3 | Penjelasan
Cahaya yang menerobos melalui langsir membuatkan aku terjaga. Pantas aku duduk dari pembaringan. Kedua tangan aku bersih tanpa sebarang cela.
8.00 pagi? Macamana aku boleh ada kat sini?
Aku berlari ke tingkat bawah. Abah dan mama tenang sedang berbual di meja makan. Melihat baju abah dan mama, rasanya mereka baru pulang dari berbasikal waktu pagi.
"Dah sihatlah tu, dah boleh berlari," usik abah. Ma dah mula berleter sebab aku bangun lewat.
"Ma, Zaid ada datang ke?" soalku.
"Pagi-pagi sebut nama jantan. Cuba tanya khabar ma dengan abah ni. Dah makan ke belum kami ni?" bebel mama.
"Awak pagi-pagi dah berleter, pinggan pun dah licin, nak tanya apalagi?" Abah ketawa.
Aku capai sweater abah di atas kerusi dan tudung mama di penyangkut lalu berlari keluar. Panggilan mama aku abaikan. Aku kayuh basikal abah selaju yang mungkin.
Aku terjah masuk ke dalam klinik. Sapaan staf lain aku buat tak dengar. Kaki laju menuju ke bilik rawatan.
Hairan. Segalanya nampak bersih dan teratur. Aku pergi pula ke ruang pemeriksaan. Rasa terjatuh rahang bila tengok tiada apa yang berbeza. Tingkap kaca juga elok di dinding bagai tiada apa yang berlaku. Tiada serpihan kaca mahupun darah.
"Cumi buat apa kat sini? Kan tak boleh datang sini dah, nanti kena alahan lagi."
Aku biarkan Abang Miqdam dengan soalan tergantung.
"Zaid tak datang kan hari ni?" soalku.
"Apa fitnah-fitnah ni?" Suara Zaid menyentakkan aku. Pantas aku mendekati hingga dia terundur dua langkah. Aku amati wajahnya yang nampak tertanya-tanya kenapa aku begitu.
"Mana dia?" soalku.
"Dia?"
"Chukka boot. Mana dia?"
Zaid menggaru kepala. Nampak benar-benar keliru dengan soalan aku.
"Apa yang jadi malam tadi?" soal aku lagi, penuh geram. Aku yakin mata aku tak salah, memang Zaid yang menekup mulut aku semalam. Kami sama-sama memapah Mr. Oren yang cedera.
"Malam apa ni?" Zaid menggaru kepala dengan wajah kehairanan.
"Zaid, suruh Cumi balik. Dia belum sihat lagi tu. Jangan bagi dia berjalan bebas dalam klinik ni lagi," arah Abang Miqdam.
Selamba Zaid menarik hoodie sweater aku, memaksa aku keluar dari pintu klinik.
"Balik."
"Lepaslah!" Aku rentap pegangannya pada hoodie. Turun naik nafas aku memandang dia mengharapkan penjelasan. Aku bukan bermimpi! Aku pasti!
"Balik." Zaid mengulang.
"Awak hantar orang balik ke? Orang tak ingat apa pun jadi malam tadi. Apa yang berlaku? Kenapa tak ada kesan kaca pecah kat bilik pemeriksaan? Kenapa..."
"Ummi..." Zaid sebut nama betul aku sambil melangkah rapat ke hadapan membuatkan aku berundur ke belakang. Ya, aku ingat babak ni! Memang mata Zaid yang aku pandang malam tadi.
"Balik." Sepatah dia mengulang namun kali ini nadanya berbeza. Cukup membuatkan aku merasa gentar. Pertama kali dia serius macam ni sekali.
Dia menarik kasar basikal yang terbaring di laman klinik dan ditolak ke hadapan aku. Rasa macam kena marah dengan inspektor polis Gerak Khas je.
Tanpa berkata apa-apa lagi, dia beredar kembali ke dalam klinik. Aku urut pelipis sendiri. Boleh gila aku macam ni! Peristiwa malam tadi tu mimpi ke? Atau aku terlebih menghayati filem thriller sampai terbawa-bawa ke alam realiti.
Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Pantas aku kalih pandang ke sisi. Ternampak basikal aku yang agak tersorok di hujung klinik. Tempat yang sama aku letakkan basikal malam tadi, tidak berubah sedikit pun kedudukannya.
Peristiwa malam tadi memang nyata, bukan mimpi!
• • •
Terpacul wajah ibu Zaid, Puan Salma selepas salam diberi. Aku berbasa basi sambil menghulur bakul berisi buah anggur hijau. Datang rumah orang, takkan tangan kosong.
Zaid jelas terkejut melihat aku di situ. Kali terakhir aku bertandang ke sini waktu Raya tahun lepas. Zaid buat muka bosan bila aku tunjuk telefon pintar di tangan. Pagi tadi mama bagi pada aku, katanya Zaid yang hantarkan. Terus aku bersiap ke rumahnya. Macamana telefon pintar aku ada pada Zaid?
"Kami bincang kat dalam ya, ibu." Zaid meminta izin.
"Okey, jangan tutup pintu. Bahaya..." Meleret perkataan terakhir tu tapi aku dah tak ambil pusing. Ada persoalan besar yang mengganggu hidup aku sekarang.
Kami masuk ke ruang bacaan yang menempatkan rak buku yang tinggi-tinggi. Cantiknya! Dekorasi rumah Puan Salma memang mengagumkan.
"Tak ada yang serius pun. Dia cedera dan aku cuma tolong dia. Dia okey sekarang."
"Kat mana dia? Abang Miqdam tahu pasal ni? Macamana klinik boleh jadi macam asal? Siapa hantar orang balik? Kenapa staf klinik tak ada seorang pun yang tahu? Atau semua bersubahat sekali. Kenapa tak bagi orang call polis? Mana tahu entah-entah dia nak merompak ke."
Zaid bersandar di hujung meja, menyilangkan tangan memandang aku yang jelas masih belum puas hati. Seketika suasana menjadi sepi hingga terdengar bunyi penghawa dingin bertiup lembut.
"Okey. Macam yang kau kata, semua dah kembali pada asal. Kau pun selamat, sihat walafiat. Kenapa perlu rumitkan keadaan? Kenapa perlu sampai datang ke sini? Tak manis kalau kau ada kat sini. Aku bukannya ada adik beradik perempuan."
Mudahnya berkata-kata.
"Jadi, awak sorokkan sesuatu la ni? Tak apa. Orang pergi tanya abang sendiri. Klinik ada CCTV, kan?" Aku menonong ke arah pintu namun sepantas kilat Zaid menghadang jalan dan menutup pintu.
"Aku tak nak susahkan hati doktor sebab tu aku bersihkan klinik seperti biasa. Dan aku tak nak kau terlibat sekali."
"Habis tu..."
Ketukan di pintu membantutkan hujah aku. Puan Salma muncul bersama sepiring kek lapis dan air panas. Serba salah pulak aku dibuatnya.
"Tak apa, ibu. Dia dah nak balik."
Aku buntangkan mata memandang Zaid saat Puan Salma membelakang kami. Siapa kata aku nak balik? Zaid menjeling ke pintu dengan wajah mengharap agar aku akur.
"Tetamu dah datang, biarlah dia minum sikit." Puan Salma meraih aku mampir ke meja tulis yang besar.
Zaid menyebak rambut ke belakang, nampak la muka tak rela dia tu tapi aku buat-buat tak nampak. Puan Salma tarik Zaid keluar dari bilik sambil berbisik. Aku ambil kesempatan itu mengamati ruang bacaan itu. Sama besar dengan ruang tamu rumah teres aku. Mataku terhenti pada sekeping gambar yang tertampal di skrin komputer.
Ini bukan ke...
"Dah kenyang?" Suara sarkastik Zaid menerjah aku.
"Mana kenyang makan kek."
"Cumi..."
"Okey, orang balik la ni."
PING!
Zaid keluarkan satu alat kecil berwarna hitam dari poket. Hanya ada skrin kecil yang berkelip. Wajahnya berubah. Tak semena-mena dia menarik baju aku di bahagian bahu, memaksa aku keluar dari situ dengan segera dan hantar aku sampai ke tangga.
"Bye."
Anak tangga aku turuni namun gambar tadi mengganggu fikiran. Nampak macam gambar lama, Zaid pun nampak lebih kurus berbanding sekarang. Dia semeja dengan beberapa orang yang lain namun antaranya adalah Mr. Oren. Aku yakin ada sesuatu yang Zaid sembunyikan. Hampir 7 tahun kami kenal, tak pernah aku tengok dia serius. Lepas peristiwa malam tu je dia nampak berubah.
Selepas bersalaman dengan Puan Salma, aku termangu seketika di hadapan pintu. Hilang saja Puan Salma dari pandangan, aku curi-curi masuk dan berlari tanpa bunyi menuju ke ruang bacaan tadi. Aku kuak pintu tanpa mengetuk.
Zaid tergamam. Aku lagilah terkejut tengok tangannya yang sedang memegang kain berwarna merah. Darah?
"Apa kau buat kat sini? Aku kata balik, kan?" Marah Zaid dengan suara tertahan-tahan khuatir jika Puan Salma mendengar.
"Orang berhak tahu, Zaid!" Aku pun tak tahulah kenapa aku berdegil sangat. Aku memang tak boleh benda tergantung penuh persoalan macam ni.
Zaid baru hendak membalas kata sebelum kami terdiam apabila terdengar bunyi sesuatu terjatuh di belakang rak buku. Baru aku perasan, rak itu sudah teralih sedikit. Macam pintu rahsia.
Pantas Zaid menerpa dan aku mengekori tanpa gentar. Biarlah Zaid mengamuk sekalipun.
Sekali lagi aku terkejut melihat bilik kecil di belakang rak itu. Lengkap berpenghawa dingin dengan katil bujang, meja kecil dan peralatan perubatan. Di atas lantai, seorang yang cukup aku kenali sedang baring mengiring dalam erangan kesakitan. Pemilik chukka boot yang sering muncul dalam fikiranku.
Zaid membantu Mr. Oren untuk naik semula ke katil. Aku agak dia muntah darah sebab wajah dan bajunya penuh dengan cecair merah. Aku renung Zaid dengan penuh persoalan dan dia hanya mengeluh berat.
"Tunggu kat luar."
Aku akur dengan arahan Zaid dan menunggu di meja tulis dengan hati yang berdebar-debar. Merenung semula gambar lama tadi.
"Hello, sweetie."
Aku berpaling apabila disapa Mr. Oren yang sudah bertukar baju. Wajahnya pucat tidak bermaya, berjalan lemah dipapah Zaid dan duduk di kerusi chaise lounge di tepi tingkap yang berlangsir sheer putih gading. Cahaya mentari yang memancar menaikkan warna keperangan pada rambutnya. Baru aku perasan, aku tak pernah tengok dia tak bertopi. Dia nampak berbeza hingga tak keruan aku dibuatnya.
Aku pandang pula Zaid. Patutlah Zaid pun nampak lain rupanya aku jarang tengok dia berbaju kasual berbanding uniform klinik. Tapi aku tenang je tengok dia macam tu.
"Aku harap kau tak beritahu orang lain pasal perkara ni."
"Atas alasan?" Aku meningkah kata-kata Zaid.
"Keselamatan kau," jawab Mr. Oren.
Aku tak tahu nak jawab apa.
"Dan jangan datang sini lagi. Jangan cakap langsung pasal ni lebih-lebih lagi di klinik," pesan Zaid, memeluk tubuh sambil bersandar di rak buku.
"Jadi siapa yang hantar orang balik? Tukar baju orang?" soal aku biarpun wajah Zaid mula merah. Menahan geram agaknya.
"Memang semua persoalan kau, aku kena jawab ke?" Zaid mula bercekak pinggang.
"Zack, jangan kasar sangat," pangkas Mr. Oren.
Oh, dia panggil Zaid sebagai Zack. Terbayang mereka berpura-pura saling tak kenal di klinik. Hebat permainan mereka. Aku tepuk tangan, tapi dalam fikiran je la. Nanti Zaid campak aku ke tingkat bawah, naya aku.
"Dia tak patut menyoal macam ni, Alex. Ah!" Zaid meramas rambut hitam pekatnya dengan kasar.
Jadi, nama Mr. Oren ni Alex la? Betullah tekaan aku dia bukan orang Melayu.
"Maaf, Cumi. Ada perkara yang aku tak boleh jelaskan dan aku mohon pengertian dari kau. Mungkin bukan sekarang. Please?" Zaid buat muka merayu.
Aku memandang Mr. Oren aka Alex. Dia menjungkit kening, meminta aku merespon permintaan Zaid.
"Okey."
Terdengar helaan nafas lega dari mereka berdua. Entah apa rahsia mereka, tapi aku merasa senang dengan suasana ini. Terasa hilang semua persoalan.
Seketika kami terdiam, sama-sama memandang ke langit di luar tingkap. Menikmati waktu sunyi dalam cara tersendiri.
Notes : cerita ni saya tulis dalam keadaan rushing. Jadi mohon pertimbangkan sebarang typo/lewah dan semua compang camping. Nanti dah free baru ai edit balik tau *sigh* 🥲
22.03.21
1640words
#marathon!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro