Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 7

SUASANA tegang di ruang tamu membibitkan kedinginan pada malam itu. Tiada aksara yang mampu diujarkan oleh penghuni rumah tatkala rayuan ketua kampung lebih mendominasi persekitaran. Angin malam yang menerobos masuk melalui pintu rumah yang terbuka, sudah tidak mampu memberikan ketenangan lagi.

"Aku minta maaf sekali lagi, Su, Ana. Di atas kesilapan anak aku. Su, kau cakaplah berapa saja yang kau nak bagi kos rawatan anak kau. Asalkan... kau tak laporkan hal ini kepada pihak polis. Aku..."

"Sudahlah tok ketua! Berkali-kali maaf yang tok ucapkan pun tak mampu nak hilangkan ketakutkan Airis, tahu. Tok tahu tak yang anak tok hampir ragut maruah Nara dengan Airis? Apa tok ingat, kita orang ini budak sekolah, kita orang tak ada maruah diri? Tak berhak nak dapatkan hak keamanan kita orang. Macam tu? Saya dah muaklah dengan tiga jahanam dekat kampung ini!" bentak Inara tak semena-mena. Bingit telinganya mendengar rayuan ketua kampung yang sering memenangkan anak sendiri.

Tika itu, suasana semakin hening. Puan Kirana dan Insyirah yang sedang duduk di sisi Inara hanya mampu diam sambil mengenggam tangan anak bongsu Puan Kirana itu. Tiada aksara tatkala akal masih kaget dengan kejadian yang sudah menimpa Aisar, Inara dan Airis.

"Tok ketua, tolonglah jalankan tanggungjawab tok dengan sebaiknya. Saya tahu, saya tak layak nak bercakap soal ini. Tapi, ini sudah melibatkan maruah saya dan Airis! Lagi satu, kalau ada sesuatu yang buruk berlaku kepada Aisar, sampai mati saya tak akan maafkan keluarga tok!" tambah Inara lagi. Nada suaranya sudah bergetar menahan tangis tatkala kotak memori mengimbas kejadian malang itu.

Inara takut. Sebaik mungkin Inara cuba menenangkan dirinya tatkala perasaan itu semakin mendominasi fikirannya. Bermacam andaian negatif yang sudah bermain di benak fikiran Inara.

"Syi, bawa Nara balik. Biar ibu selesaikan semuanya. Nara perlukan rehat. Pastikan dia makan dulu sebelum tidur," arah Puan Kirana sambil mengusap kepala Inara yang berbalut dengan tudung. Kasihan dia melihat anak gadisnya yang sudah pucat tak berdarah itu.

"Nara, ikut kakak balik ya sayang. Jangan risaulah pasal Aisar, dia tak ada apa-apa. Cuma..."

"Tak nak. Nara nak tunggu Aisar. Nara tak akan tenang selagi Nara tak nampak keadaan dia. Tolonglah ibu, bagi Nara duduk sini sekejap," rengek Inara sambil mengeratkan genggaman tangan ibunya. Tatapan matanya yang sayu sudah tak dapat dikawal lagi.

Puan Kirana hanya mengangguk lemah dengan rayuan Inara. Tidak mampu membantah bila mana tubir mata anak gadisnya sudah bergenang dengan air mata. Hanya tunggu masa untuk gugur membasahi pipi saja.

"Maaf tok. Saya tak boleh biarkan anak-anak saya diperlakukan seperti ini lagi. Airis tu, dia trauma sebab anak tok dengan geng-geng dia. Aisar, memanglah budak itu suka bergaduh. Tapi, sebagai seorang ibu... saya tak boleh nak biarkan anak saya hampir dibunuh oleh manusia-manusia itu. Senakal mana sekalipun Aisar, dia tak pernah kecewakan saya! Jadi, saya mohon... tok jangan pentingkan diri tok sendiri. Entah esok apa pula dia nak buat dekat anak saya dengan Ana," tegas Puan Suhaila. Sorotan anak matanya tajam memandang raut wajah Encik Hamdan yang kelihatan kecewa.

"Anak tok dah banyak buat masalah dekat kampung ini. Kami ada hak laporkan jenayah Thariq..."

"Tak payahlah, mak cik. Bukan mak cik tak tahu yang Thariq dengan geng-geng dia itu dah banyak kali keluar masuk lokap," pintas satu suara garau yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah.

Mendengarkan saja suara itu membuatkan Inara tersentak. Pandangannya terus tertancap ke laman wajah sahabatnya yang baru sahaja pulang dari hospital. Luluh hati Inara melihat keadaan Aisar dengan tangan kanan yang sudah dibalut dengan kain anduh.

"Aisar! Abang... macam mana? Doktor cakap apa pasal anak kita?" soal Puan Suhaila bertubi-tubi. Tangan Aisar dipimpin untuk duduk di ruang tamu. Resah hatinya sedikit terubat tatkala melihat keadaan Aisar.

"Pergelangan tangan dia patah. Mata pisau tu, buat kulit di pinggang Aisar terhiris. Nanti balutan luka jahitan, kena tukar tiga kali sehari supaya tak masuk kuman. Hah lagi satu, doktor dah bagi budak bertuah ni cuti seminggu. Pastikan dia tidak merayau ke mana-mana.  Duduk rumah! Belajar!" jelas Encik Yusof. Suaranya masih kedengaran tegang. Dinding hatinya masih bergelegak panas tatkala mendengar Aisar, Inara dan Airis diserang. Apa salah tiga budak itu pun dia tidak tahu.

"Aisar, tok minta maaf di atas perlakuan Thariq kepada kamu. Tok tak tahu nak buat apa lagi dengan anak tok. Kamu cakaplah, apa yang patut tok buat untuk tebus kesalahan dia," kata Encik Hamdan. Sesekali, kepalanya tertunduk menahan malu dan sebersalah.

Aisar mengeluh berat dengan rayuan Encik Hamdan. Dia lelah. Tiada aksara yang mampu diungkapkan setelah pertarungannya bersama tiga samseng kampung itu. Sudahlah dia hampir ditikam oleh Leman. Masih terasa getaran ketakutan di sanubarinya tika ini.

"Tanya Nara. Saya serahkan semuanya kepada Inara," jawab Aisar acuh tak acuh. Perlahan-lahan, tubuhnya yang terasa sengal disandarkan di belakang kerusi.

Buat seketika, pandangan Inara dan Aisar saling bersatu. Jelas, air muka Inara kelihatan sayu di kornea mata Aisar. Sontak, emosi sedih Inara seakan-akan menyerap masuk ke relung hati Aisar Mumtaz. Seakan-akan ada saliran yang menyambungkan emosi dua sahabat itu.

"Nara..."

"Apa susah sangat! Masukkan sajalah budak bertuah itu ke sekolah juvana. Tanya budak-budak ni buat apa? Sudahlah tok! Kita tutup saja buku pada malam ini. Budak-budak ni perlukan rehat. Tok pula, saya sarankan letak saja jawatan sebagai ketua kampung kalau anak sendiri pun tok tak boleh uruskan dengan baik!" jawab Encik Yusof.

Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Semakin Encik Yusof menatap wajah Encik Hamdan, jiwanya semakin dibakar dengan amarah. Bapa mana yang suka melihat anaknya disakiti meskipun dia sendiri seorang yang garang?

Keputusan yang diucapkan oleh Encik Yusof seakan-akan tusukan belati yang menusuk tubuh Encik Hamdan. Lidahnya kelu untuk berbicara. Giginya diketap menahan amarah yang membakar sukmanya. Tangannya digenggam erat. Cuba memberikan kesabaran kepada dirinya.

Sungguh, Encik Hamdan benar-benar malu dengan perlakuan anak tunggalnya itu! Sudah ditatang bagai minyak yang penuh, namun sikap Thariq yang jahil itu masih melampau. Buntu. Encik Hamdan benar-benar buntu dengan sikap Thariq. Kini, tugasnya sebagai ketua kampung pula diperlekehkan oleh penduduk kampung.

SEMINGGU kejadian malang itu menimpa, seminggu itu jugalah Inara seakan-akan mengelak dari bertemu dengan Aisar. Bila Aisar datang ke rumahnya atas alasan ingin mengulang kaji bersama-sama, Inara sengaja membuat bermacam alasan.  Aisar jadi muak.

"Seronok juga belajar dengan kau. Mudah faham. Patutlah senakal-nakal Aisar tu pun dia selalu skor subjek add math ni. Dapat cikgu garang macam Inara," puji Hamim sambil mengemaskan buku ke dalam beg galasnya.

"Of course! Inara kan pelajar cemerlang dekat sekolah. Mestilah dia ada strategi untuk bagi kita mudah faham," kata Izhar pula. Menyokong omongan rakan sekelasnya.

Inara sekadar tersenyum kelat dengan omongan Izhar dan Hamim. Sesekali, anak matanya tertancap ke arah Aisar yang sudah berdiri di halaman rumahnya dengan wajah yang sinis. Seakan-akan mengejeknya saja. Ada riak marah terbias di sebalik wajah pemuda itu.

"Kau orang ini, lebih-lebih pula. Kau orang berdua kena buat latih tubi dengan kerap supaya mudah ingat formula. Okaylah! Aku nak tolong mak aku bungkus kuih ketayap dengan karipap. Malam ni, Mak Semah nak adakan majlis kenduri tahlil arwah suami dia," kata Inara. Buru-buru gadis berselendang hitam itu meluru masuk ke dalam rumahnya.

Melihat Inara yang kelihatan gelabah membuatkan Aisar hanya mampu tersenyum sinis. Kalau Inara mahu mengelak, Aisar bisa saja mendekati. Aisar tahu, Inara pasti rasa bersalah kerana kejadian malam itu. Manakan tidak, demi menyelamatkan Inara, Aisar nyaris saja ditikam oleh Leman. Mujur, Pak Misai si pemilik kedai runcit berhampiran tempat kejadian sempat menyelamatkan keadaan.

Lantas, Aisar menuju ke pintu belakang rumah Inara. Salam diucap. Kaki melangkah masuk tanpa mempedulikan Inara. Wajah Inara yang tegang hanya dibalas dengan senyuman sinis.

"Aisar, kamu dah sihat?" tanya Insyirah yang baru melabuhkan duduk di sebelah Inara.

"Alhamdulillah. Tangan Aisar dah sihat. Dah boleh bertumbuk balik ni, Kak Syi!" kata Aisar diselit dengan jenaka. Sengihan terukir di bibirnya tatkala pandangannya bersatu dengan Insyirah.

"Haish! Ada pula cakap macam tu. Kamu tak penat ke asyik bertumbuk? Lepas tamat SPM, nak jadi ahli gusti ke macam mana ni?" keluh Puan Kirana yang sedang meletakkan kuih ke dalam bekas.

Aisar tertawa dengan omongan Puan Kirana. Tercuit hati dengan usikan wanita itu. Sesekali, wajah Inara yang tidak mengendahkannya dipandang. Rindu benar Aisar mahu mengusik dan membuat Inara ceria.

"Cita-cita Aisar banyak sangatlah mak cik. Nak jadi askar macam bapa, nak jadi cikgu, nak jadi saintis, nak jadi ustaz pun ada juga. Tapi yang paling utama... Aisar... nak jadi bodyguard buat doktor Nur Inara to be," ujar Aisar selamba.

Tak semena-mena, Inara yang sedang meneguk teh panas tersedak dengan omongan spontan Aisar itu. Kaget! Terbatuk-batuk gadis itu dibuatnya bila mana Aisar dengan selamba mula berjenaka kasar.

"Allahu, Nara! Minum perlahan-lahanlah. Kan tak fasal-fasal tersedak," omel Insyirah sambil mengusap belakang adiknya.

Saat itu juga, sorotan anak mata Inara yang tajam menikam anak mata Aisar yang dengan selamba mencapai sebiji karipap rangup Puan Kirana. Mahu sahaja Inara tumbuk muka Aisar yang kelihatan jengkel itu. Geram!

"Mak cik, boleh tak nak minta izin bawa anak mak cik, Nur Inara binti Rosham dating dekat pangkin luar rumah? Kita orang nak bercakap pasal masa depan," pinta Aisar seraya mengunyah karipap kegemarannya.

"Pasal masa depan ya. Boleh. Mak cik izinkan. Tapi, jangan lewat sangat. Sejam lagi nak masuk waktu Maghrib," ujar Puan Kirana sambil menggelengkan kepalanya. Ada sajalah ulah si Aisar Mumtaz ini. Sikapnya yang selamba membuatkan Puan Kirana terhibur.

"Hah, ibu kau dah izinkan. Kau kena turut kemahuan..."

"Aku tak siap kerja rumah Cikgu Junaidah lagi. Lain hari sajalah aku lepak dengan kau," pintas Inara. Gadis itu lantas bangun dari duduknya. Tak betah berhadapan dengan Aisar lagi.

"Oh, ada kerja rumah Cikgu Junaidah ya? Bukankah kau dah siapkan kerja rumah dia semalam? Kau lupa ke, kau hantar nota dekat Airis untuk serahkan kepada aku tentang kerja rumah yang perlu disiapkan?"

Tatkala omongan Aisar menusuk telinganya, serta-merta Inara kematian langkah. Bibirnya diketap menahan geram. Keluhan berat terlepas dari bibir si gadis. Nampaknya, Aisar semakin bertindak cekap bagi membaiki hubungan persahabatan mereka. Inara sudah mati akal untuk terus mengelak.

SEKUNTUM bunga mawar merah yang dihulurkan kepada Inara, membuatkan gadis yang sudah diserang amarah tersentak buat seketika. Kepalanya mendongak memandang raut wajah Aisar yang sudah tersengih. Menampakkan gusinya yang tersusun cantik.

"Apa ni?"

"Ini bunga. Bunga mawar merah khas buat Nur Inara," jawab Aisar.

Inara mencebik geram. Lambat-lambat, dia mencapai sekuntum bunga mawar merah pemberian Aisar lalu digenggem erat.

Itulah yang akan dilakukan oleh Aisar jika mereka bergaduh. Kata Aisar, bunga mawar merah sebagai tanda maaf. Lagi pula, bunga mawar merah merupakan bunga kegemaran Inara.

Melihat Inara masih berdingin membibitkan senyuman di bibir Aisar. Mahu marah, Aisar tidak sanggup. Jadinya, Aisar ikut saja rentak Inara bagi membaiki hubungan persahabatan mereka. Aisar melabuhkan duduknya di atas pangkin. Memandang sawah padi yang terbentang luas di hadapan rumahnya dan Inara.

"Nara, aku minta maaf kalau aku tak dapat lindungi kau malam itu. Aku dah gagal jadi pelindung buat kau, kan? Aku dah mungkir janji dengan abah kau. Mesti dia kecewa..."

Tak semena-mena, Aisar kematian diksi tatkala Inara menendang betisnya. Melihat Inara mula menunjukkan respon membuatkan Aisar senang hati. Seketika, dua sahabat saling berpandangan antara satu sama lain.

"Janganlah cakap macam tu. Aku... aku yang patut minta maaf sebab aku..."

Inara jeda.

Kepalanya tertunduk menekur sekuntum mawar merah yang dipegang. Tubir mata mula terasa hangat. Jiwa Inara mula terasa sebu. Bila-bila masa saja air matanya akan mengalir.

"Kau hampir kena tikam sebab aku. Kau sanggup buat diri kau tercedera demi aku. Aku... aku takut kalau kau hilang dari hidup aku. Aku minta maaf... Aisar."

Aisar kaku. Irama jantungnya mula berdegup kencang dengan tatapan sayu Inara. Entah perasaan apakah ini saat omongan Inara seakan-akan meresap ke tangkai hatinya. Inara takut kehilangannya? Kenapa kata-kata itu membuatkan dinding hati Aisar berkecamuk hebat?

Aneh.

"Aisar, janji dengan aku yang Aisara akan kekal sampai hujung nyawa kita. Walaupun kita dah ada hidup sendiri, cita-cita yang berbeza, walaupun kita akan ada keluarga sendiri, janji dengan aku yang kita akan selalu ada antara satu sama lain. Ya?"

Aisar terus memalingkan wajahnya dari menatap wajah Inara saat Inara mula menuturkan aksara yang begitu dalam. Entah mengapa, hatinya semakin berperang tika ini. Ada sesuatu yang sukar diungkapkan melalui kata.

"Aisar!"

"Ha... haah! Mestilah Aisara akan kekal selamanya. Itu kan janji kita sejak kita darjah dua lagi. Kan aku dah cakap, aku akan jadi bodyguard kau. Kalau ditakdirkan kau dah ada jodoh, barulah aku berhenti jadi bodyguard kau," ujar Aisar.

Inara tersenyum nipis melihat wajah Aisar yang seakan-akan cuak. Mimik muka Aisar yang kelihatan kaget benar-benar bisa menghilangkan kesedihan di lubuk hati Inara. Ditambahkan pula suara Aisar yang seakan-akan bergetar itu.

"Nara. Boleh aku tanya kau sesuatu?"

"Apa dia?"

Serta-merta, wajah Aisar terasa membahang bila mana Inara sudah menanti soalannya. Pelipis yang tak gatal digaru. Aisar tersengih-sengih bagi menyembunyikan gundahnya. Apa sudah jadi dengan dirinya pun Aisar tidak tahu.

"Inara, kalau... kalau aku... err maksud aku..."

Aisar jeda.

Sukar benar dia mahu menuturkan kata tika ini. Walhal, di hadapannya saat ini hanyalah Inara. Gadis yang sering dikacau dengan omongan spontannya. Bukan bapanya yang garang tahap singa kelaparan itu.

"Kau ni tergagap-gagap kenapa? Sengaja eh nak buat loyar buruk kau lagi?" omel Inara.

"Mana ada loyar buruk. Ini loyar bukan sebarang loyar. Aku... cuma nak tanya kalau... kalau ditakdirkan persahabatan kita ini... berakhir menjadi... cinta, kau masih setia dengan... Aisara?"

Saat itu, Inara sudah terkebil-kebil dengan omongan spontan Aisar. Bibirnya sudah menggeletar. Wajah Aisar yang sudah kelat-kelat masam itu ditatap. Tak semena-mena, tawa Inara terhambur jua. Kelakar! Sungguh, Aisar benar-benar membuatkan hari seorang Inara kembali ceria.

"Cinta? Kau merepek apa? Kalau pun kita dah dewasa nanti... aku tak akan bercinta dengan kaulah. Klise kut bila sahabat jadi cinta. No way! Kau jangan macam-macam eh Aisar," kata Inara dengan sisa tawanya. Aisar memang Aisar. Ada saja omongan yang di luar kotak fikiran.

"Salah ke?"

"Kau ni merepeklah! Dahlah. Aku nak masuk dulu. Lagi lama aku layan merepek kau ini, sampai malam juga kita duduk sini. Kau jangan memonteng kelas silat Pak Munaf malam ini pula!" kata Inara diselit dengan pesanan khidmat buat Aisar Mumtaz. Langkahnya diatur masuk ke dalam rumah. Senyuman tak lekang dari bibir gadis itu.

Aisar masih statik. Hanya sorotan matanya saja yang memandang langkah Inara. Senyuman di bibir perlahan-lahan menjadi pahit. Sepahit dinding hatinya yang seakan-akan ditolak oleh Inara.

"Tapi... aku serius. Aku... dah mula sukakan kau, Inara. Aku sukakan kau lebih dari seorang sahabat," desis hati Aisar. Sungguh, Aisar benar-benar patah hati tika ini. Terasa hatinya lagi sakit ditolak oleh Inara dari bergasak dengan seterunya.

Bersambung...

Thanks korang sudi baca karya syaf 💕

Kesian Aisar kena reject 🤭 jangan geram dengan Inara tau 🤣

Sedutan episod 8

"Kau jangan risaulah kalau nama kau kotor. Nanti lepas balik dari sekolah, kita singgahlah kedai Pak Misai beli clorox. Sental nama kau yang kotor sampai bersih. Cerdik tak idea aku?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro