EPISOD 6
ANGIN sepoi-sepoi pada malam itu terasa begitu nyaman. Langit malam kelihatan terang dengan rembulan dan butiran bintang yang menghiasi dada langit. Sayup-sayup kedengaran beberapa orang pelajar sedang membaca Al-Quran dan Muqadam. Masing-masing sedang duduk di anjung rumah Pak Sarjan sambil membetulkan bacaan.
"Sadaqallahulazim," ucap Inara sebaik sahaja dia selesai membaca Al-Quran di hadapan guru mengajinya. Al-Quran dikucup sebanyak tiga kali.
"Alhamdulillah, kamu hampir khatam buat kali kedua. Tapi, hukum tajwid itu harus dibaiki dengan sebaiknya. Salah baca, lainlah maksudnya. Faham?"
"Faham Pak Sarjan."
Pak Sarjan mengangguk. Sesekali, dia mengusap janggut sejemputnya sambil memandang anak-anak murid yang sedang menanti giliran. Bila pandangannya tertancap ke arah seorang pemuda yang sudah tersengguk-sengguk, membibitkan terus rasa geramnya. Dengan songkok yang hampir tertanggal, tangan yang sedang menongkat dagu membuatkan Pak Sarjan geleng kepala saja.
"Aisar! Giliran kamu!" tegas Pak Sarjan. Nada suaranya sudah ditekan tanda amarahnya hampir meletus.
"Aisar! Bangun!"
Namun, Aisar masih statik dalam lenanya. Sesekali, pemuda berbaju Melayu hitam itu tersenyum-senyum dalam lenanya. Seakan-akan sedang melayari bahtera mimpi indah. Sehinggakan suara Pak Sarjan yang sudah memetir langsung tak dapat mengejutkan Aisar dari lena.
"Aisar Mumtaz!"
Sontak, laungan keras Pak Sarjan bersama dengan rotan panjang yang dilibas di atas papan kayu membuatkan pemilik nama Aisar Mumtaz itu terjaga dari lenanya. Segar bugar terus mata Aisar apabila Pak Sarjan melaungkan namanya dengan kuat.
"Seronok?"
"Seronok apa, pak?" Soal Aisar sambil menenyeh matanya. Dalam keadaan mamai, otak Aisar hanya mahu kembali lena saja.
"Seronok tidur? Sampai pak panggil pun kamu tak dengar?"
Aisar tersengih. Dia terangguk-angguk. Sesekali, pandangannya tertancap ke arah kanak-kanak yang sudah merenungnya. Masing-masing sudah terkekek apabila Aisar kaget dikejutkan oleh Pak Sarjan.
"Mestilah seronok pak. Ditemani dengan malam dipagar bintang, angin malam nan sepi persis seperti hati seorang Aisar yang kesepian. Sudah tentunya seronok bila saya mimpi jadi orang kaya," kata Aisar. Bibirnya tak lekang dengan senyuman tatkala menceritakan mimpi indahnya kepada guru dan anak-anak murid gurunya yang lain.
Tak semena-mena, Pak Sarjan melibas lagi rotannya sehingga membuatkan Aisar terbangun dari duduknya. Kaget! Membuntang mata pemuda itu dengan gertakan Pak Sarjan. Dadanya diusap-usap lembut. Meredakan kejutan yang membuatkan jantungnya berdebar kencang.
"Kus! Semangat dibuatnya. Pak..."
"Giliran kamu! Lekas baca. Pak dah boleh dapat serangan jantung bila berhadapan dengan perangai tak semenggah kamu ini! Boleh pula kamu tidur bila pak tengah mengajar ya. Tak malu ke tengok adik-adik kamu ni? Tunjukanlah sikit sikap matang kamu itu, Aisar!" omel Pak Sarjan.
Perlahan-lahan, Aisar mara duduk di hadapan Pak Sarjan. Sesekali, wajah anak-anak murid Pak Sarjan yang sudah memusatkan perhatian ke arahnya dipandang dengan sengihan kelat. Malu pula bila dimarah di hadapan budak-budak yang lain.
"Cepat baca!" gertak Pak Sarjan. Matanya mencerlung tajam ke arah Aisar yang sedang membaiki songkoknya yang hampir tertanggal.
"Jangan marah-marah pak. Nanti darah tinggi, pak juga yang susah kena masuk wad. Maaf pak. Tadi Nara baca Al-Quran, lunak sangat suara dia sampai saya pun dibuai lena," usik Aisar. Tidak mahu Pak Sarjan terus-menerus menggertaknya.
"Nara juga yang kamu salahkan! Sudah. Sekarang, pak nak kamu mulakan bacaan. Tak malu betul dah 17 tahun masih tak khatam lagi! Tahunya memonteng kelas mengaji saja," kata Pak Sarjan. Diselitkan dengan sindiran pedas yang membuatkan beberapa orang pelajar sudah tersenyum mengejek. Tak terkecuali Inara yang sudah menggelengkan kepala.
Ada saja ulah nakal Aisar Mumtaz ini. Dari kecil sehinggalah meningkat remaja, Aisar tidak pernah berubah. Malahan, sikapnya semakin menjadi sehingga membuatkan orang sekeliling kadangkala bersikap jengkel dengan sikap selamba Aisar.
"Baca betul-betul boleh tak? Makhraj bismillahiramanirahim pun tak betul! Macam manalah masa depan kamu nanti ni Aisar. Pak pula yang risau dengan sikap kamu yang tak matang ini. Tahunya bermain saja," bebel Pak Sarjan lagi. Bergelegak panas hatinya bila Aisar seakan-akan dalam mood bermain.
"Abang Aisar nak Ikmal ajarkan bacaan bismillahirahamanirahim ke? Ikmal dah habis Muqaddam. Hari ini, Ikmal dah masuk juzuk satu surah Al-Baqarah."
Tak semena-mena, suasana anjung rumah Pak Sarjan dipenuhi dengan tawa tatkala Ikmal mula mengusik Aisar dengan kasar. Kanak-kanak berusia sepuluh tahun itu sudah menjelirkan lidahnya tatkala Aisar menunjukkan sebijik penumbuk kepadanya.
Hailah, Aisar rasa mahu tumbuk saja gigi Ikmal sampai patah. Biar rongak diketawakan oleh murid-murid yang lain. Berani sungguh budak lelaki itu menjadikannya sebagai bahan jenaka. Mujur, Ikmal masih di bawah umur. Kalau tidak, pasti Aisar set saja masa dan tarikh untuk melancarkan perang bersama Ikmal.
"POWER siot enjin baru motosikal kau. Bunyi dia mengancam sungguh. Ini, kalau dibawa berlumba mesti menang punya! Tak sia-sia kau curi duit mak kau semata-mata modified enjin motosikal saja," puji Baizul. Roman wajahnya dipenuhi dengan perasaan teruja melihat motosikal Thariq yang canggih.
Thariq sekadar tersenyum sinis melihat keterujaan Baizul dan Leman yang sedang menunggang dan membunyikan enjin motosikal. Kepulan-kepulan asap kelihatan hasil dari enjin motosikal.
"Lepas ni, bolehlah aku pinjam bawa awek aku jalan-jalan sampai kampung sebelah. Aku dah naik menyampah bila dia bising sebab aku tak ada kerja," keluh Leman seraya melabuhkan duduknya di atas pangkin kayu.
"Kau pun dungu! Tak nak bagi tahu aku yang kau perlukan kerja. Aku banyak job baik punya untuk kau orang kut. Cuma kau orang saja tak pernah nak tanya aku," kata Thariq. Dia menghembus kepulan-kepulan asap ke udara. Puntung rokok ditenyeh dengan selipar jepun.
"Job kau membahayakan sangatlah. Aku tak nak masuk lokap lagi. Cukuplah aku dah masuk lokap dua bulan lepas sebab mencuri," keluh Leman. Dia mencapai rokok yang dihulurkan Thariq.
"Kali ini tak akan kantoi punya. Selagi kau orang dengar cakap aku, selagi tu kau orang akan selamat daripada polis. Ikutlah, kau orang nak terima atau tidak tawaran aku ini," kata Thariq.
Suasana sepi buat seketika. Baizul dan Leman sudah saling berpandangan dengan omongan Thariq. Mereka tahu, pulangannya lumayan. Namun, mereka tidak mahu dimasukkan ke dalam lokap dan dihukum!
"Kalau kau orang tak nak... kau orang juga yang rugi. Ala, bukannya susah pun. Masukkan saja ganja dalam patung dan ikut arahan aku yang selanjutnya. RM 1000 dalam seminggu. Tak ke lumayan tu? Hah, nanti bolehlah kau orang beli motor macam aku," tawar Thariq lagi. Geram pula rasanya bila mana dua orang rakan kutu rayaunya penakut namun berlagak mahu hidup mewah.
"Dekat manalah kau belajar buat kerja gila macam ini? Bapak kau ketua kampung kut. Dia tak syak apa-apa ke pasal aktiviti kau dekat Kuala Lumpur tu?"
Tak semena-mena, Thariq ketawa sinis dengan soalan naif Baizul. Dia bangun dari duduk seraya menghampiri Baizul yang masih duduk di atas motor berkuasa tinggi miliknya. Bahu Baizul ditepuk kuat.
"Kau..."
Belum sempat Thariq menghabiskan kata, anak matanya tertancap ke arah tiga figura yang sedang menghampiri. Gelak tawa mereka sayup-sayup menusuk telinga Thariq. Saat itu juga, sorotan anak mata Thariq serta-merta bertukar bengis.
"Lah, patutlah kau tiba-tiba senyap. Ada awek cun lagikan segar di depan mata. Kau nak yang mana? Tudung coklat ke tudung biru?" bisik Baizul. Wajah manis dua gadis yang sedang mengayuh basikal membuatkan jiwanya bergelora.
"Kau jangan cari nahas. Tak nampak apa dia orang balik dengan si budak setan? Aku tak nak tangan aku patah dikerjakan oleh si bajingan itu lagi," kata Leman.
"Pengecut! Inilah masanya kau balas dendam dekat dia. Kawasan sunyi macam ni, siapa saja nak tolong dia orang. Sudah! Kau ada bawa benda alah tu. Jangan risaulah! Mesti si Aisar tu tak boleh nak melawan punya!" tegas Baizul. Memberikan peringatan kepada Leman bahawa dendam mereka belum berakhir.
Leman mengeluh berat. Pisau belati yang sudah dikeluarkan disisip ke pinggang. Serentak, tiga sekawan berdiri bagi menghalang laluan Inara, Aisar dan Airis yang ingin pulang ke rumah.
Melihatkan ancaman berada di depan mata membuatkan wajah ceria Aisar bertukar bengis serta-merta. Tiada lagi usikan yang meniti di bibir pemuda itu. Kayuhan basikalnya dilajukan sekaligus membuatkan Aisar berada di hadapan. Melindungi Inara dan juga Airis.
"Abang..."
"Buat tak tahu saja, Airis. Jangan layankan sangat," pujuk Inara. Mewakili Aisar yang sudah mara ke hadapan terlebih dahulu.
"Awek cun yang dekat belakang tu nak abang hantarkan balik ke?" soal Thariq sebagai mukadimah. Omongannya disambut dengan siulan Baizul dan Leman.
"Kau nak apa? Jangan halang laluan kita orang boleh tak? Kita orang tak kacau kau orang pun kan!" tegas Aisar. Sebaik mungkin Aisar cuba memujuk hatinya untuk bersabar tatkala sahabat dan adiknya sudah diganggu.
"Relakslah Aisar! Kita orang cuma nak temankan Inara dan Airis balik. Sayang berdua ini muka masam sangatlah. Cuba senyum sikit," kata Baizul. Langkah diatur ke arah Inara dan Airis yang terpaksa memberhentikan basikal mereka.
"Leman, kau nak yang mana satu? Cepatlah sebelum terlambat!" tambahnya lagi. Tak semena-mena, tangan Airis direntap kasar sehingga gadis berumur 16 tahun itu diserang gundah-gulana.
"Jangan sentuh Airislah! Kau orang nak apa hah! Nak duit untuk beli dadah lagi ke?" marah Inara seraya turun dari basikalnya. Tubuh Baizul ditolak kasar bagi melepaskan Airis yang sudah kelihatan ketakutan itu.
Tak semena-mena, amarah Inara disambut dengan tawa sinis tiga orang samseng. Memperlekehkan ketegasan Inara yang lancang dalam berkata-kata.
"Man! Aku nak yang garang ni. Lawa. Aku suka tengok mata dia. Rasa macam nak tatap, peluk..."
"Kau jangan nak kurang ajar dengan aku jantan keparat!" jerkah Inara tatkala Baizul mula menghampiri. Setapak demi setapak, Inara berundur ke belakang. Tipulah kalau dia tidak rasa gerun dengan pandangan menakutkan Baizul.
"Janganlah garang sangat, Nara! Aku nak rasa sikit saja. Kau ni kedekut betullah. Dah lama sangat aku perhatikan kau. Aku dah tak tahan nak jadikan kau lauk kegemaran aku," kata Baizul seraya membelai pipi mulus Inara.
Sontak, Inara melayangkan tamparannya ke wajah Baizul. Turun naik nafas gadis itu tatkala dirinya dijadikan bahan manusia gatal seperti pemuda mat gian itu.
"Garang siot! Lagi garang... lagi aku su..."
Tak semena-mena, Baizul tersungkur tatlala tendangan ditujahkan ke tubuhnya dari belakang. Pemuda itu mengadu kesakitan apabila dahinya terhantuk pada jalan tar. Serta-merta, anak matanya mula merah menyala menahan amarah.
"Kau orang nak apa sebenarnya daripada kita orang? Kalau kau orang berdendam dengan aku, jangan libatkan Inara dengan adik aku!" bentak Aisar seraya berdiri membelakangi Inara dan Airis yang sudah berpegangan tangan.
"Bingo! Kau tahu apa yang kita orang mahukan. Tapi maaflah. Aku dengan kawan-kawan aku tengah lapar. Alang-alang ada lauk depan mata... baik kita orang ngap terus!" kata Thariq. Wajah Inara dan Airis yang berada di belakang Aisar dipandang silih berganti.
Mendengarkan omongan Thariq membuatkan dinding hati seorang Aisar Mumtaz mula bergelegak panas. Wajah tiga seteru di hadapannya dipandang silih berganti. Tanpa berlengah, Aisar mula menyerang dengan menghayunkan tendangan sisinya ke pinggang Thariq.
Tak semena-mena, Thariq tersungkur akibat penangan tangkas Aisar. Anak matanya sudah melirik ke arah Leman dan Baizul untuk menyerang. Saat itu juga, bunyi tempikan dan pukulan bagaikan irama cemas pada malam itu.
"Inara, Airis! Pergi dari sini. Cepat!" arah Aisar yang sedang mengelak tumbukan Leman.
Tangan Leman yang ingin menumbuk wajahnya lantas dikilas ke belakang. Namun, belum pun sempat Aisar mematahkan tangan Leman, Baizul menyerang dari belakang dengan menghentak belakang Aisar dengan sebatang kayu.
Aisar yang menyedari dari ekor matanya lantas menyendengkan kepalanya dan melepaskan Leman. Selamat! Kayu tidak sempat dihentak di belakang tubuh Aisar. Kini, Aisar berhadapan dengan Baizul pula. Bertubi-tubi tumbukan yang Baizul hayunkan ke wajah Aisar.
Namun, Aisar tangkas mengelak sebelum mengenggam kuat lengan Baizul. Tumbukan juga turut dihayunkan ke dada Baizul sebelum tangan Baizul dikilas ke belakang. Bunyi tulang dipatahkan membuatkan lolongan Baizul kedengaran. Tangkas, Aisar menujahkan tendangannya ke wajah Baizul sehingga pemuda itu tersungkur di atas jalan.
"Nara! Kau tunggu apa lagi? Berambuslah! Bawa adik aku sekali pergi dari sini!" jerkah Aisar tatkala Inara dan Airis masih kelihatan pegun melihat aksi Aisar.
Inara tersentak. Bagaikan lembu dicucuk hidung, Inara menurut arahan Aisar. Basikalnya dicapai. Dengan arahan non verbal, Inara mengarahkan Airis untuk mengayuh basikal di hadapannya. Inara mahu melindungi adiknya Aisar dengan sebaiknya.
"Nak pergi mana? Kita orang tak makan lagi. Kalau lauk..."
"Ini lauk kau jahanam!" marah Inara seraya membaling sandalnya yang mempunyai tapak yang keras ke wajah Thariq.
"Airis! Lekas, pergi!" jerkah Inara seraya melanggar Thariq yang ingin menghalang laluannya. Namun, apakan daya, Thariq terlebih dahulu menahan basikalnya. Lengan Inara lantas direntap kasar sehingga gadis itu terbangun dari tunggangannya. Hampir saja Inara terjatuh dengan kekasaran Thariq itu.
Melihatkan Inara sudah ditangkap oleh Thariq membuatkan Airis semakin menggigil ketakutan. Di satu sisi, abangnya masih bergasak dengan Leman dan Baizul. Di satu sisi pula, Inara sudah berada dalam genggaman Thariq.
Air mata Airis serta-merta mengalir ke pipi. Takut kalau-kalau Inara dan Aisar ditumpaskan oleh tiga orang durjana. Basikalnya dikayuh selaju yang mungkin bagi mendapatkan pertolongan.
"Lepaskan akulah setan!" marah Inara seraya menghayunkan tendangannya ke perut Thariq. Sontak, Inara hampir terlepas daripada pegangan Thariq. Namun, Thariq yang sudah dibakar dengan amarah menghayunkan tangannya ke wajah gadis itu.
"Aku tak akan biarkan kau pukul aku!" jerkah Inara. Tangan Thariq yang hampir memukulnya digenggam erat. Berbekalkan seni silat yang dipelajarinya, Inara mula memasang kekudanya. Tangannya yang sedang menggenggam pergelangan tangan Thariq menjadi fokus utama.
Saat Thariq ingin menghayunkan tangan kanan ke wajah Inara, si gadis bertudung bawal biru terlebih dahulu menujahkan tumbukannya ke wajah Thariq. Tangan kiri Thariq lantas dikilas ke belakang. Sedia untuk dipatahkan.
Malangnya, Thariq yang sudah dapat membaca pergerakan Inara menujahkan tendangannya ke betis Inara. Sontak, Thariq terlepas daripada genggaman Inara. Gadis itu sudah terundur ke belakang dengan dahi yang berkerut menahan sakit.
Tanpa berlengah, Thariq meluru ke arah Inara sebelum tendangannya ditujahkan ke tubuh si gadis. Malangnya, Thariq terlebih dahulu tersungkur apabila tendangannya berjaya dipatahkan oleh Aisar. Akibat tendangan sisi Aisar yang hampir mematahkan pinggang Thariq membuatkan Thariq tersungkur di atas jalan.
Tak cukup dengan itu, Aisar menujahkan bertubi-tubi tendangan ke tubuh Thariq. Nafasnya sudah turun naik melepaskan amarah. Mahu saja dirodoknya jantung tiga seterunya yang sudah menganggu kehormatan Inara dan Airis.
"Aisar, kau tak nak ucap kata-kata perpisahan ke dekat sahabat kau? Setidaknya, luahan perasaan kau kepada dia sebelum aku kerat leher dia?"
Saat ugutan itu menyapa telinganya, degupan jantung Aisar semakin kencang. Perlahan-lahan, Aisar kalih ke belakang. Saat itu juga, pandangannya dan Inara saling bersatu. Terasa kelat liur yang ditelan apabila hujung mata pisau sudah berada di leher Inara.
"Leman... lepaskan Nara. Kalau kau nak belasah aku... silakan. Tapi, aku merayu tolong lepaskan Nara! Dia tak ada kaitan dalam masalah aku dan kau orang!" rayu Aisar. Takut dia melihat Inara yang sudah diancam bunuh itu. Sesungguhnya, Aisar tidak mahu kehilangan Inara!
BUNYI gelas yang berderai pecah membuatkan Insyirah yang sedang menanda buku anak muridnya tergopoh-gapah meluru ke arah dapur. Intuisinya benar-benar terasa tidak enak malam itu. Bagaikan ada sesuatu yang buruk akan terjadi.
"Ibu okay? Ibu nampak pucat. Ibu sakit ke?" soal Insyirah bertubi-tubi. Tangannya ligat membantu Puan Kirana membersihkan kaca yang sudah berderai di atas lantai dapur.
"Entahlah Syi. Ibu... ibu rasa tak sedap hati pula malam ni. Abang kamu tu... macam ada yang tak kena pasal abang kau orang," luah Puan Kirana seraya bangun dari membersihkan kaca. Wajahnya sudah ditutupi dengan kelabu. Mendung menghiasi wajah wanita berkulit kuning langsat itu.
"Ibu, risaukan pekerjaan abang Taqi lagi ke? Janganlah fikir sangat..."
"Macam mana ibu tak fikir kalau pekerjaan abang kamu tu berbahaya? Ya, ibu faham itu cita-cita dia. Keinginan arwah abah engkorang tiga beradik. Nak tengok anak lelaki dia berkhidmat sebagai pejuang bangsa, agama dan negara. Tapi... ibu risau kalau..."
Puan Kirana jeda.
Wanita itu kehilangan aksara tatkala akalnya mati untuk mengungkapkan diksi. Tak mampu Puan Kirana mahu menyambung bicaranya tatkala teringat akan memori silam arwah suaminya.
"Ibu... kalau Syi tanya, ibu jangan marah ya."
Puan Kirana sekadar mengangguk lemah. Susah hatinya membuatkan bicaranya semakin hilang.
"Kenapa ibu nak rahsiakan pekerjaan abang Taqi daripada Nara? Ibu risau ya kalau kematian sebenar abah diketahui oleh Nara?"
Tatkala soalan itu ditujahkan kepada Puan Kirana, raut wajahnya serta-merta bertukar tegang. Sudah berkali-kali dia mencuba untuk merahsiakan hal yang sebenar daripada anak-anak gadisnya. Hanya Mustaqim saja yang tahu sebab musabab dia merahsiakan hal yang sebenar.
"Ibu..."
"Ibu akan cakap sekali saja. Ibu tak bagi tahu Nara pekerjaan abang Taqi kau orang sebab... kematian..."
"Ana!"
Belum sempat Puan Kirana meneruskan bicaranya, laungan suara dari luar membejatkan segalanya. Hanya pandangan Insyirah dan Puan Kirana saja yang saling bersatu tatkala itu. Keduanya seakan-akan kejung buat seketika.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 💕
Dah lama tak buat babak aksi. Rasa ada tak kena saja dengan babak aksi itu 🤭
Sedutan episod 7
"Nara, aku minta maaf kalau aku tak dapat lindungi kau malam itu. Aku dah gagal jadi pelindung buat kau, kan? Aku dah mungkir janji dengan abah kau. Mesti dia kecewa..."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro