Bab 12
Hujung minggu memang sukar mencari tempat parkir di kawasan yang terkenal dengan keenakan sarapan paginya itu.
"Ada tempat dekat, sengaja cari susah nak makan jauh-jauh..." rungut Puan Anum. Hatinya masih terbuku pada anak gadisnya itu.
Mujur masih ada satu meja yang kosong, di sudut yang agak terpencil.
"Tak apalah, biar ayah order... Kamu temankan emak."
Emmm... Itu taktik ayah nak suruh aku berdamai dengan emaklah tu... gumam hati Sofi Aidura.
Di belakang Sofi Aidura, tiba-tiba kedengaran suara garau jejaka sedang tergelak manja. Sofi Aidura berkerut. Macam biasa benar bunyinya.
Sofi Aidura cuba menoleh. Mencari suara itu dalam dengung orang ramai yang sedang berbual sambil bersarapan. Mata Sofi Aidura hampir tersembul.
Farhan! Lelaki itu membelakanginya. Sedang berpimpin tangan dengan lelaki lain.
Oh, suara teman Farhan itu sama dengan yang didengar di telefon dahulu. Farhan masih tidak menyedari Sofi Aidura.
Jejaka itu lembut bertepuk tampar, penuh manja dengan temannya.
"Mak... Tu Farhan..."
"Mana?"
"Tu... Yang pimpin tangan dengan lelaki sasa tu!"
"Astaghfirullah..."
Suara Puan Anum terputus-putus. Nafasnya sesak. Dia bagai hendak pitam.
Pandangan mata Puan Anum menjadi berbalam-balam. Entah mengapa tekaknya juga menjadi kembang dan loya. Terasa dirinya yang sudah hampir separuh abad itu, bagai bunting anak sulung!
Huh, tekak Puan Anum benar-benar bagai mahu menjeluak segala isi perut!
"Astaghfirullah... Bertuah punya budak!"
Berkali-kali Puan Anum mengurut dada. Kelibat Farhan sudah lama hilang. Nasi lemak kukus berlaukkan rendang juga sudah lama sampai di hadapan mata. Namun hanya luak tiga sudu nasi sahaja.
Puan Anum benar-benar patah selera. Terkejut bukan kepalang dia melihat Farhan. Dia pasti matanya belum rabun untuk dia tersalah pandang.
Dia juga yakin Sofi Aidura tentu lebih kenal Farhan biarpun mereka hanya memandang dari sisi sahaja. Tidak mungkin Sofi Aidura tersalah orang.
Sofi Aidura senyum-senyum kelat. Entah mengapa bersyukur sangat dalam hati kerana pagi itu dia bersetuju bersarapan di situ.
Siapa sangka rupa-rupanya ada petunjuk yang mahu diberikan Allah.
Sekali fikir, Sofi Aidura lega dan lapang dada. Selapang-lapangnya. Dua kali fikir, memang terasa sejuk dan ngilu telapak kakinya.
Kalaulah dia dipaksa juga menerima lamaran Farhan, apa akan jadi pada kesudahan perkahwinan itu?
Urrrgh... Sofi Aidura tidak sanggup untuk berfikir lebih jauh. Ngeri dan mual tekaknya.
Pulang ke rumah selepas sarapan, Puan Anum merebahkan dirinya di atas sofa. Kepala terasa pening dan darah bagai melonjak ke dahi.
Sofi Aidura diam tidak memberi sebarang komen. Sebelum tengah hari, Puan Anum menggesa suaminya untuk pulang. Sofi Aidura cuma sengih-sengih sahaja apabila melihat ibunya itu.
"Tak tunggu makan tengah hari, mak cik?" Suraya dan Nora berbasa-basi.
"Mak cik tak lalu makan, nak! Rasa macam darah tinggi mak cik datang balik..."
"Mak cik salah makan ke?"
Suraya sedikit cemas mendengarnya. Dia menoleh ke arah Sofi Aidura yang tampak begitu cool.
"Mak cik ni bukan salah makan... Salah pandang pagi tadi. Tertengok benda tak elok..."
Ayah Sofi Aidura mengusik sebelum melangkah masuk ke kereta.
Suraya dan Nora semakin terpinga-pinga melihat Puan Anum tiba-tiba memeluk dan mengucup dahi anaknya dengan penuh kasih sayang.
"Dah berdamai nampaknya dua beranak ni..." Suraya berbisik pada Nora.
"Jeng jeng... Sofi Aidura setuju nak kahwin kut!" balas Nora sambil menyiku Suraya.
Mata mereka memandang tanpa berkelip tiga beranak di hadapan pagar.
Sebaik sahaja kereta beransur pergi, dua sahabat itu tidak sabar menarik Sofi Aidura ke dalam rumah.
"Hei, kenapa ni?" jerit Sofi Aidura.
"Hah.. Cepatlah buat press conference... Bila nikahnya, hantaran berapa ribu? Jangan pulak kau pilih tarikh sama dengan tarikh kahwin aku dengan Shahir!"
Suraya beria-ia mengingatkan Sofi Aidura. Terpinga-pinga Sofi Aidura mendengar kata-kata itu. Dia yang baru mencapai surat khabar hujung minggu itu terus meletakkannya semula di atas meja.
"Hmmm... Besok sanding nak tempah baju kat mana? Radzuan Radziwill ke... Rizalman? Pelamin dah fikir nak konsep apa? Hisham bukan ke wedding planner, tentu semuanya beres!"
Semakin ternganga Sofi Aidura mendengarnya. Dahi berlapis kerut. Berderau darahnya apabila nama Hisham disebut-sebut. Kemudian Sofi Aidura ketawa berdekah-dekah.
"Kau orang ni... Hilang akal apa? Siapa yang nak kahwin? Siapa yang nak nikah? Tapi kalau nak bagi aku hadiah... Okey jugak!"
Kali ini dua sahabat di hadapan Sofi Aidura pula terlangah.
"Hei, takkan kahwin pun nak sorok dari kawan? Takkan nak biarlah rahsia jugak? Tu tadi dah peluk cium dengan mak kau tu, apa cerita?"
Semakin kuat Sofi Aidura mengekek ketawa. Dibiarkan sahaja Suraya menceceh dan terus menceceh.
"Ya Allah, sungguh... Aku dan mak aku dah tutup kes, tutup buku pasal Farhan!"
Sofi Aidura bersungguh-sungguh memberitahu.
"Eh, semalam bukan ke kau macam nak pecah kepala fikir masalah ni? Apa dah kau racun mak kau?"
Nora sendiri yang jarang mahu mengambil tahu kisah peribadi Sofi Aidura tiba-tiba turut tumpang sekaki.
Tanpa sedikit kekesalan atau rasa terkilan dalam hati, Sofi Aidura menceritakan kejadian pagi tadi dengan penuh senang hati.
"Rasanya macam aku nak hantar sedekah pisang kat masjid sebab satu bala dah lepas!" ujar Sofi Aidura dengan wajah yang bercahaya.
Terkekeh-kekeh gelak tawa rakan berdua apabila mendengar komen Sofi Aidura.
"Apa jadi dengan Farhan? Kau putus sahabat ya dengan dia?" tanya Nora.
"Alah, ini bukan tahap putus, tapi jatuh dalam kategori lupus! Siapa suruh dia cari masalah dengan aku! Tapi tak apalah, aku anggap ni pengajaran jugak untuk aku. Lepas ni aku jadi lebih berhati-hati nak berkawan."
Sebenarnya ada kegugupan di sebalik kata-kata Sofi Aidura.
"Amin..."
Serentak Suraya dan Nora tiba-tiba mengaminkan kata-kata Sofi Aidura.
"Kenapa?" Sofi Aidura terpinga-pinga.
"Mudah-mudahan kau dah taubat..."
"Jangan tahu buat saja..." usik Nora menyambung komen Suraya.
Sofi Aidura yang terkejut mendengar jenaka itu pantas membaling bantal peluk kecilnya ke arah Nora.
"Huh, kurang asam kau orang!"
Sofi Aidura menjeling dan memandang jengkel dua sahabat serumahnya.
Ada saja mahu mengenakan aku! gerutu Sofi Aidura.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro