
Bab 2
MATA terbuka luas. Arjuna melihat keadaan sekelilingnya. Dinding zink berkarat digantikan dengan dinding putih suci dan disirami cahaya fajar menyingsing. Mesin-mesin usang bersawang digantikan dengan perabot rumah bercirikan zaman Victoria pertengahan yang ditempah khas dari Eropah beberapa tahun yang lalu. Ada di antara perabot yang menghiasi bilik tidurnya mencecah umur ratusan tahun. Layak untuk duduk di dalam muzium.
Arjuna tercungap-cungap. Jari runcingnya lantas menggenggam erat selimut tebal yang menyelimuti separuh badan kedingnya. Dia ingin menjerit tetapi tiada suara yang keluar. Sama seperti setiap kali mimpi ngeri itu datang menjenguknya. Akhirnya, dia hanya meneliti sekeliling bilik tidurnya dengan pandangan mata yang kabur dan berkaca dengan tangan diletakkan pada dada. Beristighfar dalam hati agar sakinat menjelma.
Apabila atma mula sedikit tenang, Arjuna bangun dari katil berangka kayu mahogani tempat perbaringannya setiap pagi dan malam. Waktunya rata-rata diluangkan di atas katil. Menjadi kebiasaan buat makhluk sosial yang tidak suka bersosial. Lagi pula, selain daripada pekerja keluarga mereka, hanya ibu tirinya, Puan Kirana yang sering berada di rumah. Bukan tidak mahu berbual kerana benci. Zaman Cinderella dulu bolehlah benci ibu tiri tanpa sebab. Sekarang zaman dah maju. Ibu tiri pun ramai yang datang dengan penuh kasih sayang.
Puan Kirana memang baik. Sebelum bergelar ibu tiri, Arjuna memang sudah mengenali wanita itu kerana Puan Kirana pernah menjadi rakan kongsi syarikat papanya. Arjuna tidak pernah menentang keputusan mereka untuk berkahwin. Mungkin kerana ketika itu, dia tidak ambil peduli akan sesiapa mahupun apa-apa yang berlaku di sekelilingnya. Mujurlah setelah masuk ke salasilah keluarga mereka, Puan Kirana tetap melayannya dengan baik.
Keluhan dilepaskan. Selimut tebal Arjuna tolak ke tepi dan langkah diatur menuju ke arah cermin yang tergantung di sebelah easel terletak. Pantulannya pada cermin dia tatap lama. Rambut keriting dan panjang mencecah bahu dia raup dengan jari runcingnya, mendedahkan parut panjang di dahi yang sengaja disembunyikan dengan rambut. Sepasang mata sepet itu kelihatan melankolik dan sayu tatkala menatap dia, Arjuna Nara yang menjejak usia 17 tahun tetapi masih kelihatan sama seperti lima tahun yang lalu.
Alih-alih, dia menangkap sesuatu dari hujung matanya. Langsir lut sinar yang ditiup bayu pagi mengaburkan matanya. Membuatkan dia curiga sama ada itu hanyalah imaginasinya atau sebaliknya. Dia pernah terbaca satu artikel yang mengatakan kekurangan tidur boleh membuatkan seseorang itu berhalusinasi. Corak tidurnya kebelakangan itu memang tunggang-langgang. Rasanya, kali terakhir dia mendapat tidur yang cukup dan lena adalah enam tahun lalu. Sebelum peristiwa hitam itu berlaku. Masuk akallah jika otaknya mula membayangkan hal-hal aneh.
Untuk memastikan dia belum gila, langsir diselak dan Arjuna melangkah ke balkoni bilik tidurnya yang terletak di aras dua banglo putih kediaman keluarganya, Casa de Nieve. Mata sepet dikecilkan lagi. Di antara lalang hijau yang tumbuh tinggi, ada kain putih di gazebo yang terbiar. Kontra sekali dengan sekelilingnya. Membuatkan mata Arjuna hanya tertumpu ke tempat yang sama.
Semakin lama dia merenungnya, semakin jelas apa sebenarnya kain putih itu. Ciri-ciri baharu mula terbongkar satu per satu. Rambut ikal mayang terurai, ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Kaki mulus yang tergantung tatkala duduk di gazebo itu diayun ke depan dan belakang. Membiarkan embun pagi mengelus dan membasahi. Hujung alis simetri Arjuna bertemu. Dahi berkerut seribu.
Arjuna seperti orang hilang kewarasan yang dikuasai panik. Tanpa berfikir dua kali, dia berlari keluar meninggalkan bilik tidurnya yang ditelan kegelapan meski sudah pagi. Dek terlalu terburu-buru, dia hampir jatuh terjelopok apabila kaki panjangnya tak memijak empat anak tangga semasa menuruni tetapi dia tidak peduli. Apa yang dia tahu, dia harus mencari tahu siapakah gadis itu.
Pintu putih dengan jendela kecil dia buka luas dan langkahnya terhenti. Gazebo itu jelas kelihatan dari tempat dia berdiri dengan nafas tercungap tetapi gadis bergaun putih itu lesap bersama embun pagi. Entah mengapa kehampaan meresap jauh ke dalam hatinya walhal dia tidak tahu-menahu sama ada gadis itu pernah wujud atau hanya menjadi sebahagian daripada imaginasinya yang tinggi. Mungkin betullah kata-kata orang di sekitarnya. Dia sudah gila.
"Juna?"
Arjuna menoleh ke belakang. Hal pertama yang dia perhatikan bukanlah senyuman keibuan wanita itu tetapi pakaian yang wanita itu kenakan. Blaus kelabu dipadankan dengan seluar hitam. Bukanlah gaun putih seperti gadis yang membuatkan dia tergesa-gesa untuk menyapanya. Maknanya, mereka dua orang yang berbeza. Itupun kalau apa yang dia lihat sebentar tadi ialah manusia. Boleh jadi makhluk lain datang singgah sebentar.
"Juna okey ke?"
Arjuna meneguk liur. Sempat menoleh sekali lagi ke arah gazebo untuk memastikan gadis bergaun putih itu tidak memunculkan diri semula. Meski dia tahu dia tidak baik-baik saja, dia tetap mengangguk kepada pertanyaan Puan Kirana. Itu bukan kali pertama dia memberi jawapan yang bertentangan dengan apa yang dia rasakan.
"Jom. Kita breakfast sama-sama. Ibu... er, aunty masak simple aje hari ni. Tak apa, kan?"
Arjuna mengangguk sekali lagi. Berpuas hati dengan jawapan Arjuna, Puan Kirana berlalu semula ke dapur untuk menghabiskan kerjanya sebelum mereka sekeluarga duduk semeja untuk menikmati sarapan pagi. Pada mulanya, sukar untuknya, seorang wanita yang bekerjaya sepertinya untuk bangun seawal itu hanya untuk duduk di dapur, menyediakan makanan tetapi dia tahu itu keputusan yang tepat. Dengan meluangkan sepenuh masanya di rumah, bolehlah dia tengok-tengokkan Arjuna. Lagi pula, kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah itu, Arjuna baru berusia 13 tahun dan masih memerlukan perhatian seorang ibu. Lama-kelamaan, dia pun mula terbiasa dengan rutin hariannya itu.
Arjuna tertunduk. Keluhan kecil dia lepaskan. Kaki diheret menuju ke ruang makan di mana papa dan ibu tirinya, Puan Kirana sedang menunggunya untuk bersarapan pagi bersama-sama.
Tiba-tiba, Arjuna dikejutkan dengan jeritan nyaring seseorang. Dia pun menoleh ke kanan. Dalam sekelip mata, tangannya yang kosong kini membalut kemas pinggang gadis bergaun putih. Pandangan mata mereka bertemu. Arjuna pegun di tempatnya.
"Er... b... boleh tolong lepaskan tak?"
Terkejut, Arjuna cepat-cepat menjauhkan diri. Pinggang ramping yang dibaluti gaun putih dengan corak pudar bunga lavender dia lepaskan.
Gadis itu menggaru kepala. Sekejap menoleh ke kiri, sekejap ke kanan. Mungkin dia malu untuk berhadapan dengan Arjuna setelah apa yang berlaku atas kecuaiannya.
"Juna..." Puan Kirana muncul semula.
"Embun! Selamat pagi!"
Embun tersipu malu. Sepintal rambut dia selit ke belakang cuping telinganya. Anehnya dia membelakangi Puan Kirana. Apakah dia terlalu malu untuk bertentang mata dengan sesiapa saja? fikir Arjuna.
"Embun keluar pergi kebun ke tadi?" tanya Puan Kirana.
"Eh, taklah! Saya... saya dari bilik."
Mata sepet Arjuna terbeliak. Macam mana dia boleh terlupa akan tujuannya tergesa-gesa ke luar rumah? Jadi... dia tidaklah segila yang orang sangkakan. Gadis bergaun putih itu wujud. Buktinya, gadis itu sedang berdiri di depan matanya. Setelah mendengar pertanyaan Puan Kirana, Arjuna seratus peratus yakin dan pasti bahawa gadis yang memancingnya untuk keluar rumah awal pagi begitu ialah Embun, gadis bergaun putih itu. Lalu mengapa Embun berbohong?
"Jangan pergi kebun tu tahu? Aunty bukanlah apa. Bahaya kalau Embun pergi seorang-seorang."
Arjuna menoleh sekilas ke arah kebun yang pernah menjadi rumah kepada buah strawberi dan bunga yang mekar, harum semerbak.
Selain daripada lalang yang tinggi, jalan menuju ke gazebo tak terhalang oleh pokok mahupun tumbuhan menjalar dan berduri. Jarang sekali ada haiwan berbisa yang datang melawat. Paling-paling pun arnab liar dan kucing jiran mereka, Si Gebu yang suka tidur di gazebo terbiar itu.
"Okay, aunty," jawab Embun.
Arjuna kembali memandang Embun tetapi bukan pada wajahnya yang ayu dan redup, melainkan pada kayu panjang yang digenggam kemas oleh tangan. Mulut Arjuna terngaga sedikit. Dia menemukan kepingan terakhir yang menyempurnakan gambar teka-tekinya. Barulah dia memahami mengapa gadis itu membelakangi Puan Kirana dan tak diizinkan untuk keluar bersendirian.
Gadis itu... tak dapat melihat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro