
Bab 15
"RUMAH aku kat hujung jalan," beritahu Syafiah. Lyssa mengangguk cuma.
"Kau nak pergi mana ni?"
"Ya Allah!" Terjerit Lyssa apabila dirinya disergah Hafiy. Tangan mengurut dada. Mata menjegil Hafiy tapi lelaki itu sekadar tayang sengih.
"Kau nak pergi mana?"
Hafiy mengulang soalannya.
"Kau pula buat apa kat sini?" balas Lyssa dengan mata dicerunkan.
"Aku ikut kaulah," jawab Hafiy bersahaja. Mata meliar sebelum dia lontarkan soalan seterusnya.
"Rumah siapa kat sini?"
"Rumah kawan aku," jawab Lyssa acuh tak acuh sambil mengatur langkahnya semula. Mengabaikan Hafiy yang terkial-kial mengekorinya.
Setahu Lyssa, Hafiy tiada di rumahnya pagi tadi. Dapatlah Lyssa hembuskan nafas lega apabila memikirkan dirinya tidak didampingi hantu itu. Ringan saja hatinya keluar rumah awal-awal pagi untuk tunaikan permintaan Syafiah.
Dan sekarang...
Hantu ni nak juga ikut aku! desis hati Lyssa.
"Dia baik, Lyssa," kata Syafiah. Semerta tawa Lyssa meledak. Baik? Lyssa ulang perkataan itu dengan bibir dicemikkan.
"Percayalah cakap aku. Dia baik," tambah Syafiah. Lyssa sudah menggeleng kecil, langsung tak ambil pusing kata-kata itu.
"Inilah rumah aku."
Syafiah memberitahu.
Automatik langkah Lyssa mati. Dipandangnya pagar berwarna putih untuk beberapa saat sebelum Lyssa lontarkan soalannya kepada Syafiah. Hafiy yang masih ada di sisinya diabaikan sama sekali.
"Kau confirm ke nak aku tanya dia? Kau tak takut kalau..."
"Tak. Aku yakin dia takkan duakan aku," jawab Syafiah dengan nada tegasnya.
"Kalau kau yakin, kenapa kau nak aku cek juga?" tukas Lyssa.
Kepala Hafiy tertoleh ke kanan dan kirinya, cuba mencari insan lain yang ada di situ. Dia pasti soalan itu bukan ditujukan untuknya tapi tiada orang lain di situ melainkan mereka berdua. Hafiy sudah berkira-kira untuk bertanya namun niatnya terbantut apabila Lyssa bersuara lagi.
"Kalau kau nak, aku boleh balik rumah semula. Kau yang kena buat keputusan, Syafiah. Aku cuma ikutkan kehendak kau aje," kata Lyssa lagi.
Hafiy diam, telinganya tidak dapat mendengar sebarang respons.
"Lyssa. Kau cakap dengan siapa?"
Hafiy bertanya panasaran.
"Shhh..." Lyssa letakkan jari telunjuknya di bibir. Sesaat kemudian, Lyssa pandang Hafiy. Kedua-duanya pamer riak bingung.
"Kau tak dengar apa-apa ke?" tanya Lyssa.
"Selain suara aku, kau tak dengar suara orang lain?"
Lyssa menyusun semula soalannya agar kali ini lebih jelas. Gelengan Hafiy mengundang kerutan di dahi Lyssa.
Oh! Kenapa macam tu? Aku boleh dengar suara Syafiah dan Hafiy tapi Hafiy tak boleh dengar suara Syafiah. Kalau macam tu, Hafiy ni sebenarnya apa? Dia bukan hantu ke?
"Lyssa..." panggil Syafiah.
Semerta perhatian Lyssa teralih. Proton Preve hitam di pekarangan rumah dikerling sekilas sebelum Lyssa memberi salam. Jari telunjuk menekan loceng rumah berkali-kali.
"Assalamualaikum..." laung Lyssa.
"Assalamualaikum!" laungnya untuk kali kedua.
"Aku rasa tak ada orang," komen Hafiy. Dipandangnya Lyssa yang masih memberi salam untuk kali ketiga. Muncul niat untuk menegur.
"Orang kata, kalau dah bagi salam tiga kali tapi masih tak ada orang jawab, kita dah kena balik," beritahunya pula. Memberi pendapat yang tak dipinta Lyssa. Kedengaran Lyssa merengus.
"Jangan kacau aku. Boleh tak?" tanyanya geram.
Sakit juga hati Lyssa apabila Hafiy dirasakan mengganggunya. Selama ini dia sudah terbiasa bergerak seorang diri. Maka kewujudan Hafiy sedikit sebanyak mengganggu ketenangannya.
"Aku bukannya nak distract kau. Aku cuma..."
Dan apa saja yang Hafiy hendak katakan, mati di situ. Satu figura muncul di depan pagar sekaligus menarik dua pasang mata ke arahnya.
"Waalaikumussalam..." kata lelaki berbaju T putih itu. Wajah Lyssa direnungnya tajam.
Lambat-lambat Lyssa telan liur.
"Zaidi?"
"AKU tak nak jadi kepoh tapi aku tak boleh tahan perasaan curious aku. Kenapa kau datang sini? Siapa Syafiah? Siapa Zaidi? Syafiah ada kat sini ke? Mana dia?"
Satu demi satu soalan Hafiy lontarkan. Kemudian dia pandang Zaidi dengan cemikan di bibir. Perkataan sebal ibarat tertulis di seluruh wajah Hafiy.
Sebal apabila mata Zaidi terus-terusan tertancap pada Lyssa. Kemudian Hafiy pandang Lyssa yang duduk bertentangan dengan Zaidi pula. Bertambah-tambah rasa sebalnya.
Lyssa membalas renungan lelaki itu!
"Barang apa yang kau kirim kat Sya?" tanya Zaidi.
Riak serius dipamer pada tetamu tak diundang itu. Bukan sekadar tak diundang, malah...
"Siapa kau sebenarnya? Kau bukan kawan Sya, kan?" soalnya pula.
Terkebil-kebil Lyssa dibuatnya mendengarkan nada keras itu. Ditambah pula dengan tebakan Zaidi yang tepat mengena, lagilah Lyssa bungkam!
Zaidi koyak senyuman sinisnya. Walaupun Lyssa memperkenalkan dirinya sebagai kenalan lama Syafiah, Zaidi tahu benar Lyssa sedang menipunya. Namun tetap juga Lyssa dipelawa masuk. Sengaja. Ingin tahu apa yang Lyssa mahukan daripadanya.
"Kau datang sini sebab nak rosakkan rumah tangga aku juga? Kau pun sama macam Yati, kan? Apa? Lepas ni Jabatan Agama Islam akan tangkap kita?"
Zaidi terus-terusan melontarkan soalan yang lebih berupa tuduhan. Setiap satu soalan itu diungkap dengan nada sinis.
Seketika, Lyssa bungkam. Masuk saat seterusnya, kepala Lyssa sudah tergeleng. Dari analisa awalnya, dia tahu Zaidi seorang yang baran. Perhatikan bahasa tubuh, renungan dan nadanya. Cukup untuk meyakinkan Lyssa tentang perwatakan lelaki itu.
"Lyssa, kita baliklah. Serius, aku tak suka dia," kata Hafiy yang sudah pamerkan muka cemberutnya. Tak kiralah apapun urusan di antara Lyssa dan Zaidi, Hafiy tetap mahukan Lyssa segera beredar.
"Lyssa... Jangan balik dulu. Tolong aku," rayu Syafiah pula. Ada nada terdesak di situ, mengharapkan Lyssa meneruskan niatnya.
Mendengarkan itu, Lyssa lepaskan keluhan kecil pula. Kalau diikutkan hati, dia juga bersetuju dengan Hafiy. Mahu cepat-cepat keluar dari rumah Zaidi namun permintaan Syafiah berjaya memasung kakinya. Lyssa angkat muka. Anak mata dihalakan pada anak mata Zaidi. Alang-alang Zaidi memetik nama Yati...
"Aku bukan kawan Sya. Tapi aku pedulikan perasaan dia. Kau pula macam mana? Sebagai suami dia, kau lebih pentingkan Sya ataupun Yati? Ataupun perempuan lain yang nak paksa kau kahwin dengan dia?"
Lyssa tidak menyindir namun tetap juga Zaidi rasa disinis. Sekelip mata amarahnya meledak. Dari duduk, Zaidi berdiri dan meluru ke arah Lyssa. Kedua-dua bahu Lyssa ditolak hinggakan tubuh Lyssa tersandar di sofa.
"Lepaslah!"
Lyssa gerakkan bahunya sambil tangannya cuba menepis tangan Zaidi namun gagal. Cengkaman Zaidi seakan-akan menguncinya di situ.
"Lyssa!" jerit Syafiah.
"Lepaskan Lyssa. Lepaslah!" bentak Hafiy pula.
Tangan cuba menarik Zaidi namun gagal. Hafiy layangkan penumbuknya pula dengan harapan Zaidi akan lepaskan Lyssa namun tak berkesan sama sekali. Tembus lolos begitu saja.
"Kau..."
Zaidi ketap giginya. Darah terus-terusan menyerbu ke muka.
"Kau tak tahu apa-apa pasal aku dan Sya. Kau tak tahu pasal Yati juga jadi jangan cakap apa-apa."
Keras. Berbaur amaran. Anak matanya memancarkan api.
"Aku memang tak tahu apa-apa pasal kau dan Yati. Tapi aku tahu something. Syafiah... Dia betul-betul sayangkan kau," kata Lyssa dengan tenang.
"Dan aku tahu kau pun sayangkan dia," tambah Lyssa lagi.
Kendur. Lalu lesap ketegangan di wajah Zaidi. Cengkaman di bahu kian longgar hingga akhirnya bahu terasa lapang. Sama seperti dada Lyssa kini.
Zaidi berundur beberapa tapak ke belakang. Bicara Lyssa berjaya buatkan emosinya berubah.
"Macam mana kau tahu dia betul-betul sayangkan aku?" soal Zaidi. Anak mata yang tadinya galak kini menjadi kuyu.
Mata Lyssa terpaku pada potret Zaidi dan Syafiah yang tergantung di dinding. Kedua-duanya memakai busana pengantin dan tersenyum gembira memandang satu sama lain.
"Cuba kau tengok cara kau orang pandang satu sama lain. Orang buta pun boleh rasakan keikhlasan kau orang. Boleh nampak dalamnya cinta kau orang pada satu sama lain."
Kepala Zaidi terdongak memandangnya. Kini pandangan mata Lyssa dan Zaidi bertaut.
"Dan kau patut tengok mata kau sekarang, Zaidi. Kau boleh jadi ganas, tunjuk sisi baran kau tapi mata kau tak boleh tipu aku. Kau tengah sorokkan rasa sedih kau. Rasa kehilangan."
Pegun tubuh Zaidi mendengarkan itu. Tahu-tahu saja matanya sudah berkaca. Wajah yang tadinya merah kerana marah kini sudah berubah sebab, merah dek kepiluan hati.
Hafiy mara menghampiri Lyssa. Ayat-ayat itu bukan ditujukan padanya namun tetap juga dia tersentuh hati.
"Aku... Betul-betul cintakan Sya. Cuma dia seorang, tak ada orang lain. Dia aje yang terima baik buruk aku, yang bertahan dengan aku walaupun aku tak sebaik mana."
Lirih Zaidi membuka cerita tentang dia dan Syafiah. Punggung dihenyakkan di atas sofa. Longlai.
Lyssa dan Hafiy sama-sama memasang telinga. Menumpukan perhatian sepenuhnya pada kisah yang bakal diceritakan Zaidi.
"Yati ex-girlfriend aku. Demi Allah, aku tak tahu dia kawan Sya. Bila kawan-kawan Sya buat reunion, kita orang jumpa semula. Yati tak pernah buat perangai depan Sya. Tapi belakang Sya, Yati selalu kacau aku di tempat kerja. Selalu hantar WhatsApp, ajak aku kahwin."
Penyesalan menyalut hatinya. Dek keputusannya merahsiakan perihal Yati daripada Syafiah, hubungan mereka suami isteri berantakan.
"Sya datang tempat kerja aku untuk hantarkan makanan. Tapi dia nampak Yati peluk aku. Lepas tu kita orang bergaduh besar. Mula daripada situ, macam-macam perempuan call aku. Datang rumah dan claim yang kita orang pernah ada affair. Demi Allah, aku tak pernah sentuh perempuan lain selain Sya! Dia satu-satunya untuk aku, tak pernah ada orang lain selain dia!"
Suara Zaidi meninggi di hujung bicara. Terhenjut bahu Lyssa disergah sebegitu. Lambat-lambat dia mengeyakan dengan anggukan.
Kisah Zaidi dan Syafiah tak berhenti di situ. Saban hari mereka bertengkar. Syafiah terus-terusan pertikaikan perasaan Zaidi hingga satu hari mereka bergaduh besar. Syafiah yang terlalu ikutkan perasaan meninggalkan rumah. Kereta dipandu dalam pada emosi tak stabil dan fikirannya tak waras hinggalah...
"Sya meninggal sebab aku. Dia accident lepas kita orang bergaduh besar. Akulah punca dia meninggal," kata Zaidi sendu. Air mata lelakinya berjuraian keluar tanpa segan.
"Aku tak sempat minta maaf dengan Sya sebelum dia meninggal. Aku tak sempat bagi tahu dia for one last time yang aku betul-betul cintakan dia. Aku tak sempat yakinkan dia yang cinta aku ni memang untuk dia seorang..."
Ini bukan kisah hidupnya tapi hati seorang Nur Lyssa tetap tersentuh. Begitu dalamnya kasih sayang suami isteri itu. Begitu utuhnya cinta dalam hati masing-masing namun goyah dek fitnah dan cemburu. Air mata yang mulai bergenang, ditahan sebaik mungkin agar tidak jatuh ke pipi.
"Lyssa, tolong aku..." kata Syafiah. Akhirnya. Selepas begitu lama dia membisu.
"Tolong bagi tahu dia, aku sayangkan dia."
Lyssa akur. Anak mata Zaidi ditatap redup.
"Sya sayangkan kau," ungkap Lyssa ringkas namun berjaya buatkan hati Zaidi terusik.
"Jangan seksa diri macam ni," kata Syafiah lagi.
"Sya mesti tak nak kau seksa diri kau. Kau tahu tak, Syafiah lagi menderita kalau dia tengok kau macam ni. Tolonglah teruskan hidup kau macam biasa demi Sya."
Dan Zaidi terus mendengar. Ayat-ayat itu seolah-olah didengarinya langsung daripada Syafiah, tanpa ada Lyssa sebagai perantara.
"Sya meninggal bukannya sebab kau. Allah lebih sayangkan dia, Zaidi. Jangan salahkan diri kau. Kau tak bunuh dia. Bukan kau juga penyebab dia mati," kata Lyssa lagi, terus menyampaikan apa yang dibisik Syafiah ke telinganya.
"I love you," kata Syafiah lagi.
"Dan Sya nak kau tahu, dia selalu cintakan kau. Sampai bila-bila..."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro