Bab 2
Burung-burung kecil berkicau riuh penuh berahi. Angin sejuk pagi itu membawa haruman bunga-bunga liar. Hari masih terlalu awal untuk Sofi Aidura. Tetapi pagi Sabtu itu, dia sudah siap menyidai pakaian yang dibasuhnya sebanyak dua baldi.
"Rajinnya!" usik Nora yang masih lagi memeluk tubuh sambil melihat Sofi Aidura yang sedang mengeringkan rambutnya.
Gadis itu tidak menyahut cuma tersenyum kecil.
"Mesti ada date la tu!" sergah Suraya pula yang sedang membancuh satu teko minuman Milo panas.
"Sssyttt... Jangan bising-bising!"
Jari telunjuk runcing itu terlekat di bibir Sofi Aidura.
"Kau nak keluar dengan siapa?" Nora seperti dapat mengagak.
"Adalah..."
"Orang barulah tu..." Teka Suraya sambil menantikan jawapan Sofi Aidura.
"Alah, dia ajak aku breakfast. Relakslah..."
Selamba sahaja jawapan Sofi Aidura. Nora sudah membeliakkan mata. Dia sendiri sudah lost count berapa ramai sahabat lelaki Sofi Aidura.
"Yalah... Dia tu siapa?" gesa Nora geram. Ada-ada sahaja sahabatnya yang satu ini.
"Hah, baik beritahu kami! Kalau tak, kami beritahu Hisham!" Suraya mengugut.
"Alah, janganlah... Nanti kalau aku free, aku masak ya Sabtu depan!" Sofi Aidura sudah memujuk.
Macam biasa, giliran memasak dicagarkan sebagai cara merasuah kawan-kawannya.
"Tak ada maknanya Sabtu depan kau free! Berapa kali Sabtu aku tengok kau asyik keluar..." sindir Nora yang sudah tidak termakan pujuk rayu Sofi Aidura.
"Emmm... Betul tu. Aku rasa kita kena tunggu Sabtu lepas dia kahwin, baru dia free!"
"Janganlah marah! Nanti aku tapau nasi untuk kau orang, ya!" janji Sofi Aidura sambil tersenyum-senyum.
"Kau nak keluar dengan siapa ni?" tanya Nora yang masih tidak puas hati.
"Alah, dengan Kapten Khairul. Tak ke mana pun... Sarapan makan nasi lemak dekat Tangling aje," ujar Sofi Aidura sambil terus bersiap.
"Mana kau kenal mamat askar tu hah?" tanya Nora yang memang kagum dengan kepakaran Sofi Aidura mencari sahabat baru.
"Masa dia datang UM untuk urusan PALAPES!" laung Sofi Aidura dari dalam biliknya.
"Oh, dia datang untuk hal PALAPES, kau kat tepi padang, jual kuih lapis..." sindir Nora yang memang geram dengan keletah temannya itu.
"Baik-baik... Nanti kalau Hisham tahu, menangis tak berlagu kau!" pesan Suraya yang memang tahu betapa akrabnya Sofi Aidura dengan Hisham.
"Tak ada apa-apalah! Aku berkawan aje," sahut Sofi Aidura sambil mengoles pengilat bibir berwarna merah jambu.
"Apa-apalah! Esok lusa kalau bergaduh, jangan nak menangis sampai bengkak mata depan kami." Nora memberi peringatan.
Bukan tidak biasa dia mendengar keluhan Sofi Aidura apabila bertengkar dengan Hisham. Selalunya memang Sofi Aidura memulakannya dahulu.
Bersama skirt bohemian yang kembang beralun separas buku lali dan blaus putih polos, Sofi Aidura terus menyarung sandal sambil mengenyit mata pada Nora dan Suraya.
"Beb, janganlah marah aku!" Sambil melambai, Sofi Aidura berlenggang dengan penuh senang hati menuju ke lif.
Pagi itu berakhir satu episod yang manis buat anak gadis itu. Tiada apa yang perlu dirisaukan.
Bagi Sofi Aidura, dia cuma berkawan. Jangan ditanya dengan muka serius, hatinya yang sebenar untuk siapa. Dia memang tidak pernah memikirkan jawapannya. Dia tidak mahu terluka lagi.
Cukup-cukuplah pengalaman yang lalu. Dia sudah puas menangis saban malam. Sebaik sahaja dia mendengar khabar Jamal meninggalkannya, seluruh alam terasa kelam.
Separuh daripada rohnya terbang melayang bersama jasad Jamal yang mereput dimamah bumi. Dia kini cuba berusaha untuk mengembalikan semangat diri.
Dia tidak lagi terkapar-kapar berenang dalam teluk air mata. Dia mahu menjadi rerama yang terbang bebas. Menikmati zaman remajanya selagi bunga masih berkembangan.
Hisham hadir tepat pada waktunya tetapi dia tidak pasti apakah benar Tuhan mengutuskan Hisham untuk menyembuhkan lukanya.
Malam itu seperti yang dapat diduga oleh Nora dan Suraya, Hisham datang menjengah. Dua sahabat itu sudah tersengih-sengih mengangkat kening ke arah Sofi Aidura.
Lelaki yang sentiasa setia pada cintanya itu tersenyum manis apabila Sofi Aidura memberi alasan banyak kerja yang perlu disiapkan apabila diajak keluar makan malam.
"Sekejap aje..." pujuk Hisham yang memang menjadi rutin dirinya untuk menikmati roti canai di malam hari bersama Sofi Aidura.
Jikalau tidak ke medan selera Taman Tun Dr. Ismail, mereka akan pergi Kampung Baru untuk menikmati sup ayam kampung atau ayam kampung yang digoreng rangup.
"Kerja banyak..."
Sofi Aidura sebenarnya keletihan kerana siang tadi dia lewat pulang.
"Huh, penat sebab banyak aktiviti luar bilik darjah yang benarnya..." sindir Nora yang membuatkan Hisham terpinga-pinga.
"Hah? Kegiatan luar bilik darjah? Kegiatan apa tu?"
"Abang Sham tak tahu ke... Dura ni rajin pergi kampus biarpun luar waktu kuliah!"
Sofi Aidura sudah mencubit lengan Nora. Menyeringai gadis itu menahan perit di kulitnya.
Kasihankan Hisham, akhirnya Sofi Aidura keluar juga malam itu. Seperti biasa, dua sahabat yang tinggal di rumah seronok kerana mereka juga bakal kenyang apabila Sofi Aidura pulang.
Macam biasa, dua bungkus teh tarik bersama roti telur menjadi denda yang dikenakan buat Sofi Aidura.
Kalau tidak, rahsia akan dibongkar tanpa kompromi! Sofi Aidura meninggalkan rumah pada jam 8.45 malam dengan jelingan yang tajam pada sahabat-sahabatnya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro