Bab 7
Hujung minggu itu semua ada di rumah. Sofi Aidura masih melingkar lagi di katil. Di sisinya komputer riba sudah panas gara-gara 24 jam menghadap Riverdale di Netflix.
Niat hatinya semalam mahu berjaga sampai subuh. Sambil-sambil menaip menyiapkan kerja yang belum selesai, dia mahu menghabiskan masa menonton kesemua siri itu. Belum pun separuh jalan, matanya sudah kuyu.
Nora sedang sibuk memunggah segala barang-barang dari beg galasnya. Pulang bercuti ke kampung cuma empat hari, tetapi bila kembali ke Kuala Lumpur, beg kecilnya itu boleh beranak dua.
Dua balang tempoyak, seikat petai, satu plastik kecil cili padi semuanya menjadi buah tangan dari Bentong, Pahang.
"Hei, kata tadi nak tengok Riverdale?" Nora pantas menggerakkan kawannya yang sudah terlentok sambil memeluk bantal Garfield yang sudah kepam.
"Hoi, bangunlah... Kalau tak, baik tutup aje komputer tu!" jerkah Nora lagi.
Suraya yang ada di penjuru rumah sewa itu menjeling ke arah dua sahabatnya. Dia yang sedang tekun menyiapkan kertas kerja untuk kuliah Asia Tenggara, jadi terganggu.
"Huh, malas betul anak dara ni tau! Hari dah tinggi masih nak membuta!" Terjuih bibir Suraya memandang Sofi Aidura.
"Kacaulah!"
Sofi Aidura memang kuat tidur dibandingkan dua sahabatnya yang lain, menggeliat malas.
"Kenapa macam ayam sakit aje ni?" tanya Nora yang menyedari Sofi Aidura tiada mood.
Sejak dari pagi muka gadis berambut pendek itu masam seperti jeruk terlebih cuka.
"Eh, bukan ke kau ada date dengan Hisham? Kau kata nak ajak dia pergi servis laptop kau?"
Suraya mengingatkan. Sebagai teman serumah, dia memang cukup hafal rutin hujung minggu Sofi Aidura.
"Huh, menyampahlah!" balas Sofi Aidura sambil berlunjur menghadap televisyen.
"Kenapa? Kau gaduh, ya?" Nora cuba membuat spekulasi.
"Tak gaduh. Tapi mamat tu biasalah! Kalau dah kerja, memanjang aje nak kejar deadline! Bosanlah!"
Sahut Sofi Aidura yang memang rimas untuk berkurung di rumah pada hujung minggu jikalau tiada tugasan yang perlu diselesaikan. Gadis yang masih berkuliah dan mengambil bidang Psikologi itu memang tidak betah duduk diam di rumah.
Sofi Aidura mencapai telefon bimbitnya. Ada WhatsApp yang masih belum dibaca.
Pantas jari-jemari gadis itu menelefon Farhan. Jejaka jurutera di belakang rumahnya itu antara koleksi terbarunya.
Sofi Aidura cuba mendail sebanyak tiga kali. Semua panggilannya terus ke peti simpanan suara.
Huh, mana mamat ni pergi pulak?
Sofi Aidura merungut-rungut dalam hati. Hisham sibuk, Farhan pulak tak jawab panggilan. Telefon ditolak ke tepi. Hatinya yang sebal itu dipujuk dengan menonton Netflix.
Tidak sampai setengah jam, telefon bimbitnya berbunyi nyaring dengan nada bayi menangis. Ada WhatsApp baru masuk! Sofi Aidura kemudian tersenyum-senyum sendiri.
"Hah, adalah tu... Mesti ada latest collection..."
Suraya seperti dapat mengagak apa yang ada dalam fikiran Sofi Aidura.
"Alah, Zamri ajak keluar makan mihun sup dekat Bangsar. Nak tak? Jomlah ikut... Lepas maghrib nanti."
Pantas sahaja Sofi Aidura mengumpan teman-temannya. Suraya sudah terbeliak anak mata. Nora pula terlopong dalam lima saat.
"Kau ni memang bertuah betullah! Mujurlah Si Hisham tu lurus bendul. Percaya kau bulat-bulat. Kalaulah ditakdirkan dia tahu segala kegiatan luar bilik darjah yang kau buat ni... Nahas kau!" sergah Nora yang kadangkala tidak setuju dengan telatah Sofi Aidura tetapi dalam masa yang sama tidak mampu menolak kalau diajak menjadi escort kepada Sofi Aidura untuk keluar makan-makan dengan mana-mana peminatnya.
"Alah, aku bukan buat apa pun! Hei, pegang-pegang tangan pun tak main tau! Kita bersih suci murni! Setakat keluar makan! Bukan dosa pun, kan..." Ada sahaja alasan Sofi Aidura.
"Banyaklah kau punya tak berdosa! Esok lusa kalau Hisham terserempak dengan kau, macam mana?"
Suraya memang tidak mampu menghitung berapa ramai sebenarnya kekasih gelap Sofi Aidura. Ramai yang mengendeng cinta gadis itu. Semuanya dilayan tetapi entah mengapa dalam ramai-ramai itu Sofi Aidura tetap kekal dengan Hisham.
Kalau ditanya siapa Hisham dalam hati Sofi Aidura, gadis itu tidak pernah mahu mengaku Hisham itu kekasihnya.
"Berkawan bertahun-tahun, tapi tak mahu mengaku boyfriend. Lepas tu bila orang tu sibuk, kau merajuk. Ada aje akal kau nak keluar dengan spare parts yang lain."
Berkali-kali Suraya menyindir begitu tetapi tidak sekelumit pun berbekas dalam hati Sofi Aidura.
"Alah, sebelum kita terluka, lebih baik kita lukakan orang. Sebelum kita menangis, meraung kena tinggal atau si dia curang, lebih baik kita tengok dia menangis berguling-guling." Mudah sahaja jawapan Sofi Aidura.
Nora dan Suraya memang tidak larat untuk berhujah dengan gadis itu. Pantas sahaja akalnya membalas hujah.
Pun begitu, semua yang akrab dengan Sofi Aidura faham gadis itu amat terluka sebenarnya sejak kehilangan Jamal, rakan sekolah yang menjadi seniornya di kampus.
Jamal yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya menyebabkan Sofi Aidura nanar menanggung perasaan. Kehadiran Hisham, rakan baik Jamal tidak mampu mengikis kenangan silam Sofi Aidura terhadap Jamal.
"Hei, boleh tak kau orang temankan aku ni? Sedap tau mihun sup tu... Sama rasanya macam mihun sup di Tengkera, Melaka yang kau orang suka sangat tu..." Sofi Aidura masih tidak mengalah untuk memujuk.
Telefon di ruang tamu menjerit memecah keheningan suasana. Suraya yang duduk berhampiran telefon pantas mencapai.
"Sofi Aidura? Kejap, ya..." Suraya dengan muka yang penuh berpupur garam hitam menyerahkan telefon kepada kawan serumahnya itu.
"Hah, mak... Kenapa, mak? Em, tidur lagi..." jawab Sofi Aidura tanpa malu-malu.
"Tidur? Hei, matahari dah tinggi segalah kau tak bangun lagi!" jerkah emak di hujung telefon.
Sofi Aidura terkedu namun terpaksa menahan telinga dengan leteran Puan Anum.
"Alah, bukan ada laki pun nak kena masak tengah hari." Pantas Sofi Aidura menjawab.
"Hah, ini mak nak bagikan laki! Biar berubah sikit perangai tu!"
Puan Anum sudah menjerit di hujung talian. Berderau darah Sofi Aidura mendengarnya.
"Alah, Dura gurau aje! Hujung minggu nak buat apa bangun pagi, mak? Rugi kalau tak bergolek tidur."
Sofi Aidura gelak-gelak manja. Puan Anum masih lagi merungut dan memaksa anaknya pulang ke rumah.
"Balik rumah? Bila? Sekarang? Kenapa?"
Sofi Aidura terkejut mendengar arahan yang tiba-tiba daripada emak. Mata yang tadi mamai-mamai mahu melayan tidur lagi, terus terbeliak besar.
"Nak balik macam mana? Mak bagi notis singkat sangatlah." Sofi Aidura memang bijak mencari alasan.
"Nak balik tak tahu jalan ke rumah ke? Eh, kereta Myvi tu nanti mak tarik balik, ya..."
Puan Anum lebih cekap. Dengan segera Sofi Aidura bersetuju untuk pulang dalam tempoh sejam. Dia tahu, dia tiada alasan sebenarnya. Kemudahan berkereta sudah disediakan keluarga.
Rumah emaknya bukan jauh mana. Bandar Tasik Kesuma jikalau dari Kuala Lumpur hanya memerlukan masa kurang sejam memandu.
"Tapi ada apa, mak? Asal tiba-tiba nak kena balik? Tak lama lagi memang dah cuti panjang, Dura baliklah." Sofi Aidura cuba bertarik tali dengan Puan Anum.
"Hah? Apa dia?"
Suara Sofi Aidura tiba-tiba separuh menjerit. Mukanya terus berubah merah padam. Nora dan Suraya yang awalnya tidak ambil peduli, terus menoleh ke arah Sofi Aidura.
"Siapa?"
"Hah? Dia datang rumah? Nak buat apa? Mana dia tahu rumah Dura?" jerit Sofi Aidura yang hampir terlompat mendengar khabar di hujung telefon.
Nora dan Suraya semakin mencapangkan telinga mencuri dengar perbualan Sofi Aidura.
Gadis itu yang tadinya berbaring sambil berbual di telefon sudah bangkit dan duduk bersila. Tangan kanannya memegang gagang telefon, tangan kirinya menggaru kepala dengan rambut yang kusut. Muka berminyak Sofi Aidura yang baru bangun tidur itu kelihatan kelat.
"Alah, penatlah nak balik tiba-tiba ni... Dia tu kenapa? Hilang akal agaknya, mak!" rungut Sofi Aidura dengan nada yang sinis.
Suraya dan Nora yang memasang telinga semakin berkerut dahi.
"Mak kata balik... Kau mesti balik! Jangan nak beri alasan. Kalau payah sangat, banyak benar alasan kau, buang duit minyaklah, buang duit tol, hah biar kami ke rumah kau!"
Semakin terloncat Sofi Aidura apabila Puan Anum memberi amaran.
Alamak, kenapalah mamat yang satu itu rosakkan hujung minggu aku? gerutu hati Sofi Aidura. Tubuh terasa menggeletar mendengar amaran emak.
"Ah, tak apa, biar Dura bertolak lepas ni... Tak apa, mak tak payah datang!"
Sofi Aidura terpaksa beralah. Dia tahu kalau emak dan abahnya muncul di depan pintu rumah, keadaan akan menjadi bertambah kecoh.
Puan Anum sudah tersenyum meleret apabila Sofi Aidura mahu bertolak ansur. Termakan juga Sofi Aidura dengan gertakannya tadi. Letak sahaja telefon, semakin terjongket muncung Sofi Aidura. Membebel-bebel dirinya sendirian.
"Kenapa?" Serentak Nora dan Suraya bertanya.
"Ada orang datang rumah."
"Hah, apa kena-mengena dengan kau?" tanya Suraya.
"Entah mak aku perintah suruh balik sekarang jugak."
"Oh, ada orang datang merisiklah tu..." Pantas Nora dapat menangkap maksud kata-kata temannya itu.
"Takkan Hisham tak beritahu kau?" tanya Suraya.
"Hei, apa hal pulak kena-mengena dengan Hisham ni? Mak aku sendiri tak cakap siapa yang datang tu..." ujar Sofi Aidura dengan hati yang mulai sarat dengan syak wasangka.
"Jeng! Jeng! Jeng... Entah-entah kita dapat makan nasi minyak sebelum kenduri doa selamat konvokesyen kita," usik Nora.
Sofi Aidura menjeling tajam.
"Mulut jangan cabul ya!"
"Hish, apa pulak? Amin patutnya! Kami doakan benda yang baik," sahut Suraya yang masih tidak lenguh jari menaip di hadapan komputer ribanya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro