Bab 15
"Apa nak jadilah anak awak ni, Encik Eman? Kawan lelaki saja hampir satu kontena! Kalau pulang bercuti, naik cemuih telinga saya dengar cerita dia. Kejap si polan ni bagi hadiah, kemudian si polan lain pulak ajak belanja makan. Hah, nasib baik tak kena tipu hidup-hidup dengan budak nama Farhan tempoh hari," keluh Puan Anum apabila mengenangkan kerenah anak daranya yang sentiasa membuat dia mengurut dada.
"Budak tengah naik, memanglah perangai macam tu. Dia dah besar panjang. Kita cuma boleh nasihatkan, doa yang terbaik."
Encik Eman lebih tenang berbanding dengan Puan Anum yang mudah sangat kena sakit darah tinggi apabila memikirkan Sofi Aidura.
"Siapa tak susah hati kalau anak dara sorang buat perangai macam tu! Orang kata kalau lelaki, masih boleh dimaafkan. Tapi orang perempuan, kalau buat benda tak elok, orang mengata! Silap hari bulan, yang kembung perut, orang perempuan jugak!" Suara Puan Anum langsing.
Dia kadangkala geram melihat gaya tenang dan bersahaja suaminya itu. Tidak pernah mahu memarahi Sofi Aidura.
"Sudah-sudahlah tu Cik Anum oiii, janganlah fikir yang bukan-bukan. Kita dah bagi pelajaran dan bagi didikan agama, terpulang pada dia. Tapi saya percaya ada sebab dia jadi begitu."
Kata-kata Encik Eman itu menyebabkan Puan Anum terdiam dan terkedu seketika. Rasa sebak tiba-tiba menggigit tangkai hati. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh suaminya itu.
"Dura jadi begitu sebab dia kehilangan. Dia sunyi, Anum. Mula-mula dia hilang Hafiz, kemudian dia hilang Jamal. Nampak saja air mukanya ceria, tapi saya tahu dia menangis dalam hati."
Lembut sungguh Encik Eman menuturkannya. Memang dalam banyak perkara, Encik Eman lebih banyak beralah dengan anak-anak. Perkara itu amat tidak disenangi oleh Puan Anum.
"Awak ibu mereka... Doakan yang terbaik. Doa awak mustajab untuk anak-anak. Jangan banyak sangat berprasangka dengan budak-budak tu..."
Sekali lagi Puan Anum terkaku. Dia ingin berkata sesuatu tetapi seperti tidak terucap. Hatinya semakin disagat kelukaan. Kata-kata suaminya tadi seperti membancuh luka silam yang sudah lama dilupakannya.
Ya, bukan Dura sahaja yang terasa ketiadaan Hafiz. Dia sebagai ibu lebih terseksa menanggung rindu yang tiada bahasa mampu mengungkapkannya.
Anak lelakinya itu tidak pernah pulang ke Malaysia semenjak berkahwin dengan gadis bermata biru di Belgium. Perkahwinan yang tidak direstui oleh keluarga di antara Hafiz dengan gadis asing menyebabkan anak lelakinya itu merajuk dan langsung menghilangkan diri.
"Tapi bukan awak tak tahu perangai Dura tu. Ada aje benda yang dia buat, memeningkan kepala kita. Boyfriendnya entah berapa ramai saya pun tak sanggup nak kira. Huh, tak sejuk lagi cerita budak Farhan tu meminang dia, ini dah timbul pulak nama Kapten Khairul nak merisik. Apa nak jadilah dia tu! Belajar tak habis lagi! Dura ni memang buat saya naik darah tinggi aje!" keluh Puan Anum yang memang cukup risau dengan kerenah anak daranya itu.
Puas dimarahi dan dileteri, tidak sedikit pun dipedulikan Sofi Aidura. Anak gadisnya itu tetap dengan senyum nakal dan menganggap semuanya masih dalam kawalan.
"Dalam hidup Si Dura, dia memang sanjung Hafiz. Kita tak boleh tahan perasaan dia. Hafiz segala-galanya untuk Dura dulu. Disebabkan Hafizlah, dia bersungguh-sungguh masa sekolah. Bukan awak tak tahu, selalu sangat dia berlawak nak sambung belajar di negara empat musim." Kata-kata Encik Eman itu menyerap ke liang jiwa Puan Anum.
"Memang saya tahu... Tapi ada beberapa benda yang Hafiz buat, yang kita tak boleh nak restu! Jangan kata Dura saja yang rindukan Hafiz, saya sebagai ibunya yang mengandungkan Hafiz sembilan bulan sembilan hari lebih kecewa lagi," sahut Puan Anum dengan suara yang tersekat-sekat.
Setiap kali suaminya mengungkit nama anak sulungnya itu, dia memang sukar menahan rasa pedih di jiwa.
Membuka lipatan cerita Hafiz yang berkahwin secara senyap-senyap dengan gadis berambut perang dan bermata biru hanya membuat kalbunya disagat pilu.
Hilang abang kandung di depan mata, membuatkan Sofi Aidura beralih kasih pada senior sekolahnya yang bernama Jamal. Sofi Aidura sering berkongsi cerita.
Hubungan yang berkekalan sehingga ke peringkat universiti itu tidak memberi sebarang erti apabila Jamal menyahut panggilan Ilahi akibat kemalangan jalan raya.
Sangka Puan Anum dan Encik Eman, anaknya itu akan berduka lara mengenang kasih yang pergi. Apatah lagi mereka sendiri mengenali Jamal yang sentiasa sabar melayan kerenah Sofi Aidura.
Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sofi Aidura lebih menunjukkan sifat keras, degil dan berkawan dengan sesiapa sahaja yang sudi.
"Tegurlah elok-elok. Saya rasa Dura tu sengaja buat perangai begitu. Nak lawan perasaan sedihnya. Saya dengar dia baik betul dengan Hisham, kawan baik arwah Jamal."
Peluang berbual begini memberi laluan kepada Encik Eman mengorek rahsia tentang kisah anak daranya itu. Sebagai bapa, dia yakin Puan Anum lebih tahu tentang Sofi Aidura. Biarpun sesekali Puan Anum jauh lebih tegas daripada dirinya.
"Alah, bukan boleh percaya Si Dura tu. Dua bulan lepas dia cakap dia berkawan dengan budak Fakulti Undang-Undang. Bila balik bercuti sekejap minggu lepas, dia bercerita dengan saya yang dia berkawan dengan pegawai tentera pulak. Alih-alih budak Farhan tu masuk meminang. Huh, mujur saya ni mendoakan kesejahteraan anak dua puluh empat jam! Diselisihkan Tuhan perkara tak elok daripada berlaku!"
Puan Anum memang berkali-kali beristighfar bila terkenangkan Farhan.
"Dunia sekarang dah akhir zaman. Sebab tu macam-macam benda timbul! Benda yang pelik dan tak masuk dek akal pun boleh terjadi. Macam kes Farhan tu, saya rasa niat dia nak berkahwin tu untuk tutup mulut orang yang tahu dia tu gay!" sampuk Encik Eman yang turut meremang bulu tengkuk apabila terkenangkan kisah anaknya dilamar oleh lelaki gay yang amat sempurna dan tampan di matanya.
"Entahlah, memang saya doakan yang terbaik untuk anak kita..." Suara longlai itu terhenti sendiri.
"Termasuk Hafiz?" Encik Eman menduga hati isteri.
"Saya tak pernah buang nama Hafiz sebagai anak saya. Apa pun terjadi, biarpun dia bertahun-tahun tak pernah pulang ke pangkuan kita, dia tetap anak kita."
Ada air mata bening di hujung kelopak mata Puan Anum. Encik Eman sendiri terdiam apabila mendengar kata-kata isterinya itu. Mudah-mudahan masih ada ruang untuk mereka sekeluarga bersatu seperti dahulu.
"Bilalah Hafiz terbuka hati nak pulang, ya?" Encik Eman berbisik pada dirinya sendiri. Satu keluhan panjang kedengaran di hujung suara.
"Dia ingat ke kita, bang? Manalah tahu, sampai kita tutup mata pun dia tak mahu pulang..." Sayu sungguh suara Puan Anum.
Biar menggunung kemarahan pada anaknya, namun kasih sayang ibu tidak pernah sebesar hama berkurangan.
Jauh di sudut hati Puan Anum tidak pernah lelah memanjatkan doa buat Hafiz. Mudah-mudahan suatu hari kelak, dia dapat memeluk dan mencium dahi Hafiz!
Dia akan sentiasa menantikan saat itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro