Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Langit terasa hendak runtuh. Awan yang bersisik-sisik bagaikan gugur berlapis-lapis. Semuanya membuat Sofi Aidura terkedu.

Kata-kata Suraya dan Nora siang tadi terbawa-bawa di dalam lenanya. Suraya, rakan karibnya sudah beberapa kali memberi khutbah. Tidak pasal-pasal Sofi Aidura berasa telinganya sebu dengan leteran teman-teman.

Kalaulah ada yang mahu mengintai wajahnya yang polos tatkala sedang tidur itu, tentu dapat ditangkap pipi yang berona. Cerita teman serumah bagai merengkuh keindahan purnama untuknya malam itu.

"Baik kau kahwin aje, Dura! Sampai bila kau nak macam ni?" Nora yang anak matanya sentiasa bercahaya dalam serakan warna coklat, lembut menegur.

Sofi Aidura melongo mendengar kata sahabatnya itu. Dia yang sedang mengunyah kerepek ubi yang dibeli oleh Hisham siang tadi, terhenti tiba-tiba. Rahangnya tiba-tiba menjadi kejang.

"Kahwin? Hah, kau hilang akal apa?" Suara itu sedikit langsing.

"Apa pulak aku yang hilang akal? Aku takutkan kau tu... Yang selalu sangat otak tu koma sejam dua, sampai jadi tak waras!" sergah Suraya dengan mata yang bulat terjegil.

Dengan wajah yang tidak ikhlas, terukir senyum di bibir Sofi Aidura. Kelat sungguh senyuman itu. Dia sendiri tersandar di dinding ruang tamu yang kecil itu. Tiba-tiba sahaja fikirannya menjadi berserabut.

"Hei, aku ni konsepnya berkawan biar seribu, rezeki jangan tolak, musuh jangan dicari, ambulans dengan wad ICU jangan ditempah!" Lancar sahaja kata-kata itu terzahir dari bibir Sofi Aidura.

"Woi! Memang musuh jangan dicari... Tapi kalaulah ditakdirkan satu hari nanti semua kekasih-kekasih gelap kau tu terserempak, aku rasa kau memang kena booking semua katil yang ada kat ICU tu..."

Sindir Suraya sambil mengangkat kening. Temannya itu yang sedang khusyuk membaca novel, masih sempat memberi komen.

"Kita ni bukannya nak busybody, Dura... Tapi yalah, sampai bila kau nak macam ni? Kau tu dengan Abang Hisham memang tak boleh berenggang. Tapi dalam masa yang sama, kau meronggeng jugak dengan lelaki lain. Pantang Abang Hisham tu ghaib sikit dari mata kau, cepat aje kau mengumpan budak-budak yang gila bayang kat kau!"

Leter Nora yang sememangnya pening kepala dengan tingkah rakan yang seorang itu.

"Aku memang naik migrain tengok kau. Memang kau terrorlah bab nak kelentong Si Hisham tu. Dahlah mamat tu baik, lurus bendul, ikut aje cakap kau. Percaya bulat-bulat pulak tu!"

Suraya entah kenapa berasa simpati pula pada teman lelaki Sofi Aidura itu. Selalu sangat dia mendengar cerita Sofi Aidura menggoreng Hisham di telefon.

Cekap betul Sofi Aidura membuat cerita dan entah kenapa, mudah benar Hisham mempercayai gadis yang mudah tertawa itu.

"Macam minggu lepas... Mentang-mentang Hisham tu tak boleh bawak kau keluar makan, cepat aje kau telefon Si Zamri budak ekonomi. Mamat tu pun satu hal! Tahu kau ni no entry, nak jugak masuk daun. Itu tak termasuk lagi Si Shaheran, budak Fakulti Undang-Undang yang kau umpan... Si Azmi senior kita pun aku tengok semacam aje dengan kau?" rungut Suraya yang sentiasa sesak nafas kalau memikirkan kerenah dan gelagat Dura dengan lelaki yang menggilainya.

"Habis nak buat macam mana? Dia orang tu semua tahu aku memang ada Hisham... Siapa suruh berani dekat dengan aku?"

Ada sahaja alasan Sofi Aidura. Tidak sekuman pun dia terasa hati dengan teguran teman-teman serumah.

"Kami tak kesah pasal mamat-mamat lain tu... Yang kami kesian, Si Hisham. Kau kelentong dia. Dia pulak setengah mati sayang kat kau... Sebab tu percaya kau bulat-bulat!" sindir Nora yang memang geram dengan Sofi Aidura. Budak berani mati! Itu sahaja yang sering disebut Nora dengan perangai Sofi Aidura.

"Alah, lelaki... Sebelum kita terluka, baik kita yang pegang pisau... Toreh, hirislah mana yang patut!"

Mudah sahaja Sofi Aidura membuat perhitungan. Baginya lelaki semua tidak boleh diberi kepercayaan sepenuh hati.

Kalau ditanya dirinya tentang cinta, jawapannya mudah. Beri sahaja empat puluh peratus, lagi enam puluh peratus harus disimpan oleh si gadis buat tabungan hari sesak!

"Masalahnya... Kami sahabat kau dunia akhirat, sahabat serumah sewa, sahabat sefakulti dengan kau ni... Tak mahu la kau tu kena tangkap basah! Kau faham tak?" jerkah Suraya yang semakin sebal dan geram pada Sofi Aidura. Sewaktu mendengar kata-kata tersebut, dunia Sofi Aidura terasa bergegar tidak semena-mena.

Terbulat membuntang mata Sofi Aidura merenung Suraya. Sahabatnya itu cuma terseringai menunjukkan barisan gigi yang cantik.

"Hah, kenapa? Tak percaya ke?"

Suraya menyindir dengan kening terangkat memandang Nora. Sofi Aidura menoleh ke arah Nora. Teman yang berambut pendek separas bahu pantas mengangguk.

"Apa pulak sampai ke situ? Kau orang ni, mulut cabul tau!"

Bantal lembik di kepala, dicampak ke muka Suraya.

"Hei, aku cakap yang benar. Kami sampaikan yang betul."

Sofi Aidura semakin berkerut dahi, tidak faham akan maksud teman-temannya itu. Namun dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Ada sesuatu yang serius dan besar lagi tergempar sebenarnya yang cuba disampaikan oleh Suraya dan Nora.

"Yang mana satu sebenarnya buah hati kau ni? Itu tak termasuk lagi stok kau yang lain, panjang berjela senarainya... Bila terdesak, sesuka hati kau mengkhadamkan lelaki-lelaki malang tu..."

Suraya meluahkan segala yang dirasakan perlu untuk mengingatkan sahabatnya. Bukan mereka tidak tahu, kalau mahu membayar bil atau menyuruh membuat salinan fotokopi nota kuliah, perkara biasa bagi Sofi Aidura menyuruh kekasih-kekasih gelapnya itu.

Kalau malas mahu menghantar kereta Perodua Myvinya untuk servis di bengkel, Sofi Aidura memang tidak perlu gusar. Ramai jejaka yang sanggup menjadi hamba sahayanya.

"Kau jangan tak tahu... Orang tua-tua kat keliling ni datang ke rumah kita ni tanya kami tau..." Nora teringatkan sesuatu.

"Tanya apa?" Pantas Sofi Aidura menyoal.

"Pasal kaulah... Sampaikan Pak Cik Jalil kau datang ambik kau, kemudian hantar kau ke sini masa kau balik kampung pun dia orang soal siasat. Dia orang tanya kami siapa si polan... Lelaki yang itu, lelaki yang gini, yang selalu nampak dengan kau." Nora memberitahu.

Pucat lesi tiba-tiba wajah Sofi Aidura. Darah terasa menyerbu naik ke muka.

"Eee... Dia orang ni lecehlah! Sampai pak cik aku sendiri pun dia orang tak percaya, apa hal?" keluh Sofi Aidura yang semakin berlapis kerut dahinya.

"Nak percaya macam mana itu pak cik kau... Dahlah muda, handsome pulak tu... Kau pulak sekejap orang lain datang, esok lain pulak manusianya... Mahu tak juling mata orang keliling ni pandang! Aku rasa terangkat serban dengan kopiah pak haji kat sini," sampuk Suraya yang sedang tekun menyiapkan tugasan kuliahnya di hadapan komputer riba. Biarpun tangannya lincah menaip, namun isu perdebatan Sofi Aidura yang berskandal dengan sederetan teman lelakinya lebih menarik perhatian.

"Habis tu... Takkan aku nak buat pengumuman kat satu Petaling Jaya ni... Keberangkatan tiba, ayahanda saudara Sofi Aidura... Takkan aku nak bagi tau semua orang yang adik-beradik lelaki mak aku ada sebelas orang? Hesy, sengal betullah dia orang ni... Dah tak ada kerja lain ke? Asyik jaga tepi kain orang!" rungut Sofi Aidura sambil menarik bantal lembiknya dan disorongkan ke kepala. Kerepek ubi yang masih tinggal separuh di dalam plastik ditolak ke tepi.

Tumpul seleranya untuk terus menghabiskan kudap-kudap itu. Fikirannya terus menerawang memikirkan perkara yang semakin bercelaru.

"Kisah kau dengan pak cik-pak cik kau yang boleh buat satu pasukan bola sepak tu bukanlah hal besar. Isunya sekarang, orang tua kawasan ni dah label kau macam playgirl. Hari ni dia orang tengok kau dengan mamat yang putih tinggi pakai cermin mata..."

Belum sempat Suraya menyudahkan ayatnya, Nora sudah menyampuk.

"Hah, itu Hisham..."

"Huh, aku tak suruh pun dia jadi bodyguard aku dua puluh empat jam!" balas Sofi Aidura dengan nada kepala batunya.

"Lusa kau dengan mamat yang kulit hitam manis pakai motor besar pulak..."

Suraya terus berhujah dan kemudian menoleh ke arah Nora lagi.

"Yang itu dengan Zamri..."

"Alah, dia tu tinggi lebih kurang aku, tak mahulah..." Cepat sahaja Sofi Aidura membidas.

"Kekadang kau dengan brother yang ada kereta tu..." Suraya menambah.

"Hah, itu Shaheran ya..." Nora menyudahkannya.

"Eee... Tak sukalah. Dia kuat berpeluh, dahi berminyak. Boleh buat tumis sayur!" Ada sahaja ulasan selari Sofi Aidura.

"Ada waktu-waktu kau dengan mamat yang mata bulat, yang selalu pakai jersi tu..."

"Kalau yang tu... Aku tahu... Aku tahu... mesti Si Adnan, mamat engineer kat Honda..."

Sekali lagi Nora tolong menyambungkan ayat yang tidak selesai daripada Suraya.

"Alah, mamat tu dah nak masuk tiga puluh enam tahun... Dah tua!" tukas Sofi Aidura sambil mencebik.

"Siapa lagi, hah? Hah, yang lain tu tahap-tahap ikan bilis, ikan kembung dengan ikan gelama aje... Tak setanding dengan yang aku sebut tu... Lelaki yang aku sebut tadi kira darjat dia orang kalau tak setara jerung pun, setakat ikan lumba-lumba adalah di mata Dura!"

Sindir Suraya sambil menggelekek pakat gelak bersama Nora.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro