Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

ENGSEL berkarat pagar berkeriut. Cahaya terang mengena dinding banglo putih dua tingkat di puncak bukit, terasing daripada rumah-rumah yang lain. Proton Saga Iswara keluaran tahun 2003 meluncur masuk ke dalam pekarangan rumah dan berhenti di samping sebuah Porsche 911 Carrera 2 Targa model 1992, kereta klasik kegemaran Encik Adi.

Seorang gadis berkebaya ungu menjadi yang pertama turun dari Proton Saga Iswara merah itu. Kemudian diikuti pula oleh penumpang bahagian hadapan, juga seorang wanita tetapi kelihatan lebih berusia berbanding gadis itu. Akhir sekali, barulah seorang lelaki bermisai lebat keluar dari tempat duduk pemandu. Sambil mengamati binaan banglo putih dua tingkat itu dengan mulut terlopong, mereka bertiga menghampiri Encik Adi dan Puan Kirana yang sedang menanti di pintu yang dikuak luas untuk tetamu mereka.

"Selamat datang, selamat datang!" ucap Encik Adi, menjabat tangan lelaki bermisai lebat itu. "Encik Harun dan Puan Kalsom, ya?"

"Ya, ya, ya," jawab Encik Harun terangguk-angguk, segan.

"Yang ni, anak perempuan kami. Nabila namanya," sampuk Puan Kalsom, menyorong anak gadisnya, Nabila ke hadapan yang terus menyalam tangan Encik Adi dan Puan Kirana.

"Oh! Sepupu Embunlah, ya?" Puan Kirana tersenyum manis. "Boleh panggil Aunty Kirana aje. Yang ni Uncle Adi."

Nabila mengangguk faham. Senyuman dipaksa di bibir. Sebenarnya kedatangannya ke situ bukanlah atas kerelaan sendiri. Oleh sebab ibunya, Puan Kalsom, mengugut akan merampas pemain MP3 miliknya jika dia bersikeras untuk tidak pergi bersama mereka, dia pun terpaksalah akur. Bukan mudah untuknya menabung demi mendapatkan pemain MP3 itu.

"Mana Embun?" tanya Puan Kalsom, leher dipanjangkan, melihat-lihat ke dalam rumah.

"Embun dia tunggu kat dalam," jawab Puan Kirana. "Eh, jemputlah masuk! Kita sambung berbual kat dalam."

"Silakan, silakan." Encik Adi memberi ruang untuk mereka lalu ke dalam.

Setibanya mereka di bilik menyambut tetamu, kelihatan seorang gadis berbaju kurung polos dengan rambut ditocang sedang duduk bersendirian di salah satu sofa antik yang ditempah khas dari Scotland. Kedatangan mereka tidak mencetuskan apa-apa reaksi terhadap Embun. Dia kekal tidak berganjak dari tempatnya.

"Embun, keluarga Embun dah sampai." Umum Puan Kirana, mempersilakan mereka masuk ke dalam.

Puan Kalsom terus menghulurkan tangannya, menyangka anak saudaranya itu akan bangun dan mencium tangannya. Alih-alih Embun membalas dengan anggukan acuh tak acuh. Puan Kalsom terus menurunkan tangan dengan senyuman kelat di bibir. Kejanggalan mengisi bilik menyambut tetamu itu.

"Eh, jemputlah duduk!" pelawa Puan Kirana, cuba untuk mengubah keadaan. "Abang, saya pergi bancuh air dulu."

Setelah meminta diri, Puan Kirana terus berlalu ke dapur. Nabila disorong lagi oleh ibunya, dipaksa duduk di sebelah Embun yang diam seribu kata sementara mereka yang lebih tua duduk sedikit berjarak dari mereka. Sambil bermasam muka, Nabila melabuhkan punggung.

"Kami minta maaflah ya sebab datang dengan tangan kosong. Isteri saya nak belikan buah tangan tapi..." Encik Harun menggaru kepala, segan. "... kami takut Encik Adi dengan keluarga tak berkenan pula dengan pemberian kami nanti."

Puan Kalsom terangguk-angguk, mengiakan kata-kata suaminya.

"Eh, tak apalah! Datang sini, tengok Embun pun kami dah gembira, senang hati," balas Encik Adi sebelum menoleh ke arah Embun.

"Embun pun mesti gembira, kan? Uncle dengar kau orang dah lama tak berjumpa."

Embun tidak membalas. Pertanyaan Encik Adi dibiarkan berlalu begitu saja. Encik Harun pun berdehem kecil, kekok pula bila Embun diam begitu. Nampak sangat hubungan mereka berkeluarga tidak sejernih mana. Takut ada hati yang tergores, Encik Adi terus menukar topik perbualan. Bertanya jika sepanjang perjalanan mereka baik-baik saja.

Sedang orang-orang tua bercerita, Nabila mengamati gadis pendiam di sebelahnya. Kulitnya cerah, rambutnya lembut dan hidungnya juga tinggi. Sekian lama tidak bersua muka, Nabila terlupa akan wajah Embun. Jadinya, dia merasakan seolah-olah itu baru kali pertama mereka bertemu meskipun hakikatnya, mereka bersepupu.

"Jadi, kaulah Embun?" bisik Nabila, tersenyum sinis.

Embun tak mengendahkannya.

"Kalau bukan sebab kau, mesti aku tengah seronok keluar dengan kawan-kawan aku pergi tengok wayang sekarang ni." Nabila menjeling ke arah Encik Adi.

"Kenapa diam aje? Dah tak sudi bercakap dengan rakyat marhaen macam kita orang?"

Embun menggenggam kuat tongkatnya. Gigi diketap. Menahan amarah yang tiba-tiba meluap dalam diri.

"Tapi memang dari dulu lagi kau tak pernah datang lawat kita orang pun, kan?" sambung Nabila.

"Jemput minum!"

Puan Kirana kembali dengan dulang berisi teh dipetik segar dari ladang mereka dan juga manisan untuk dihidangkan buat tetamu. Embun lantas menoleh ke arah lain untuk menyembunyikan matanya yang berkaca dan bibir yang terketar-ketar tetapi dia terlambat. Puan Kirana sudah melihatnya.

"Mana Juna?" tanya Encik Adi.

Nama Arjuna membuatkan Nabila menoleh ke arah pasangan suami isteri itu. Dia tidak tahu pula mereka ada cahaya mata. Sangkanya, mereka menerima Embun ke dalam keluarga mereka kerana menginginkan seorang anak.

"Kat atas lagi rasanya," jawab Puan Kirana.

Sedang Encik Adi dan Puan Kirana yang mengalu-alukan kedatangan tetamu mereka pada malam itu untuk masuk ke dalam teratak keluarga mereka di bawah, Arjuna sibuk mundar-mandir di depan katilnya. Mendengar namanya dipanggil, Arjuna semakin tidak keruan. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Entah apa yang dicari.

"Juna?" panggil Encik Adi lagi.

"Tak apalah, bang. Biar saya yang pergi panggil dia." Puan Kirana bangun semula. "Encik Harun, Puan Kalsom, Nabila, jemput minum dulu. Saya nak naik ke atas sekejap."

Puan Kirana sempat melirik Embun dengan kerutan risau di dahi anjalnya. Dengan keluhan kecil, dia meminta diri dan hilang lagi dari pandangan mereka. Anak tangga didaki berhati-hati. Membawa diri ke bilik tidur Arjuna yang tertutup rapat tanpa ada sebarang suara dari dalam. Pintu diketuk.

"Juna? Aunty ni."

Tombol pintu dipulas dan pintu dibuka, mendedahkan Arjuna yang memakai jean dengan t-shirt putih diselukkan ke dalam. Dari raut wajahnya, dia kelihatannya sedang bermasalah.

"Belum siap lagi ke? Keluarga Embun dah sampai dah. Kejap lagi nak makan malam."

Arjuna mengeluh perlahan. Pintu dibuka luas, memberi ruang untuk Puan Kirana masuk ke dalam. Hal pertama yang Puan Kirana perasan ialah kemeja kusut-masai di atas papan seterika. Puan Kirana mengukir senyum. Patutlah tak siap lagi.

"Nak aunty tolong ke?"

Sambil tersipu malu, Arjuna mengangguk kepala. Manalah dia tahu menggosok kemeja sesukar itu. Dia belum pernah melakukannya. Sebelum-sebelumnya, arwah mamanya, Puan Suria yang akan melakukannya. Terlalu dimanjakan. Selepas kepergian Puan Suria, penampilan Arjuna langsung tidak terjaga. Kemeja kusut pun disarung saja ke badan. Buat apa pedulikan pendapat orang lain terhadapnya?

Namun, malam itu, dia mahu memberikan yang terbaik. Dia sedar betapa pentingnya pertemuan malam itu buat Embun. Mana mungkin dia akan membiarkan diri sendiri merosakkan saat terpenting seperti itu. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan Embun.

Garisan ketara pada kemeja kian menghilang. Sambil menggosok kemeja Arjuna, Puan Kirana tersenyum kecil. Sudah lama dia mengimpikan itu. Untuk melakukan hal-hal yang seorang ibu sering lakukan untuk anaknya, untuk Arjuna. Hatinya menjerit kecil, melompat kegirangan.

"Nah!" Kemeja yang disangkut pada penyangkut baju dikembalikan kepada Arjuna.

"Terima kasih."

Senyuman Puan Kirana melebar. Seharusnya dia yang berterima kasih kerana Arjuna memberi peluang kepadanya untuk melakukan hal seperti itu. Walaupun di mata orang lain mungkin kelihatan seperti hal sepele yang tak bermakna, baginya, ia amat berharga.

"Kalau ada apa-apa yang Juna tak reti nak buat, boleh minta tolong kat aunty. I don't mind doing them for you."

Arjuna mengangguk.

"Kita orang tunggu kat bawah, tahu? Cepat sikit. Lapar ni."

Arjuna tersenyum kecil. Sekali lagi dia mengangguk.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro