Bab 1
Tubuhnya agak lampai berbanding gadis Melayu biasa. Dengan ketinggian 5 kaki 8 inci, apa jua baju yang tersarung tetap nampak cantik. Dengan lekuk yang agak dalam di antara bahagian pinggul dan pinggang, dia tahu dia sememangnya sedang-sedang!
Tidak gemuk dan jauh sekali kurus kering macam model Kate Moss. Badannya ala-ala Eva Mendes. Curvy and voluptuous, you might call it! Bahagian dada yang bengkak penuh dan menggiurkan menambah sempurna aset diri Sofi Aidura.
Tidak perlu terlalu mendedah atau menunjukkan jelapang kulit, mengenakan baju kurung kain kapas pun cukup untuk membangkitkan pesona seksi pada dirinya.
Apatah lagi gelaran pembahas terbaik varsiti berada dalam genggamannya selama tiga tahun berturut-turut. Dia tidak mampu menolak apabila ramai lelaki menghulurkan sapaan dan salam untuk berkenalan.
Sizzling Sofi. Adorable Adura.
Itu antara gelaran yang singgah di telinganya dari jejaka-jejaka kampus.
Nak buat macam mana... Bukan dia yang menjaja diri, jauh sekali merengek mencari cinta.
"Huh, dia orang ingat aku ni mi hot plate apa... Nak panggil aku Sizzling Sofi!" Pernah dia merungut begitu pada teman serumah.
"You ni hotlah, Dura! Allure and sexy! Kadang-kadang rasa nak gigit sebab nampak crunchy!"
Farhan kenalan yang tinggal berhampiran pangsapurinya pun memuji begitu.
"Hah? I ni hot? You pernah ukur I pakai termometer ke? Ha! Ha! Crunchy? Lawak antarabangsa tu... You fikir I ni buah epal ke?"
Selamba sahaja Sofi Aidura membalas sambil ketawa terkekeh-kekeh.
"Memanglah lelaki cair dengan kau, bila bercakap kau ni terlebih ramah! Aku rasa gincu yang kau pakai tu agaknya ada campur gula tak..." Suraya, rakan serumah sering mengusik apabila dia berkongsi cerita.
Si polan dari fakulti ini mahu berkenalan, si dia dari jabatan itu berikan e-mel cinta, dan entah dari mana, entah siapa, tiba-tiba mengirim WhatsApp lentok mahu mengayat!
"Huh, asal bercakap dengan lelaki mesti leher tu macam orang sakit tengkuk terlebih makan leher ayam. Terlentok ke kiri, terlentok ke kanan, mana lelaki tak lupa diri! Cakap sikit gelak, cakap sikit sengih..." Itu komen Nora yang juga sama-sama berkongsi rumah sewa dengannya.
Dengan rakan berdua itulah dia selalu berkeluh-kesah kalau pada satu peringkat dia menjadi pening dengan kerenah lelaki yang mahu menghurungnya macam semut terjumpa ibu gula.
Entah! Dia sendiri tidak pasti apa yang menyebabkan kekasih gelapnya menjadi keliling pinggang.
Kalau ikutkan hati, dia mahu jadi gadis yang biasa-biasa sahaja. Tetapi memang sejak azali, dia sering menjadi gadis yang luar biasa di mata lelaki!
Ada waktunya diri itu terlebih ramah. Mungkin keramahan itu menyebabkan lelaki selesa berbual dengannya. Ada sahaja topik mahu disembangkan.
Dari isu Palestin kena bom dengan Israel, sehinggalah isu roti canai yang ukur lilitnya sama kelebaran telur mata kerbau tetapi mahal, sehinggalah kepada topik minyak masak dan minyak petrol yang turun naik; semuanya boleh dijadikan bahan bual Sofi Aidura bersama kekasih-kekasih gelapnya.
Sofi Aidura tidak ambil peduli apa orang nak kata. Bukan dia tidak tahu, ada berpasang-pasang mata siswi lain yang kadangkala menjeling benci memandangnya. Itu belum lagi bisik-bisik yang didengar. Sofi Aidura tetap dengan caranya.
Tidak ada dalam kamus hidupnya untuk 'maintain ayu' di hadapan lelaki. Kalau dia mahu ketawa, dia akan ketawa sesedap rasa. Sekali dia memberi komen, pedasnya memang terangkat!
"You are not pretentious! Always full of zest, but of course a pour of pouty lips goes a long way."
Yang ini pula kata Abang Hisham, sahabat merangkap 'abang' yang sudah sekian lama mengenali dirinya.
Abang Sham bukan tidak tahu berapa banyak e-mel yang tersesat di dalam inbox Gmailnya. Kadang-kadang kalau laptopnya tersangkut gara-gara virus, Abang Sham yang membersihkannya.
Sofi Aidura tahu, Abang Sham curi-curi menjengah dan membaca e-mel yang bertimbun di dalam Gmailnya.
Itu belum lagi kalau telefonnya berdenting-denting dengan mesej. Ada yang PM di Facebook. Ada yang DM di Instagram dan ada yang WhatsApp di tingkap hijau.
Hai dear, kenapa ya... I rasa attracted to you in ways I can't explained.
Biasa sangat dia dapat mesej begitu dari entah mamat mana yang dia pun tak kenal. Lagi daring ada yang ajak keluar terus.
Dura, free tak? Jom dinner sama!
Nasib tak baik mesej merapu itu semua menderu masuk sewaktu telefonnya ditinggalkan di meja makan, sebelahnya ada Hisham dan dia sedang sibuk menambah pelembab bibir di tandas.
Kalau okey, muka Abang Sham biasa sahaja. Sedikit pun tidak tercuit emosinya. Tetapi kalau ada yang terover, muka Abang Sham akan berubah bengkak.
Sofi Aidura boleh membaca riak wajah cemburu Abang Sham. Selalunya Abang Sham tidak suka bertanya banyak, dia akan diam sahaja.
Kalau Abang Sham diam, Sofi Aidura malas mahu bertanya banyak. Lama-lama Abang Sham akan sejuk sendiri.
Dulu-dulu dia rajin juga melayan Facebook, Instagram, Twitter dan Blog. Tetapi sejak memasuki tahun akhir pengajian di Universiti Malaya, dia semakin kesuntukan masa.
Sesekali Abang Sham tegur dan membebel memberi nasihat. Sofi Aidura tahu, muka kelat Abang Sham akan kekal seminggu kalau lelaki itu terbaca mesej-mesej jiwang lagi miang di kotak DM Instagram atau di tingkap PM Facebook.
"Layan lagi ke segala Insta dengan Facebook ni? Lepas tu sendiri berkeluh tak sempat siapkan assignment?"
Sesekali pedar juga suara Hisham.
Dia akan tersengih-sengih tidak menjawab. Memang dengan lelaki itu dia selalu mengeluh atau merengek apabila stres kejar deadline tugasan kampus.
"Bos abang memang suruh aktif Insta. Tapi abang sengaja tak layan. Kalau abang aktif Insta, ada orang tu confirm bising. Boleh mengamuk kot tiap hari?"
Lembut sahaja suara Hisham tapi tepat ke jantung. Sofi Aidura yang tahu disindir, mengulum senyum pahit.
Demi keharmonian persahabatan, dia sendiri entah berapa kali deactivate akaun media sosialnya. Itu belum kira entah berapa kali juga dia menukar password.
Kadangkala gerak hati Hisham tepat. Masa dia membuat operasi serbuan dan pemeriksaan, waktu itulah Sofi Aidura terkantoi melayan entah mamat-mamat mana yang mahu menghurung dia seperti semut hurung gula.
Asalkan bertengkar dengan Hisham, dia akan tukar passwordnya. Esok lusa kalau berdamai, dia juga yang berkongsi password itu dengan Hisham.
Siapa Hisham? Susah dia nak kata. Kalau kawan sekuliah bertanya, dia selamba menjawab...
"Itu pak cik aku!"
Kalau orang berkerut dahi dan tidak percaya, dia akan kata...
"Eh, adik-beradik lelaki mak aku ada sebelas orang tau... Kenapa tak nak percaya pulak?"
Sengaja dia menjadikan alasan itu sebagai modal menjawab. Letih kalau dia mahu bercerita siapa Hisham di dalam dirinya.
Lelaki yang dahulunya dia kenal secara tidak sengaja itu memang cukup baik. Terlalu baik sebenarnya!
Menjaga dirinya bagai menatang minyak yang penuh. Melayan segala kerenah, angin dan kenakalan dirinya dengan penuh sabar. Cuma dirinya sahaja yang tidak pernah mahu yakin.
Siapalah dirinya mahu bergandingan dengan Hisham? Jejaka yang dikenali sebagai orang kepercayaan Syarikat Avant-Garde Event & Wedding Consultation itu sentiasa dikelilingi golongan rich and famous di Kuala Lumpur.
Dari golongan artis yang banyak skandal sampailah mak Datin yang kadangkala tersasul membahasakan diri Hisham sebagai darling, cukup untuk membuat Sofi Aidura berasa dirinya kerdil.
"Kenapa ya... Abang tergila-gilakan Dura?"
"Emmm... Bukan kawan-kawan abang aje yang bertanya, abang sendiri tak ada jawapannya!"
Hisham memang jujur dan tidak pandai berselindung, tetapi kata-kata Hisham itu membuatkan hatinya terbuku apabila dia membuat tafsiran sendiri.
Emmm... Maksud lain kata-kata itu, dia tidak layak bersama Hisham. Dia hanya budak kampus yang tiada apa-apa keistimewaan, sedang Hisham sudah jauh ke hadapan di alam pekerjaan.
Tugas sebagai wedding planner yang rutinnya penuh glam cukup membuatkan Sofi Aidura sedar diri!
Tanyalah Hisham, semua artis adalah kenalannya. Nombor telefon artis dan selebriti mana yang tiada dalam telefon bimbitnya.
Kalau ada peluang membelek telefon bimbit Hisham, Sofi Aidura memang makan hati. Berderet nombor telefon mak Datin dan selebriti tersimpan di dalamnya.
Mujur sahaja Hisham sejenis lelaki yang tak gila media sosial. Bos paksa ada akaun Insta pun tak dipedulikannya. Kalau tidak dia tahu, mahu rentung hangit dadanya menahan cemburu.
Ikutkan hati yang panas, mahu sahaja dia sabotaj dengan memadamkan semua nombor itu. Tetapi dia tahu, dia bukan isteri atau tunang Hisham.
"Abang kenal dia orang tu semua sebab kerja! Bukan ada apa-apa pun. Abang kenalah simpan nombor telefon pengacara TV sebab kadang-kadang klien abang mahu selebriti ni jadi hos majlis dia orang."
Alah... Alasan nak selamatkan diri! Itu yang terlintas dalam fikiran Sofi Aidura.
Semua rasa itu apabila disatukan, membuatkan Sofi Aidura tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi. Biarlah dia meniti perjalanan hidupnya bersama Hisham mengikut ketentuan takdir.
Que sera sera... Whatever will be, will be...
Untuk itu juga, dia berasakan tidak salah dia berkawan dengan sesiapa yang dia mahu. Peduli apa dia kalau orang mengata dia itu dan ini!
Bukan dia yang mencari, lelaki-lelaki itu sendiri yang mahu bersahabat. Dia memang sejak dahulu pejuang prinsip berkawan biar seribu, musuh jangan dicari, kalau nak berkasih nanti-nantilah dulu!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro