Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

5 | Gelap

Sejak peristiwa itu, aku berhenti ke klinik. Kehidupan aku kembali seperti biasa dan aku cuba lupakan Zaid dan Alex. Bila Abang Miqdam tanya kenapa aku dah tak ke sana, aku cuma menjawab acuh tak acuh padahal hati sedih bukan kepalang.

Entah sedihkan apa la aku ni...

Pagi itu aku mengayuh basikal bersama mama dan abah menelusuri laluan di tepi tasik yang luas. Mengubat jiwa lara la kononnya.

       "Abah nak pergi sarapan kat warung tepi rumah. Cumi nak pusing lagi ke?" soal abah yang nampak kepenatan. Tua dah abah rupanya.

       "Tak apa. Orang cadang nak pergi rumah Adira lepas tu nak ke perpustakaan. Orang balik lewat sikit eh, abah." Aku teruskan kayuhan.

       "Eh, dia tak marahlah saya panggil dia Cumi." Terdengar suara abah di belakang.

       "Orang frust, macam tulah." Eh, mama mengumpat aku. Ingat aku tak dengar eh?

Tapi memang aku frust pun. Frust tanpa sebab yang pasti.

Ketika melewati laluan yang dikelilingi rimbunan pepohon renek, aku rasa diperhatikan. Memang keadaan dah mula sunyi sedikit sebab cuaca dah mula panas. Ramai yang sudah beransur pulang.

"Cik."

Terdengar seseorang menegurku. Aku berpaling dan...

• • •

"Kita buat pertukaran." Satu suara menyentakkan aku.

Mata aku buka dengan payah. Tengkuk terasa sakit. Berbalam-balam terlihat beberapa orang lelaki berpakaian serba hitam dalam satu ruang yang suram. Hanya sedikit sahaja cahaya dari dua mentol oren yang membantu aku memerhatikan sekeliling. Entah siang entahkan malam.

Mimpi ke ni?

"Dia dah bangun. Good morning, girl." Seorang lelaki berambut panjang menghampiri aku. Tangannya memegang telefon bimbit, merakam aku atas dan bawah.

Baru aku sedar, aku sedang diikat di atas sebuah kerusi. Kaki terasa kebas dan seluruh badan terasa sakit-sakit. Sedarlah aku, ini bukan mimpi.

Perlahan-lahan, aku merasakan satu ketakutan yang tak pernah aku alami. Nafas terasa sesak dan air mata mula bertakung mengaburi pandangan. Terbayang wajah mama dan abah. Aku akan mati ke?

"Dia menangis, kesiannya." Mereka tertawa kuat.

Aku cuba meronta tapi pergelangan tangan terasa perit setiap kali kulit bergeser dengan tali yang kasar. Tiada suara yang terkeluar. Sedaya upaya aku menahan tangisan agar tidak terlihat lemah.

"Jangan sentuh dia."

Aku berhenti bernafas. Itu suara Zaid! Tapi malangnya suara itu datang dari pembesar suara telefon bimbit. Zaid tiada di sini.

Takpe, Ummi... tenang. Sekurang-kurangnya ada orang tahu kehilangan kau.

"Aku sentuh dia..." Lelaki berambut panjang itu mencengkam bawah rahang aku, masih dalam keadaan merakam dengan telefon bimbit yang pastinya tersambung terus pada Zaid. Sangat kasar dan kurang ajar. Sumpah, sakit gila! Ya Allah, tolong aku!

"Jackie!" Kedengaran Zaid menyumpah tapi lelaki bernama Jackie ini hanya ketawa. Ketawa yang dibuat-buat. Sakit hati aku mendengarnya.

"Jadi, kau setuju untuk buat pertukaran?"

"Okey." Pantas Zaid menjawab.

"8.30 malam. Downtown gerai nombor 56."

"10.00 malam." Zaid menukar waktu.

Gila ke apa dia ni? Kenapa nak biarkan aku berlama-lama dengan mereka?

Serentak dengan itu, Jackie menerajang tepat di bahu aku menyebabkan kerusi tercampak ke belakang. Kepala aku terhentak kuat ke lantai hingga aku mengerang sakit yang tak tertanggung. Tangan yang terikat di belakang turut terhempap dengan beratnya tubuh aku. Aku tak nak menangis tapi esakan ini semakin menggila. Aku dah tak peduli perbualan mereka. Aku betul-betul rasa nak mati.

"Aku beri amaran, Jackie!"

"Macamana dengan amaran aku, Zack? Kau jangan memandai nak menangguh waktu. Aku tahu apa perancangan kau!" bentak Jackie.

"Kalau macam tu, apa kata kita buat pertukaran sekarang?"

"Hah?"

Tak sempat mereka berbuat apa-apa, tiba-tiba terdengar dentuman yang kuat. Telinga menjadi bingit. Sayup-sayup terdengar jeritan dan barang-barang berserakan. Aku hanya mampu pejamkan mata dalam kesakitan. Kepala berdenyut kuat.

Dalam antara sedar dan tidak, aku rasa seseorang meleraikan tali ikatan dan mencempung tubuhku yang lemah tak bermaya. Inikah pengakhiran hidupku?

"Cumi..."

23.03.21
609words
#onesoulthreeworldthousandsacrifice

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #shortstory