Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

PENSEL yang digunakan Lyssa laju berlari di atas buku notanya. Kemudian mata Lyssa membaca buku teks sambil akalnya laju memproses dan mencerna bacaannya itu. Untuk seketika, Lyssa tenggelam dalam dunia bacaannya.

Sekuntum bunga ros merah yang wujud tiba-tiba di atas buku teks buatkan Lyssa tercengang sendiri. Bunga?

"Untuk awak," kata seorang lelaki di kirinya.

"Fitri?"

"Saya nak ucapkan terima kasih sebab tolong saya hari tu."

Fitri menjelaskan niatnya. Bibirnya tak lekang dengan senyuman.

"Oh..."

Lyssa angguk kemudian cepat-cepat dia menggeleng.

"Eh, tak apalah," kata Lyssa. Bunga ros merah diangkat lalu diletak tepat di depan Fitri. Tanda Lyssa menolak pemberian bunga tersebut.

"Boleh tak saya nak kenal dengan awak?" tanya Fitri tiba-tiba. Berjaya buatkan Lyssa melopong.

"Saya nak berkenalan dengan awak," tambah Fitri lagi, kali ini nadanya lebih meleret daripada tadi. Fitri tertunduk malu, cepat-cepat dia atur langkahnya meninggalkan Lyssa.

Bertambah-tambah tercengang Lyssa dibuatnya. Apakah? Tiba-tiba muncul bagi bunga, lepas tu cakap nak berkenalan dan pergi macam tu aje? Mata Lyssa dikedipkan berkali-kali. Akalnya sempat membandingkan Fitri yang dilihatnya sebelum ini dengan Fitri tadi. Sebelum ini takut-takut di depan Yuskhairi tapi hari ini...

Dia berani bermain cinta dengan Lyssa?!

Lyssa menyengih. Terhibur pula hatinya bila fikirkan keletah Fitri yang sedikit comel itu. Bunga ros diambil semula lalu dihidu baunya. Tipikal respons yang dilakukan oleh wanita yang menerima bunga.

"Wow, bunga siapa ni?" tegur Safina yang baru tiba. Punggung dihenyak di atas kerusi. Saat Lyssa letakkan bunga di atas meja, laju saja Safina capai bunga tersebut. Dihidunya.

"Bau fresh lagi ni," komen Safina. Dilihatnya Lyssa sudah menjongket bahu.

"Entahlah. Memang dah ada atas meja ni..."

SEPERTI yang dijanjikan, Lyssa, Safina, Didi dan Rina bertemu di sebuah kelas kosong untuk menyiapkan big book mereka. Tiga jam berlalu dan akhirnya tinggal Lyssa dan Safina berdua di dalam kelas itu.

Memandangkan Didi mempunyai kereta sendiri, Didi diberi amanah untuk membawa big book pulang.

"Saf, tengok ni," kata Lyssa sebaik sahaja bayang Didi dan Rina tiada. Sekuntum bunga ros merah diletakkan di atas meja. Mulut Safina ternganga, jelas terkejut dengan apa yang dilihatnya.

"Lagi?!"

Lyssa mengangguk. Lemah. Seminggu lepas dia yang beria-ia menipu Safina dan menafikan perihal bunga itu tetapi kelmarin, Lyssa mula berterus-terang dengan Safina. Hanya Safinalah tempat dia bercerita dan mengadu domba.

"Dah seminggu dia bagi aku bunga ni."

Jelas nada Lyssa seperti orang putus harapan. Alasan-alasan yang diberi supaya Fitri berhenti memberinya bunga ibarat mencurah air ke daun keladi. Tiada impak sama sekali. Setiap hari, Fitri akan mencarinya semata-mata untuk menghadiahkan sekuntum bunga ros.

"Aku rasa dia suka kaulah, Lyssa." Safina membuat kesimpulannya.

"Gila!" Tak sampai sesaat, Lyssa lontarkan komen ikhlasnya.

"Gilakan kaulah. Dia sepatutnya takutkan mamat tu. Tapi dia berani juga nak approach kau," komen Safina.

"Itu lagilah gila. Aku tolong dia literally sekali tu aje. Takkanlah sebab tu dia terus suka aku?"

"Dan mamat tu pun tolong kau literally sekali aje tapi mamat tu terus melekat dengan kau sampai sekarang. Ada beza ke?" cantas Safina pula, mengingatkan Lyssa tentang dia dan Yuskhairi. Sememangnya Safina hanya menggelar Yuskhairi sebagai 'mamat tu'.

Tak dapat Lyssa bidas kata-kata Safina yang dirasakan logik. Sudahnya, Lyssa menukar topik perbualan mereka. Semester ini, mereka berdua mahu menyertai ekspedisi Ledang yang dianjurkan oleh pihak kolej. Jika diikutkan hati, Lyssa enggan. Tapi pujukan Safina yang minta ditemani buatkan Lyssa mengalah akhirnya.

"Jomlah, Saf. Lagi sepuluh minit ada meeting untuk ekspedisi Ledang..."

Safina tepuk dahi. Benar-benar terlupa!

"Nasib baik kau ingatkan. Jomlah," jawab Safina.

Di luar kelas, ros pemberian Fitri dibuang ke dalam bakul sampah. Tak berperasaan wajah Lyssa. Tanda bunga ros tersebut tak bererti apa-apa untuknya. Tangan Lyssa memeluk lengan Safina sementara bibirnya sibuk berceloteh memberitahu apa yang ingin dia lakukan di Ledang nanti.

Wujud sepasang kaki mendekati bakul sampah. Tangannya mengambil bunga ros itu lalu digenggam kuat. Saat genggaman dibuka, satu per satu kelopak jatuh semula ke dalam bakul sampah. Anak mata menyoroti langkah Lyssa yang semakin jauh daripadanya.

Tika ini... Hati yang dipenuhi amarah buatkan wajahnya berubah merah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro