Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

"Hei, kau ni kenapa? Demam ke meroyan?" Sofi Aidura yang geram membaling bungkusan kerepeknya ke muka Nora. Pantas Nora mengelak sambil tertawa besar.

"Aku tolong sebut senarai kau... Manalah tahu kau pun terlupa ke, tersilap nama ke... Maklumlah, boyfriend ramai sangat!"

Terkekeh-kekeh Nora dengan Suraya menyakat Sofi Aidura. Gadis yang berdahi suak dengan rambut pendek gaya Lady Diana itu terherot muka menahan geram.

"Kita ni gelak, gelak jugak... Tapi aku serius ni... Takut nanti jadi yang bukan-bukan. Orang keliling ni memang dah asyik halakan teropong, radar dengan segala teleskop ke rumah kita ni... Semuanya perhatikan kau!"

Nora mulai serius. Suraya mengangguk tanda setuju. Sekali lagi kedua-dua kening Sofi Aidura terangkat.

"Kau sebenarnya dengan Hisham tu dah macam belangkas. Hisham dah kerja, aku rasa daripada kau ke hulu ke hilir berdua dengan dia, malam keluar sampai berembun, hujan ribut pun kalau dia cuti dia redah ke mari, baik kau nikah aje. Tak rugi apa pun bernikah muda... Jauh dari maksiat, duduk-duduk genggam tangan suami pun nanti dapat pahala..."

Wajah Suraya mulai serius. Sofi Aidura tahu temannya itu bukan bergurau lagi.

"Cabut uban suami pun nanti boleh tambah saham di akhirat. Tu belum kira mandi sama-sama..." Cekap sungguh Nora menyampuk bila tiba bab nikah kahwin.

"Hesy, itu cerita berat tu..."

"Apa yang beratnya? Habis tu berkepit dua puluh empat jam tak berat? Hoi, esok lusa kat akhirat tu entah berapa tan dosa kau kena pikul! Tak berat kau kata!" Suraya sudah mula berkhutbah.

"Habis tu, orang muda tak boleh kahwin? Oh, kalau suruh bernikah, cerita berat... Kalau berdating, pandai pulak buat yang ringan-ringan..."

Pangkah Nora yang nampak gaya sudah sepakat dengan Suraya.

"Hei, aku tak macam tu, ya! Abang Hisham pun tak pernah buat benda mengarut tu semua!"

Sanggah Sofi Aidura geram. Panas hatinya seketika dituduh yang bukan-bukan.

"Dengan kami bolehlah kau cakap macam tu... Kami percaya sebab memang tahu Hisham tu budak baik. Tapi kau kena ingat, dia tu handsome! Muka ala-ala Arab. Kulit putih merah, kalau nak dibandingkan dengan kulit kau yang nak kata putih tidak, nak kata kelabu asap pun tidak! Kau lambat, bila-bila orang boleh rembat," bebel Suraya lagi yang memang geram dengan ketangkasan Sofi Aidura berdalih. Diberi sebaris nasihat, sepuluh perenggan Sofi Aidura boleh menjawab.

"Alah, tak adalah handsome mana! Secret admirer dia tak boleh lawan senarai yang aku ada!"

Sofi Aidura tetap tidak mahu mengaku kalah.

"Budak ini nak kena hempuk dengan aku agaknya! Kau faham tak... Orang keliling apartmen ni dah bertanya, merisik-risik pasal kau! Memang dah ramai pak cik-pak cik lebai kat sini dah aimed kau. Jangan sampai kena tangkap basah! Tak mengaku aku kawan kau!"

Terasa bagai mahu runtuh langit di atas kepala. Sofi Aidura menelan air liur. Tetapi tekak terasa kesat dan berpasir. Matanya terkelip-kelip minta simpati teman.

"Hah, kalau macam tu... Apa kata kau orang pun kahwin sama?"

Spontan kata-kata itu terpacul dari bibir Sofi Aidura. Itu sahaja modalnya untuk mengelak.

"Kepala lutut kau! Kami ni mana ada boyfriend..."

Serentak dua sahabat itu melangsingkan suara.

Suasana hening seketika. Sofi Aidura tiba-tiba menggaru kepala yang tidak gatal.

Berkahwin? Memang dia sudah berkawan dengan Hisham sejak jejaka itu berada di peringkat matrikulasi lagi. Dia sendiri waktu itu masih hingusan. Baru tingkatan dua tetapi sudah pandai bermain cinta.

Eh, betul ke cinta? Aku dengan Hisham tu saja suka-suka berkawan!

Setiap kali terfikir perihal Hisham, Sofi Aidura tidak tahu mengapa hatinya menjerit dan menidakkan hakikat dia dengan Hisham bukan bercinta.

"Sebelum jadi yang bukan-bukan, baik kau bernikah, Dura... Tak payah kau nak buang masa siang malam berdating sana sini. Aku naik cuak kalau-kalau kau nanti kena serkap dengan orang keliling ni..." ujar Nora lembut sambil menggosok baju kuliahnya esok.

"Kau nak ke... Kau tengah dating dengan Zamri, tiba-tiba kau kena tangkap basah? Hah, besok anak keluar bulat-bulat badan dengan mukanya macam Si Zamri tu... Hah, kalau nasib tak baik, kau kena perangkap dengan Shaheran, tak ke naya? Nak ke besok, dapat anak, gelap macam hari nak maghrib aje warna kulitnya?"

Suraya masih membuat lawak biarpun jarinya lancar menaip di hadapan komputer.

Bergema gelak tiga gadis di rumah sewa itu. Nora sendiri tertawa sampai berair matanya. Sofi Aidura tersipu-sipu sehingga merah mukanya.

"Gelak-gelak jugak... Fikirkanlah apa yang aku kata... Lagipun kalau ditolak campur, bila masa cuti, aku rasa lebih lapan belas jam kau ke hulu ke hilir dengan Hisham... Bulan puasa pun sahur sama, buka sama... Baik bernikah ajelah." Lembut menusuk kata-kata Suraya.

Sofi Aidura diam tidak terkata. Memang ada benarnya segala yang diungkapkan oleh Suraya.

Memang Sofi Aidura mengakui, dia meniti alam remaja dan dewasanya di sisi Hisham. Lelaki itu segala-galanya. Lelaki itu mengajarnya banyak perkara. Lelaki itu juga menegurnya dengan seikhlas hati apabila ada ketika Sofi Aidura bersifat nakal keanak-anakan.

Teman lelaki yang lain itu sekadar menjadi nasi tambah di dalam hidupnya. Niat Sofi Aidura hanya untuk bergembira dan menghilangkan rasa sunyi kalau Hisham tiada di sisi pada hujung minggunya.

Bernikah? Bernikah sewaktu masih belajar? Boleh ke? Abang Hisham macam mana? Apa kata keluarga nanti? Oh, bukan ke Abang Hisham sendiri selalu mengusiknya agar mereka bernikah cepat?

Sofi Aidura termangu-mangu. Segala yang diceritakan Nora dan Suraya tadi sebenarnya meresap jua ke dasar hatinya.

"Tapi aku belajar lagi. Belum pun dapat ijazah..." sahut Sofi Aidura lemah.

Kahwin? Sudah bersedia ke aku? Huh, memasak pun huru-hara di dapur, inikan pula mahu masak untuk suami. Setakat masak air, rendam mi segera bolehlah!

"Susah apa pulak? Hei, sudah tentu Si Hisham tu kerja dengan Syarikat Event Management & Wedding Planner. Aku rasa gerenti kau boleh jadi Cinderella masa nikah nanti."

"Banyaklah kau punya Cinderella! Kau ingat aku ni kahwin dengan Mawi ke? Kau fikir aku ni Erra Fazira, Siti Nurhaliza..." Macam bertih goreng Sofi Aidura membalas.

"Tak kiralah kau tu siapa! Tapi paling tidak, cik abang kau tu dah boleh tanggung kau makan! Dia dah kerja!" sahut Nora.

Sofi Aidura masih terkelip-kelip.

Nikah? Kahwin? Eh, biar betul aku ni? Belajar ada setahun lagi tempohnya... Sudah mahu kahwin?

Hati Sofi Aidura digaru resah.

Alamak, tapi aku tak mahulah kena tangkap basah!

Sofi Aidura tiba-tiba berpeluh sendiri.

Kalau sungguh mahu kahwin, siapa calon suami aku? Sofi Aidura tahu, kalau dia senaraikan nama kekasih gelapnya, lis itu cukup panjang.

Kalau dijuruskan lagi, kategori-kategori jejaka yang berdampingan dengannya, kelompok itu tetap tidak mengecil. Ada yang gelap, ada yang cerah.

Mahu yang tinggi kurus atau teringin yang rendah rendang atau yang sedang-sedang semuanya ada. Mahu yang berdarah mamak Pakistan ada, hendak yang keturunan Minang Rawa atau Jawa, semuanya ada!

Huh, kalau aku osom sekalipun atau lat tali lat laili tamplong, calon yang bertuah itu sudikah mahu berkahwin dengan aku? Jangan terkena pohon buluh yang sentiasa senget biarpun angin tak bertiup lagi sudahlah!

Nama dan wajah Farhan tiba-tiba muncul dalam ingatan. Sofi Aidura terbayang-bayang kenangan beberapa bulan lepas. Mujur Allah menjauhkan dirinya dari segala masalah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro