Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

Tanpa menghiraukan langit yang sudah menurunkan langsir malam, Sofi Aidura terus memandu pulang.

Biarpun beberapa kali ayahnya memujuk supaya pulang sahaja esok pagi, dia tetap berkeras. Sedikit pun hidangan makan malam tidak dijamahnya. Puan Anum sendiri pura-pura tidak berkesah tentang Sofi Aidura.

"Biarkan dia! Lantak dialah nak balik KL dengan perut kosong! Budak bertuah tu memang kepala batu! Susah nak diajak berunding," rungut Puan Anum yang hanya mengintai Sofi Aidura masuk ke dalam kereta di sebalik langsir.

"Kepala batu tu ikut awak..." cemuh suaminya pula.

Puan Anum spontan menarik muka panjang.

Huh, anak dengan bapak sama aje! Mesti dimenangkan anaknya jugak! gerutunya dalam hati.

Sepanjang memandu pulang malam itu, Sofi Aidura bagai melalui laluan yang penuh kerikil. Resah gelisah dan fikiran yang bersimpang-siur membuat dia memandu dengan cukup laju.

Malam baru berpucuk di langit. Bintang yang menjadi kerongsang malam menjadikan padang langit manis dan tenang direnung pencintanya.

Sampai di kawasan parkir pangsapurinya, Sofi Aidura tidak terus masuk ke dalam. Dia tersandar di kereta memikirkan masalah yang mula bersarang di fikiran. Semakin difikir, semakin sendat kepalanya.

Telefon, tidak... Telefon, tidak... Telefon...

Berbolak-balik hatinya mahu mencapai telefon di dalam tas tangan. Sekejap begitu sekejap begini. Sofi Aidura berkali-kali memujuk hatinya.

Kalau mahu selesaikan masalah, dia harus berani berdepan dan bersuara pada Farhan. Kalau diam, nanti dianggap setuju dan suka!

Oh, tidak... Mati hidup balik, kemudian mati semula, hidup lagi sampai tujuh kali pun, aku tak ingin pada Farhan tu!

Sofi Aidura pantas mencapai telefon.

Lama dia menunggu baru telefon diangkat. Sofi Aidura nekad, kalau perlu dia akan meredah malam dan menjeritkan nama Farhan di pagar rumah. Farhan menyewa rumah teres yang terletak di belakang kawasan pangsapuri Sofi Aidura.

Hati gadis itu benar-benar merusuh. Badan yang letih, perut yang kosong dan kepala yang berserabut, berbaur menjadi satu.

Sofi Aidura sempat membuat dua kali tawaf di hadapan rumah Farhan. Memang ada kereta Farhan di hadapan rumah sewanya itu.

Ikutkan hati, tak ingin dia memandang rumah Farhan, biarpun setakat bumbung rumah. Namun Sofi Aidura tahu dia perlu selesaikan masalah yang satu ini. Semakin lama dibiarkan, semakin bernanah hatinya.

"Helo..."

"Helo..."

"Hai, baby... Nak cakap dengan siapa?" Suara garau itu cukup mengejutkan Sofi Aidura.

"Hei, saya ni... Jangan nak main-mainlah!"

"Eh, siapa nak main-main pulak?" Suara itu seperti meneran. Sofi Aidura menjadi gamam sesaat dua.

"Helo... Awak dengar tak?"

"Arghhh... Arghhh... Emmm... Dengar... Dengar... Awak cakap aje..." Suara itu bunyi meneran lagi.

Diikuti dengan bunyi latar ada benda keras dan berat terjunam jatuh ke dalam lubang. Sejurus selepas bunyi terjunan kecil itu ada pula berdesir percikan air.

Sofi Aidura terdiam sesaat. Kat mana mamat ni? Bunyinya bergaung macam dalam gua! Tidak sampai lima saat kemudian kedengaran air dipam deras.

"Hei... Cakaplah..." Suara garau itu mengejutkan Sofi Aidura.

Tiba-tiba saja Sofi Aidura berasa kembang tekak. Ya Allah, keji dan jijik sungguh perangai! Di dalam tandas rupa-rupanya.

"Helo..."

Sofi Aidura hilang selera untuk menelefon. Dia mematikan talian.

Bodoh! Bahlul! Kalau dalam tandas buat apa jawab telefon?

Tidak sampai seminit telefon bimbit Sofi Aidura kembali berbunyi. Dek panas hati dan radang, Sofi Aidura membiarkan lagu Kenangan Terindah daripada Samson, terus mendayu-dayu.

Dibiarkan lagu Samson berulang sehingga lima minit. Si pemanggil tidak berputus asa. Sofi Aidura rimas! Akhirnya dia menjawab panggilan itu.

"Sofi Aidura... Sofi Aidura..." Suara di hujung telefon seperti tahu dirinya bersalah.

Sofi Aidura terus membisu. Cuma terkumat-kamit menyumpah seranah dalam hati.

"Hei, lain kali kalau dalam jamban jangan jawab telefon... Saya jijiklah!"

"Dura, tadi tu..."

"Awak inikan... Memang bebal, ya... Tak faham saya tak suka... Ikutkan hati memang cincin awak bagi tu saya nak campak dalam lubang jamban... Rupanya perangai awak pun macam papan jamban buruk!"

Sofi Aidura masih lagi di dalam kereta. Puas hatinya dapat melepaskan geram yang terbuku.

"Sofi Aidura, dengar sini..."

"Hah, nak dengar awak buat apa pulak? Awak jangan nak jadi badut bodohlah..."

"Sofi Aidura, tadi tu bukan saya... Housemate saya, Si Ronnie yang jawab telefon. Handphone saya tertinggal dalam tandas. Sorrylah... Kalau awak tak suka..."

"Banyaklah alasan awak!"

"Betul... Awak nak suruh saya buat apa? Awak nak suruh saya melutut mintak maaf? Awak kat mana? Kalau kat rumah, sekarang jugak saya datang..."

"Hei, jangan nak gila... Jangan nak buat drama pulak malam-malam ni!"

Sofi Aidura sebenarnya cemas. Dia tahu Farhan memang selalu buat kejutan. Ada-ada sahaja kerja gila yang dibuatnya.

Sofi Aidura tahu dia mesti bertegas. Malam ini semuanya mesti selesai. Kata-katanya perlu jelas. Kalau Farhan tidak faham hatinya, seribu kali pun dia sanggup mengulang semula kata-katanya itu.

Lebih dua puluh minit Sofi Aidura mengamuk di telefon. Setiap patah cemuhannya disambut lembut dan tenang oleh Farhan.

"Tak apalah... Saya tak kesah Dura nak marah-marah. Saya faham Dura sebenarnya terkejut. Biasalah... Silap saya tak beritahu awal. Dura baliklah dulu, take a hot shower, get a tight sleep lepas tu esok bila Dura bangun, keputusan Dura mesti berubah," pujuk Farhan yang akhirnya membuatkan Sofi Aidura menggaru kepala dan menghela nafas geram.

"Awak ni gilalah!"

"Bye, sayang... Dura balik ya! Atau Dura nak saya temankan Dura pulang ke rumah?"

Farhan macam biasa, suka menunjukkan sifat penuh gentleman.

"Huh, tak payah! Saya masih tahu jalan balik ke rumah!" jerit Sofi Aidura sebelum mematikan talian telefon.

Geram! Hatinya benar-benar terbakar.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro