BAB 1
PROLOG
BUNYI cengkerik dan unggas didengarnya dengan jelas. Seolah-olah mereka saling berlumba-lumba bunyi siapa yang paling kuat. Lyssa terus berjalan sambil berpeluk tubuh. Tak tahulah apa yang merasuk fikirannya dan bagaimana dia boleh membiarkan dirinya dihasut suara itu hinggakan Lyssa sanggup curi-curi keluar vila.
"Kat depan. Kanan."
Suara itu didengarnya lagi. Wajah yang sememangnya pucat semakin menyamai warna kelabu.
"Sabar, Lyssa. Sikit aje lagi..."
Mendengarkan itu, Lyssa terus berlari meredah kawasan hutan itu. Tak sabar mahu tiba ke destinasinya. Kaki mulai berbirat. Terasa ada cecair hangat yang mengalir di kakinya. Air mata berlinang. Mulalah Lyssa sesali keputusannya.
Kenapa kau bodoh sangat, Lyssa? Kenapa kau percayakan suara tu? Kenapa kau sanggup masuk hutan malam-malam seorang diri?
Saat Lyssa berperang dengan dirinya sendiri, Lyssa juga sedar akan satu fakta (dia tak boleh berpatah balik).
"Lyssa..."
Terkesima Lyssa bila namanya dipanggil. Angin malam mula menampar wajahnya. Seram sejuk tubuhnya saat ini. Apa lagi yang suara itu ingin katakan?
"Kau... Nak apa lagi? A... Aku dah sampai ni! Kau... Nak... Apa?!" jerit Lyssa.
"Kat bawah, Lyssa..."
Terkedu Lyssa seketika. Bawah? Kepala ditunduk, perlahan-lahan lututnya dijatuhkan. Tangan Lyssa meraba tanah yang dipenuhi dengan daun-daun kering. Makin laju pergerakan tangannya hinggalah hujung jarinya tersentuh secebis kain. Liur ditelan. Kelat. Payau.
"Terima kasih, Lyssa. Itu baju akak. Sekurang-kurangnya akak boleh dikebumikan dengan cara yang sepatutnya..."
Kelabu terus wajah Lyssa tika itu!
BAB 1
LYSSA berjalan melepasi kafe lalu menaiki anak tangga dan seterusnya berjalan masuk ke dalam perpustakaan. Sengaja memilih tempat yang tersorok agar dirinya tak diganggu. Mata memandang ke kanan dan ke kiri sebelum Lyssa melirik senyuman nakal.
Kepala dilentokkan di atas meja. Dengan lafaz basmalah, mata dikatup rapat tanpa mengambil peduli pandangan orang lain terhadap dirinya.
Bukan dia seorang saja yang mengambil kesempatan untuk tidur di dalam perpustakaan. Ia sudah menjadi satu aktiviti lazim bagi pelajar-pelajar yang menunggu kelas seterusnya.
Untuk beberapa minit, Lyssa tenggelam dalam alam mimpinya hinggalah...
Mejanya terasa bergegar. Serta-merta Lyssa tersedar tapi mata masih belum dibuka. Dikakukan badan seketika. Beberapa saat kemudian, sekali lagi mejanya bergegar.
Sah, mejanya ditendang seseorang! Mata dicelikkan sebelah. Kali ketiga mejanya ditendang, Lyssa hilang sabar. Dia menarik nafas panjang, mulut sudah dibuka untuk menempelak si pelaku.
"Hei..."
Suara Lyssa jadi kendur dan seterusnya dia hilang kata-kata. Mata berkelip memandang satu figura yang cukup dikenalinya.
"Syok tidur?" sindir lelaki itu ditemani sebuah senyuman sinis di bibirnya.
Liur ditelan kelat sebelum Lyssa membuka mulut untuk membalas sindiran lelaki itu.
"Ap..."
Tak sempat Lyssa nak menjawab, tiba-tiba satu suara nyaring muncul di belakangnya.
"Yuskhairi! Awak boleh didenda sebab buat bising dalam library ni, tahu tak?"
Maria, staf perpustakaan muncul dengan wajah garangnya. Semerta mata Lyssa dan Yuskhairi tertancap pada Maria. Dahi yang tak gatal, Yuskhairi garu. Kemudian dia pandang Lyssa semula.
"Tengoklah. Aku nak jumpa kau pun susah. Tak pasal-pasal kena marah dengan Kak Maria," omel Yuskhairi. Kemudian sengihan kambing ditayang di depan Maria.
"Sorry kak, saya cuma..."
"Dah! Keluar sekarang!" arah Maria.
Langsung tak beri peluang pada Yuskhairi untuk membela dirinya. Jari telunjuk tegak mengunjuk pintu perpustakaan.
Air muka Yuskhairi berubah. Terutamanya apabila dirinya menjadi perhatian orang lain. Lyssa pula yang tak senang duduk. Cepat-cepat dia berdiri dan mendekati Yuskhairi.
"Lyssa minta maaf, kak. Lyssa janji, lain kali kita orang tak buat lagi."
"Akak bukannya marah Lyssa. Yuskhairi yang buat bising, kenapa Lyssa pula yang kena minta maaf?"
"Lyssa tahu, tapi..."
Bicara Lyssa terhenti apabila mejanya ditendang sekali lagi. Lyssa jegilkan mata pada Yuskhairi.
Tak faham ke Kak Maria tengah marah tu?!
"Yuskhairi, awak keluar sekarang. Lagi sekali awak buat bising dalam library, saya akan blacklist nama awak!"
Tinggi suara Maria kedengaran. Beberapa orang sudah mula berbisik dan Sahir, staf perpustakaan mara menghampiri mereka. Hujung bibir Yuskhairi senget.
Lyssa dijelingnya sekilas sebelum kaki diatur keluar daripada perpustakaan. Melihatkan itu, Lyssa pantas mencapai buku-buku yang dibawanya tadi. Niatnya hanya satu, kejar Yuskhairi.
"Lyssa..." panggil Maria sekali gus membantutkan langkah Lyssa. Jari-jemari Maria menyentuh lengan Lyssa. Wajah yang tadinya tegang kini sudah tersenyum manis.
"Kenapa Lyssa nak ikut dia? Why don't you stop?" tanyanya yang diakhiri dengan keluhan kecil.
Terpaksalah Lyssa tayang senyuman separa ikhlasnya. Sejujurnya, dia pun dah naik malu dengan Maria! Bukan sekali dua babak sebegini berlaku. Sudah berulang kali dan pokok pangkal cerita tetap sama. Lyssa ke perpustakaan, Yuskhairi datang mengganggunya, Maria beri amaran pada Yuskhairi sebelum lelaki itu keluar dari perpustakaan dan kemudian Lyssa terkedek-kedek mengejar Yuskhairi.
"Kak, Lyssa tahu akak concern pasal Lyssa tapi benda ni takkan jadi kalau bukan sebab Lyssa. Sorry, kak. Lyssa janji lepas ni Lyssa takkan masuk library lagi. Apapun, terima kasih sebab risaukan Lyssa," katanya seraya menolak lembut tangan Maria. Sehabis bicara, Lyssa meluru keluar mengejar Yuskhairi. Meninggalkan Maria dengan seribu satu rasa.
"Kenapa? Budak tu buat perangai lagi?" tanya Sahir yang sudah pun berdiri di sisi Maria. Wajah hampa Maria memadai untuk memberinya jawapan.
"NANTILAH. Kau nak pergi mana ni?" tanya Lyssa sebaik dia dapat menyaingi langkah Yuskhairi. Lelaki itu berhenti melangkah. Dipandangnya Lyssa dengan rasa berbuku.
"Kenapa kau tak layan aku tadi?"
"Aku kan tengah tidur tadi. Manalah aku tahu..."
Dan apa jua jawapan yang mahu diberikan Lyssa tergantung di situ apabila Yuskhairi menyambung semula langkahnya. Lyssa lepaskan keluhan kecil sebelum tangan dipanjangkan untuk menarik baju Yuskhairi daripada belakang.
"Sabarlah," katanya. Masih dalam nada lembut.
Langkah Yuskhairi mati. Dibiarkan saja Lyssa mendekati dirinya namun pandangannya sengaja dibuang ke tempat lain.
"Kenapa bibir berdarah tu?" tanya Lyssa dengan jari telunjuknya tepat mengunjuk pada bibir Yuskhairi. Darah di bibir Yuskhairi sememangnya menarik perhatian Lyssa sejak tadi lagi. Meski ini bukan kali pertama, Lyssa tak dapat halang dirinya daripada bertanya. Panasaran!
Darah? Tangan Yuskhairi dibawa ke bibir.
"Oh..." Hanya itu yang terluah dari bibir Yuskhairi.
Mencerlung mata Lyssa apabila matanya tertancap pada jari-jemari Yuskhairi. Berdarah juga!
"Kenapa tangan kau berdarah juga? Kau bergaduh lagi ke? Dengan siapa?"
Yuskhairi jongket bahu. Tanda enggan berkongsi cerita dengan Lyssa. Tangan kanan menggosok lengan yang terasa lenguh. Sesaat kemudian, tangan beralih ke perut pula. Senak.
"Aku patut balik aje tadi. Kenapalah aku sibuk nak datang jumpa dia ni juga?" omel Yuskhairi. Malas mahu biarkan dirinya terus-terusan ditatap Lyssa, kaki diatur melepasi gadis itu.
Sekali lagi Lyssa mengejarnya. Kali ini dia berdiri tepat-tepat di hadapan lelaki itu sekali gus menghalang langkah Yuskhairi. Jegilan mata Yuskhairi diabaikan. Tanpa kata, tangan diseluk masuk ke dalam poket seluar.
"Nah, ambil plaster ni. Aku tak tahulah kenapa kau selalu luka-luka macam ni. Tampal kat bibir tu. Kau nak pergi klinik tak? Nak aku temankan?"
Lembutnya nada Lyssa mampu buatkan hati mana-mana lelaki tersentuh. Termasuklah Yuskhairi.
"Kau care juga pasal aku, eh? Mana dapat plaster ni?" tanya Yuskhairi yang sudah membentuk senyum.
Namun tak sampai sesaat, senyuman itu terpadam dek kebisuan Lyssa. Mudah saja emosi Yuskhairi berubah-ubah kerana seorang Lyssa. Wajah berganti muram.
"Tepilah," kata Yuskhairi kasar. Tanpa sebarang pamitan, lelaki itu jalan menonong meninggalkan Lyssa menuju ke kereta Proton Wiranya.
Yuskhairi boloskan diri ke dalam kereta. Enjin dihidupkan. Apabila kereta mulai bergerak, Yuskhairi arahkan keretanya mendekati Lyssa.
Refleks, Lyssa berundur beberapa tapak ke belakang. Terpinga-pinga dia apabila kereta yang dipandu Yuskhairi berhenti tepat di depannya.
"Aku kena pergi somewhere. Habis kelas nanti, tunggu aku macam biasa. Jangan pergi mana-mana," pesan Yuskhairi. Lagak tak ubah seperti si ayah yang sedang menasihati anak gadisnya. Tak sempat Lyssa angguk mahupun menggeleng, tingkap kereta sudah dinaikkan semula. Dan kereta Yuskhairi beransur hilang dari pandangan mata.
Untuk beberapa saat, Lyssa termangu. Kemudian bibirnya mula mengukir senyum. Manis.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro