Bab 4
"Kata tak jadi keluar minggu ni?"
Sofi Aidura sebenarnya berpeluh dan berdebar tidak sudah apabila Hisham tiba-tiba muncul di hadapan pintu rumah.
Menggelabah bukan main Sofi Aidura. Kain batik yang terikat di pinggang terasa mahu terlucut di kaki yang tiba-tiba menggeletar.
"Kenapa ni? Pucat muka?" tegur Hisham.
"Eh, tak ada apalah... Tadi memang pening sikit." Sofi Aidura beralasan. Di ruang tamu Nora dan Suraya sudah tersenyum-senyum melihat drama sebabak itu.
"Hah, padan muka! Ada hati nak tengok wayang dengan budak Ezani tu!" cuit Suraya pada Nora.
"Mujur tak kantoi," sampuk Nora separuh berbisik.
"Aku rasa, Abang Sham sengaja buat spot check ni!" Suraya membuat spekulasi.
"Padan muka! Hah! Nak dating, Lepas tu pi seru-seru Si Hisham. Mamat tu panjang umur, kau yang pendek nafas, Dura!"
Kali ini giliran Nora menganjing.
Sofi Aidura kelam-kabut bersiap. Pakai bedak ala kadar dengan menyarung jean dan baju-T lengan panjang warna hitam, dia segera beriringan dengan Hisham.
"Tak mahu pesan apa-apa ke? Kami ingat kami nak tengok wayang jugaklah!" usik Suraya sambil terkekeh ketawa.
Sofi Aidura tidak mampu menjawab. Panas hatinya masih lagi berbaur dengan rasa cuak.
Kalaulah tadi dia keluar bersuka ria dengan Ezani, tentu ada bala menunggunya di rumah. Sofi Aidura tidak dapat membayangkan kalau Hisham terserempak dengan Ezani di hadapan lif.
Demi menjaga hati Sofi Aidura, Hisham meredah segala kesesakan jalan raya untuk ke One Utama.
Bukan mudah untuk mereka mendapatkan tempat parkir. Hujung minggu selalunya Hisham memang menjauhkan diri daripada Ikea.
Namun demi Sofi Aidura, dia sanggup lakukan apa sahaja.
Satu demi satu barangan rumah yang dirasakan perlu dimasukkan ke dalam troli. Dari barang sekecil-kecil sudu dan garpu yang berwarna-warni sehinggalah rak buku yang diidamkan oleh Sofi Aidura.
"Puas hati?" tanya Hisham apabila melihat senyuman meleret pada wajah Sofi Aidura.
"Jom temankan abang ke Star Hill."
"Ada apa?"
"Gallery Art Festival. Konsep Urban Art Beat. Mesti best," sahut Hisham yang memang sering mengambil peluang di waktu lapang untuk menikmati hasil karya seni melalui galeri begitu.
Sofi Aidura tidak sampai hati untuk menolak biarpun kaki sudah lenguh dan tempurung lutut terasa mahu tercabut dari soketnya. Hampir dua jam dia mengelilingi Ikea untuk memilih barang.
"Boleh ya?"
Hisham tahu Sofi Aidura keletihan. Tetapi dia tidak mahu melepaskan peluang yang satu itu.
Lagipun dia sudah lama tidak bersama Sofi Aidura. Pada saat beginilah dia mengambil peluang untuk bertanya khabar tentang perkembangan kuliah Sofi Aidura.
Pameran galeri yang berlangsung di kawasan segi emas Kuala Lumpur itu ternyata menarik ramai perhatian golongan elit. Terkeseng-keseng Sofi Aidura di sisi Hisham apabila mereka yang mengunjungi dewan pameran itu semuanya sakan bergaya.
Hisham biarpun sekadar mengenakan seluar Khakis berwarna kelabu hijau dan baju-T Polo, tetap nampak bergaya dengan kaca mata hitam yang tersangkut di kepalanya.
"Hai, Sham! You pun ada di sini ke?"
Seorang perempuan genit yang seksi dan berskirt pendek tetapi masih mahu tampak lampai dengan menggayakan wedges dua inci, menegur Hisham.
"Sheila... Hei, tak sangka you pun ke sini hari ni!"
Hisham turut terkejut melihat Sheila. Haruman jasmin daripada jenama Bvlgari yang disembur Sheila pada tubuhnya, memang amat menggoda. Sofi Aidura berasa tidak selesa.
"Kenalkan... Ini Sofi Aidura."
"Hai... Saudara dari kampung ke?"
Tanya Sheila spontan. Sofi Aidura terasa menyirap hatinya.
"Bukanlah... Dia kawan I. Masih belajar di UM," sahut Hisham.
Terus Sheila teringatkan sesuatu.
"Oh, inilah orangnya! Yang gambarnya you letak atas meja kerja tu!"
Sheila memandang Sofi Aidura dari hujung rambut sampai ke hujung kasut.
Macam manalah Hisham boleh terpikat? Comotnya budak yang masih sekolah ni!
Sofi Aidura tersenyum malu apabila mendengar gambarnya ada terletak di meja kerja Hisham. Namun jauh di sudut hati ada juga rasa bangga!
"You bertuah, tau! Ramai yang admire pada Hisham ni... Pada you jugak dia tersangkut!"
Kata-kata itu sebenarnya penuh makna. Sofi Aidura sudah terasa ada yang tidak kena. Namun dia pura-pura memaniskan mukanya.
"You free tak Hisham next weekend?" tanya Sheila tanpa mempedulikan Sofi Aidura.
Huh, macamlah tak boleh jumpa di pejabat! Masa beginilah dia nak tanya itu ini! rungut Sofi Aidura yang dapat merasakan getaran yang menyesakkan jiwa wujud pada Sheila terhadapnya.
"Kenapa?"
"Nak ajak you tengok new collection of Rolf Benz di KLCC. Manalah tahu dapat ilham baru ke lepas tu."
Suara itu cukup manja dan mesra. Sofi Aidura sudah menarik muka empat belas. Bosan!
"Oh, sorry, Sofi Aidura... You mesti tak berminat dengan perbualan kami. Alah, apa lagi kalau bukan pasal event, furniture, decor..." Sheila tiba-tiba menoleh ke arah Sofi Aidura.
"It's okay... Tak apa... I tahu kerja Hisham macam mana..." sahut Sofi Aidura dengan senyum yang dipaksa. Terasa dirinya menjadi hipokrit dan wajah manis itu amat plastik.
Ikutkan hati, Sheila mahu menyelit dan bersama-sama Hisham serta Sofi Aidura pada petang itu.
Puas dia memberi isyarat kepada Hisham untuk bersama-sama window shopping di sekitar Star Hill itu namun lelaki itu pura-pura tidak mengerti.
Arghhh, ini mesti kes takut girlfriend! cemuh Sheila yang memang tidak lepas merenung Sofi Aidura dari atas sampai ke hujung sandal. Terbuku hatinya kerana tidak dapat bersaing dengan Sofi Aidura.
Setakat budak sekolah, duit pun tak ada... Apalah sangat Hisham tergila-gilakan dia!
Sheila merenung langkah Hisham yang berpimpin tangan dengan Sofi Aidura dari belakang. Rasa berbahang seluruh wajahnya.
Tunggulah! Aku tahu Hisham akan berpaling kepada aku! Itu azam Sheila.
"Siapa dia tu?" Setelah sekian lama menahan hati, akhirnya Sofi Aidura bertanya juga sewaktu mereka menikmati hidangan di Secret Recipe.
"Siapa?" tanya Hisham yang memang tidak mampu membaca perubahan Sofi Aidura.
"Alah, perempuan tadi tu... Gedik semacam!"
Kalaulah boleh dilihat dan kalaulah dadanya lut sinar, Hisham tentu terkejut melihat hatinya sudah berasap dan mahu rentung perlahan-lahan.
"Oh, tadi tu... Sheila, kawan ofis abang."
Ujar Hisham yang seronok menikmati pai daging kambing cincang berperisa lada hitam.
"Mengada-adanya dia! Seksi bukan main!" komen Sofi Aidura sambil mencemik.
Tidak sanggup dia melihat dada Sheila yang membuak tersepit di dalam baju yang amat sendat. Lemas sungguh Sofi Aidura memandangnya.
"Kenapa, cemburu ke? Alah, itu kawan pejabat abanglah!"
Hisham sudah tergelak kecil melihat perubahan wajah Sofi Aidura.
"Kenapa dia tu? Menggedik-gedik macam ulat gonggok!"
"Kenapa Dura tak tanya dia sendiri?" Sengaja Hisham membakar hati Sofi Aidura.
"Eh, abang kawan dia... Mesti abang tahu, kan?"
Sofi Aidura mulai terherot mukanya.
"Manalah abang tahu... Eh, Dura ni... Kenapa pasal Sheila tu nak marah-marah kat abang?"
"Abang tak perasan ke? Semacam aje kawan abang tu? Depan Dura pun dia boleh tergedik-gedik, belakang Dura lagilah mengada agaknya dengan abang..." bebel Sofi Aidura.
Entah mengapa dia tidak dapat menyembunyikan wajah cemburunya.
"Ya Allah, Sheila tu kawan sepejabat aje dengan abang... Okey, kalau tak percaya, apa kata sesekali Dura singgah ke pejabat abang. Tengok macam mana abang kerja. Atau kalau Dura nak, bila Dura ada kelapangan, Dura ikut abang pergi jumpa klien, mahu?"
Hisham tahu sangat perangai Sofi Aidura. Mudah merajuk, mudah juga dipujuk.
"Huh, tak payah! Banyak lagi kerja lain yang Dura boleh buat daripada nak menyibuk di pejabat abang!"
Rengusnya yang masih lagi ternampak-nampak lurah dendam Sheila. Dada yang putih gebu itu turut bergetar dan berombak-ombak tatkala gadis itu tertawa.
Lelaki! Pandai sungguh mahu propa! Nak tunjuk baiklah tu! Siap ajak ke pejabat lagi.
Sofi Aidura memang sentiasa mengingatkan dirinya, antara dia dan Hisham tiada hubungan yang rasmi. Untuk itu dia sentiasa membataskan dirinya bersama Hisham.
Bagi Sofi Aidura, biar sebaik mana sekalipun Hisham, selagi lelaki itu belum lagi menjadi miliknya seorang, dia tidak akan memberi seluruh jiwa pada Hisham.
Biarlah! Biar dia letih mengejar dan mencari cinta. Itu lebih baik daripada menangis setelah segala yang ada di jiwa diserahkan sepenuh rasa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro