Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 8

"INARA, sini sekejap."

Usai memberikan tugasan kepada anak-anak murid, Cikgu Razak memanggil Inara ke mejanya. Hujung kaca mata dinaikkan. Ada riak tegang di sebalik wajah guru berumur 30 an itu. Seakan-akan ada sesuatu yang sedang dipendam.

Inara yang baru sahaja mencapai kalkukator bagi membuat tugasan Matematik Tambahan lantas bangun dari duduknya. Lambat-lambat, si gadis berseragam biru menghampiri. Senyuman terhias di bibir tanda ramah. Melihat saja wajah Cikgu Razak, seakan-akan memberikan intuisi negatif kepada Inara saja.

"Ya, cikgu. Ada apa-apa yang boleh saya tolong?"

"Bukan saya. Tapi, kawan kamu yang perlukan bantuan daripada kamu sendiri. Saya rasa, kamu seharusnya lebih bertegas dengan dia. Kamu itu, ketua pengawas sekolah. Takkan kawan kamu pun kamu tak boleh tegur?"

Sontak, senyuman di bibir Inara serta-merta terasa pahit. Wajahnya mula membahang panas. Serentak dengan dinding hatinya yang mula bergelegak panas. Kepala dikalih memandang meja Aisar. Kosong. Oh sungguh, Inara rasa mahu meletup seperti bom atom saja saat ini.

Malu dengan omongan gurunya!

"Mana Aisar? Sampai bila dia nak memonteng kelas saya? Asal kelas saya saja, dia hilang. Kamu tak nasihatkan dia ke yang SPM tinggal sebulan? Huh? Kalau disiplin murid lain kamu boleh kawal, kenapa disiplin kawan sendiri kamu abaikan?" tegas Cikgu Razak lagi. Berdas-das aksara pedas membantai seorang Nur Inara. Pedih.

"Maaf, cikgu. Saya akan tegur dia dan ambil tindakan yang sewajarnya ke atas Aisar. Saya cuba... buat yang terbaik supaya dia berubah," kata Inara. Lembut saja tutur bicaranya walaupun amarah sudah membakar jiwa.

Cikgu Razak sekadar menggelengkan kepalanya dengan ulah Aisar Mumtaz. Bukan niatnya mahu menyalahkan Inara. Namun, dia sendiri yang kadangkala lelah menegur Aisar memerlukan khidmat Inara. Bukannya tiada yang tahu hubungan persahabatan Inara dan Aisar. Sering saja menjadi buah mulut para guru dan murid.

Semuanya hanya disebabkan Inara seorang ketua pengawas. Aisar pula, namanya sering dicatat di dalam buku rekod disiplin disebabkan masalah disiplin yang dilakukan. Kontra benar sikap dua orang sahabat itu.

"Dah, pergi duduk dan sambung semula kerja yang saya suruh. Cikgu harap, kamu boleh tegur Aisar dengan sebaiknya," arah Cikgu Razak. Nada suaranya kembali beransur tenang tatkala melihat wajah Inara yang sudah kelat masam itu.

Inara sekadar mengangguk. Dengan langkah yang longlai, gadis itu kembali mendapatkan duduknya. Sesekali, pandangannya menerawang memandang beberapa orang rakan sekelas yang sudah memandangnya dengan simpati. Ada juga pandangan sinis yang seakan-akan mengejek Inara.

Oh sungguh. Inara merasakan sebentar lagi dia akan bertukar menjadi singa yang kelaparan! Aisar benar-benar cari fasal.

ERANGAN si remaja lelaki berbaju sukan melatari kawasan belakang sekolah setelah tubuhnya dibanting kuat ke belakang. Berkerut dahinya yang sudah berpeluh tatkala tulang belakangnya seakan-akan dipatahkan. Sakitnya bukan kepalang!

"Majulah lagi! Kenapa pandang-pandang saja?" provok Aisar. Pandangannya tertancap ke arah tiga seteru yang masih berdiri. Masing-masing dengan mulut yang sudah melongo apabila Aisar dapat menjatuhkan ketua mereka dengan mudah.

"Kau orang bertiga ini, mesti terpegun tengok aku banting ketua kau orang macam ahli gusti, kan? Dah macam patung cendana dekat butik Kak Kiah dah aku tengok muka kau orang. Kaku!" kata Aisar seraya mencapai semula jajan yang dipegang oleh juniornya. Sesekali, Aisar tertawa riang. Suka melihat lawannya sudah kesakitan di atas tanah.

"Wah! Hebatlah abang Aisar. Nanti, ajarlah Majid macam mana nak bergasak. Majid tak nak kena buli lagi," kata Majid sambil bertepuk tangan. Bibirnya tak lekang dengan senyuman. Teruja melihat babak aksi Aisar Mumtaz. Puas melihat pembulinya dijatuhkan oleh Aisar.

"Boleh! Abang sarankan, kau pergi belajar silat dengan Pak Misai. Lepas ni, bolehlah kau warisi lagenda Aisar Mumtaz lepas aku habis SPM. Kalau kau boleh lawan orang yang kacau kesejahteraan dan keamanan hidup kau, mesti kau akan jadi terkenal. Paling penting, semua orang tabik spring ting tong dengan kau punya," jawab Aisar. Nada suaranya kedengaran begitu teruja. Jajan super ring dikunyah sambil melihat seterunya mengerekot sakit di hadapan mata.

Mendengar omongan Aisar membuatkan anak mata Majid bersinar-sinar. Akalnya mula melayang memikirkan kondisinya yang bisa menjadi kuat seperti Aisar. Tiada lagi pembuli yang berani menentangnya jikalau dia mempunyai kekuatan seperti Aisar Mumtaz.

"Kau orang bertiga tunggu apa lagi! Bantai dia habis-habisan," arah si ketua yang cuba bangun. Dia tidak akan mengalah! Jatuh reputasinya bila mana Aisar berjaya menjatuhkannya.

"Nah! Habiskan jajan aku. Kau tengok baik-baik, macam mana caranya nak bertumbuk. Nanti, boleh digunakan di kemudian hari!" kata Aisar seraya menghulurkan semula jajan kepada Majid. Jari jemarinya yang melekat dengan jajan dijilat. Lehernya yang terasa lenguh direnggangkan. Setapak demi setapak, Aisar kembali berdiri tegak bertentangan dengan tiga seterunya.

Tanpa berlengah, tiga seteru meluru ke arah Aisar. Masing-masing dalam posisi bersedia untuk menjatuhkan Aisar. Tidak akan sesekali mereka membiarkan Aisar mendominasi pertarungan ini.

Aisar hanya mengelak tumbukan dan tendangan yang ditujahkan ke tubuhnya. Sesekali, pemuda berkulit kuning langsat itu menyendengkan tubuhnya. Tangan menjadi perisai tumbukan seteru demi menjaga wajahnya.

Melihat saja seterunya sudah kelelahan, Aisar mula membuka kekudanya. Tangan si ketua yang mahu melayangkan penumbuk ke arahnya menjadi sasaran terlebih dahulu. Tangkas, Aisar menggenggam pergelangan tangan seterunya lalu dikilas ke belakang. Melolong kesakitan si ketua tatkala Aisar seakan-akan ingin mematahkan tangannya. Malahan, Aisar terus menendang tubuhnya dari belakang. Sekali lagi, si ketua terjelopok di atas tanah.

Tatkala itu, Aisar semakin mendominasi tatkala dia menyendengkan tubuhnya seraya menyepak betis seteru yang ingin menendangnya. Akibat ketangkasan Aisar, si seteru terduduk. Baru saja dia mahu bangun, Aisar tangkas menujahkan beberapa tumbukan ke wajahnya. Bertubi-tubi. Jelas, air muka Aisar kelihatan seronok mengerjakan pembuli-pembuli Majid. Senyuman tak lekang dari bibir.

Majid yang sedang menyaksikan pertarungan Aisar semakin senang hati. Santai, Majid mengunyah jajan sambil memerhatikan gerak geri Aisar yang tangkas. Tiada langsung luka di wajah seniornya itu. Sungguh, Majid mahu menjadi orang yang hebat bergasak seperti Aisar Mumtaz.

"Berhenti!"

Tak semena-mena, jerkahan dengan suara yang garau mematikan terus senyuman Majid. Perlahan-lahan, kepalanya dikalih memandang si empunya suara. Hampir saja Majid tersedak super ring bila mana anak matanya tertancap ke arah susuk tubuh yang berwajah bengis.

"Kamu lagi, Aisar! Lagi-lagi, muka kamu yang saya tangkap. Kalau nak sangat jadi samseng, baik berhenti sekolah! Tak payah menyusahkan mak bapa kamu lagi!" marah Cikgu Walid. Anak matanya sudah melotot memandang wajah Aisar dan seterunya yang sudah kesakitan.

Aisar sudah kaku. Terasa kelat liur yang ditelan tatkala dirinya ditangkap sedang bergaduh. Malahan, Aisar sudah gerun melihat wajah seorang gadis yang kelihatan kecewa. Anak mata si gadis yang kelihatan berkaca benar-benar membibitkan rasa bersalah di dasar hati Aisar.

"Nara, Iktimal, bawa budak-budak ni ke bilik saya. Sekarang!" arah Cikgu Walid. Sungguh, dinding hatinya seakan-akan disimbah dengan minyak petrol saja. Menunggu masa untuk menjadi api yang begitu marak.

PERLAHAN-LAHAN, Inara menyandarkan tubuhnya ke belakang dinding. Anak matanya tunak memandang para pelajar yang baru masuk ke dalam kelas usai waktu rehat berakhir. Sesekali, senyuman pahit diukir buat guru yang lalu-lalang di hadapan bilik disiplin. Sungguh, Inara lelah. Dia cukup tertekan dengan keadaan Aisar yang tidak berubah itu.

"Aku rasa... dah tiba masanya kau undur diri jadi ketua pengawas dekat sekolah. Yalah, kawan baik kau sendiri pun kau tak mampu nak uruskan, macam mana pula kau nak uruskan masalah disiplin sekolah kita. Hah lagi satu. Kau tak perasan ke ramai orang macam tak suka bila nama kau naik jadi ketua pengawas? Sebab apa? Sebab kawan baik kesayangan kau itulah!"

Tatkala omongan Iktimal terngiang-ngiang di telinga, saat itu juga hati Inara jadi sebu. Dia malu! Inara benar-benar merasakan dirinya tidak layak menjadi seorang pemimpin. Bukannya dia tidak tahu, sesetengah murid di sekolah memperlekehkan jawatannya. Bukan hanya disebabkan dia seorang perempuan, bahkan semuanya kerana seorang Aisar Mumtaz.

"Kenapa kau nampak sedih? Kau okay ke?" soal satu suara yang tiba-tiba muncul.

Sontak, Inara menegakkan tubuhnya. Pandangannya tertumpu ke arah si pemilik suara. Ada wajah sugul Marissa yang berdiri di sebelahnya. Entah bila masa gadis berseragam biru itu muncul pun Inara tidak tahu.

"Kau buat apa dekat sini?" Soalan dibalas dengan soalan.

"Oh err aku... aku nak jumpa Cikgu Walid kejap. Haah! Ada yang aku nak bincang sikit sementara cikgu yang mengajar dekat kelas aku tengah mesyuarat," kata Marissa. Menyembunyikan niat sebenarnya yang ingin melihat keadaan Aisar.

"Kau pula? Bukankah sekarang ini waktu kelas? Cikgu tak marah kau ke bila kau tak ada dekat kelas sekarang ini?" soal Marissa pula.

Sebaik saja soalan itu menusuk telinganya, Inara mengeluh berat. Pandangannya kembali dialihkan dari memandang raut wajah manis Marissa. Tangan dikepal erat. Cuba menahan emosinya dari meledak marah.

"Aku dah minta izin cikgu tadi. Aku datang ni pun sebab aku... aku nak berhenti jadi pengawas," jawab Inara acuh tak acuh.

Tak semena-mena, membuntang mata Marissa dengan omongan Inara. Lengan Inara lantas dicengkam erat. Kaget! Inara itu contoh kepada pelajar lain. Prestasi akademik dan kokurikulumnya sentiasa cemerlang. Malahan, Inara sering menerima anugerah tokoh pelajar. Hal itulah yang membuatkan Inara dipilih menjadi ketua pengawas.

"Kau serius..."

Belum sempat Marissa menghabiskan kata, pintu bilik disiplin dibuka dari dalam. Seorang demi seorang pelajar yang membuat masalah melangkah keluar dari bilik disiplin. Masing-masing dengan wajah yang memar setelah dibantai oleh Aisar. Bila anak mata Marissa tertancap ke laman wajah Aisar, gadis itu lantas melepaskan cengkamannya seraya mendapatkan Aisar.

"Aisar, awak okay? Awak tak cedera kan? Risau saya bila Maya kata awak bergaduh dengan geng Manap tadi. Dia orang itu berbahaya!" kata Marissa. Prihatin. Takut kalau-kalau Aisar dicederakan.

Aisar sekadar tersengih kelat dengan keprihatinan Marissa. Kekok dengan sikap juniornya yang tiba-tiba prihatin. Pelipis yang tak gatal digaru. Marissa ini semakin hari, semakin pekik bagi Aisar. Manakan tidak, Aisar sering menangkap Marissa memerhatikannya dari jauh. Psiko barangkali?

"Aku okay. Kau jangan risaulah. Ini Aisar Mumtazlah! Tak pernah lagi pecah rekod dia kalah bertumbuk dengan budak sekolah ini!" kata Aisar. Berbangga diri bila pertarungan dimenangi olehnya sekali lagi.

Marissa sekadar tersenyum senang. Lega bila mana Aisar dalam keadaan yang baik. Tanpa membuang masa, gadis itu pamit untuk menemui Cikgu Walid. Meninggalkan Inara dan Aisar di luar bilik disiplin.

"Terima kasih untuk hari ini, Aisar. Aku bersyukur sangat dapat kawan macam kau. Aku rasa... akulah manusia yang paling beruntung dapat sahabat bernama Aisar Mumtaz!" pintas Inara. Tangannya disilangkan ke dada. Ada nada sinis terbit di bibir gadis yang sedang memendam kecewa itu.

"Mestilah kau beruntung dapat sahabat macam aku. Sudahlah kacak, kuat pula tu. Aku rasa, aku dah boleh jadi superhero dekat sekolah ini kut. Nanti mesti nama kau tambah naik. Betul tak?" ujar Aisar dengan nada yang bangga. Bangga dapat membantu Majid daripada dikerjakan walaupun pengakhirannya dia digantung sekolah akibat bergaduh.

"Oh ya? Superhero? Kau yakin ke nama aku naik dengan apa yang kau dah buat hari ini?"

Aisar tertawa dengan soalan cepumas Inara. Tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Gula-gula getah dicapai. Aisar benar-benar terhibur dengan kata-kata sarkastik Inara itu.

"Sahabat kepada ketua pengawas sekolah telah membantu junior daripada dibuli. Tak ke hebat tajuk utama bawang ranger sekolah ni nanti? Nama kau naik kut," kata Aisar sambil menjongket-jongketkan keningnya.

Inara tertunduk buat seketika. Keluhan berat terlepas lagi dari bibirnya. Kepalanya digelengkan. Terherot senyuman sinis di bibir gadis itu. Aisar tetap Aisar. Sudah dibutakan dengan masalah sendiri.

"Kau tunggu aku ni mesti sebab kau risaukan aku? Kan? Ala Nara... kau ni chill sudah..."

"Aku nak letak jawatan jadi ketua pengawas. Aku yakin, ini yang terbaik untuk orang lain. Cukuplah Aisar. Aku dah tak nak orang perlekehkan aku lagi di atas masalah yang kau buat! Aku malu!" tegas Inara. Meluahkan isi yang terpendam di sudut hatinya yang terdalam.

Aisar terpempan. Riak wajah Inara yang sedih membibitkan rasa bersalah di relung hati Aisar. Tiada aksara yang mampu diucapkan tatkala Inara memandang Aisar dengan tatapan kecewa.

"Tapi, Nara..."

"Aisar, tahun ini SPM tahu tak! Fokuslah. Cukuplah kotorkan nama aku dengan masalah yang kau buat!" bentak Inara tak semena-mena. Dahinya sudah dilapisi dengan kerutan. Sungguh, Inara benar-benar berang! Turun naik nafasnya melepaskan amarah buat Aisar.

Mendengarkan lontaran keras suara Inara membuatkan Aisar kaget. Sudah lama Inara tidak melepaskan amarahnya. Fikirannya mula mencerna aksara bagi memujuk Inara. Tidak mahu peperangan meletus di antara mereka. Sudahlah dia rasa bersalah bila Inara mahu meletakkan jawatan hanya disebabkan dirinya.

"Kau jangan risaulah kalau nama kau kotor. Nanti lepas balik dari sekolah, kita singgahlah kedai Pak Misai beli clorox. Sental nama kau yang kotor sampai bersih. Cerdik tak idea aku?" kata Aisar. Cuba menghiburkan Inara yang diserang amarah. Jelas, wajah Inara seakan-akan seperti singa yang kelaparan saja.

Inara hanya diam. Aisar masih bisa berjenaka dalam keadaan dia dilanda kecewa? Oh sungguh, hal ini bisa membuatkan Inara rasa dia mahu pergi dari hidup Aisar Mumtaz saja.

"Cerdik..."

"Kau dengar sini baik-baik, Aisar Mumtaz. Kalau kau sayangkan Aisara, tolonglah... aku merayu kepada kau tolong jangan malukan aku macam ni. Berubahlah Aisar! Aku dah penat cakap benda yang sama dengan kau. SPM tinggal sebulan saja lagi. Fokuslah dengan masa depan kau," kata Inara. Pandangannya sudah bersatu dengan anak mata Aisar. Berharap Aisar mengerti rayuannya.

"Tapi, kalau kau masih terdetik nak buat masalah disiplin, jangan cari aku lagi. Putuskan saja Aisara dan carilah mana-mana kawan yang boleh ikut rentak masalah disiplin kau ini," tambah Inara. Diselitkan dengan ugutan agar Aisar mendengar kata.

Tatkala itu, Aisar benar-benar terkelu. Akalnya terbejat. Bibir terkunci rapat. Ada aksara yang tak mampu diujarkan bila mana ugutan Inara menikam sukmanya. Inilah pertama kali Inara mengugutnya. Inara mahu memutuskan persahabatan mereka? Oh sungguh, Aisar tidak sanggup.

"Nara! Aku dah selesai jumpa cikgu. Kau boleh masuk," kata Marissa yang baru sahaja melangkah keluar dari bilik disiplin.

Inara hanya mengangguk. Matanya dijelingkan dari menatap wajah kejung Aisar. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan. Bersedia untuk melepaskan amanah yang diberikan oleh Cikgu Walid.

"Aisar, petang ni awak free tak? Kalau awak free, saya nak minta tolong awak ajar saya Biologi. Boleh?"

Omongan Marissa sekadar angin yang menyapa gegendang telinga Aisar saja. Pemuda yang masih kaget itu hanya statik memandang pintu bilik disiplin yang sudah ditutup rapat. Inara sanggup melepaskan jawatannya hanya kerana seorang Aisar.

Aisar benar-benar rasa tidak berguna saat ini. Kenapalah dia terlalu bodoh mengikut emosi semata? Pasti Inara sudah mengalah sehingga tekad membuat keputusan sedemikian rupa.

"Aku dipilih jadi ketua pengawas! Gembiranya aku! Dah lama aku nak didik diri aku jadi seorang pemimpin. Kau kena belanja aku makan cendol tau! Kau dah janji dengan aku."

Saat keterujaan Inara dipilih sebagai ketua pengawas terngiang di telinga, saat itu juga Aisar tiba-tiba menumbuk dinding dengan kuat. Melepaskan rasa amarah yang ada pada diri. Aisar sedar, dia terlalu mementingkan diri sendiri.

Tanpa sedar, dia sudah menyakiti hati seorang gadis yang sangat disayangi.

Marissa yang melihat keadaan Aisar diserang amarah sudah terkelu. Entah apa yang merasuk Aisar sehingga pemuda itu seakan-akan menjadi harimau jadian pun dia tidak tahu.

Bersambung...

Thanks korang sudi baca karya syaf 💕

Kalau sukakan karya ini, jangan lupa sedekahkan bintang 🤗

Patutkah Aisar ini dikecam? Ish2 kesian Inara, kena korbankan inpian dia 😌

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro