Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 9

PEPERANGAN dingin di antara Aisar dan Inara seakan-akan tiada penamatnya. Inara benar-benar masih tidak puas memberikan pelajaran kepada sahabatnya. Dengan cara memulaukan Aisar, Inara yakin bahawa Aisar akan menyedari kekhilafannya sendiri. Tipulah kalau Inara tidak rindu akan ulah Aisar yang menghiburkan. Namun, hukuman tetap hukuman.

Aisar pula sudah mati kutu dengan sikap dingin Inara. Lain benar kedinginan Inara kali ini. Aisar seolah-olah merasakan ribut taufan baru sahaja membadai hidupnya. Manakan tidak, Aisar benar-benar kesepian tanpa omelan Inara. Sehingga Aisar sendiri mengalah untuk memujuk sahabatnya.

Kalau itu rentak Inara, Aisar akan ikut. Takut kalau-kalau Inara benar-benar mahu membuang Aisara dari hidup gadis itu. Barangkali, Inara memerlukan masa setelah gadis itu melepaskan jawatannya sebagai ketua pengawas.

Aisar yakin.

"Kau mahu bapa bawa kau pergi hospital?"

Aisar yang sedang mengulang kaji subjek Kimia lantas tersentak dengan soalan aneh bapanya. Khusyuknya serta-merta hilang. Pandangan dialihkan ke laman wajah Encik Yusof yang baru melabuhkan duduk di meja makan.

"Bapa, Aisar sihat sajalah. Buat apa nak pergi hospital?" soal Aisar. Wajah bapanya yang sedang membaca surat khabar ditatap.

"Dah bapa tengok kau macam tak okay. Tak pernah-pernah kau melekat dekat rumah. Nak tengok kau belajar pun jarang. Ini, dah dekat dua minggu bapa tengok kau terkurung saja dekat rumah. Kenapa? Pintu hidayah dah dibukakan untuk kau ya?"

Tak semena-mena, Aisar terkekek dengan soalan sinis bapanya. Pelipis yang tak gatal digaru. Tubuh disandarkan di belakang kerusi. Merehatkan tubuhnya yang mula terasa lenguh. Sungguh, Aisar benar-benar digeletek kelucuan dengan omongan bapanya.

"Bapa gurau kasar nampak dengan anak teruna bapa yang hot and spicy ini! Kata-kata bapa itu, seolah-olah halilintar yang berdentum kuat dengan bunyi boom boom lalu memanah hati Aisar yang rawan. Aduh, aduh... sakit sungguh hati ini," kata Aisar dengan penuh dramatik. Bibirnya sengaja dimonyokkan. Kepala tertunduk dengan mata terpejam rapat. Tangan kanan sudah menggenggam baju dengan erat.

Encik Yusof mendengus. Meluat pula dia melihat Aisar mula berdrama di hadapannya. Anak sulungnya ini, sering saja tidak serius dalam berkata-kata. Entah sikap siapalah yang diwarisi oleh Aisar pun Encik Yusof tidak tahu.

"Abang tengah bergaduh dengan Kak Nara. Sebab itu, abang dibukakan pintu hidayah untuk buat persediaan SPM. Dia takut Kak Nara dah tak nak jadi sahabat dia lagi. Semuanya berlaku disebabkan abang buat hal. Sumber, kawan-kawan sekelas Airis yang minat dekat abang," ujar Airis yang baru sahaja keluar dari kamarnya. Pisang goreng yang masih panas di atas pinggan dicapai.

Aisar hanya tersengih kelat tatkala tatapan Encik Yusof sudah galak merenungnya. Sempat lagi Aisar menunjukkan buku limanya ke arah Airis. Geram!

Airis hanya membalas dengan menjelirkan lidahnya. Kaki dinaikkan untuk bersila di atas kerusi sebelah bapanya. Nikmat sungguh pisang goreng dicampurkan dengan teh panas pada waktu petang.

"Minat? Huh! Biar betul Airis, kawan-kawan kau minat dekat abang tak semenggah kau ini? Muka macam penyangak. Perangai minta kaki. Ada juga ya orang yang terpikat dengan abang tak matang kau," ujar Encik Yusof. Pandangan sinis diberikan kepada Aisar yang sudah menutup buku.

"Waduh bapa! Cubalah sekali saja bapa puji anak bapa yang famous  dekat sekolah ini. Barulah Aisar rasa bersemangat kalau nak pergi sekolah nanti. Tak adalah Aisar buat hal kalau bapa bagi pujian dekat anak bapa yang digilai ramai!" kata Aisar dengan kepala yang tergeleng-geleng. Sering saja dia mendapat cacian daripada bapanya.

"Abang ni poyo..."

"Assalamualaikum. Amboi! Tiga beranak ini, minum tak tunggu mak pun."

Serentak, Encik Yusof, Aisar dan Airis memandang Puan Suhaila yang baru saja melangkah masuk ke ruang dapur. Kelihatan, wanita itu sedang menjinjing  beberapa barangan basah. Aisar lantas bangun dari duduknya dan membantu emaknya mengangkat barang.

"Mak cik, barang-barang yang ni nak letak dekat mana?"

Saat suara itu menusuk telinga Aisar, kakinya serta-merta jadi kejung. Anak matanya tunak memandang si gadis tinggi lampai yang sedang menjinjing barang. Oh sungguh, Aisar rindu akan figura yang berada di hadapannya saat ini.

"Aisar! Pergi tolong Nara. Apa kejadah mengelamun tengah-tengah jalan," arah Puan Suhaila.

Buru-buru, Aisar membantu Inara. Sengihan kelat terukir di bibirnya. Namun, Inara hanya membalasnya dengan jelingan maut. Malahan, Inara langsung tidak mengendahkan Aisar yang sudah menghulurkan tangan kepadanya. Menawarkan diri untuk membantu.

"Mak suruh Nara pergi kedai ke tadi? Kenapa tak bagi tahu Aisar kalau mak perlukan bantuan? Kesian Nara, kena angkat barang berat-berat," ujar Aisar. Tubuhnya sudah disandarkan di kabinet bersebelahan Inara yang baru saja meletakkan barang.

"Kamu nampak khusyuk sangatlah, Aisar. Sebab itu mak tak mahu kacau. Mak terserempak dengan Nara masa pergi kedai tadi. Itu yang mak tumpangkan dia naik kereta sekali. Panas petang-petang macam ni kalau nak jalan kaki," jelas Puan Suhaila.

"Ala, menyesalnya Aisar tak ikut mak tadi. Kalau tak, mesti boleh temankan Nara. Bahaya kut jalan seorang. Mahunya tiga malaun tu..."

"Aku tak perlukan perlindungan daripada kau. Perang masih perang. Lagi satu, aku tak nak bercakap dengan kau!" pintas Inara.

Mendengarkan amarah Inara membuatkan Aisar tertawa kecil. Keluhan berat lantas terlepas dari bibirnya. Tangan disilangkan ke dada. Semakin Inara memberikan pandangan berbisa kepadanya, Aisar semakin suka.

"Tak nak bercakap dengan aku? Tapi kau baru saja bercakap dengan aku beberapa saat yang lalu. Mesti kau rindu kan nak bercakap dengan aku? Eleh cakap sajalah, kalau kau rindu..."

Tak semena-mena, Aisar kematian kata tatkala Inara membaling sebiji bawang merah ke dahi Aisar. Mengadu kesakitan pemuda itu dengan penangan berbisa Inara. Tetapi, senyuman tetap terukir di bibir Aisar sehingga menampakkan lekuk di pipinya.

"Alahai, Kak Nara dengan abang ni asyik bergaduh saja. Susah-susah, apa kata mak dengan bapa kahwinkan saja dua merpati sejoli depan kita. Mana tahu dia orang diberikan keinsafan supaya tak bergaduh," usik Airis. Muak sudah dia melihat babak gaduh Inara dan Aisar. Tiada langsung perubahan dalam diri mereka. Ada saja perkara yang bisa mencetuskan pergaduhan.

"Kau dengar itu Nara. Adik aku nak tengok kita kahwin tau. Aku on saja. Kau pula macam mana? Lepas SPM ke atau kau nak capai cita..."

"Kalau pun aku terdesak nak suami, aku tak akan pilih manusia sewel macam kaulah, Aisar Mumtaz! Huh! mak cik, pak cik, Airis... Nara balik dulu. Assalamualaikum," cemuh Inara seraya pamit. Rasa geli geliman saja bila Aisar mula bermain soal kahwin. Dia tidak terdesak lagi! Malahan, masih banyak perkara yang Inara mahu capai dalam hidup.

Tak semena-mena, Encik Yusof ketawa terbahak-bahak dengan cemuhan anak jirannya. Sungguh, telatah Inara yang mencemuh Aisar benar-benar membibitkan rasa geli hatinya.

"Su, anak awak baru saja kena tolak depan abang. Nampaknya, anak teruna awak ini tak pandai nak pikat hati gadis yang dia suka," ejek Encik Yusof. Tawanya terus disambut oleh Airis dan Puan Suhaila. Masing-masing terhibur mendengar omongan kasar Inara.

Aisar sekadar tersengih-sengih bila mana dirinya sudah dijadikan bahan jenaka. Tiada aksara yang mampu diujarkan lagi. Aisar benar-benar terpempan dengan tindakan Inara. Nampak benar, Inara hanya mahu hubungan mereka sebagai sahabat. Tidak lebih dari itu.

DENGAN langkah berhati-hati, sekumpulan figura berpakaian serba hitam meluru masuk ke dalam sebuah gudang. Kelihatan, gudang lama tersebut begitu gelap. Hanya cahaya di tingkat dua dan rembulan saja yang menyinari cahaya di gudang itu.

Mustaqim yang mengetuai serbuan, memberikan isyarat kepada pasukannya untuk berpecah. Sesuai mengikut strategi yang telah diatur. Masing-masing hanya mengangguk. Bersama dengan selaras senapang yang berada di tangan, empat dari lapan orang pasukan menaiki anak-anak tangga gudang.

Mengikut risikan yang dilakukan oleh Mustaqim dan beberapa orang pasukannya, didapati bahawa malam ini berlaku lagi sebuah aktiviti pengedaran dadah di antara dua kumpulan kongsi gelap. Sungguh, Mustaqim benar-benar tekad ingin menumpaskan Black Eagle!

Demi arwah abahnya dan keamanan negara!

Tatkala tawa dan perbualan kedengaran di sebuah bilik, Mustaqim lantas membuat isyarat kepada pasukannya untuk meluru masuk. Pintu yang ditutup rapat lantas ditendang sekuat hati. Buru-buru, pasukan polis mengepung enam orang penjenayah yang ralit dengan perniagaan haram mereka.

"Jangan bergerak!"

Serentak dengan amaran Mustaqim, bertalu-talu tembakan dilepaskan oleh penjenayah. Maka, berlakulah aksi tembak-menembak di gudang itu. Tidak dapat disangkalkan lagi bahawa Black Eagle merekrut ahli kumpulan mereka dengan tidak alpa terhadap sekeliling.

Manakan tidak, dalam keadaan gawat, tanpa berkompromi mereka terus melepaskan tembakan terlebih dahulu. Mujur, Mustaqim terlebih dahulu mengatur strategi dengan membahagikan pasukannya kepada beberapa kumpulan.

Melihat seorang ahli Black Eagle berbaju preman sudah meluru ke tingkat bawah, Mustaqim lantas mengejar dari belakang. Berdas-das tembakan ditujahkan kepada musuh. Namun, musuh seakan-akan tidak lut dengan peluru.

Maka, Mustaqim terus melajukan lariannya. Pemuda bertopeng hitam yang hanya menampakkan sepasang matanya lantas melompat dan menujahkan tendangan ke arah musuh. Tak semena-mena, penjenayah yang sedang melarikan diri sambil membawa seberkas dadah tersungkur jatuh. Dengusan kuat dilepaskan. Berang tatkala dia sudah kehabisan peluru.

"Jangan bergerak! Serahkan diri kau sekarang juga!" bentak Mustaqim seraya menghalakan muncung senjata ke arah musuh. Tanda ugutan.

Si penjenayah yang menyedari dia tidak mempunyai peluang untuk melarikan diri lantas menyerah. Kedua tangan diangkat ke atas. Lutut direbahkan di atas lantai. Dari ekor mata, dia dapat melihat muncung senjata sudah hampir ditujahkan ke tepi dahinya.

Mustaqim lantas menyambar seberkas beg berisi dadah. Namun, satu tangan kekar terlebih dahulu menyambar. Malahan, sedas tembakan ditujahkan ke tubuh Mustaqim. Pemuda itu tersentak ke belakang akibat kejutan. Mujur, dia menggunakan baju kalis peluru untuk melindungi diri.

Menyedari bahaya di depan mata, memberikan signal serta-merta kepada Mustaqim untuk lebih berjaga-jaga. Tambahan pula, glock sudah diacukan ke arahnya. Mustaqim berundur setapak ke belakang. Namun, dia merasakan seseorang sedang mengacukan glock di pinggangnya.

Tergaris senyuman sinis di bibir Mustaqim. Nampaknya, mereka  mempunyai strategi dalam melawan pihak polis. Kalau itu rentaknya, Mustaqim akan ikut. Dia juga ada pelan sendiri. Perlahan-lahan, Mustaqim meletakkan senjatanya ke bawah.

Tak semena-mena, si penjenayah terlebih dahulu bertindak dengan melepaskan tembakannya. Membuntang mata Mustaqim saat ahli kumpulan Black Eagle ditembak di hadapan matanya sendiri. Bukankah mereka rakan niaga? Aneh!

Tanpa berlengah, Mustaqim turut bertindak dengan mengenggam tangan figura yang menyerangnya dari belakang. Muncung pistol digenggam erat. Peluru lantas dikeluarkan dari kelongsong. Tangkas, Mustaqim menujahkan bertubi-tubi tendangan ke tubuh dan tengkuk musuh.

Sontak, musuh yang tidak bersedia dengan serangan Mustaqim tersungkur jatuh. Seorang lagi musuh yang turut kaget dengan serangan Mustaqim lantas melepaskan berdas-das tembakan ke arah Mustaqim.

Buru-buru, pemuda itu menyembunyikan dirinya di belakang dinding. Glock yang disisip di pinggang lantas dikeluarkan. Berjaga-jaga. Kepala disembulkan sedikit bagi memerhatikan musuh yang sedang membantu rakannya untuk bangun.

Mustaqim menajamkan pandangannya. Glock di tangan lantas diangkat. Memandangkan musuh mula bertindak ganas, Mustaqim tiada pilihan lain dengan menumpaskan mereka. Lantas, berdas-das tembakan ditujahkan ke kaki dan bahu musuh.

Akhirnya, mereka rebah serta-merta. Erangan kesakitan kedengaran di seluruh gudang. Mustaqim tersenyum puas. Dia tidak akan menembak di kawasan yang membunuh. Mereka itu saksi utama untuk pasukannya menumpaskan kongsi gelap yang sedang diburu!

SECAWAN kopi panas diletak di atas meja rakannya. Senyuman terukir di bibir si gadis berambut perang. Hatinya sedikit digeletek kelucuan melihat air muka rakannya yang kelihatan bingung. Selamba, si gadis melabuhkan duduk bertentangan dengan pemuda berbaju serba hitam itu.

"Kau tak payah bagi aku pandangan membunuh kau. Minum saja. Tak ada racun pun. Aku tahu, kau penat. Apa kata, kau rehatkan diri kau dengan nescafe 3 in 1 hasil tangan Sarjan Delisha," ujar Delisha. Anak rambut diselit ke belakang telinga.

Mustaqim hanya tersenyum dengan jenaka rakannya. Perlahan-lahan, minuman dihirup. Tahu-tahu saja Delisha bahawa dia memerlukan air hangat. Pertempuran bersama Black Eagle dan White Snake masih terasa lelahnya hingga ke pagi hari.

"Kenapa kau tiba-tiba baik hati dengan aku? Kena rasuk atau kena angin kus-kus? Suspicious betul perangai kau pagi-pagi ni," kata Mustaqim seraya menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi.

Delisha mencebik geram. Tubuhnya didekatkan ke meja. Anak matanya tunak memandang raut wajah Mustaqim. Saat pandangan mereka bersatu, saat itu juga getaran di sudut hati Delisha mula bermain irama. Ah! Selalu saja dia kalah bermain hati bila berhadapan dengan Mustaqim.

"Hah, kenapa? Tak malu ke pandang-pandang anak teruna orang? Kau jangan cakap yang kau dah syok dekat aku. Hah, kau juga yang reject aku dua bulan..."

"Ya Allah, perasannya mamat ni. Aku datang ni sebab nak bincang sesuatu dengan kau! Pasal Black Eagle. Itu saja!" pintas Delisha. Pandangannya terus dialihkan dari memandang raut wajah Mustaqim.

"Sebab tu, aku buatkan kau air walaupun 3 in 1 saja. Aku tahu kau penat lepas serbuan semalam. Tapi, aku rasa aku dah tak ada masa yang banyak kalau nak tahan benda penting macam ni," tambah Delisha. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan.

Mendengarkan omongan Delisha membuatkan dahi Mustaqim mula berkerut. Aneh saja omongan rakannya itu. Entah mengapa, intuisi Mustaqim seakan-akan tidak enak mendengar omongan Delisha.

"Del... kau okay tak?"

"Mestilah aku okay! Sebab aku okaylah aku bersemangat nak bagi laporan aku kepada kau. Sekarang ini, mesti Black Eagle dah rasa tergugat bila pasukan kita berjaya memberkas markas pemporsesan dadah dan perniagaan haram mereka. Bukan?"

"Okay. Lepas tu, apa yang kau nak laporkan?"

Delisha bangun dari duduknya. Senyuman lebar menghiasi bibir gadis berbaju hitam itu. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan. Setapak demi setapak, Delisha mengelilingi ruang pejabat Mustaqim.

Dalam diam, Delisha memuji kehebatan Mustaqim yang memperolehi anugerah dan pingat. Rakannya itu memang seorang yang berkarisma dan cekap. Mustaqim memang layak, mendapat anugerah pekerja cemerlang.

"Laporan aku... aku nak kembali bertugas dengan kau. Bagi aku kelulusan supaya aku boleh uruskan di bahagian pemerdagangan wanita. Please?"

Semakin berkerut dahi Mustaqim dengan omongan Delisha. Laporan apakah? Mahu saja dilemparnya Delisha yang sudah tersengih dengan fail di atas meja. Mujur, Mustaqim menyayangi Delisha setulus hatinya. Hanya saja, gadis itu menolak cinta yang dihulurkan.

"Taqi, please? Aku..."

"Tak boleh. Black Eagle itu berbahaya. Aku... tak nak ada apa-apa yang buruk berlaku kepada kau." 

"Ala, kerja kita memang bahaya pun kan. Aku minta jadi mata-mata di kedai makan sebelah rumah pelacuran itu saja. Aku nak tolong kau tumpaskan Black Eagle saja, Mustaqim."

Mustaqim sekadar menggelengkan kepalanya. Bukannya dia mahu menghalang. Delisha layak. Terlalu layak untuk tugasan ini. Namun, Mustaqim risau andai Delisha menerima nasib yang sama seperri ayahnya Mustaqim saja.

"Aku risau..."

"Aku pun risaukan kau. Sebab tu... aku nak tolong kau tumpaskan pembunuh abah kau secepatnya. Lepas semua ini berakhir, kita... boleh selesaikan hal kita berdua pula. Okay?" pintas Delisha. Nada suaranya mula beransur melankolik. Wajah rakan selaku ketuanya ditatap dengan tatapan yang penuh dengan rasa kasih.

Mustaqim terkaku. Tiada aksara yang mampu diungkapkan saat Delisha mula mengharapkan sebuah sinar. Bahkan, omongan Delisha yang seakan-akan memberikan petunjuk menambahkan lagi kelu seorang Mustaqim.

Bersambung...

Thanks korang, sudi baca karya syaf 💕

Kali ini, abang Inara interframe lebih daripada Aisara 🤭 nak dedahkan latar abang Inara saja

Sedutan episod 10...

"Aku ada idea bernas supaya kau boleh putuskan hubungan Aisar dan Inara. Bila dah putus, kau masuklah ganti Inara. Kau pun satu. Fikirlah dengan kritis! Muka saja cantik tapi bodoh!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro