala Lumpur.
Puan Anum tiba-tiba menarik nafas panjang. Dia turut merasa bersalah sebenarnya.
"Dura bukan ke belajar lagi... Ijazah pun belum dapat, kenapa mak dah bukak cerita nak kahwin ni?"
Macam mahu menitis air mata Sofi Aidura minta simpati.
"Kamu tu ramai sangat boyfriend! Mak susah hati fikirkan hal kamu. Sekejap dengan budak ini, sekejap dengan budak itu..."
"Alah, Dura berkawan aje. Bukan ada apa-apa pun." Pantas Dura membantah.
Kalau tidak disabarkan hatinya, pada detik itu juga dia mahu capai kunci kereta dan memecut laju pulang ke Kuala Lumpur.
"Mak dah kata... Nak datang tanya kamu dulu. Tapi orang tu kata kamu selalu elak bila dia nak tanya kamu."
Puan Anum berterus terang. Memang dia pun turut risau kalau-kalau Sofi Aidura menolak tanpa berfikir. Bukan ke itu hanya mengaibkan orang!
"Yalah... Siapa orangnya?"
"Farhan, jiran belakang rumah kamu tu..."
"Farhan?"
Sofi Aidura semakin terasa mahu rebah. Nafasnya kencang naik turun. Kepalanya terasa mahu pecah.
"Alah, budak yang jadi jurutera kat kilang Panasonic tu!"
"Ya Allah..."
Sofi Aidura semakin keliru. Hatinya mulai menyumpah-nyumpah.
Kau gila agaknya, Farhan!
Kalau tidak dikenangkan tetamu perlu dihormati, mahu sahaja dia bercekak pinggang ke ruang tamu.
Kalaulah Farhan ada sekali dalam rombongan itu, dia tidak peduli... Akan dihambatnya dengan batang penyapu.
Hati terasa kosong tiba-tiba. Wajah Hisham terbayang di ruang mata. Patutnya bukan kau, Farhan... Patutnya Hisham! Bukan Farhan! Hisham yang patut datang!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro