Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

8 | Tidak Berpenghujung

Dingin musim luruh di negara asing ini mendamaikan. Malas hendak melayan kawan-kawan lain yang pergi window shopping, aku lebih rela mengambil angin di tepi tasik ini sedangkan dulu aku pun kaki window shopping juga.

Selesa duduk di atas hamparan dedaunan kering bersama angin dingin yang berhembus membawa khabar dari langit. Sesekali aku membetulkan juntaian selendang sambil melakar sesuatu pada mukasurat kosong di tangan.

Saat itu aku terpandangkan dua orang lelaki berkulit putih sedang berbual bersama seorang wanita.

Zaid, Alex dan Nadene.

Tiga nama itu terlintas di fikiran. Tidak disangka pertemuan kami yang cukup singkat membuahkan satu perhubungan yang akrab.

Selepas kali terakhir kami bertemu, aku terjumpa kotak kayu di dalam beg tote. Aku yakin Nadene yang letakkan tanpa pengetahuan aku. Kotak itu berisi seutas gelang emas yang cukup memegunkan aku bersama nota ucapan tahniah atas perkahwinan aku yang bakal berlangsung.

Dalam kotak itu juga ada pendrive berwarna hitam yang hanya mempunyai satu fail berformat MP3.

'Dengar bila kau bersedia.'

Dan kerana nota pesanan ringkas itulah aku membawa diri ke sini.

EarPods aku pasang ke telinga. Lama aku menatap skrin telefon pintar sebelum aku merasa cukup bersedia untuk menyentuh butang play.

'Aku berharap sangat agar kau tak perlu dengar semua ini. Tapi kalau dah takdir untuk kau mendengar, aku tetap bahagia sebab dapat beritahu apa makna kau dalam hidup aku.'

Aku menekup mulut menahan rasa terperanjat. Ini suara Zaid!

'Seseorang pernah beritahu aku. Hidup kita bagaikan sebuah kamus. Dan orang di sekeliling kita adalah aksara-aksara yang saling melengkapi. Kadangkala kita terlalu fokus pada maksud perkataan tanpa menyedari kewujudan huruf yang melengkapkan perkataan itu. Mesti kau ketawakan aku sekarang, kan? Sebab dah pandai berfalsafah.'

Aku turut tertawa lemah mendengar ketawa Zaid di hujungnya. Bibirku bergetar menahan emosi yang bercampur baur.

'Sekarang aku sedar kebenaran kata-kata dia. Sebab bagi aku, kau adalah huruf C dalam kamus hidup aku. Jarang ada tapi sangat penting. Tanpa huruf C, aku tak boleh panggil kau 'Cumi'. Tanpa huruf C, aku tak boleh order cakoi kesukaan aku.'

'Dan tanpa huruf C, aku tak boleh beritahu yang aku cintakan kau. Terima kasih kerana buatkan aku percaya bahagia itu bukan dongengan.
Terima kasih, Cumi. Terima kasih.'

Aku sembam muka dan memeluk rapat lutut ke dada. Merasa ada beban yang terangkat di pundak bercampur aduk dengan rasa pilu.

"Hello..." Seorang kanak-kanak lelaki menghampiri aku entah dari mana. Rambut perang dan mata yang biru jernih, comel!

Sampul kecil yang dihulurkan membuatkan aku menyambutnya dengan teragak-agak. Apabila sampul berpindah tangan, kanak-kanak itu terus berlari menghilang di antara pengunjung yang berada di situ.

Rasa ingin tahu membuatkan aku membuka sampul itu dengan lambat-lambat. Dari Redza ke? Takkan dia jejak aku sampai ke sini? Aku tahu Redza merasakan kedinginan aku dalam menerima lamaran dia. Bukan aku tak suka mahupun terpaksa, aku cuma perlukan waktu. Aku hargai kesabaran dia menanti aku selama ini kerana itulah akhirnya aku memberi jawapan kepada pinangannya.

Sekeping gambar di tangan membuatkan aku menggigil hebat. Pantas aku berdiri dan memandang ke sekeliling. Tanpa sedar, kaki ini berlari-lari anak bagai mencari sesuatu yang hilang. Puas mencari, aku berhenti. Gambar di tangan kembali aku pandang.

Sekeping gambar yang aku lihat di bilik bacaan Zaid di rumah ibu ayah angkatnya. Gambar Alex dan Zaid serta Nadene yang sedang tersenyum memandang kamera bersama beberapa orang yang lain.

"Semoga hidup kalian baik-baik sahaja."

Aku kembali melabuhkan duduk di atas rumput tadi. Tebaran tasik direnung dalam senyuman sayu.

        "Zaid, aku pun nak beritahu kau sesuatu. Aku baru sedar kau adalah huruf Z dalam aksara hidup aku. Berada di hujung hingga aku tak nampak kewujudan kau namun bila kau hilang, aku menderita kerana tiada penghujung untuk aksara ini."

Benarlah kata abah, kebiasaan menjadikan kita lupa. Buta

Aku cengkam baju di dada. Ya Allah, maafkan aku kerana tenggelam dalam perasaan hingga melupakanMu maka dengan itu, bantulah aku mengubat semua luka ini.

• • •

Tidak jauh dari situ, Nadene memandang ke arah Alex yang tenang. Menikmati Latte di cawan bertutup dan memandang lurus ke arah Ummi yang berdiri di antara orang ramai.

"Tak apa ke kita biar dia macam tu?" soal Nadene.

"Dia tak patut terlibat dengan dunia kita. Cukuplah dengan semua yang dia hadapi." Baki Latte dihirup habis.

"Kau pernah sukakan dia kan?" Nadene tersenyum senget.

"Ya, bukan kerana dia tapi kerana aku mula rindukan isteri aku setiap kali aku nampak dia."

Nadene memandang ke arah Ummi. Di dalam hati, dia bersyukur kerana kehadiran Ummi walaupun seketika di dalam hidup Zaid membuatkan rakan sekerjanya itu pernah merasai bahagia dan menyedarkan sesuatu yang berharga di dalam jiwa Alex.

"Hei, tunggulah aku!" Nadene bergegas mengekori Alex yang sudah jauh di hadapan.

Mereka melangkah ke arah berbeza, meneruskan kehidupan masing-masing meniti takdir yang tertulis. Belajar menghargai aksara-aksara yang melengkapi hidup mereka.

Meski kita miliki satu hati, tapi ia berdegup bersama hati orang lain. Hargailah mereka.

THE MISSING AKSARA
Zen, 24.03.21

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #shortstory