Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TEASER DUA

HARI ini sudah masuk tiga hari. Umar tidak lekang dengan senyuman. Mana tidaknya, dapat semula dia kembali ke pangkuan isteri. Tuhan saja tahu betapa dia rasa gembira. Dan-dan dia jugalah yang mengambil alih tugas memasak, mengemas dan segalanya. Pulang dari tempat kerja, Umar akan terus ke dapur untuk memasak. Dilarang Yana masuk ke dapur.

Lagipun, Yana masih di awal usia kehamilan. Umar tak mahu apa-apa jadi pada Yana. Dapat diberi peluang ini, dia takkan lepaskan. Sama sekali tidak!

“Umar, kau ada dengar berita pasal Jun?” Kamal yang baru keluar dari toilet menegur. Dia berjalan ke tempatnya yang berada di sebelah Umar.

“Jun?”

Kamal mengangguk.

Umar hanya membisu. Sudah lebih seminggu Jun tak masuk kerja. Dia dicutikan. Bos sudah mendengar cerita dan memberi Jun cuti tanpa gaji. Mungkin itu jalan sebaiknya. Dibiarkan Jun benar-benar pulih dari trauma yang menimpanya.

Cuma, hal ini tidak diceritakan pada warga tenaga kerja. Kes Jun hanya diketahui orang-orang tertentu sahaja. Kerana itu, ada di kalangan mereka yang tertanya-tanya tentang kehilangan Jun.

“Dia cuti.” Ringkas Umar membalas. Tangannya menekan-nekan papan kekunci.

“Kenapa?”

Soalan Kamal diabaikan. Dia sendiri takut kalau dia dedahkan masalah Jun kepada Kamal. Jadi, lebih baik dia diam.

“Kau tak tahu ke Umar?”

“Entahlah, Kamal.”

“Tak pernah-pernah Jun cuti lama macam ni. Nak kata dia dah kahwin, tak pulak. Aku peliklah, Mar. Kau tak rasa macam tu ke?”

Umar mengeluh. “Apa kata kau pergi tanya bos sendiri?”

“Kau ni, aku tanya aje.”

Baru Umar hendak membalas, telefonnya masuk notifikasi. Terus dia matikan niat untuk menjawab. Lagipun, membazir air liur dia saja. Dia melihat skrin telefonnya. Mesej dari Jun!

+ Umar, awak dekat mana?

Dahi Umar berlapis-lapis. Soalan apa yang Jun tanya ni? Kenapa tiba-tiba? Ya, dia memang ada simpan nombor Jun tapi dia akan mesej jika berkaitan hal kerja sahaja. Tidak lebih, tidak kurang.

“Kenapa tu dahi berkerut?” Kamal menyoal.

Umar pandang Kamal sekilas sebelum tunduk membaca semula pesanan ringkas itu. “Jun, dia mesej aku.”

“Panjang umur dia tu. Ha, kenapa? Kau cubalah risik pada dia. Kenapa dia tak datang?”

“Aku tak nak kacau privasi dia. Mungkin dia ada alasan sendiri.”

“Kau takut eh?” Tembak Kamal.

“Takut? Buat apa aku nak takut?”

“Yelah, mana tahu orang rumah cemburu tak tentu fasal nanti.”

Umar tersentap. Tipulah kalau dia kata dia tak terasa. Walhal, mereka pernah bergaduh sebab Jun. Sekarang ni pun, dia dalam usaha memujuk.

“Dahlah kau. Aku buat kerja dulu.”

Bicara Kamal tak ambil pusing. Telefon diletak ke tepi. Pesanan Jun dibiarkan tidak berbalas.

Beberapa minit, telefonnya bergetar. Dilihat sekilas, nama yang sama terpamer. Umar mengeluh. Ikutkan, dia tak mahu jawab. Dia sudah nekad nak pujuk Yana, takkan dia nak hancurkan kepercayaan Yana dengan menghubungi Jun lagi?

Pertama kali, Umar menolak panggilan. Telefon diletak semula. Tak sempat dia menoleh, telefon itu bergetar dengan panggilan dari nombor yang sama. Berkali-kali dia tolak panggilan, orang di hujung talian tidak serik menghubunginya.

Nak tak nak, Umar bangkit dan berlalu ke pantri. Panggilan dari Jun diangkat.

“Awak nak apa, Jun?”

“U… Umar… Tolong saya, please…” Suara pecah Jun menyapa halwa telinga. Seketika Umar tergamam.

“Awak dekat mana ni?”

“Luar office. Saya cuba datang office tapi… tapi…”

“Ya Allah, awak buat apa dekat sini? Tunggu saya. Saya turun sekarang.”

Dada Umar berdegup kencang. Mendengar suara Jun saja dia tahu gadis itu mesti teringatkan kejadian itu. Nafasnya saja tidak sekata. Tapi gadis itu degil nak ke mari. Bos dah bagi cuti sebulan tanpa gaji. Patutnya Jun duduk di rumah dan dapatkan semangat semula. Bukan dengan cara tiba-tiba datang ke office. Merepek!

“Jun!” Laung Umar sebaik ternampak kelibat Jun yang berpaut pada tiang elektrik. Terbongkok-bongkok tubuh itu.

“Awak okey ke ni? Marilah saya hantar awak balik. Awak tak sihat lagi, Jun.”

“Saya cuba, Umar.”

Not the right time. Awak patut beri masa. Semua ni tak boleh dipaksa. Bos sendiri beri kelonggaran pada awak, jadi kenapa awak perlu terburu-buru?” Di situ juga Umar membebel. Dahi dilesekkan dengan telapak tangan. Sudahlah cuaca panas, Jun ni…

“Saya minta maaf. Saya ingatkan saya boleh…”

“Dah, dah. Awak datang dengan siapa ni?” Umar mencantas.

Jun telan liur kesat. “Grab.”

“Ya Allah, Jun. Marilah saya hantar awak balik. Kereta saya dekat hujung sana. Awak boleh jalan tak ni?”

Jun mengangguk. Perlahan-lahan dia menapak. Umar di sisi menanti penuh sabar. Hendak memapah, dia masih faham hukum-hakam agama. Sekarang ini, hatinya mula berbelah-bahagi. Dia ingin abaikan Jun tapi Jun masih tak berdaya. Gadis itu tak boleh berdiri dengan kaki sendiri. Lihat saja tadi, kalaulah Umar tak terdetik nak angkat panggilan, entah apalah yang akan jadi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro