Bab 13
Hujung langit sudah semakin perang keemasan. Sofi Aidura membayar hutang tidurnya. Maklumlah sudah semalaman dia tidak cukup tidur memikirkan masalah yang satu itu.
Telefon bimbitnya berkali-kali menjerit. Tidak lama kemudian telefon rumah pula berbunyi nyaring.
"Sofi Aidura... Bangunlah... Telefon ni!" jerkah Nora yang jengkel melihat temannya itu melingkar di atas katil sejak tengah hari.
"Hish, buruknya rupa... Anak dara lepas makan tengah hari terus membuta! Macam ular sawa... Pemalas!" bebel Nora sewaktu menghulurkan telefon.
Sofi Aidura masih mamai. Matanya masih kelat untuk dibuka. Penuh malas dia mencapai gagang telefon.
"Hah? Biar betul?"
Tiba-tiba sahaja kepala yang tadinya terlentok, terus tegak dan matanya celik membuntang.
"Mak tak salah dengar ke?" Sofi Aidura bertanya lagi.
"Ya Allah... Apalah kena pada Sofi Aidura sehari dua ni... Nak kena mandi bunga agaknya!"
Nora yang sedang menumbuk sambal di dapur dan Suraya yang sedang menggoreng ikan cencaru, memanjangkan leher menjengah ke depan. Suara Sofi Aidura menjerit mengejutkan mereka.
"Habis tu... Nak buat macam mana? Dura nak selidik macam mana? Nak siasat macam mana pulak? Ya Allah... Peninglah!"
Selesai memberi salam kepada Puan Anum di hujung talian, Sofi Aidura tersandar letih. Wajahnya kembali mendung.
"Kenapa?" tanya Nora.
"Hah, apa masalah?" Suraya pun cemas.
"Kapten Khairul..."
"Yalah... Apa hal?"
"Telefon rumah aku, nak masuk meminang!"
Dua saat pertama Nora dan Suraya saling berpandangan, kemudian memegang perut dan ketawa berdekah-dekah.
"Kau ni kenapa?" jerit Sofi Aidura radang.
"Tak... Kau tu... Kenapa semua lelaki masuk meminang seminggu dua ni? Kau ada bagi dua puluh persen off ke untuk yang masuk meminang minggu ni? Berduyun-duyun orang datang pulak..."
Mulut celopar Nora itu dibalas dengan satu balingan bantal kecil.
"Terima aje... Nanti kau kahwin lalu bawah pedang tau! Boleh pakai gaun kembang macam Cinderella. Kapten Khairul tu ganteng apa! Kulit hitam manis, beb..." usik Suraya.
"Hah?" Sofi Aidura masih terlangah dan bingung.
"Hmmm... Terima aje... Nanti kalau tiga kali orang meminang kau tolak, dapat badi, woi... Nanti kena mandi bunga bawah jambatan tengah malam Jumaat, masa bulan mengambang!" Nora menyakat.
"Mulut tu tak ada insurans ya!" sergah Sofi Aidura.
"Hah, kata aje dengan mak kau... Kau setuju. Pilih aje tarikh selang seminggu dengan Suraya... Senang aku adjust jadual!"
Nora tidak habis-habis memberi tawaran solekan percuma pada sahabat yang mahu bernikah itu.
"Terima aje..." pujuk Suraya.
"Emmm... Kapten Khairul tak ada cacat cela..." Nora menambah.
"Ingat..."
"Ingat apa?" tanya Sofi Aidura yang masih kalut pada Suraya.
"Men are like... 'Parking spots'... All the good ones are taken, the rest are handicapped. Men are like... Snowstorms... You never know when they're coming, how many inches you'll get or how long it will last."
Nora bagai mahu terguling-guling mendengar ungkapan Suraya itu. Sofi Aidura masih terkebil-kebil.
Kenapa dengan lelaki-lelaki kenalan aku ni semua? Dapat mimpi apa agaknya mereka tu? Kenapa masing-masing sibuk nak hantar rombongan meminang?
Hish, aku dengan Kapten Khairul tu saja suka-suka, bukan nak buat suami pun! Terima... Tidak... Terima... Tidak.. Tapi Prince Charming aku, Abang Hisham! Ah, bosanlah! Orang yang aku suka tak ada pun sibuk-sbuk ajak aku kahwin! rungut Sofi Aidura dalam hati.
Payahnya macam ni... Aku berkawan saja untuk suka-suka! Kenapalah dia orang ni cepat ditimpa perasaan? Berkawan dengan studen, semuanya sengkek! Tak kena gaya, duit aku kena paw! Bersahabat dengan orang sudah bekerja, tersalah ayat, cepat benar cair jiwa raga. Laju saja mahu masuk meminang! Huh, lecehnya!
Serakan warna merah cili menguasai ruang pejabat Avant-Garde Event & Wedding Consultation. Kesan dramatik begitu dirasai pada ruang masuknya.
Di satu penjuru, di satu bilik kecil sebelah kiri, warna putih memberi keseimbangan pada mata yang memandang. Bilik Hisham bersama tiga bilik yang sederet dengannya menggunakan rona putih.
Gaya perabot minimalis dengan sedikit sentuhan warna gelap seharusnya memberi ketenangan kepada pemilik bilik kecil itu.
Namun Hisham menggelisah. Sekejap-sekejap dia mengerling ke arah telefon bimbitnya.
Merajuk lagilah tu! Kenapa tak telefon aku? Sibuk dengan assignment ke? Peperiksaan baru saja berlalu. Kalau dia ada kerja pun, cuma menyiapkan beberapa kerja amalinya.
Hisham memang hafal segala jadual dan rutin harian Sofi Aidura.
Sejak jam 8 malam tadi dia sudah berada di pejabatnya. Segala lakaran dan proposal masih banyak lagi tersadai di atas mejanya.
Semakin direnung segala timbunan kerja yang ada di atas meja, dia berasa semakin berserabut. Deadline yang harus dikejar cuma tinggal kurang sebulan. Segala-galanya memang harus dilakukan dengan pantas.
Perbincangan demi perbincangan secara berkumpulan dilakukan sebelum mereka membuat keputusan untuk menyempurnakan majlis perkahwinan anak Tan Sri Kamal Amin.
Hisham bangun dari kerusinya dan membuang pandangan ke luar panel tingkap. Dari tingkat 33 Menara Maxis itu, dia dengan jelas dapat melihat arus pergerakan kereta yang masih perlahan di luar sana.
Hari masih awal untuk satu hujung minggu orang Kuala Lumpur.
"Morning, Sham! You dah bangun?"
Tiba-tiba Sheila terpacul di muka pintu. Gadis yang berjean sendat dan hanya memakai baju baby-T itu tersenyum manja.
"Bangun? Mana boleh tidur... Kerja berlambak tak siap lagi. Sketches pun tak lengkap," keluh Hisham spontan.
"Jomlah kita breakfast dulu... Lepas ni kita sambung lagi," sahut Sheila sambil membetulkan pashmina yang terjatuh di bahu.
Lurah dendam yang mengkal dan gebu Sheila bagai menguji Hisham. Lelaki itu pura-pura tidak nampak. Tangannya pantas menaip sesuatu pada komputer.
"Kita makan di Pelita, ya?"
Sheila masih memujuk. Gadis yang baru dua bulan menyertai syarikat itu cukup mesra alam. Hisham ada ketikanya dapat merasakan bahang godaan gadis itu.
"Tak apalah. I kirim saja pada you. Belikan I roti canai dengan teh tarik."
"Alah, marilah kita pergi sekali. Reza pun join kita sekali," rengek Sheila.
"Tak apa, you go ahead dengan Reza. Cakap dengan mamak, teh tarik I kurang gula ya!" pesan Hisham sambil terus menghadap komputer.
"Betul tak mahu ikut?"
"Next time, I ada kerja sikit lagi ni..." sahut Hisham lembut.
"You ni, orang lain punya wedding, you sampai tak makan tak tidur. Kalau you punya wedding sendiri, macam manalah nanti ya!" Sheila masih mahu mengumpan.
Tiada jawapan untuk itu. Hisham senyum-senyum sambil menggeleng. Dia kembali meneliti segala barangan yang perlu mereka pesan dari pembekal di Jakarta.
Sederetan senarai aksesori dan bunga hiasan untuk ballroom dan pelamin yang ditempah dari China harus dipastikan sampai tepat pada waktunya.
Huh, kenapalah manusia ni? Nak kahwin, yang wajibnya nikah dan mas kahwin! Kenapalah sanggup berhabis buat pesta tiga hari tiga malam? Betullah tu Sheila kata, orang lain punya hal nak bernikah, aku yang bersengkang mata.
Kepercayaan yang diberi oleh bos besarnya, Ferhad Khan membuatkan Hisham terpaksa menunjukkan kesungguhan. Ruang lingkup kenalan dan skil komunikasi yang dimilikinya, membuatkan dia lebih diharapkan oleh Ferhad Khan.
Mujur bersama-samanya ada sekumpulan petugas kreatif yang banyak membantu. Pengalaman dan disiplin ilmu dalam dunia pengiklanan yang dikutip sewaktu di kampus, banyak memudahkan pekerjaannya sekarang.
Hisham terkebil-kebil sambil tersandar letih di atas kerusi empuknya. Fikirannya melayang teringatkan Sofi Aidura.
Buat apa dia sekarang? Sudah seminggu tak berjumpa tentu rajuk dan muncungnya sama panjang!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro