Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

Beberapa hari kemudian...

"JA... Jangan. Jangan!" jerit Lyssa. Badannya duduk tegak di atas katil. Peluh membasahi dahi Lyssa manakala nafasnya pula naik turun. Safina tersedar dari tidurnya, dia bergegas mendapatkan Lyssa.

"Kau dah sedar? Kau okey tak ni? Kenapa?" tanya Safina.

"Saf... Dia... Dia..."

Tercungap-cungap nafas Lyssa mahu meneruskan bicaranya. Namun sesuatu menarik perhatian Lyssa. Mata Lyssa melingas memandang sekelilingnya dan semerta dia ternganga.

Ini bilik tidurnya!

"Aku kat mana ni? Vila? Kenapa?" Bertubi-tubi Lyssa lontarkan soalan. Hairan. Aneh!

"Kita patutnya ada kat Ledang, kan?"

"Lyssa, relaks. Sabar."

Safina cuba tenangkan Lyssa yang tampak terkejut. Dia menarik tangan Lyssa lembut lalu ditepuknya perlahan. Gelas kaca yang tersedia di meja sisi diambil lalu dituang air ke dalamnya.

"Minum ni dulu," kata Safina seraya menghulur gelas kepada Lyssa.

Lyssa akur, dia turutkan sahaja apa yang Safina katakan. Safina capai tuala kecil lalu dahi Lyssa dilap lembut. Rambut Lyssa yang terjuntai di bahagian muka ditarik ke belakang cuping telinga. Gelas kosong diberikan semula kepada Safina.

"Thanks," ucap Lyssa perlahan, dibalas dengan senyuman tipis Safina.

"Dengar sini dulu. Kau jangan terkejut, jangan cakap apa-apa. Bagi aku cerita dulu." Safina memulakan mukadimahnya. Jemarinya menggenggam jemari Lyssa.

"Memang sepatutnya kita ada kat Ledang tapi kita balik sebab kau jatuh, tergelincir..."

Tak sempat Safina menghabiskan ceritanya, Lyssa sudah mencelah dahulu.

"Jatuh? Aku jatuh kat Ledang? Tapi kenapa? Apa jadi?"

"Kau... Tak ingat apa-apa ke?" tanya Safina.

Telapak tangan Lyssa melekap di dahi. Cuba mengutip semula cebisan memori yang dia ada.

"Aku ingat kita pergi Ledang. Aku ingat aku bercakap dengan Kak Sakinah. Tapi lepas tu aku pergi cari kau sebab kita kena cari kayu api. Itulah yang aku ingat. Bila masa aku jatuh?" tanya Lyssa semula. Tiada langsung memori dia terjatuh atau tergelincir di Ledang. Lyssa pandang Safina dengan dahi berkerut.

"Eh, taklah!"

Tiba-tiba Safina terjerit kecil.

"Errr... Maksud aku... Aku tak pergi cari kayu api. Last minute aku kena tukar tugas. Aku memasak malam tu," kata Safina.

Bertambah-tambah rasa bingung Lyssa, jelas terpamer di wajahnya. Safina menelan liurnya. Lambat-lambat dia bertanya kepada Lyssa.

"Kau... Memang tak ingat langsung?" tanyanya lagi yang disambut dengan gelengan Lyssa.

"Kau tergelincir sebab licin kut. Kan hujan sebelum kita sampai. Hari pun dah gelap, mesti kau tak nampak sangat. Lepas kita orang jumpa kau, Kak Sakinah terus inform papa kau. Dia ambil kita berdua balik sini. Dah dua hari kau tak sedarkan diri." Safina bercerita ringkas.

"Kau okey tak ni? Ada mana-mana bahagian sakit tak? Tangan? Kaki? Tengok muka ni, dah bercalar dah," kata Safina sambil tangan kanannya mengelus dahi Lyssa.

"Lenguh sikit aje ni. Kau ke yang jaga aku? Thank you, Saf. Sorry susahkan kau," ucap Lyssa terharu walaupun dia masih tidak memahami apa yang telah terjadi.

"Tak apalah. Aku temankan kau tidur aje sepanjang dua hari ni. Aku pergi panggil papa kau sekejap," pamit Safina. Lyssa sekadar mengangguk.

"Haih, macam manalah aku boleh cuai sangat?" omel Lyssa sambil menggeleng sendiri, menyesali sikap lalainya.

"Lyssa..."

Lyssa menoleh apabila namanya dipanggil.

"Lyssa..."

Terasa suara itu lebih dekat dengannya. Mata Lyssa membulat, dia melihat ke kanan dan kirinya. Safina tiada. Lantas... Siapa yang memanggilnya?

"Lyssa..." Kali ini ada tepukan lembut di bahunya.

"Ah!" Lyssa terjerit kecil. Saat wajah Safina memenuhi kornea matanya, Lyssa hembuskan nafas lega.

"Papa kau..." kata Safina sambil mulutnya dimuncungkan kepada Razak yang berdiri di belakangnya.

"Lyssa okey? Sakit tak?" soal Razak dengan riak risaunya. Mahu tercabut jantung si ayah apabila Sakinah memaklumkan anak tunggalnya itu jatuh tergelincir di Ledang. Semua mesyuarat dibatalkan demi si anak. Punggungnya terasa panas sepanjang perjalanan dan Razak hanya mampu menghela nafas panjang apabila dia tiba di hospital di mana Lyssa dihantar.

"Adalah rasa sengal-sengal sikit tapi okey aje," jawab Lyssa jujur. Sebuah senyuman memekar di bibir untuk meredakan sedikit kegundahan si bapa.

"COMELLAH anak Laila tadi," komen Lyssa. Safina yang berjalan beriringan dengannya mengangguk laju, bersetuju dengan apa yang dikatakan Lyssa.

Malam tadi, mereka berdua menerima panggilan daripada Didi yang mengkhabarkan berita gembira. Laila, rakan sekuliah mereka sudah selamat bersalin. Diikutkan rasa teruja, Lyssalah yang beria-ia mengajak Safina ke hospital untuk melawat Laila. Ditegah Razak dan disuruh untuk rehatkan diri dulu di rumah tapi Lyssa degil. Pelbagai alasan diberi hinggakan akhirnya Razak terpaksa mengalah.

Lewat ekor mata, Safina kerling Lyssa. Sepertinya keadaan Lyssa baik-baik saja lalu Safina rumuskan rakannya itu sihat.

Fizikal. Dan mental.

Terbayang-bayang kecomelan anak Laila di layar mata Lyssa. Putih gebu. Pipi tembam. Kalau tak kenangkan bayi itu baru lahir, mahu saja Lyssa cubit-cubit pipinya. Geram!

"Lyssa..."

Satu suara memanggil Lyssa sekaligus memasung langkahnya. Lyssa berpaling pada Safina.

"Hmmm?"

"Kenapa?"

"Kenapa kau panggil aku?" Soalan berbalas soalan. Berkerut dahi Safina mendengarkan soalan itu. Kepala lantas digeleng sebagai penafian.

"Tak ada ke? Oh, okey," jawab Lyssa sambil menggaru lehernya yang tak gatal. Sejak dua hari lepas dia asyik mendengar suara orang memanggilnya tapi Lyssa sangkakan itu ialah khayalannya semata-mata.

"Takkanlah aku dah jadi narcissist kut? Suka nama sendiri pula? Sebab tu asyik dengar nama aku aje?"

Lyssa berteka-teki dengan dirinya sendiri.

"Aku harap kau takkan ingat langsung, Lyssa..."

Langkah Lyssa mati. Dia menoleh ke belakang dan matanya tajam menikam anak mata Safina. Rakannya itu sudah terkedu sendiri.

"Kau tak nak aku ingat apa?"

"Eh? Ap... Apa?"

"Aku dengar kau cakap tadi. Kau harap aku takkan ingat langsung. Ingat apa?"

Membulat mata Safina mendengarkan itu. Liur diteguk. Payah.

"Errr... Mana ada. Aku... Aku tak cakap apa-apa pun," kata Safina tergagap-gagap.

"Serius?" tanya Lyssa lagi.

"Betul! Sumpah! Aku memang tak bersuara langsung tadi!" Safina siap mengangkat tangannya seperti orang yang bersumpah.

Kira-kira lima meter dari Lyssa dan Safina, seorang wanita berdiri sambil memeluk tubuh. Anak mata terpaku tepat pada Lyssa. Tak lepas mengekori pergerakan Lyssa walaupun untuk sesaat.

"Lyssa... Awak ke orangnya?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro