Prolog
HUJAN renyai-renyai membasahi bumi. Pemandu teksi membunyikan hon setelah menurunkan penumpang pertamanya dari Lapangan Terbang Ipoh ke Tanah Tinggi Cameron. Burung-burung yang bertenggek di pokok berhampiran, berterbangan dek bunyi nyaring itu. Teksi pun dipandu pergi menuruni bukit curam dan berselekoh.
Bukit-bukau yang kelihatan abu-abu dari kejauhan tersebar sejauh mata memandang. Seorang wanita bergaun putih labuh sehingga buku lali dan penumpang teksi bermeter tadi tersenyum melihat pemandangan yang membuatkan nafas terhenti seketika itu. Wanita bergaun putih itu memejam mata. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke situ. Separuh hayatnya dihabiskan di Edinburgh, Scotland seperti yang dia impikan sejak kecil dulu.
Edinburgh sama seperti yang dia bayangkan. Rumah berderet, kafe kecil di lorong-lorong terpencil, aksen yang sukar difahami. Tanah Tinggi Cameron juga sama seperti tempat yang dia tinggalkan suatu ketika dulu. Dingin tetapi tidak sedingin Edinburgh yang suhunya terkadang sangat rendah sehinggakan terasa seperti ada seribu bilah pisau tajam menusuk tangan yang beku.
Sejujurnya, memorinya terhadap Tanah Tinggi Cameron samar-samar dalam ingatan tetapi dia tidak pernah melupakan Casa de Nieve, sebuah banglo putih dua tingkat yang duduk di sebuah bukit; terletak jauh dari rumah lain di kejiranan itu. Sesuai dengan keluarga yang mendiaminya dulu; sangat mementingkan privasi.
Wanita bergaun putih itu menghirup nafas dalam. Kakinya melangkah mendekati pagar rumah Casa De Nieve. Loceng rumah yang dipasang di sebuah tembok dia tatap lama. Seketika meragui keputusannya untuk datang ke situ. Bagaimana sekiranya kedatangannya ke situ adalah satu kesilapan besar?
Ya, mungkin dia tidak patut datang ke situ. Seharusnya dia kekal di Edinburgh, 10,484 km jauhnya dari situ. Lebih jauh, lebih baik. Lagi pula, kedatangannya ke situ tidak lagi dialu-alukan seperti dulu. Tidak selepas luka yang dia tinggalkan.
"Embun?"
Embun terpaku di tempatnya. Suara-suara yang pernah dia dengari sepanjang hidupnya terlintas dalam fikiran tetapi dia tidak mengingati suara yang memanggil namanya itu.
"Embun binti Nuh?"
Embun meneguk liur. Dengan tangan yang terketar-ketar meski kedinginan tidak mengganggu, dia berpaling ke belakang. Menghadap sesiapa saja yang memanggil namanya selepas 12 tahun berlalu sejak dia meninggalkan tempat itu.
Sebaik saja pandangannya jatuh ke figura tinggi itu, dia kembali ke bulan Mei, 2012.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro