Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

KAKI pendek itu terhincut-hincut. Tangan memegang tulang rusuk lebam yang tersembunyi di sebalik fabrik t-shirt lusuh dan kotor yang dikenakan. Arjuna tercungap-cungap. Anak matanya melilar ke semua arah. Bunyi jentera berat berdekatan menyesakkan lagi dadanya. Namun dia terus berlari. Penat, lelah dan sakit yang ditanggung tubuh kecilnya ditolak ke tepi. Tiada waktu untuk memikirkan hal itu. Yang dia tahu, dia harus melarikan diri. Jauh dari situ. Dia harus kembali ke rumah, ke pangkuan keluarganya.

"Arjuna!" jerit seseorang.

Arjuna menoleh ke belakang. Empunya suara itu kedengaran begitu dekat dengannya. Dia diserang panik. Langkah dicepatkan. Air mata mengalir deras di pipi. Mulut tak henti mengadu sakit apabila buku lalinya yang terseliuh berdenyut-denyut.

"Arjuna..." panggil suara itu lagi tetapi kali itu, ditemani oleh bunyi dentingan paip besi berkarat yang dia bawa ke mana-mana.

Arjuna hampir tewas. Pandangan matanya berpinar. Tiada lagi kudrat untuk melarikan diri. Dia mencerap langit. Sudah lama dia tidak melihat awan menggebu. Sudah lama dia tidak dibasahi cahaya matahari yang hangat. Sudah lama dia tidak merasa... hidup.

Pada saat dia sudah mempersiapkan diri untuk mengalah, pergelangan tangannya yang berbekas ikatan diraih oleh seseorang. Arjuna menoleh ke kanannya. Seorang budak perempuan dengan wajah samar-samar berdiri di situ dengannya. Budak perempuan itu mengatakan sesuatu kepadanya tetapi Arjuna tidak dapat mendengarnya dengan jelas. Telinganya berdesing kuat. Seakan-akan kehilangan satu demi satu pancainderanya.

Arjuna mengerutkan dahi. Anehnya, dia tiba-tiba teringatkan kisah dongeng yang dibacakan oleh mamanya sebelum dia melelapkan mata. Ingatkah bagaimana Cinderella yang didera oleh kakak dan ibu tirinya merana? Atas jasa seorang ibu Peri, kesakitan dan kepiluan dalam hidupnya digantikan dengan kegembiraan dan kemanisan. Arjuna sempat bertanya, itukah Ibu Peri yang datang untuk memberikan 'bahagia selama-lamanya'? Adakah... gadis itu penyelamatnya?

"Eh, budak! Kau tak payah nak main sorok-sorok dengan akulah!"

Arjuna tersentap. Belum sempat dia menoleh ke belakang untuk melihat empunya suara itu, tangannya direntap kasar. Nafasnya tertahan, menahan sakit yang menyerang pergelangan tangannya. Arjuna terduduk pada lantai. Timbunan batu-bata di lorong sempit menyembunyikan mereka berdua. Budak perempuan itu mengintip melalui lubang-lubang kecil di antara batu-bata yang tersusun. Sama seperti Arjuna, nafasnya juga turun naik dengan laju.

"Saya rasa kita selamat kat sini," bisik budak perempuan itu sebelum menoleh ke arah Arjuna. "Awak okey ke?"

Arjuna tidak menjawab. Bahkan tidak berani bertatapan mata dengan budak perempuan yang kelihatan sebaya dengannya itu.

"Saya dah beritahu abah, saya terdengar suara awak tapi abah tak percaya. Sebab itulah saya datang sini. Nak selamatkan awak." Dia senyum menayangkan giginya yang rongak.

"Arjuna!"

Mata Arjuna celik. Dia meraba-raba dalam kegelapan. Nafasnya naik dan turun dengan laju. Peluh dingin menitik di dahi. Bahkan seluruh badannya lencun dek peluh. Matanya melilar, cuba untuk mengecam persekitarannya. Hanya setelah mengetahui dia selamat di dalam kamar tidurnya, barulah dia dapat menghembus nafas lega. Dada diurut sambil beristighfar dalam hati.

Arjuna memejam mata seketika. Apa yang berlaku sebenarnya? Mimpi buruk acap kali menghantui tidurnya tetapi kebiasaannya, hanya mimpi yang sama berulang iaitu memori hitam daripada waktu-waktu yang dia habiskan, terpenjara di kilang terbiar.

Selepas meloloskan diri dan kembali ke pangkuan keluarganya, entah bagaimana, otak Arjuna berjaya memadam seluruh ingatannya tentang peristiwa itu. Kata doktor yang merawatnya, itu ialah kesan sampingan PTSD, post-traumatic stress disorder. Seseorang yang melalui saat traumatik lebih cenderung untuk hilang ingatan. Arjuna salah seorang daripadanya.

Ramai yang berpendapat bahawa itu adalah hal yang bagus. Mengapa dia harus terus-menerus dihantui oleh memori hitam itu? Kata mereka, dia sudah cukup merana. Tak usahlah dibebankan lagi dengan ingatan tentang hari-hari dia terpenjara.

Arjuna bangun dari katilnya dan berdiri di hadapan cermin. T-shirt kelabu yang tersarung di badan dia tanggalkan. Keluhan kecil dilepaskan. Jari-jemarinya mengelus perlahan bekas jahitan pada tulang rusuk, abdomen dan dadanya. Sekarang, sakitnya tidak terasa lagi tetapi tidak bermakna ia tidak meninggalkan kesan di hati.

Apa yang orang sibuk katakan tidak penting bagi Arjuna. Ya, memang dia sudah cukup merana setiap kali teringatkan peristiwa itu tetapi mereka tidak tahu, dia lebih merana setiap kali dia gagal memanggil semula memori hari-hari itu. Mereka tidak tahu bagaimana dia benci merasa tidak berdaya memberi jawapan yang pasti kepada detektif yang mengendali kes penculikan dan pembunuhan yang melibatkan dia dan 'syurga'nya hanya kerana ingatannya terhapus begitu saja. Mereka tidak tahu bagaimana rasanya menjadi seseorang yang tidak berguna, seseorang yang tidak dapat menyelamatkan orang yang disayangi.

Mereka tidak tahu semua itu. Mereka hanya tahu menilai sesuai keinginan mereka kerana itulah erti menjadi dewasa. Selalu melakukan hal yang hanya akan memanfaatkan dan menyenangkan hidup mereka. Contohnya menutup kes itu atas alasan bukti tidak mencukupi walhal mereka cuma tidak mahu memanjangkan masalah. Leceh, kata mereka.

Arjuna berpaling dari cermin dan melabuhkan punggung pada katilnya. Laci almari kecil yang terletak bersebelahan katil dia buka, mendedahkan ubat-ubat terkawal yang dipreskripsikan kepadanya. Setelah mengetahui Arjuna mengalami mimpi buruk, Encik Adi membawanya berjumpa seorang doktor psikiatri. Hasil diagnosisnya tak perlu cakaplah. Dari air muka papanya saja dia sudah tahu, keputusannya mengecewakan.

Pil-pil itu seharusnya membantu dia tidur dengan lena. Menjadi pengadang kepada mimpi buruk daripada memasuki tidurnya. Kesilapan terbesar yang mereka lakukan ialah meletak kepercayaan ke atasnya, mempercayai dia dengan rela hati akan mengambil ubat-ubatan itu. Lagi pula, apa alasan mereka untuk meraguinya? Pasti mereka juga berfikir dia ingin menamatkan kesengsaraannya. Tetapi mereka salah. Arjuna bahkan tak pernah membuka mana-mana botol yang tertulis nama pesakit Arjuna Nara dan dia tak akan pernah.

Dia mahu ingatannya kembali. Kalau itu membawa maksud dia perlu terbangun dari lena setiap malam dengan dada yang sesak, tercungap dan lencun dek peluh, dia sanggup. Kalau dia harus mendera diri untuk membawa keadilan ke atas kematian mamanya, dia sanggup. Tak perlu memberi ruang dan waktu untuk berfikir dua kali. Dia tak akan mengubah fikiran. Dia tahu apa yang dia inginkan.

"Sebab itulah saya datang sini. Nak selamatkan awak."

Arjuna memejam matanya. Cuba untuk mengingati semula wajah budak perempuan itu tetapi ingatannya samar-samar. Itu kali pertama mimpi itu datang. Wajarlah jika dia tidak dapat mengingati setiap apa yang berlaku tetapi dia harus mencuba sedaya upayanya. Budak perempuan itu ialah kunci kepada kesnya.

Buk!

"Ah!"

Arjuna menoleh ke arah pintu kamar yang tertutup rapat. Rongga kecil di bawah pintu menunjukkan pergerakan seseorang di luar bilik. Arjuna bingkas bangun. Laci ditutup rapat dan dia mengatur langkah, menghampiri pintu. Tombol dipulas dan dia dipertemukan dengan gadis bergaun putih yang sedang melutut sambil meraba-raba lantai, mencari tongkatnya.

Terkejut, Arjuna lantas merendahkan badannya. Lengan gadis itu dia pegang. Membantunya untuk berdiri semula di atas kaki sendiri. Setelah itu, barulah Arjuna mencapai tongkat yang terlempar jauh ke sebuah pasu Dinasti Qing. Nasib baik pasu tak pecah. Kalau pecah, pening kepala nak cari pasu antik untuk menggantikan pasu itu.

"Juna?"

Arjuna mengetuk pintu bilik tidurnya dua kali, menjawab pertanyaan Embun. Embun lantas tersenyum lebar. Gembira itu Arjuna.

'Ni nak pergi mana pula malam-malam buta macam ni?'

"Saya tak dapat nak tidur. Saya nak pergi perpustakaan, nak baca buku," jawab Embun seolah-olah dapat mendengar isi hati Arjuna.

Arjuna menilik jam pada dinding. Jarum pendek menghampiri nombor tiga sementara jarum panjang pula menuding ke nombor sembilan. Pukul 2:45 pagi nak pergi perpustakaan, baca buku?

'Eh, baca buku?'

Arjuna baru menyedari kata-kata Embun sebentar tadi. Kepala yang tidak gatal dia garu. Biar betul orang buta nak membaca? Ini dah macam meng-kantoikan diri sendiri ni. Tetapi melihat Embun tersenyum dengan bersahaja, Arjuna mula meragui pendengarannya sendiri. Dia tersalah dengarkah?

"Juna nak ikut?"

'Ikut?' Arjuna berfikir sejenak. 'Kalau aku ikut, bolehlah aku siasat dia betul-betul buta ke tak."

Tok-tok!

Senyuman Embun kian melebar. Senang hati jika Arjuna sudi menemaninya ke perpustakaan mini yang terletak di aras bawah banglo putih itu. Tanpa berfikir panjang, Arjuna menarik tangan Embun untuk diletakkan di lengannya. Embun sedikit terperanjat tetapi tetap merangkul lengan Arjuna. Sekali-sekala dipimpin, apa salahnya?

"J... jom?" Ajak Embun tergagap-gagap dek gemuruh.

Arjuna tidak menjawab seperti biasa dan terus membuka langkah. Embun melipat tongkatnya. Rasanya, dia tidak memerlukan tongkatnya pagi itu. Arjuna ada dengannya.

Pipi tembam bertambah merah, fikiran itu membuatkannya tersipu malu. Mujurlah laluan menuju ke perpustakaan mini agak malap. Bolehlah dia menyembunyikan senyumannya dari Arjuna.


---

Babak mana yang paling menyentuh hati korang setakat ni? Kenapa? 

Jangan lupa vote & komen okey!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro