Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

"Terima ajelah... Buat apa jual mahal?" Suara Suraya lembut memujuk. Meredakan kemarahan Sofi Aidura yang meluap-luap.

Sofi Aidura mendengus. Bercakap memanglah mudah, tapi aku yang mengharunginya! rungut Sofi Aidura dalam hati.

Petang itu Sofi Aidura pulang lewat dari kampus. Semakin hatinya merusuh, semakin kerap dia pulang lewat. Sofi Aidura tahu, emaknya kerap menelefon di rumah setelah berbelas kali panggilan di telefon bimbit dibiarkan tidak berjawab.

"Kau pun sama gila, ya? Aku ni belajar pun tak habis lagi... Lagi pulak aku baru kenal Si Farhan tu. Hei, helo... Kita ni semua muda lagi. Apa ke jadah nak kahwin cepat sangat?" sanggah Sofi Aidura geram.

"Alah, kita ni perempuan... Buat apalah memilih sangat sementara harga tengah melonjak di pasaran?" sambung Suraya lagi.

Nora yang leka menyapu krim Vitamin E pada mukanya sekadar tumpang sekaki mendengar masalah Sofi Aidura. Dia sendiri tiada upaya hendak memberi komen sementelah dirinya masih solo. Hendak bercinta pun tiada calon, inikan pula mahu bercakap urusan mendirikan masjid!

"Cakap setakat modal air liur, memanglah semuanya senang! Kau lainlah... Pilihan hati kau biarpun jauh lebih muda, memang kau suka. Aku dengan Si Farhan... Berkenan pun aku tak pernah, inikan pulak nak hidup kongsi semua benda sepanjang hayat! Sumpah aku tak sanggup!"

Sofi Aidura meluahkan segala yang terbuku di dada. Memang jengkel benar dia apabila mengenangkan wajah Farhan.

"Hah, aku tahu sebenarnya kau tunggu Abang Sham kau, kan?" Suraya tiba-tiba menyampuk.

Sofi Aidura tidak berkelip merenung Suraya. Dia tidak ada jawapan untuk itu. Memang Hisham amat istimewa, tetapi ada ketika dia berasa dirinya amat kerdil.

"Kalau macam tu, apa kata kau suruh Hisham saja masuk meminang. Habis cerita... Orang kata, biar Si Hisham booking kau dulu. Nanti tak adalah mana-mana mamat nasi tambah dalam hidup kau main redah aje hantar rombongan. Mesti orang tak berani masuk kalau sudah no entry."

Cekap sungguh Suraya memberikan cadangan.

"Ah, Hisham pun entah ya entah tidak dengan aku. Mana aku nak confirm dia betul-betul dengan aku. Dia tu dah kerja, keliling pinggang ada perempuan cantik. Setiap hari rub shoulder dengan golongan rich and famous Malaysia. Siapalah aku nak terhegeh-hegeh sangat," luah hati Sofi Aidura spontan.

Setiap kali memikirkan hubungan dan masa depannya bersama Hisham, Sofi Aidura memang tidak pernah yakin. Dia masih belajar, masih lagi bergelar anak kampus. Perjalanan hidupnya masih panjang.

Berbeza dengan warna-warna hidup yang menghiasi rutin Hisham. Hanya takdir sahaja yang membolehkan mereka bersatu.

"Eh, aku salah dengar ke? Sejak bila kau rasa rendah diri dengan Hisham?" sakat Nora.

Dia seperti tidak percaya gadis sekeletah Sofi Aidura punya rasa sensitif.

"Aku bukanlah rendah diri, tapi itu realiti. Mana kita nak tahu apa yang ada dalam hati Hisham. Aku ni budak pakai uniform sekolah lagi, dunia dia lain," sanggah Sofi Aidura tidak mahu beralah.

"Hisham kau tak pasti... Farhan kau tak suka... Tapi aku rasa dua-dua manusia ni suka kau. Kalau aku jadi kau, baik aku terima aje. Best apa kalau masa belajar macam ni ada orang tanggung kita. Tak payah serabut kepala nak fikir soal sewa rumah, soal belanja di kampus, semuanya ditanggung beres! Hei, rugi tau!"

Terbeliak mata Sofi Aidura mendengar kata-kata spontan itu.

"Halo... Aku perempuan yang tak suka nak harapkan duit orang, okey... Kalau setakat nak belanja makan, tak ada masalah. Kalau nak minta orang tanggung aku, gelilah!"

"Kau ni menolak rezekilah!"

Serentak Nora dan Suraya membuat kesimpulan. Sofi Aidura terkelip-kelip memandang ke luar jendela.

Huh, jodoh dan hati mana mungkin boleh dipaksa-paksa! Sofi Aidura memujuk hatinya sendiri.

"Kalau akulah jadi kau Dura, aku tak tolak. Apa masalahnya kalau berkahwin waktu belajar? Memanjang sesak sementara nak tunggu PTPTN. Kau sebenarnya beruntung! Kadang-kadang kita ni slow sangat bagi signal. Orang lelaki ni blur sikit! Nak kena cakap direct aje. Memang ada lelaki yang tentu assignment semua dapat A++. Tak adalah hidup sengkek penakut... Mulut aje riuh macam loudspeaker, tapi takut nak masuk meminang." Nora tiba-tiba mencelah.

Suraya yang sedang menikmati Milo panas dengan biskut kering sebagai langkah berdiet, pantas mengeyakan kata-kata sahabatnya itu.

Semakin kelat wajah Sofi Aidura. Masalah yang bersarang dalam fikiran tidak terlerai, rakan-rakan sudah memberi cadangan lain.

"Cadangan kau orang semua tak ada satu pun yang aku boleh terima pakai!" tingkah Sofi Aidura yang semakin rimas mendengar komen-komen teman serumah. Sofi Aidura kembali menyambung menungannya.

Abang Hisham, kenapalah kau tak ada di sisi aku waktu macam ini? Dalam diam dia merindui lelaki yang seorang itu.

"Jadi mak kau nak datang esok?" tanya Suraya.

Sofi Aidura cuma mengangguk lemah. Dia tahu emaknya pasti menagih jawapan. Silap-silap hari bulan, emak sudah menyediakan jawapan bagi pihaknya. Bukan ke emak memang suka menggunakan kuasa vetonya?

"Hesy, dalam peti sejuk tu kering-kontang... Tak ada lauk. Setakat dua biji telur dengan sawi kecut adalah! Takkan tak masak apa-apa untuk keluarga kau?" Nora bertanya sambil matanya lirih ke arah peti sejuk yang besar di dapur.

Peti sejuk besar itu memang selalunya hanya terisi dengan telur tiga empat biji dan selebihnya buat penyimpan kicap dan sos.

"Alah, makan ajelah kat kedai..."

"Eh, takkan kita tak jamu apa-apa?" tanya Suraya pula.

"Emmm... Tak ada moodlah. Orang tua aku datang sini pun bukannya nak menjamu selera, bukan nak berkenduri... Aku rasa macam nak kena buat kenduri arwah untuk diri sendiri adalah!"

Keluh Sofi Aidura menyebabkan Suraya dan Nora saling berpandangan kemudian menggeleng panjang.

Menunggu malam mencapai detik luruhnya di langit, cukup menyeksakan. Sofi Aidura tidak lena tidur. Setiap jam dia terkejut dan akhirnya menjelang jam lima pagi dia terus bangun dari tidur.

Abang Hisham... Ke mana engkau? Mengapa pada saat aku memerlukan engkau, wajah dan bayangmu bagai semakin jauh di sisi? Siapakah aku dalam hati kau? Sofi Aidura merintih sendirian dalam hati.

Sejak tiga minggu kebelakangan ini dia memang semakin jarang menemui Hisham. Jejaka yang semakin disenangi itu khabarnya sudah terbang ke Jakarta.

Memang silap diri sendiri! Berkali-kali Hisham telefon dia tidak menjawab. Fikirannya kusut tidak mahu bertambah kacau. Akhirnya hanya WhatsApp dan e-mel sahaja penyambung bicara mereka.

Ikutkan hati, mahu sahaja Sofi Aidura berkongsi masalah itu dengan Hisham. Namun perasaan malu yang menebal menyebabkan dia memendam rasa sendirian. Pada teman-teman serumah sahaja tempat dia berkongsi cerita.

Langit Ahad pagi itu cukup indah. Angin yang menyapa membawa kesegaran seharum kesturi. Namun semua itu tidak sedikit pun memberi ketenangan kepada Sofi Aidura.

Semakin jarum jam menghampiri pukul 8 pagi, dia semakin gelisah. Tepat seperti jangkaannya, lebih kurang jam 8.15 pagi ibunya, Puan Anum dan ayah sudah memberi salam di pintu rumah.

Sofi Aidura dengan wajah yang lesu kerana tidak cukup tidur, mempelawa orang tuanya masuk.

"Mak ayah dah sarapan?" tanya Sofi Aidura berbasa-basi.

"Belum..."

"Jomlah... Kita makan dulu. Lepas tu kita bincang."

Sofi Aidura sebenarnya sedaya upaya cuba untuk mengelak daripada berbincang hal yang satu itu.

Nora dan Suraya selepas keluar bersalam dan bertanya khabar, segera masuk ke bilik masing-masing. Mereka tahu tentu tidak manis kalau turut serta berbincang masalah peribadi Sofi Aidura.

"Mak nak tanya betul-betul ni... Apa yang tak kena dengan Farhan, apa kurangnya Farhan, sampai kau tak mahu bertolak ansur? Mak bukan nak suruh kahwin sekarang. Mak dengan abah boleh minta bertangguh sampai kau selesai belajar."

Belum sempat Sofi Aidura mencapai kunci keretanya, Puan Anum sudah membuka mukadimahnya. Sofi Aidura yang sedang berdiri, terduduk semula. Nafas dihela berat.

Ada sesuatu yang Puan Anum keluarkan dari tas tangannya.

Uh, benda itu lagi! Sofi Aidura mengeluh.

Nampaknya emak begitu memaksa! Sofi Aidura menggeleng.

Cincin bertatah berlian yang diikat dengan emas putih masih lagi dalam bekas kecil baldu merah. Puan Anum unjukkan pada Sofi Aidura.

Sebelah mata Sofi Aidura tidak boleh memandangnya.

"Mak, hati Dura tak terbuka lagi..."

"Itu bukan alasan! Setahu mak, kalau bab-bab boyfriend ni kau memang cekap! Bila disuruh kahwin, kenapa menolak pulak?" sergah Puan Anum.

Nora dan Suraya yang pasang telinga di balik pintu bilik, saling beri isyarat mata.

Wah, kes berat! Nampak gaya ibu Sofi Aidura sudah tahu kerenah anaknya di Kuala Lumpur. Mungkin atas alasan itu Sofi Aidura mahu cepat-cepat diikat.

"Takkan Dura nak kata ya sebab nak puaskan hati mak? Mak nak ke seminggu lepas kahwin, Dura bungkus kain baju, duduk asing-asing?"

Lepas juga segala ayat yang sudah lama dikarang dalam fikirannya.

"Astaghfirullah..." Itu sahaja yang mampu dilafazkan Puan Anum.

"Jomlah kita keluar makan dulu... Ayah teringin nak makan nasi lemak kukus dekat Tangling tu... Jom kita pergi..."

Ayahnya sengaja meleraikan perbalahan dua beranak itu. Sofi Aidura tanpa sebarang emosi di muka, terus menuju ke kereta.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro