Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

Ahad yang dinanti tetapi menjadi saat yang penuh lelah dan membosankan! Gadis itu mengharapkan Hisham dapat bersamanya untuk ke Ikea.

Dia teringin untuk membeli satu rak buku pasang siap. Tempat meletak buku yang sedia ada, hampir roboh.

Itu pun ihsan daripada senior yang dahulu menyewa di pangsapuri itu.

"Sorry, Dura... Abang kena jumpa klien untuk discuss pasal food testing wedding anak dia."

Sebelum dia keluar bersarapan membeli nasi lemak, satu panggilan telefon daripada Hisham diterima.

"Alah... Abang dah janji!" Sofi Aidura separuh merajuk.

"Lain kali kita pergi, ya?"

Lembut suara Hisham mengharapkan pengertian Sofi Aidura tentang kesibukan dirinya.

"Dia orang punya majlis kahwin, asal abang yang sibuk-sibuk nak rasa menu tu? Dia orang tak boleh rasa dan buat keputusan sendiri ke?" bebel Sofi Aidura yang memang sentiasa cemburu sebenarnya dengan Hisham.

Selalu sangat kerjaya Hisham mencuri waktu santai lelaki itu untuk bersamanya.

'Huh, lepas ni kalau aku keluar dengan orang lain... Nora dengan Suraya jangan nak salahkan aku!' Sofi Aidura mengomel dalam dalam hati!

"Dura... Itu bukan ke kerja abang? Tak apa... Nanti kalau kita pergi Ikea, Dura boronglah apa yang Dura nak, ya! Abang bayarkan. Abang janji..."

Lelaki itu tahu Sofi Aidura sentiasa cair dengan pujukannya.

"Huh, entah tahun bila agaknya!"

"Take care, sayang! Jaga diri baik-baik tau, bila abang tak ada."

Sofi Aidura mencemik.

Entah ya entah tidak engkau setia dengan aku! Lelaki... Semuanya pandai mengayat!

Sofi Aidura menghabiskan hujung minggunya itu dengan membelek nota-nota kuliah dan tutorialnya. Mana-mana yang tercicir atau yang tidak sempat disalin, dikemaskan semula.

Nora dan Suraya sedang bertungkus lumus membuat nota ringkas dengan muka yang penuh tertekan. Segala macam formula hendak dihafal. Ini melambatkan kerja mereka untuk mencatat. Sofi Aidura kemudian tersenyum-senyum menghampiri mereka.

"Kau orang nak tak benda ni?" Sofi Aidura mengunjukkan secekak nota kecil yang sudah dibuat salinan.

"Mana kau dapat ni?" Terbeliak mata Nora apabila melihat nota ringkas sudah siap segala-galanya berada di tangan Sofi Aidura.

"Hah! Hah! Ada pari-pari syurga kirimkan untuk aku!" Tergelak-gelak Sofi Aidura.

"Hei, siapa yang baik hati lagi lurus bendul sedekahkan pada kau ni?" tanya Suraya yang tidak puas hati.

"Hah, itulah faedahnya banyak kawan!"

"Ini bukan kes banyak kawan... Ini kes kau aniaya kawan!" Nora dapat mengagak nota-nota ringkas itu mesti ihsan peminat Sofi Aidura yang mungkin satu fakulti dengan mereka.

"Alah, ambil ajelah. No harm! Senang kerja kau orang jugak. Aku ni bukan ke sentiasa ingat kawan-kawan..." Selamba sahaja Sofi Aidura menyahut.

"Ini kau dah siap-siap fotostat untuk kami ke?" tanya Suraya seperti tidak percaya.

"Yalah! Aku dah kata, aku ni sentiasa ingat kawan waktu susah." Menggelekek gelak Sofi Aidura.

"Hesy, kau ni... Mangsa mana pulak ni?"

Tanya Nora yang ingin tahu. Kagum sungguh dia dengan Sofi Aidura yang cekap menggunakan segala yang ada di hadapan mata untuk keselesaan diri sendiri.

Belanja sarapan jarang dia keluar duit. Selalunya ramai sungguh yang mahu menghulur belanja. Kalau ada yang mengurat dan mengayat mengajak keluar tetapi Sofi Aidura menolak, pasti akan ada bungkusan makanan tersangkut pada pintu rumah.

"Alah, itu nota Ezani. Budak Kelantan yang selalu duduk di baris paling belakang masa kuliah Dr. Amida," beritahu Sofi Aidura.

"Hah? Budak pendiam tu? Aku gelar dia budak bisu sebab dalam semester ni aku cuma dengar empat patah perkataan aje keluar dari mulut dia masa tutorial."

Sahut Suraya seperti tidak percaya. Ezani yang amat pendiam tetapi mempunyai sepasang mata yang dalam dan cantik selalunya suka menyendiri.

"Dia nak apa dengan kau?" Nora pula menyampuk.

"Nak berkawanlah. Konon nak belajar dengan aku cara tambah keyakinan diri kalau beri speech atau buat public speaking," sahut Sofi Aidura bangga.

"Huh, mamat tu budak naif. Janganlah kau rosakkan dia, ya!"

Kata-kata Suraya itu membuat mereka serentak ketawa. Pun begitu ketawa mereka termati tatkala itu jua apabila telefon Sofi Aidura berbunyi.

"Alamak! Ezani ajak keluarlah... Tengok wayang. Jom... Ikut sekali!"

Tambah terlopong mulut Suraya dan Nora. Ezani mesej Dura? Ezani? Biar betul?

Ya Allah, budak bisu pun pandai nak ajak Dura tengok wayang? Wah, ini cukup luar biasa! Apalah jampi serapah yang kau pakai, Dura?

Nora menggeleng panjang, Suraya terasa mahu hantuk kepala ke dinding! Hanguslah Abang Sham!

Sofi Aidura sudah terkekeh-kekeh ketawa nakal.

"Hisham cari kau macam mana?" soal Nora.

"Macam tak biasa." Sofi Aidura mengenyit mata.

"Gedik tau! Kena sakit mata seminggu padan muka!"

"Kau jadi keluar ke?" Suraya seperti tidak percaya. Hello, Ezani tu siapa tak kenal? Jalan pun pandang lantai aje! Terror kau, Dura!

"Sumpah aku tak buat apa! Pergi tengok wayang aje! Dijamin pergerakan mengikut syariah compliant! Duduk berjarak ikut halal gap."

Lima jari tangan kanan diangkat separas bahu! Sumpah! Sofi Aidura mengulanginya dengan gelak yang masih bersisa.

Dua sahabat serumah sekadar terlopong menggeleng melihat gadis itu melenggang bahagia.

"Aku mandi sat ya! Kena wangi-wangi!" Sekali lagi dia mengekek girang.

"Gila Dura!"

Itu sahaja yang terpacul dari bibir Nora.

"Gedik!" Suraya pula membebel geram.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro