Bab 1
BUNYI kuat menggegarkan lantai konkrit tempat berbaring. Mengetuk gegendang telinga bertalu-talu. Entah itu tangisan hujan dan ngauman guruh atau kenderaan berat yang keluar masuk dari tempat terpencil yang aktif dengan aktiviti pembalakan itu.
"Ma... Mama..."
Seorang budak lelaki berusia dua belas tahun terlantar lemah pada lantai dengan sebelah tangan diikat kuat pada paip mesin usang yang bersawang. Kepala lutut dan sikunya penuh dengan calar. Alangkah rawannya hati jika mama dan papanya tahu bagaimana keadaan anak yang mereka tatang bagai minyak yang penuh ketika itu. Pasti mereka akan meronta-ronta, meminta putera mereka dilepaskan. Mungkin juga sanggup melutut dan merayu. Apalah maruah jika hendak dibandingkan dengan cahaya mata mereka?
Kelopak mata Arjuna Nara berkedip perlahan. Jalur cahaya yang menerobos masuk ke lubang-lubang kecil pada dinding zink menyuluh tepat ke wajahnya, menyilaukan mata. Dia tertidur lagi di dalam ruang yang berbahang. Seluruh wajahnya bera. Berhari-hari dikurung di situ, kulitnya terbakar dan mula terkupas. Meninggalkan satu lagi kepedihan untuk tubuh kecilnya tanggung.
"Ma..." panggilnya dengan kudrat yang tinggal. "Juna nak balik..."
Dentingan kuat mengejutkan Arjuna. Namun anggota tubuh badan yang dapat dia gerakkan hanyalah bebola mata coklat yang dia warisi daripada wanita yang membuat dia tercari-cari. Cahaya matahari tidak lagi kelihatan. Bunyi jentera berat digantikan oleh cengkerik yang bersahut-sahutan. Sehari lagi berlalu. Dia sudah berhenti menghitung hari yang berlalu sejak dia ditinggalkan di situ.
Tidak lama kemudian, sumber datangnya dentingan kuat yang mengejutkannya tadi memunculkan diri. Bunyi logam berat nyaring mencucuk telinga. Pandangannya jatuh ke tangan berurat yang menggenggam kuat paip besi. Diheret sepanjang jalan menuju ke arah budak lelaki yang berendam dengan warna merah pekat dan hitam yang mula mengering pada epidermisnya. Hari berlalu, dia semakin kelihatan tak terurus. Tiada lagi pengasuh yang membersihkan luka sekecil zarah, menyediakan pakaian berjenama dan menyikat kemas rambutnya.
Bayangan yang samar-samar kelihatan itu mencangkung di hadapan Arjuna. Hujung paip besi ditonjol ke dahinya, anak kecil yang naif, membuatkan dia mengadu sakit apabila luka di dahi yang dibiarkan tak dirawat berdarah kembali. Mengalir ke alisnya yang terukir cantik. Juga diwarisi daripada mamanya yang masih belum memunculkan diri. Semakin dia mencuba untuk menepis logam dingin berkarat itu, semakin dalam lukanya ditusuk. Akhirnya, dia mengangkat bendera putih. Dalam hati hanya mampu berdoa sakit itu akan surut, tetapi lama-kelamaan yang dirasakan hanyalah 'terbiasa'.
Hembusan nafas lega terbit dari mulut Arjuna setelah paip besi dialihkan dari dahinya dan dipacakkan ke lantai konkrit. Lalu kedengaran pula suara garau yang mengeluh jengkel. Seolah-olah empunya suara itu buntu. Tidak tahu apa yang patut dia lakukan terhadap budak kecil itu. Rancangan awalnya tidak melibatkan nyawa sesiapa melayang tetapi kerana rancangannya telah gagal, kalau anak kecil itu mati, pasti memudahkan kerjanya. Sangkanya, jika dia kembali ke situ setelah dua hari, anak kecil itu sudah mati kelaparan tetapi hitungannya salah. Bernafas lagi rupanya.
"Mama..." panggil Juna lagi.
"Nak tengok mama?" tanya bayangan hitam itu.
"Mama..."
Tiba-tiba, tangan kasar itu mencengkam rahang Arjuna. Sesuai dengan apa yang Arjuna inginkan, dia laksanakan. Wajah anak kecil itu ditolehkan ke kiri. Tidak jauh dari tempat dia terbaring lemah, ada seorang wanita yang duduk bersandar pada dinding. Tubuhnya pucat, matanya tertutup rapat, tangannya dibiarkan tak berantai kerana bayangan hitam itu tahu, dia tak akan melarikan diri. Buat selama-lamanya.
"Rindu mama? Tak payah rindu sangatlah. Nanti dah satu kubur, boleh peluk puas-puas."
Ugutan dan kesinisan membuatkan jantung Arjuna berdegup laju. Dia takut bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk wanita itu. Anak yang tumbuh dengan kasih sayang yang cukup, akan sentiasa mencurahkan kasih sayangnya ke orang lain. Sayangnya, terkadang kasih sayang itu membuatkan dia terlupa, adakalanya perlu memikirkan nasib diri sendiri dahulu.
"Mama..."
Arjuna menepis tangan bayangan itu dan mengumpul kudrat yang ada untuk bangun tetapi tak berdaya. Dia terlalu lemah. Dengan luka di seluruh badan dan perut yang dibiarkan kosong berhari-hari, orang dewasa pun pasti tak berdaya untuk melakukan apa-apa. Inikan pula insan lemah sepertinya. Seharusnya, anak kecil sepertinya merasai manisnya zaman kanak-kanak. Berlari di padang yang luas, memenuhkan poket celana dengan manisan dan mengumpul figura watak siri animasi Jepun tetapi takdir membiarkan dia mencicip kepahitan pula. Entah apa akan ada kemanisan di hujung jalan setelah apa yang berlaku.
Arjuna hampir berputus asa. Sakit menusuk setiap inci tubuhnya. Namun wajah tanpa berekspresi milik wanita itu seolah-olah memanggilnya untuk datang lebih dekat. Membisik kepadanya bahawa dia akan selamat sekiranya dia dapat memegang tangan tanpa kehangatan itu. Akhirnya, jeritannya pun pecah. Bergaung, menggoncang partikel dinding zink kilang terbiar yang mengurungnya. Mata dipejam rapat. Tangan diunjur ke hadapan, sejauh yang dia mampu. Dengan setiap otot yang diregang, sakitnya datang beratus kali ganda.
Arjuna membalikkan badannya. Mungkin itu rembesan adrenalina atau mungkin juga keinginannya yang membuak untuk disatukan semula dengan wanita itu membuatkan dia terlupa akan segala sakit dan seksa yang ditanggung badan kecilnya. Tangannya menapak di atas lantai berhabuk. Kaki mengengsot, menolak beban badan agar terus ke hadapan. Andai tak dapat berlari, dia sanggup merangkak.
"Mama... mama..." panggilnya.
Bayangan hitam itu turut bergerak ke arah yang sama dengan kelajuan yang berbeza. Apabila tinggal sedikit lagi jarak untuk Arjuna disatukan semula dengan ratu hidupnya, terasa tangannya disentap kuat. Dia lekas menoleh ke belakang dan menyedari tali yang mengikat tangannya hanya membiarkan dia pergi sejauh itu.
Arjuna kembali menoleh ke hadapan. Mata sepetnya terbuka luas apabila bayangan hitam itu mengayunkan paip besi berkarat di tangan ke udara. Belum sempat Arjuna menjerit, wanita itu rebah ke lantai. Paip besi diayun ke udara lagi dan pukulan bertubi-tubi mengena wanita dengan degupan jantung mendatar itu. Percikan merah mengena ke dinding dan pipinya.
Setitis air jatuh dari hujung mata Arjuna. Tangan dia unjurkan ke hadapan, mahu mencapai wanita itu. Tiada suara yang keluar dari mulutnya melainkan nafas yang tersekat-sekat. Sehingga akhirnya, wajah penuh lukanya tersembam ke lantai dan pandangannya berubah hitam. Bunyi dentingan besi itu perlahan-lahan menghilang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro