Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 32 : Musuh dalam selimut

"A-akan ada se-seorang dari kau se-semua yang akan mengkhianati kau dari belakang. Di-diam-diam dia rancang sesuatu untuk musnahkan kepercayaan kau semua."

"Dan tuan aku akan tiba untuk musnahkan akademi dan anak-anak muridnya dan juga dunia-dunia lain!"

"Siapa tuan kau!" bentak Aiman padanya.

"Zegrath..." Terus dia rebah dan perlahan-lahan badannya berubah menjadi abu hitam dan diterbangkan oleh langit. Lepas sahaja kejadian itu terjadi, mereka sama-sama terpaku.

"Pengkhianat...," kata Lokman.

"Diantara kita?" sambung Faris.

"Ta-tapi takkanlah kita nak khianat sesama kita betul tak! Hahaha!" Haikal tahu mereka dalam situasi yang janggal sekarang tapi dia sedaya upaya membina tembok dalam minda mereka supaya tidak termakan kata-kata Pupa.

Malangnya, cara halus itu gagal. Mereka masih melayani pertanyaan dalam diri mereka.

'Betul ke apa yang Pupa cakap. Aku perlu percaya atau tidak? Tak mungkin dia orang akan memusnahkan kepercayaan kita... Tapi itu semua boleh jadi...'

Shafiq dan yang lain pulang semula ke akademi dengan wajah sugul. Kata-kata Pupa di penghujung nyawanya masih terngiang-ngiang di telinga mereka. Aiman duduk di atas katil dengan kaki terjuntai.

Dia tunduk memandang lantai sambil bermain dengan jarinya. Shafiq pula sedang berbaring merenung siling di atas katil yang sama. Lokman dan Haikal membuat hal masing-masing.

Amirul dan Raul pula duduk bertentangan antara satu sama lain. Amirul dengan wajah berkerut, ditambah pula dengan fikirannya yang sedang kusut.

Namun begitu, Raul tidak menunjukkan sebarang ekspresi. Dia menelaah telefon dengan fon telinga bersambung ke telinganya. Faris, Zul dan Faiz tiada di dalam dorm kerana keluar mencari Wan.

"Kenapa kau relaks sangat ha!" tegur Amirul setelah mengangkat kepalanya dan terlihat Raul yang dengan tenang bermain telefon.

Raul yang sedar Amirul ada bercakap sesuatu kepadanya mengalihkan perhatian sebentar daripada telefonnya. Dia mencabut sebelah fon telinganya dan mengangkat keningnya.

Amirul tidak berkata apa-apa sebalik hanya merenungnya tajam. Raul malas untuk mengambil tahu maka dia kembali melihat telefon dan memakai fon telinganya.

"Apa yang kau nak!" tengking Raul apabila Amirul secara tiba-tiba menampar tangannya menyebabkan telefonnya jatuh ke atas lantai. Suara Raul menyebabkan yang lain terus memandang mereka berdua.

"Kenapa kau tenang sangat!" Amirul berdiri daripada duduknya dan turut meninggikan suaranya. Mukanya penuh dengan kebencian yang membuak-buak.

"Jadi, apa yang kau harapkan? Muka aku berkerut seribu? Rambut kusut dengan muka pucat macam orang tak ada oksigen?" balas Raul dengan nada sarkastik.

"Aku tak harapkan sampai macam tu pun. Cuma boleh tak kau sekurang-kurangnya ambil tahu atau tunjukkan yang kau pun terkesan! Atau kau pengkhianat yang Pupa cakapkan!" tuduh Amirul.

"Orang yang menuduh orang lain nilah yang biasanya jadi musuh dalam selimut? Atau kau tuduh aku semata-mata untuk sembunyikan identiti sebenar kau? Rancangan kau nak buat yang lain ragu-ragu dengan aku untuk selamatkan diri kau dan pastikan rahsia kau tak terbongkar, betul?" dalih Raul. Sengaja sebutan 'kau' ditekan untuk menyakitkan hatinya.

"Antara semua orang, kau paling tak layak nak cakap begitu kat aku, pengkhianat!" ujar Amirul.

"Jadi, apa bezanya dengan apa yang kau lakukan sekarang?" Raul sekali lagi tenang membidas segala kata-kata yang keluar daripada mulut Amirul.

"Yang bezanya, aku ada bukti dan aku yakin kau orangnya. Siapa lagi kalau bukan kau?" Amirul menuding jarinya tepat ke arah mata Raul.

Raul mengeluh kasar dan mengetap giginya rapat. Dia menyeluk sakunya lalu mengeluarkan sebilah pisau dan dihulurkan kepada Amirul.

Amirul mengambilnya dengan teragak-agak dan dengan penuh tanda tanya. Sebaik sahaja pisau tersebut bertukar tangan, Raul terus menggenggam tangan Amirul dan meletakkan bilah pisau di tekaknya sendiri.

"Cukuplah tu!" Aiman segera berdiri dan menghalang perbuatan mereka. Yang lain terus panik dan cuba menghalang perbalahan itu daripada berterusan.

"Kalau kau pasti aku pengkhianat tu, teruskan. Peluang dah terhidang depan mata," cabar Raul. Dia semakin merapatkan dirinya dengan Amirul, langsung tidak berasa takut walaupun bilah pisau telah pun menyentuh lehernya. Satu pergerakan daripada Amirul dan leher Raul akan tertoreh

"Amirul, fikir elok-elok. Jangan terburu-buru!" larang Haikal dengan tegas kerana perbuatannya sudah melampaui batas.

"Be-betul. Ra-Raul dah banyak tolong kita, mustahil dia orangnya," tambah Lokman.

"Lagi satu, ada kemungkinan Pupa sengaja cakap macam tu untuk rosakkan kepercayaan kita. Dia musuh dan kita tak boleh percaya kata-kata dia bulat-bulat. Itu salah satu taktik dia Mirul!" Aiman memberi pendapat.

"Cuba kau fikir balik Mirul. Ini Raul wey. Dia yang paling bijak diantara kita. Kalau dia pengkhianat sekalipun, dia akan berpura-pura risau untuk elak keraguan. Tapi, dia buat yang sebaliknya. Pengkhianat tak selembab macam tu untuk tunjukkan benda jelas." Shafiq mempertahankan Raul.

Pisau masih berada di leher Raul. Walaupun Amirul tidak berkata apa-apa, namun anak matanya menunjukkan kemarahan yang melampau. Lagi-lagi apabila tiada siapa yang menyokong dirinya.

"Fikir baik-baik Amirul..." Shafiq menenangkannnya. Jikalau bukan disebabkan rakan-rakannya sudah lama dikelar leher sahabatnya itu.

Bibir Raul menguntum satu senyuman sinis. Dia perlahan-lahan mengambil pisau di tangan Amirul dan memasukkannya kembali ke dalam poket.

"Kau taklah seyakin yang aku sangkakan." Leraian dilepaskan perlahan-lahan.

"Kau orang, kita orang dah jumpa Wan!" Faiz tiba-tiba menerjah masuk ke dalam dorm dengan Zul dan Faris menyusulinya. Yang lain terus mengalihkan perhatian ke arah mereka bertiga dengan pandangan mata yang agak kosong.

"Ada apa-apa jadi masa kita orang tak ada ke?" soal Faris menyedarkan keadaan yang amat tegang di dalam dorm.

"Tak ada apa-apa," balas Shafiq dan yang lain serentak. Ia tidak menghilangkan keraguan Zul namun Faris dan Faiz tampak termakan dengan penipuan itu.

"Kau orang jumpa kat mana?" soal Shafiq.

"Kafe," jawab Zul dengan nada mendatar.

"Jadi, kenapa lama sangat?" Aiman pula menghulurkan soalan.

"Lepas jumpa Wan dekat kafe dengan Asy, kita orang beritahu dia apa jadi. Dia setuju nak tolong tapi kalau dia orang berdua sahaja tak cukup. Dan dia minta kita orang cari seorang perempuan ni, nama dia Irene Kim. Katanya, si Irene ni boleh tolong kita," terang Faiz.

"Yang menjadi masalahnya, si lembab ni bila kita orang ditanya dengan Wan kenal tak Irene, dia jawab ya dengan muka yakin dia. Masa tengah cari, dia boleh tanya aku dengan Zul siapa Irene," tambahnya lagi sambil menunjuk ke arah Faris.

"Aku jawab 'ya' sebab aku ingat kau orang kenal. Rupa-rupanya, kau orang pun sama macam aku." Faris cuba mempertahankan dirinya.

"Apa-apapun, kita orang terpaksa tengok setiap papan kenyataan untuk cari nama Irene. Bila dah jumpa, kena cari tuannya pula. Tengok dalam kelas dia tak ada. Tanya dengan rakan sekelasnya, mereka tak tahu. Satu akademi ni kita orang cari. Kau tahu tak akademi ni besar mana? Tahu tak berapa ramai pelajar kat sini? Semuanya sebab dia ni." Faiz menyalahkan Faris. Faris hanya menggaru pipinya dengan rasa bersalah.

"Jadi, mana si Irene yang kau orang cakap tu?" tanya Haikal.

"Dia, Wan dengan Asy tengah tunggu kita kat bilik sakit blok Sage," jawab Zul sekali lagi dengan nada mendatar.

"Apa kata kita pergi sekarang? Aku tak nak kita buat dia orang menunggu," ajak Faris. Yang lain mula berkemas sedikit dan bersedia untuk pergi.

"Cuma sebelum tu, aku nak tanya... Sekali lagi, apa yang jadi masa kita orang tak ada?" Persoalan Zul membuatkan yang lain terhenti sebentar.

"Kan dia orang dah kata tak ada apa-apa. Kenapa tanya soalan sama lagi?" soal Faris.

"Kau semua tak pandai menipu. Riak wajah kau orang pun memang macam sembunyikan sesuatu. Apa yang dah jadi?" Zul menekankan sedikit suaranya untuk membuktikan yang dia serius pada waktu ini.

"Lokman!" Sergahan Zul membuatkan Lokman terkejut sehingga dia  dengan tidak sengaja menjawab soalan Zul tadi dengan jujur.

"Ta-tadi Amirul dengan Raul bergaduh. Aku ingat gaduh biasa. Ru-rupanya Amirul tuduh Raul ni pengkhianat sebab dia tenang sangat. Amirul pun kata dia ada bukti yang tuduhan dia betul. Ta-tapi jadi lebih teruk sebab Raul cabar Amirul untuk bunuh dia waktu tu juga."

Keadaan diam untuk seketika.

"Itu jer? Aku dah agak perkara macam ni akan berlaku..."

"Agak apa?" soal Faris disebelahnya.

"Mesti di antara kita akan termakan racun dengan madu pukauan Pupa. Kata-kata Pupa sekarang dah membendung akal fikiran kau orang. Buat masa sekarang, kita semua jangan fikir tentang identiti pengkhianat tu dulu," cadang Zul.

"Betul. Pupa sengaja cakap macam tu untuk pecah-belahkan kita. Dia tahu kita kuat bila bersama, sebab tu dia cakap macam tu." Shafiq meluahkan pendapatnya bahawa dia setuju dengan pernyataan Zul.

"Tapi..." Semua pandangan kini beralih ke arah Haikal yang sedang tunduk memandang lantai.

"Ada kemungkinan yang kata-kata Pupa tu betul. Dulu pun pernah ada seorang pengkhianat dalam kalangan guru. Tak mustahil semua tu boleh jadi semula. A-aku tak tahu. Pengkhianat tu boleh bunuh kita bila-bila je atau masa kita semua sedang hanyut di alam mimpi," luah Haikal.

"Haikal?" Shafiq memandang muka rakannya itu dengan riak wajah gelisah. Dia tahu Haikal tak suka dengan perkara-perkara begini.

"Maaf Shafiq, buat masa sekarang ni aku tak percaya siapa-siapa," ucap Haikal dengan senyuman terpaksa sebelum menyarung hoodie hitamnya dan melangkah keluar daripada dorm.

"Aku tak nak cakap apa-apa, terpulang pada kau orang nak buat apa. Buat masa sekarang, lebih baik kita fokus untuk kembalikan kuasa kita. Aku nak pergi tandas. Aku mungkin lewat sikit." Kini, giliran Raul pula yang keluar daripada dorm.

Shafiq melepaskan keluhan kasar. Serabut apabila difikirkan semula. Aiman menepuk bahunya untuk memberikan semangat. Walaupun tidak banyak, namun ia membantu sedikit menghilang kegusaran dalam hatinya.

"Dia bertiga mesti dah tunggu lama dekat blok Sage tu. Jom, gerak sekarang." Aiman cuba mengambil alih kedudukan Shafiq supaya dia tidak merasa terbeban dengan semua ini.

Satu per satu daripada mereka bergerak terus menuju ke blok Sage. Lokman ahli terakhir yang keluar dari bilik mereka kerana dia perlu mengunci pintu bilik. Zul, Faiz dan Faris masih lagi disitu menunggunya. Tiba-tiba sahaja Zul bersuara menyatakan apa yang berada di benak fikirannya.

"Aku rasa ada benda penting yang kita semua terlepas pandang berbanding fikirkan identiti pengkhianat tu," ucap Zul lagi menyebabkan perhatian yang lain sekali lagi tertumpu ke arahnya.

"Apa dia?" tanya Faiz pula.

"Zegrath... Aku pernah dengar nama ni. Nama ni pernah disebut suatu masa dahulu tapi aku tak dapat ingat sepenuhnya," sambung Zul lagi. Sel-sel neuron di dalam otak mereka ligat memainkan peranan menghantar impuls ke otak.

"Zul! A-aku..." Faris tiba-tiba menegurnya dengan nada terkejut. Yang lain terus memandang Faris, tidak sangka dia jumpa jawapannya. Tidak sangka juga dia akan berguna pada waktu-waktu begini.

"Aku tak sangka kau banyak bercakap. Ini kali pertama aku dengar. Sebelum ni, nak dengar satu perkataan pun susah. Aku ingat kau sampai bila-bila akan bercakap dengan Faiz je." Zul sekilas memandang dia dengan jelingan menjengkelkan.

Yang lain terus mengeluh kecewa mendengarkan ayat yang keluar daripada mulut Faris. Faiz sudah mengenggam penumbuknya. Mereka terpaksa menarik balik harapan mereka terhadap Faris yang diberikan awal tadi.

"Geram betul la aku dengan budak ni!"

Ketika Faiz sedang sibuk mengerjakan Faris, Zul memberikan sokongan dengan tindakannya supaya tutup mulut Faris buat sementara waktu, Lokman tiba-tiba teringat akan sesuatu. Sesuatu yang dipelajarinya di kelas waktu dahulu. Pencipta dunia Vertex, makhlus iblis yang dahagakan darah. Raja iblis, Zegrath.

"Ja-jangan-jangan..." Mereka semua memandang ke arah Lokman dengan penuh tanda tanya.

......

Sementara itu di dalam tandas, Raul berdiri di hadapan sinki, mencuci mukanya buat kali kesepuluh. Tangannya terketar-ketar menyebabkan dia menghadapi kesukaran untuk membuka pili air.

Perutnya pula memulas-mulas, bukan kerana keracunan atau pun rasa ingin membuang air besar. Di sebalik ketenangan dan keyakinannya tadi, dia berasa amat gementar dan takut.

Jika dia berada dalam keadaan itu lebih lama, dia sudah pasti akan jatuh terlutut dan memuntahkan segala isi perutnya, tidak lagi mampu mengawal perasaan tersebut.

"Kamu okay tak?" Satu suara menerpanya. Raul mengangkat sedikit kepalanya. Dia terlihat satu susuk tubuh sedang berdiri di belakangnya melalui pantulan cermin.

"Encik rasa?" ujar Raul dengan nada yang amat dingin menyebabkan lelaki itu tersentak.

"Kamu pasti ke boleh teruskan ni? Saya boleh suruh dia hantar orang lain," kata lelaki itu prihatin.

"Tak perlu, Encik Unn. Encik tahu kan yang saya sahaja yang layak dan boleh diharap untuk buat kerja ni. Nak harapkan lagi seorang tu, dia selalu hilang bila ada masalah. Encik hantar dia untuk tolong saya tapi tak ada beza pun, saya tetap buat kerja ni seorang diri," balas Raul.

"Jadi, ada apa-apa yang saya boleh bantu?" tanya Encik Unn.

"Ada, cuma tolong laksanakan rancangan tu cepat sikit," pinta Raul.

"Kamu pun tahu, saya tak ada kuasa untuk tu. Semua tu ada pada tangan dia," jelas Encik Unn padanya.

"Lagi baik suruh dia cepat. Saya tak tahu berapa lagi saya boleh simpan rahsia dengan mereka. Amirul dah rasa sangsi. Saya pasti dia akan cari bukti untuk pastikan tuduhan dia betul. Encik pun tahu semangat dengan tekad dia macam mana," terang Raul.

"Keadaan akan jadi lebih teruk lepas ni. Rasa tidak percaya tu akan buat mereka cuba cari pengkhianat yang Pupa cakap. Kalau ni berterusan, kamu akan hadapi masalah," agak Cikgu Unn.

"Sebab tu saya kena berhati-hati. Satu kesilapan dan semua yang rancangan kita gagal. Si Zegrath tu memang betul-betul dah menyusahkan. Kenapalah Pupa juga yang dia nak hantar?" keluh Raul.

"Agak berani untuk kamu panggil dia 'Si Zegrath' . Saya pun tak berani macam tu. Jaga-jaga dengan setiap percakapan. Kalau dia dengar ni, kamu mungkin dah tiada di bumi ni," ucap Encik Unn sebelum tergelak kecil.

"Ya, mungkin lebih baik mati daripada buat semua ni. Tapi saya tak boleh menyerah macam tu je. Tiada apa-apa akan berlaku kalau tak buat apa-apa," Raul menutup pili air dan berpusing menghadap Encik Unn.

"Saya minta maaf sebab susahkan kamu. Tapi, tak ada siapa yang lagi saya percaya dan yakin selain kamu," ujar Encik Unn. Dia mengusap kepala anak muridnya itu memberikan semangat.

"Tak perlu. Saya percayakan dia. Tak kira apa yang jadi, saya akan teruskan dengan identiti palsu ni. Saya akan pastikan semuanya berjaya, walaupun nyawa saya jadi taruhan." Raul tidak lagi gementar dan dia sudah mendapat semula keyakinannya.

"Semoga berjaya, Raul."

"Encik pun."

.
.
.
.
.

Bersambung...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro