7 | Jiwa
Panggilan mama tidak aku endahkan. Sepantas yang mungkin aku berlari meredah tetamu yang memenuhi laman rumah Puan Salma. Nafas lajuku terhenti apabila melihat sekujur tubuh yang terbaring di tengah ruang tamu.
Saat ayah Zaid menyelak helaian kain untuk mengucup dahi anaknya, saat itulah aku percaya bahawa Zaid sudah tiada.
Aku terjelepuk jatuh dan tenggelam dalam pelukan abah.
"Zaid, abah... Zaid..."
Abah mengeratkan pelukannya namun separuh jiwaku sudah hilang. Adakah selama ini Zaid-lah belahan jiwa aku?
• • •
"Kau kan, makan tak pernah tak bersepah. Pergi makan jauh-jauh!" halau Zaid.
"Biarlah. Ni klinik abang ipar orang." Aku berkeras duduk di meja belakang kaunter sambil meneruskan kunyahan. Rasa hairan pula bila Zaid tidak membalas.
Aku mendongak, seketika pandangan kami bertembung. Zaid tersenyum seperti selalu dengan anak mata hitam pekat dan lesung pipit halus di pipi kiri.
"Makan, makan. Hiduplah dengan sihat."
"Cumi." Panggilan Abang Miqdam menarik aku dari kenangan lalu. Genap setahun pemergian Zaid, barulah aku ada kekuatan untuk kembali ke klinik ini.
"Orang okey." Aku senyum padanya sambil membetulkan tali beg tote yang melurut jatuh. Riak wajahnya nampak kerisauan. Iyalah, semua orang tahu perubahan aku sejak Zaid tiada. Aku kurang bercakap dan aku sedar tentang itu malah abah aturkan aku untuk menjalani sesi kaunseling.
Jujurnya aku tertekan kerana aku tak boleh bercerita pada sesiapa dan aku masih menyalahkan diri kerana menjadi punca semua yang berlaku tambahan lagi aku tidak mendengar langsung khabar Nadene dan Alex.
Di dada akhbar cuma diberitakan tentang kemalangan kerana hilang kawalan manakala Zaid tercampak keluar dari kereta dan berada dalam keadaan kritikal. Dia meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Tiada unsur jenayah yang mana tak masuk akal langsung!
Tapi apa boleh aku buat?
"Orang balik dulu." Aku mengangkat tangan sambil bergerak keluar dari klinik. Seketika aku berdiri, memandang pintu klinik. Biasanya wajah Zaid yang akan menyambut sesiapa yang datang ke situ termasuklah aku.
Hidup perlu diteruskan, bukan?
Perjalanan di dalam teksi menuju ke rumah terasa panjang. Aku pandang ke luar tingkap. Jalan ini nampak asing. Serentak jantung aku berdebar. Masih trauma dengan peristiwa aku diculik dahulu.
Aku kalih ke arah cermin pandang belakang.
"Nadene?"
• • •
"Aku sebenarnya pernah berkahwin. Kerana tugas, kami terpisah. Sungguh, perit rupanya apabila melepaskan seseorang yang melengkapi hidup kita, tanpa kita rela. Membuatkan aku sedar, tak mungkin selamanya kami boleh hidup begini."
Angin berhembus perlahan di antara kami, membiarkan Alex menjelaskan semuanya. Selama ini aku mencari Alex dan Nadene tapi bila mereka sudah di depan mata, sepatah perkataan pun tak mampu untuk aku ungkapkan.
"Sepatutnya, Zack membantu untuk palsukan kematian aku. Tapi, dia yang pergi dulu. Maaf kerana mengambil masa yang lama untuk jelaskan semua perkara. Sebab aku perlu masa untuk sembuh dari kesan kemalangan itu."
Diam.
Keliru.
Entah mengapa mengingati Zaid membuatkan aku merasa lebih terkilan. Tiada perasaan yang terbit apabila aku memandang wajah Alex sebaliknya aku nampak seolah-olah Zaid ada di situ.
"Zack yatim piatu. Lebih tepat lagi, dia memang tak pernah kenal ibu ayah dia, entahkan hidup entahkan tidak. Dia lebih awal terlibat dengan badan perisikan ini berbanding aku. Dan ibu bapa angkatnya itu hanyalah samaran," tambah Nadene.
Sungguh aku rasa ingin menangis tapi tiada air mata yang keluar. terngiang kata-kata Zaid sebelum ini.
"Saya hanya ada mak ayah saya, doktor, klinik ni... dan Cumi."
"Ummi, cakaplah sesuatu."
Aku pandang Alex. "Nak saya cakap apa? Nak beritahu yang saya keliru, rasa bodoh dan bersalah terhadap Zaid?"
Aku terkaku bila sedar aku sudah berdiri dari duduk. Air mata yang mengalir aku seka dengan kasar hingga sakit terasa.
"Maaf..." Kerusi kembali aku duduki, menyedari kererlanjuran aku yang penuh emosi.
"Inilah alasan kami bertemu dengan kau walaupun ianya berisiko. Sebab kau betul-betul nampak terjejas dengan apa yang berlaku," ucap Nadene sambil menyilangkan tangan ke dada.
"Saya punca semua ni terjadi. Saya punca Zaid pergi. Saya bergelut untuk lupakan semuanya. Hampir setiap malam saya terjaga dari mimpi ngeri yang tak berkesudahan tapi saya tak boleh berkongsi dengan sesiapa pun! Saya hampir gila, Nadene!" Akhirnya aku meluahkan segala yang terbuku di dada. Segala perit yang aku tanggung sendirian selama setahun ini.
"Apapun tanggapan kau, aku nak kau tahu kau bermakna dalam hidup seseorang. Zack takkan pernah salahkan kau sebab dia sempat merasa bahagia dan berubah ceria sejak bertemu kau. Sepatutnya dia dah berhenti dari klinik haiwan tu beberapa bulan sebelum kemalangan tu terjadi tapi dia berat hati nak tinggalkan kau. Perubahan sikap dia yang dingin kepada seorang yang suka bergurau dan tersenyum, sejak dia mula bercerita tentang wanita bernama Cumi. Kau kena ingat tu."
Pujukan Nadene hanya membuatkan aku semakin sebak. Dengan kedua tangan menekup muka, aku menangis sepuasnya. Teresak-esak bagai melepaskan sesuatu yang sudah terpendam lama di hati. Kenapa aku tak sedar perasaan Zaid pada aku?
Nadene merapat di sisi, memeluk aku erat.
"Saya rindu dia, Nadene. Saya tak bersedia untuk semua ni."
Alex mendongak memandang langit cerah, menahan air mata dari jatuh.
Kehilangan itu lebih dari menyakitkan.
• • •
Zip dirapatkan ke penghujungnya. Sepatutnya di saat-saat begini, orang lain sedang sibuk ke hulu ke hilir menyiapkan itu dan ini. Aku pula tenang mengemas bagasi sambil melayani perasaan sendiri.
Pandangan terhenti di atas meja tulis. Kad hitam merah jambu itu aku capai dan diselak helaiannya, membaca deretan huruf di tertaip kemas. Tulisan bertinta emas mengukir dua nama terletak elok membuat hati sedikit perit.
'Segala hormatnya kami menjemput tuan/puan/Encik/Cik/Dato'/Datin ke majlis walimatulurus puteri kami, Ummi Nazirah bt Razlan bersama pasangannya Muhd Redza..."
"Cumi.."
Wajah Kak Long terjengul dari balik pintu. Kad aku letak kembali di atas meja. Kak Long melangkah masuk diikuti mama dari belakang. Aku tahu apa yang mereka ingin katakan.
"Orang tak pergi lama. Seminggu sebelum majlis nikah, orang akan balik. Janganlah risau. Orang cuma perlukan sedikit ruang dan masa. Orang nak balik nanti sebagai seorang wanita yang benar-benar bersedia untuk menjadi seorang isteri."
Mereka tidak tahu, aku telah lalui banyak perkara. Ya, mereka tidak nampak tapi aku tahu mereka mengerti pergolakan hati aku kerana mereka juga wanita. Pelukan mama benar-benar membuatkan aku sayu.
"Untunglah sebelum kahwin dah pre-honeymoon dulu. Lepas kahwin, bercuti lagi," usik Kak Long.
"Mana ada pre-honeymoon! Orang pergi dengan kawan-kawan perempuanlah!" Geram pula aku dengan Kak Long ni. Saja nak bagi orang seram sejuk dengar perkataan honeymoon tu.
Kak Long ketawa terkekeh melihat aku yang menggelabah. Mama hanya tersenyum sambil menggenggam erat tangan aku. Aku membalas senyuman mama.
Sungguh, senyuman mama memang ada 'power' yang meresap ke dalam hati. The power of love.
Notes : Guys? 🍃
23.03.21
1067words
#justmissingyou
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro