EPISOD 43
(Episod kemuncak ni panjang dalam 4k. Pastikan baca dalam keadaan lapang)
"KAPTEN!"
Sebaik sahaja kelibat Aisar yang baru memarkir Ducati hitam di perkarangan rumah agam majikannya kelihatan, Datuk Sri Lee Abdullah yang berkemeja T biru laut terus menerpa. Ada keresahan di sebalik raut wajah lelaki bermata sepet dan berkulit putih itu. Nafasnya turun naik bagaikan orang yang baru saja berlari marathon.
"Kenapa ni datuk? Ada apa-apa masalah ke?" soal Aisar sambil menanggalkan helmetnya. Melihat wajah gelisah majikannya membuatkan intuisi Aisar mula berlagu bimbang.
"Mas... masalah besar! Da... datin... San... dra... dia... dia orang..."
Datuk Sri Lee terjeda tatkala nafasnya sudah terasa semput di dada. Bibirnya sudah terketar-ketar. Percakapannya juga sudah tergagap-gagap tatkala fikirannya semakin diasak dengan perkara negatif. Panggilan berbaur ugutan daripada musuh benar-benar melemahkan jantungnya!
"Datuk, duduk dulu. Tenang. Jelaskan satu per satu. Saya akan tolong datuk selesaikan masalah itu," pujuk Aisar seraya menarik lembut lengan Datuk Sri Lee lalu didudukkan di atas gazebo berhadapan kolam renang. Lelaki tua itu hanya menurut sambil memegang dadanya yang terasa nyeri.
"Mak Habsah! Tolong ambilkan datuk air!" laung Aisar dari luar rumah. Suara tegang Aisar automatik menarik perhatian tiga orang pengawal peribadi yang sedang berjaga di depan pagar. Lim, Jeremy dan Halim terus menghampiri Aisar dan Datuk Sri Lee.
"Kenapa kapten? Suara kapten buat kita orang panik. Ada apa-apa yang berlaku ke?" soal Jeremy. Wajah Aisar dan majikan mereka dipandang silih berganti. Sontak, aura kedinginan mula menerpa tatkala melihat keadaan majikannya yang sedang ditenangkan oleh Aisar itu.
"Da... datin dengan Sandra..."
Datuk Sri Lee kematian diksi tatkala Mak Habsah menghampiri dengan segelas air. Buru-buru, dia mencapai air yang dihulurkan oleh pembantu rumahnya. Air diteguk rakus sehingga rangkungannya kelihatan bergerak-gerak.
"Okey datuk. Jelaskan," arah Aisar dengan nada yang tegas.
Datuk Sri Lee menarik nafas panjang lalu dihela perlahan-lahan. Wajah keempat-empat pengawal peribadinya dipandang satu per satu sebelum berakhir ke laman wajah Kapten Aisar Mumtaz.
"Datin temankan Sandra shooting hari ini. Seperti biasa, Adeline yang temankan dia orang. Tapi... aku tiba-tiba dapat panggilan daripada musuh! Menyatakan bahawa dia orang dah culik datin dan Sandra! Aisar... tolong fikirkan sesuatu. Selamatkan anak dan isteri aku," jelas Datuk Sri Lee dengan suara yang lirih. Lengan Aisar digenggam dengan pandangan sayunya. Seakan-akan, Aisar mempunyai kuasa magis yang dapat mengetahui keberadaan Datin Sri Zurina dan Cassandra.
Mendengarkan itu, Aisar, Lee, Halim dan Jeremy sudah saling berpandangan antara satu sama lain. Sudah sebulan musuh tidak mencelakai majikan mereka semenjak kes Aisar menyelamatkan Cassandra yang hampir diculik di kelab dahulu. Sudah tentunya mereka kaget tatkala harimau keluar dari sarangnya!
"Ada apa-apa yang dia orang minta?" soal Halim.
"Dia orang... minta wang tebusan sebanyak RM 100 juta! Bersama dengan geran tanah Yayasan Lee. Kalau tak... nyawa datin dengan Sandra..."
Datuk Sri Lee berjeda.
Kepalanya tertunduk. Bahunya yang sentiasa penuh dengan karisma serta-merta jatuh, tatkala ruang ingatan mengimbas ugutan musuh. Tubir mata mula terasa hangat dengan jantung yang semakin dipalu kuat.
Dia khuatir!
"Apa lagi yang dia orang cakap?" soal Aisar pula. Intuisinya kuat mengatakan bahawa pelakunya hanyalah orang terdekat majikannya.
Manakan tidak, Yayasan Lee belum lagi dirasmikan dan baru saja dalam pembinaan. Sengaja Datuk Sri Lee tidak mendedahkan kepada umum bagi faktor keselamatan. Itu pun atas nasihat Aisar sendiri.
"Dia nak hanya kita berdua yang pergi ke sana, Aisar. Dia larang bawa pengawal yang lain dan larang buat laporan polis! Macam..."
Datuk Sri Lee kematian diksi tatkala telefon pintarnya bergetar di dalam poket seluar. Buru-buru, dia mengangkat panggilan tanpa melihat penama. Sontak, matanya melotot dengan kaki yang mula berdiri tegak.
Belum lagi ada sebarang suara, deria pendengarannya menangkap bunyi tembakan serentak dengan bunyi jeritan ketakutan. Tangisan yang sayu benar-benar meluluhkan jiwa Datuk Sri Lee.
"Adeline!"
"Hai datuk! Maaflah aku terbunuh pengawal peribadi kau yang seorang ini. Ganas sangatlah datuk lepas kena tibai dengan orang-orang aku. Nanti, aku hantarkan gambar dan video detik-detik kematian si cantik dan ganas ini kepada datuk ya," kata suara di dalam talian.
Sesekali, tawa sinismya terletus. Anak matanya tunak merenung Adeline yang sudah kelihatan sakarat di tangan orang-orangnya. Gadis yang dipenuhi dengan memar di wajahnya sudah terbatuk-batuk setelah ditembak bertubi-tubi. Hanya dalam beberapa saat, gadis itu akhirnya terkorban.
"Jahanam! Jangan kau apa-apakan anak bini..."
"Tak! Setakat ini dia orang diam-diam saja. Tak melawan cakap aku macam pengawal bodoh kau itu. Sekarang, aku nak bagi kau masa. Lupa pula nak tentukan masa tadi," pintas si pemanggil. Nada suaranya kedengaran dingin tanpa intonasi.
Saat itu juga, anak mata Datuk Sri Lee terus berubah galak. Giginya terkacip menahan geram. Sorotan matanya tajam merenung kolam renang. Si pelaku benar-benar sedang mencabar kesabarannya saat ini. Sungguh, dia terkilan tatkala Adeline dibunuh dengan kejam!
"Ikut jam tangan aku sekarang, dah pukul 9 pagi. Masa kau akan berakhir pada pukul 12 pagi. 15 jam diperuntukkan untuk kau tebus anak bini kau. Kalau tak... aku jual anak kau. Aku bunuh isteri kau!" tegas si jahat. Raut wajah Cassandra ditatap. Laju saja jari jemarinya membelai wajah mulus gadis yang sedang diikat di kerusi itu.
"Daddy!" jerit Cassandra saat pisau sudah diacukan ke lehernya pula. Tubuhnya sudah menggeletar saat si jahat bermain dengan leher jinjangnya bersama sebilah pisau.
"Okey! Aku akan bagi apa yang kau mahukan. Jangan sentuh anak aku!" marah Datuk Sri Lee. Kedua belah tangannya digenggam erat.
"Kalau begitu, dalam masa 15 jam, sila sediakan apa yang aku mahukan. Aku akan bagi lokasi kepada kau malam nanti. Lambat, terimalah mayat isteri dan pengawal kau depan rumah. Anak kau pula aku akan jual demi duit!"
Tanpa sempat Datuk Sri Lee berbicara, panggilan sudah ditamatkan. Tangan sudah naik memicit pelipisnya. Keluhan berat terlepas dari bibir.
"Apa lagi yang dia orang mahukan?" soal Lim. Pelat cinanya begitu jelas kedengaran. Pemuda berkemeja hitam itu terus menghampiri majikannya.
"Dia bagi kita masa 15 jam saja. Mana mungkin aku serahkan geran Yayasan Lee kepada si bacul semudah itu! Sejahil-jahil aku, itu impian aku! Membina sebuah yayasan untuk orang tak berkemampuan. Macam manalah benda ni boleh terlepas di tangan orang lain?" tegas Datuk Sri Lee. Kakinya sudah diatur duduk di gazebo semula. Dia berpeluk tubuh sambil memikirkan mengenai Yayasan Lee.
Tiada siapa yang tahu siapakah pemilik Yayasan Lee. Hanya orang-orang terdekatnya saja yang tahu mengenai hal itu. Aneh!
Melihat kekusutuan di raut wajah majikannya, Aisar tangkas menyusun strategi. Telefon pintar lantas dikeluarkan dari jas hitamnya. Nombor Lukman yang berada di ibu pejabat lantas dihubungi. Hanya dalam beberapa saat, panggilan dijawab.
"Kapten ada apa..."
"Luk! Sediakan Plan A. Arahkan team untuk bersedia. Kecemasan! Datin dengan Sandra diculik. Kita cuma ada masa 15 jam saja lagi!" pintas Aisar. Ada arahan mandatori jelas kedengaran di bait bicara pemuda itu.
Lukman yang baru saja menjamah sarapannya terus duduk tegak dengan berita buruk itu.
Plan A.
Digunakan apabila klien berada di genggaman musuh. Sebahagian daripada mereka akan menyamar sebagai musuh demi melicinkan pergerakan. Sebahagian lagi akan mengesan titik keberadaan musuh melalui panggilan akhir.
"Lim, Remy, Halim... kita mulakan titik pencarian. Now, move!"
"Baik kapten!"
Lantas, pasukan pengawal peribadi Datuk Sri Lee yang diketuai oleh Kapten Aisar Mumtaz terus meluru masuk ke dalam rumah. Diikuti dengan Datuk Sri Lee. Bersedia untuk melaksanakan tugasan yang diberikan.
Belum sempat Aisar melangkah masuk, telefonnya bergetar. Ada pesanan WhatsApp yang dihantar oleh Zulfan. Aisar membuka. Ada debaran yang semakin kuat bertalu di dinding hati.
'Kau jangan buat benda bodoh lagi! Kau perlukan rehat. Tolong jangan buat Inara sedih dengan tindakan bodoh kau! Aku nak dia tatap muka penyelamat dia dulu bila dia dah sedar nanti!' - Zulfan Ridhwan
Keluhan berat terlepas dari bibir Aisar tatkala Zulfan menghantar pesanan berbaur amaran dan nasihat kepadanya. Hanya senyuman tawar menghias bibir pucat Aisar. Jari jemari laju menaip mesej untuk membalas.
'AKU memang bodoh. Sebab tu aku susah nak lupakan Nara. Apa pun... aku serahkan semuanya kepada kau. Ingat janji kita. Kau tak akan sakiti Nara. Kau akan selalu jadi pelindung dia sampai hujung hayat. Jangan risau pasal aku. Hidup atau mati... semuanya urusan Allah.' - Aisar
Sebaik saja pesanan itu diterima, Zulfan terus menghenyakkan duduknya di atas sofa. Anak matanya tunak memandang figura Inara yang masih terlantar koma setelah selesai menjalani pemindahan hati. Alunan bacaan Yassin daripada Puan Kirana dan Insyirah sayup-sayup kedengaran di halwa telinga. Serentak dengan bunyi monitor jantung yang disambungkan ke tubuh Inara.
Zulfan hilang punca. Dia masih diserang kejutan tatkala mengetahui sebuah fakta. Sukar Zulfan mahu menerima kenyataan itu. Namun, itulah kebenarannya. Fikiran Zulfan bercelaru. Hatinya tidak tenteram tatkala hatinya masih mahu menidakkan tentang kebenaran itu.
"Kenapa kau sanggup buat benda yang diluar dugaan? Apa lagi..."
"Kau dah tahu jawapannya. Aku memang tak akan dapat merasai cinta daripada Nara lagi. Sebab tu... aku nak bagi sesuatu yang ada dalam diri aku untuk dia. Jaga dia baik-baik, Zulfan. Jangan sakiti dia," pintas Aisar seraya mengenakan jas hitam yang dihulurkan oleh Zulfan. Matanya dikenyitkan kepada Zulfan seraya melangkah keluar dari ruangan itu.
Tatkala perbualan terakhirnya bersama Aisar terngiang-ngiang di telinga, Zulfan terus tertunduk menekur lantai putih. Keluhan berat terlepas dari bibir pemuda berkot putih itu. Bagaimana dia mahu memberitakan hal yang sebenar kepada bakal isterinya?
"Zulfan, kamu okey?"
Suara Puan Kirana yang memecahkan kesunyian membuatkan Zulfan kembali mendongak. Senyuman pahit terukir di bibir pemuda itu. Mahu menyembunyikan gundah yang tertanam di sudut atma.
"Kamu risau pasal Aisar?" soal Puan Kirana lagi. Hatinya semakin berlagu sayu melihat keadaan Zulfan yang seperti kebingungan. Langkah diatur seraya duduk dilabuhkan bertentangan dengan Zulfan.
"Aisar dengan Inara tu... kenapa hubungan mereka terlalu erat? Saya bingung. Kenapa Aisar sentiasa berkorban demi Inara? Ada apa dengan persahabatan mereka?" soal Zulfan bertalu-talu. Kebenaran itu membuatkan dia tidak bisa menghadam pengorbanan yang dilakukan oleh Aisar sekali lagi.
Puan Kirana semakin sebak tatkala mendengar soalan Zulfan. Wajah pucat Inara ditatap sekilas sebelum kembali memandang wajah sayu Zulfan. Ruang memorinya terus mengimbas detik dia kehilangan suaminya. Detik di mana Aisar yang dahulunya suka membuli Inara drastik bertukar menjadi seorang pelindung.
"Dia orang kenal sejak umur lapan tahun lagi. Masa tu... mak cik sekeluarga berpindah ke kampung. Takdir kami berjiran dengan keluarga Aisar. Mulai dari situlah, mereka berkawan dan mengukuhkan lagi hubungan mereka dengan sebuah persahabatan," jelas Puan Kirana. Mula membuka kisah di antara Aisar dan Inara.
"Suatu hari, kami kehilangan arwah abah Inara. Kehilangannya benar-benar memberikan kesan yang mendalam kepada Nara. Memandangkan dia rapat sangat dengan abah dia. Hampir sebulan budak tu demam. Dekat situlah, Aisar selalu berusaha menghiburkan Nara. Macam-macam cara dia buat hingga Nara kembali ceria," sambung Puan Kirana lagi.
Zulfan semakin khusyuk mendengar kisah Aisara. Dia tidak pernah tahu hal itu. Manakan tidak, selama ini Zulfan hanya ditujah dengan cemburu. Kalau bisa, dia tidak mahu Aisar dan Inara terlalu akrab. Zulfan risau andai Aisar mengambil Inara daripadanya.
"Dari situlah dia orang susah nak berenggang. Seorang sakit, seorang hiburkan. Masing-masing tahu nak buat apa bila di antara dia orang ada yang kesusahan. Lebih-lebih lagi Aisar. Dia kata... dia dah berjanji dengan abah Nara nak jaga Nara sampai bila-bila. Sebab tu... dia... dermakan hati dia untuk anak mak cik. Sebab mak cik tahu... Aisar... tak nak..."
Puan Kirana jeda.
Bibirnya sudah menggeletar saat perasaan sebak semakin menerajui sukmanya. Tubir mata mula terasa hangat. Wajahnya membahang panas. Sudah tentunya wanita itu terkilan tatkala Aisar melakukan sebuah pengorbanan yang terlalu besar buat Inara.
"Ibu..." panggil Insyirah tatkala ada kesayuan di bait bicara Puan Kirana. Wanita muda itu turut melangkah lalu duduk di sebelah ibunya. Tangan ibunya digenggam erat.
"Aisar tak nak tengok Inara... terus menanggung sakit. Meskipun... Aisar tahu tindakan dia... akan membuatkan Inara marah tapi... dia tetap buat. Sebab... Aisar cuma... mahu menjadi pelindung buat anak mak cik," lirih Puan Kirana. Suaranya seakan-akan tersekat di rengkungan. Setitis air mata mengalir ke pipinya. Mata terpejam rapat saat ruang ingatan mengulang semula babak sebuah kebenaran terungkap.
"Aisar sayang Nara. Sebab tu... Aisar dermakan hati Aisar untuk Nara. Ya, Aisar tahu Nara akan marah. Tapi, Aisar cuma nak Nara kembali sihat. Aisar nak dia kembali aktif menjadi seorang doktor. Bukan mudah dia nak capai cita-cita dia. Mak cik jangan khuatir. Aisar ikhlas. Hati Aisar ada dalam tubuh anak mak cik sebab hanya nama Nur Inara yang akan sentiasa tersemat dalam hati Aisar Mumtaz. Terima kasih sebab lahirkan gadis seindah Nur Inara."
Seketika, suasana sepi. Tiada lagi perbualan di antara Puan Kirana dan Zulfan. Saat itu juga, sorotan mata Zulfan tunak merenung Inara yang terlantar di atas katil. Kisah Aisar dan Inara benar-benar meruntun sekeping hatinya. Lantas, setitis demi setitis air mata Zulfan tumpah juga tanpa disedari.
'Maafkan aku Aisar. Aku tak tahu kisah kau dan Inara. Aku tak sangka... sekuat itu perasaan cinta dan sayang kau buat tunang aku. Maafkan aku,' monolog Zulfan. Saat ini, detik ini, fikiran Zulfan hanya ditutupi dengan rasa bersalah.
Kalau saja dia bukan seorang yang kuat cemburu, sudah pastinya Inara akan menceritakan kisah Aisara kepadanya. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Aisar sudah menjadi penderma hati buat Inara. Gadis yang sangat dicintai setulus hatinya.
BEG bimbit berisi wang sejumlah RM 100 juta dipeluk erat. Geran Yayasan Lee yang diletak di dalam sampul surat turut berada di pegangan Datuk Sri Lee. Jantungnya sudah berirama rancak tika itu. Sebaik mungkin, tokoh korporat itu cuba menenangkan dirinya.
Aisar yang berada di tempat duduk bahagian pemandu memerhatikan lima orang lelaki asing yang mengelilingi sebuah gudang. Ada bara api di atas tong bagi mencerahkan suasana yang mula gelap. Anak matanya fokus memerhatikan Lim, Jeremy, Lukman dan Fendi yang ditugaskan untuk menyamar sebagai konco-konco musuh.
Tugasan itu memudahkan mereka. Hal ini kerana, musuh menutup wajah masing-masing dengan topeng hitam dan kain. Hanya sorotan mata saja yang kelihatan. Jadi, penyamaran mereka berempat tidak akan diketahui.
"Bagus. Pastikan kau orang selesaikan dulu orang-orang dekat depan. Nanti laporkan kepada aku berapa ramai musuh di dalam sana," tegas Aisar kepada rakan pasukannya melalui earpiece.
"Kapten. Betul ke tindakan yang kita buat ni? Macam mana kalau dia orang tahu kita membelot?" soal Datuk Sri Lee. Dia seakan-akan tidak yakin dengan strategi yang disusun oleh pengawal peribadinya.
"InsyaAllah, Allah akan bantu kita. Kita serahkan semuanya kepada Allah. Selebihnya, kita usaha dengan mencari jalan selamatkan datin dan Cik Sandra. Percayalah dengan kebolehan kami, datuk!" kata Aisar. Ada nada autoriti di sebalik bait bicaranya.
Datuk Sri Lee terkelu. Dia tidak menafikan bahawa strategi Aisar selalu kukuh dan padu. Buktinya, sudah berkali-kali, Aisar berjaya menyelamatkan nyawanya dan keluarga ketika diancam.
Namun, entah mengapa kali ini intuisi Datuk Sri Lee berasa tidak tenteram. Seakan-akan sesuatu yang buruk akan menimpa mereka. Tatkala fikiran negatif semakin mendominasi, lelaki itu terus mengeluh berat. Melepaskan beban di pundaknya.
"Kapten! Bahagian kanan gudang kita orang dah settle. Kapten boleh lalu dari pintu bahagian kanan. Hati-hati kapten. Mereka terlalu ramai dekat dalam. Bayang datin dengan Cik Sandra pun kita orang tak nampak lagi," lapor Jeremy setelah dia membantai dua orang konco musuh.
"Datuk, mari. Kita kena cepat sebelum masa yang diberikan tamat. Usah risau. Reza dan yang lain sedang memantau keadaan kita melalui drone. Pihak polis akan ke sini mengikut strategi yang kita putuskan sebentar tadi," ujar Aisar. Langkah terus diatur keluar dari kereta.
Lambat-lambat, Datuk Sri Lee menurut. Mereka terus melangkah masuk ke dalam gudang. Sesekali, Aisar menerawangkan pandangannya ke sekeliling. Dalam posisi berjaga-jaga jika mereka diserang hendap.
"Kapten! Jangan lalu di bahagian sayap kanan gudang. Ada satu bom jangka yang diletak di dalam kotak. Ubah posisi kapten lalu bahagian kiri," lapor Reza. Sungguh, dia khuatir tika ini. Marabahaya yang sedang menimpa mereka sangat mendebarkan.
Aisar terus merapati Datuk Sri Lee dan mengubah posisi ke sebelah kiri gudang. Sungguh, keadaan gudang yang terlalu besar dan mempunyai dua tingkat menyukarkan pencarian mereka. Debaran di jantung Aisar semakin kencang.
Baru saja Aisar melangkahkan kaki di bahagian sayap kiri, satu letupan dibaling ke arahnya. Akibatnya, tubuhnya terpelanting ke belakang dinding. Sebatang kayu turut dihayunkan ke kepala Aisar secara mendadak.
"Datuk jangan masuk!" jerkah Aisar sambil terbatuk-batuk. Kepulan-kepulan asap sudah memenuhi ruangan itu. Sorotan anak mata Aisar samar-samar tertancap ke arah empat figura yang sudah mengelilinginya.
Seorang lagi musuh meluru dan menyasarkan kayu yang dipegang ke kepala Aisar. Tangkas, Aisar bangun dan menujahkan tendangannya ke pergelangan musuh. Kepalanya sedikit berdenyut akibat hentakan sebentar tadi. Darah mulai mengalir ke pipi Aisar.
Suasana pintu gudang mula dipenuhi hiruk pikuk tatkala musuh menyerang. Mereka bagaikan singa yang kelaparan dan meluru ke arah Aisar untuk dibaham. Namun, Aisar lebih bijak dan tangkas mengelak. Laju saja Aisar berdiri di belakang lelaki yang memukulnya sebentar tadi.
Leher si figura lantas dicekik dengan lengannya dari belakang. Apabila ada yang mara, Aisar menjadikan tubuh lawan sebagai benteng pertahanannya. Hingga akhirnya, nafas si figura semakin sesak dan rebah.
Apabila ada yang mara dengan sebilah parang, Aisar tangkas menyendengkan kepalanya dan mencengkam pergelangan tangan musuh dari belakang. Ketangkasan Aisar membuatkan parang di tangan musuh terlepas. Lantas, tangan yang sudah dipulas ke belakang dibanting kuat ke belakang. Satu tendangan kuat ditujahkan ke wajah seteru yang sudah terbaring longlai.
Mendengarkan keriuhan di ruangan itu menarik perhatian musuh yang berhampiran. Tak semena-mena, seteru Aisar semakin ramai. Tatkala itu juga, Aisar merasakan kesakitan di bahagian abdomennya. Tanpa disedari, jahitan pada bekas pembedahannya sudah terbuka. Darah pekat mulai mengalir di tampalan lukanya. Namun, kesakitan itu cepat-cepat ditepis.
Misi harus dilaksanakan terlebih dahulu!
"Kapten! Bawa datuk lari dari sana! Kami selesaikan bedebah tu semua!" tegas Halim yang sedang bergasak bersama dua musuh sekali gus. Di tingkat dua.
Aisar menurut. Namun, dia masih dikepung dan musuh berpusu-pusu menyerangnya. Sebaik mungkin Aisar melawan. Dua yang muncul, Aisar tangkas membentes betis dan menghayunkan tendangannya ke tengkuk mereka sekali gus. Aisar melompat ke atas kontena yang lebih tinggi. Mahu menjarakkan dirinya daripada musuh.
Glock yang tersisip di pinggang lantas dikeluarkan. Muncung senjata dihalakan ke arah musuh yang menghampiri. Aisar berlari di atas kontena sambil melepaskan bertalu-talu tembakan. Lantas, berlaku pula aksi berbalas tembakan di kawasan itu.
Apabila kelibat Lukman, Halim dan Lim kelihatan, Aisar kembali turun dan menghampiri Datuk Sri Lee yang bersembunyi di belakang kontena. Ada tiga musuh yang sudah menggelupur akibat tembakan Aisar. Aisar terpaksa!
"Kapten! Datin dengan Cik Sandra ada di tingkat dua. Bilik berhampiran tangga!" lapor Fendi yang sedang berbalas tembakan bersama konco musuh.
"Ayuh datuk! Mereka di tingkat dua," jelas Aisar. Dia beriringan bersama Datuk Sri Lee menuju ke ruangan Datin Sri Zurina dan Cassandra diculik.
Sesekali, Aisar masih berbalas tembakan tatkala musuh masih menyerang. Lengan Datuk Sri Lee sesekali ditarik bersembunyi di belakang dinding. Entah, kegilaan apakah musuhnya tika ini. Bertindak ganas tanpa sempat mereka bersua muka.
Dalam erti kata lain, mereka telah diperangkap! Bukan diplomasi yang mereka mahukan selain membunuh Datuk Sri Lee. Sungguh kejam!
"Kapten... kau cedera! Aku..."
"Ni darah musuh yang terpercik dekat baju saya! Saya okey. Kejap lagi kita akan selamatkan Cik Sandra dan datin ya," pintas Aisar seraya mencengkam lengan Datuk Sri Lee. Mereka terus belari dan tunduk. Mengelak daripada ditembak oleh musuh yang berada dari arah bertentangan.
Mendengarkan itu, Datuk Sri Lee hanya mampu senyap. Dia tahu itu darah Aisar tatkala darah yang kelihatan tembus di t-shirt putih pemuda itu semakin mengalir deras. Timbul penyesalan di sudut hati Datuk Sri Lee dek sentiasa melayani Aisar dengan buruk.
Aisar terus menendang pintu kayu bilik yang dimaksudkan oleh Halim. Pintuk terhempas ke belakang dinding. Sontak, lima orang musuh yang mengawal Cassandra dan Datin Sri Zurina kelihatan. Saat itu juga, terherot senyuman sinis di bibir Aisar.
Tebakannya seakan-akan hampir menuju ke sebuah kebenaran.
"Abram! Aku dah agak semua ini kerja kau syaitan!" tengking Datuk Sri Lee seraya meluru ke arah Abram. Rakan niaga merangkap bekas sahabat baiknya dahulu.
"Daddy!"
"Diam!" Tak semena-mena, pipi Cassandra ditampar kuat tatkala gadis itu menjerit. Air matanya sudah membasahi pipi. Bercampur dengan darah di birai bibirnya.
Tatkala pandangannya tertancap ke arah Aisar, Cassandra terus mengetap bibirnya. Aisar kelihatan teruk di pandangan Cassandra tika ini. Darah mengalir ke pipi pemuda itu. Nafasnya termengah-mengah. Wajahnya pucat tak berdarah!
"Aku tak nak berbincang dengan kau. Aku nak cepat. Aku bagi kau masa selama 15 jam pun sebab nak bagi kau peluang untuk berfikir. Nampaknya, keluarga lebih bernilai daripada harta. Sweet betul datuk!" cemuh Abram seraya menujahkan tongkatnya ke rusuk Datuk Sri Lee. Akibatnya, hampir saja lelaki itu terduduk dek kesakitan yang menyengat.
Buru-buru, Aisar yang berdiri di belakang Datuk Sri Lee meluru ke arah musuh. Namun, konco-konco Abram menghalang dengan mengacukan senjata ke arah Aisar.
"Oh sebelum tu! Nah, hadiah untuk kau kapten! Mesti penat kan lepas bergasak dengan konco-konco aku."
Mayat Adeline yang berlumuran dengan darah terus ditolak ke arah Aisar. Pemuda itu kaget melihat rakannya yang sudah dibantai hingga mati. Amarah mula membakar sukma Aisar. Buku limanya yang sudah memar digenggam erat.
"Kau memang nak bunuh aku, bukan? Kau membelot! Kau hantar konco-konco kau untuk bunuh aku sebelum aku selamatkan keluarga aku!" jerkah Datuk Sri Lee. Nafasnya sudah turun naik melepaskan amarah.
Abram memandang wajah seterunya. Cerut dihisap lalu dilepaskan ke wajah Datuk Sri Lee. Tawa sinisnya terletus. Lama kelamaan, tawa itu semakin kuat. Mengejek Datuk Sri Lee yang diperangkap.
"Sebab tu aku suruh bawa bodyguard kau yang dah tahu semua pasal aku. Memang aku nak bunuh kau orang berdua. Haih! Tapi itulah... Kapten Aisar memang tangkas menggunakan hand combat. Tak sia-sia kau rekrut bekas askar ni jadi kuli kau!"
Sorotan mata Aisar semakin tajam merenung wajah Abram. Sebaik mungkin, Aisar menahan kesabarannya. Sesekali, anak mata Aisar memandang empat konco Abram yang masih menghalakan senjata ke arahnya.
"Mana datin?" soal Aisar tak semena-mena.
Datuk Sri Lee terus memandang sekelilingnya. Dia baru perasan bahawa isterinya tidak bersama Cassandra. Bukankah isterinya menemani Cassandra hari ini?
Ingin saja Cassandra membuka mulut dan menyatakan hal yang sebenar. Namun, ketakutan lebih mendominasi akal fikirannya. Hatinya yang rawan kembali dicarik-carik tatkala teringat akan kejadian dia diculik.
"Ala! Tak payah tanya dia ada dekat mana bila kau dah cukup bukti menyatakan yang dia skandal aku! Bagus otak kau, kapten! Bertuah..."
"Skandal? A... apa maksud... kau. Aisar... apa yang jadi..."
Datuk Sri Lee kematian bicara. Segala momennya bersama Datin Sri Zurina terimbas di kotak memori. Termasuk mengenai Yayasan Lee yang hanya diketahui oleh Aisar dan isterinya saja.
Itu bermakna...
Oh sungguh, terasa lemah kaki Datuk Sri Lee untuk terus berdiri saat kepingan-kepingan puzzle mula bercantum di benak fikirannya. Selama dia dan keluarganya diserang, barulah Datuk Sri Lee perasan bahawa hanya figura itu yang mengetahui jadual hariannya dan Cassandra.
Bermaksud...
"Sayang! Come here. Drama kita dah tamat bila bakal mayat dah datang ke liang lahad," panggil Abram. Beg berisi RM 100 juta bersama geran tanah Yayasan Lee dirampas daripada pegangan seterunya.
Saat itu juga, bunyi tapak kasut bertumit tinggi kedengaran di belakang Datuk Sri Lee. Tubir matanya terasa hangat. Dadanya tiba-tiba terasa nyeri akibat kejutan yang maha hebat. Matanya sudah melotot melihat seorang wanita berambut sanggul dan berkebaya merah berpelukan bersama Abram.
"Wow! Amazing! I tak sangka I dapat tengok muka terkejut you. Maaflah sebab I khianati you. Oh dan juga..."
Datin Sri Zurina mendekatkan wajah sinisnya ke wajah suaminya. Bibirnya didekatkan ke cuping telinga Datuk Sri Lee Abdullah. Sebaris ayat 'termasuk isteri kau yang dah masuk dalam kubur' cukup memarakkan lagi api kemarahan Datuk Sri Lee.
Lantas, tangannya naik ingin menampar wajah isterinya. Malangnya, lengannya ditembak sehingga membejatkan tindakannya. Erangan lelaki malang itu terus kedengaran.
Aisar mahu melawan. Namun, dia harus bertindak bijak jika mahu mengelak dari kematian. Jantungnya semakin berdebar kencang dengan kesakitan yang mula menggigit sendi dan tulang temulangnya.
"Kapten! Kita kena keluar dari sini dengan secepatnya. Ada beberapa bom jangka yang kita orang temui. Halim, Jeremy dan Fendi akan bantu kapten keluar dari situ," lapor Lim. Dia berlari-lari anak mencari keberadaan bom jangka di gudang itu.
Mendengarkan itu, Aisar semakin resah. Fikirannya cuba ditenangkan. Dia akan selamat. Majikannya juga akan selamat. Dia tidak mahu mati selagi dia tidak menyaksikan hari kebahagiaan Inara dan Zulfan!
"Kenapa kau khianati aku?" jerkah Datuk Sri Lim. Nafasnya turun naik menahan kesakitan.
Datin Sri Zurina ketawa sinis. Geran tanah Yayasan Lee diangkat tinggi lalu dikibar-kibar. Sengaja memprovokasi suami yang diselingkuh itu.
"Easy! I cuma nak harta you saja. Tak sangka isteri you mudahkan urusan I tanpa fikir niat I terima you. Okeylah! I gotta to go. Selamat ke alam kematian ya," tegas Datin Sri Zurina. Langkah terus diatur bersama Abram keluar dari gudang tersebut. Konco-konco Abram turut mengekori dari belakang.
Aisar membentak seraya menendang kuat meja yang berada di depannya. Melepaskan tekanannya. Buru-buru, dia membuka ikatan Cassandra. Gadis itu terus meluru ke arah ayahnya lalu menggogoi.
"Kapten..."
"Pergi! Biar aku yang uruskan sisa baki malaun ini! Bawa Cik Sandra dan datuk keluar dari sini! Cepat!" jerkah Aisar sambil menambahkan peluru ke dalam kelongsong. Nafasnya sudah turun naik melepaskan lelah. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipinya yang berlumuran dengan darah.
Ini tugasnya sebagai pengawal peribadi Datuk Sri Lee. Maka, Aisar juga sudah bersedia untuk mengorbankan dirinya demi tugas!
Durjana-durjana itu harus dibawa ke muka pengadilan. Aisar terus meluru ke tingkat bawah. Malangnya, belum sempat dia melepaskan tembakan, satu letupan kuat kembali diletupkan oleh konco Abram. Tubuh Aisar terus terpelanting ke arah cermin tingkap. Papan kayu yang berada di atas siling terus jatuh menghempap kaki pemuda itu.
Serentak dengan itu, kepulan-kepulan asap kelihatan di tingkat bawah. Pandangan Aisar semakin kabur. Dia mahu bangun. Namun, kakinya yang dihempap dengan papan kayu membejatkan pergerakannya. Bau asap kian menusuk rongga hidung pemuda itu.
"Allahu. Sakit..." adu Aisar tatkala seluruh tubuhnya terasa dicucuk dengan berjuta jarum.
"Kapten!" teriak Halim dan Jeremy serentak tatkala gudang sudah dipenuhi dengan asap. Alangkah luluhnya hati mereka melihat keadaan Aisar yang cuba untuk bergerak.
Mereka mahu membantu. Namun, api yang marak sudah naik ke tingkat atas. Terasa bahangnya seakan-akan membakar kulit mereka. Letupan demi letupan membuatkan gudang itu terus dijilat api.
"Pergi! Jangan pedulikan aku! Selamatkam diri kau orang. Aku tak nak... ada yang mati lagi!" teriak Aisar sekuat hati. Nafasnya sudah turun naik menahan sesak. Sesekali, Aisar terbatuk-batuk. Dia mengerang kesakitan sambil cuba mengangkat papan kayu yang menghempap kakinya. Berat! Asap yang menusuk rongga hidungnya benar-benar melemahkan Aisar.
Aisar meraba-raba abdomennya. Ada benda yang tajam tertusuk di bekas jahitannya. Aisar cuba memandang. Senyuman sinis terukir di bibirnya. Ada dua bilah kaca sudah tertusuk di jahitan abdomennya. Bekas jahitan pemindahan hati buat Inara.
"Ina... ra. Aku harap... hati aku... da... pat temankan... hari... tua kau," desis hati Aisar. Wajah Inara terimbas di ruang memori pemuda itu. Senyuman pahit terkulum di bibir Aisar. Aisar senang hati tatkala hatinya sudah dipindahkan ke tubuh Inara. Hatinya akan terus sihat di tubuh sahabatnya.
Pandangan Aisar semakin kabur. Mungkin, ini pengakhiran hidupnya. Asap semakin memenuhi ruangan itu. Api yang marak semakin menjulang tinggi. Aisar sudah bersedia untuk mengucap dua kalimah syahadah. Serentak, hatinya diragut sayu dengan kekecewaannya yang tidak mampu menatap orang tersayang lagi.
'Selamat tinggal, Aisara.'
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 🌹
Sukakan karya ini? Jangan lupa tekan butang vote ⭐
Stay tuned AISARA episod akhir (5/6/2021) (Malam)
Ke korang tanak baca dah sebab Aisar dah.... 😪
Sabar guys. Inara masih ada tu 🤭
⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐
FAKTA PENDERMAAN ORGAN
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro