Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 42

MAJLIS kesyukuran dan doa selamat diadakan di rumah Puan Kirana. Bagi menyambut kepulangan Aisar dan Inara yang selamat dari marabahaya. Doa selamat turut diadakan bagi mendoakan keselamatan Inara yang akan menjalani pemindahan hati dalam lima hari sahaja lagi.

Di kesempatan itulah, Inara diberikan keizinan untuk pulang ke kampung halamannya di Kampung Seri Wangi. Segala memori manis bermain di ruang ingatan. Lebih-lebih lagi, kepulangan pada kali ini Aisar turut pulang bersama.

Setelah 13 tahun Aisara terpisah, akhirnya mereka dapat meluangkan waktu bersama-sama di tempat mereka dibesarkan. Sudah tentunya Inara senang hati. Dapat juga dia mengimbau memori zaman persekolahan bersama Aisar Mumtaz.

"Mak su! Tengok lukisan Mayah ni. Cantik tak?" soal Sumayyah. Anak tunggal Mustaqim yang berusia enam tahun. Gadis kecil itu sudah menunjukkan lukisan pemandangan sebuah sawah padi kepada Inara.

Inara yang sedang mengelap pinggan mengalihkan pandangannya ke lukisan Sumayyah. Warna hijau dan kuning yang melatari sawah padi membuatkan Inara tersenyum sendiri. Ada juga lukisan orang-orang yang berada di tengah sawah.

"Pandai Mayah lukis. Siapa ajar?"

"Pak cik jiran sebelah yang ajar. Pak cik kata, lukisan siapa paling cantik dia bagi coklat!" jawab Sumayyah dengan nada yang ceria.

Belum sempat Inara menjawab, muncul lagi dua orang anak kembar Insyirah yang berusia empat tahun. Sepasang kembar berbaju t-shirt merah dengan gambar lego turut membawa lukisan masing-masing.

"Mak su! Lukisan kita orang cantik tak? Pak cik tu yang lukiskan. Kita orang warna je," ujar Mikail dan Alif serentak. Tangan masing-masing sudah dikotori dengan krayon. Berebut-rebut mereka berdiri di hadapan Inara.

Sekali lagi, Inara meneliti lukisan anak-anak buahnya. Bibirnya sudah diketap. Hanya dalam sesaat, tawa Inara terletus melihat lukisan orang lidi bermuka bulat dengan mata yang besar dan hidung yang berbentuk 'L'. Sungguh, seorang Aisar Mumtaz memang buta dalam seni lukisan!

"Lukisan Mayah lagi cantik daripada lukisan pak cik kesayangan kau orang tu. Lain kali, jangan suruh pak cik Aisar lukis tau. Dia tak pandai melukis sebab masa sekolah dia tu nakal. Bergaduh sajalah yang dia tahu. Kau orang jangan jadi macam dia. Kalau dia ajar yang bukan-bukan, jangan ikut. Faham?" kata Inara diselitkan dengan pesanan khidmat masyarakat. Tawanya masih tersisa tatkala melihat hasil lukisan orang lidi Aisar.

Entah apa sajalah yang Aisar ajarkan kepada anak-anak buah Inara.

"Dah! Pergi suruh pak cik Aisar belajar melukis dengan Mayah. Mak su nak buat kerja," arah Inara. Dia bangun dari duduk seraya mengambil kuih bingka yang dikukus di atas api.

"Okey mak su! Mayah dengar cakap mak su. Jom Alif, Mika. Kita ajar pak cik Aisar melukis!" kata Sumayyah. Tak semena-mena, tiga orang kanak-kanak berlari meluru ke ruang tamu. Memeriahkan lagi suasana rumah Puan Kirana.

"Mimpi apalah agaknya abang tu eh. Dah buang tabiat ke apa layan karenah budak-budak. Biasanya, dia paling malas nak melayan budak-budak. Angin kus-kus agaknya abang hari ini," kata Airis yang sedang memotong timun untuk dijadikan acar.

"Dah sedia nak jadi bapa budak agaknya anak kau tu Su," ujar Puan Kirana yang sibuk mengadun tepung untuk dibuat kuih karipap pula.

"Macam mana nak jadi bapa budak kalau diri tu tak berpunya lagi. Dah puas dah aku kenalkan dia  dekat anak-anak gadis kawan yang lain. Tak ada seorang pun yang dia berkenan. Bila tanya, tak bersedia lagi nak jadi suami orang," tutur Puan Suhaila yang sedang menggaul ayam rendang pula. Ada keluhan di hujung bicaranya.

Mendengarkan itu, air muka Inara terus berubah keruh. Ada rasa bersalah menyelinap masuk ke dinding hatinya. Kerana Inara cukup tahu jawapan Aisar menolak. Sudah tentunya kerana perasaan Aisar hanya buat seorang Inara saja. Sampai bila? Inara masih tiada jawapan untuk itu.

"Abang masih ada perasaan dekat Kak Inara. Sebab tu kut dia tak nak kahwin. Tapi abang patut move on! Sampai bila dia nak jadi bujang terlajak? Kak Inara pun dah nak jadi isteri..."

Airis kematian kata tatkala bunyi pinggan terjatuh kedengaran di belakangnya. Dia kaget. Lantas, kepala dikalih memandang Inara yang tiba-tiba kejang. Buru-buru, Airis menghampiri Inara. Takut kalau-kalau penyakit gadis itu datang semula.

"Kak Inara okey?"

"Nara pergilah rehat. Biar kita orang yang buat. Risau ibu tengok Nara aktif sangat. Ni, bawa sikit kuih bingka bagi dekat budak-budak tu," ujar Puan Kirana pula. Dia turut menghampiri Inara dengan pinggan yang dihulurkan oleh Insyirah.

"Nara okey. Panas sangat kuih bingka ni sampai terlepas pinggan dekat tangan," helah Inara seraya menurut kata ibunya. Menyembunyikan rasa yang berkecamuk di sudut hati.

"Nara tu tak sihat. Jangan degil. Tak berubah betul perangai degil tu kan. Nak Kak Syi ikat dekat katil sampai tak bergerak ke?" omel Insyirah sambil bercekak pinggang.

"Ye. Nara dengar cakap. Ish! Kuat membebel betullah Cikgu Insyirah ni. Bingit telinga nak dengar Cikgu Insyirah membebel," kata Inara bersama sengihan kelatnya. Sengaja mengejek Insyirah yang sudah dalam mood membebel itu.

"Hah melawan! Ibu... tengok anak bertuah ibu tu. Nak jadi isteri Zulfan pun masih ada sisi tak matangnya. Macam-macam betul!" omel Insyirah lagi. Kepalanya digeleng-geleng melihat Inara yang masih tersengih kambing.

Inara mengatur langkah ke ruang tamu. Semerbak bau bingka pandan buatan ibunya menusuk rongga hidung. Sangat menyelerakan! Namun, belum sempat Inara menghampiri, halwa telinganya menangkap namanya yang sedang disebut oleh Mustaqim. Langkah terbejat di belakang dinding.

"Kenapa kau diam bila aku tanya perasaan kau terhadap Inara? Betullah, kau masih ada perasaan dekat adik aku?" soal Mustaqim. Buah catur digerakkan mengikut strategi.

Aisar sekadar tersengih. Sesekali, anak matanya tertancap ke arah tiga kanak-kanak yang ralit melukis gambaran Inara. Kalau Inara mahu mengenakannya, dia juga mampu. Seenaknya saja gadis itu mengutuknya di hadapan tiga orang budak. Pengakhirannya, Inara juga yang terkena kembali.

"Siapa saja tak suka Inara. Dia baik, sentiasa berkorban untuk orang lain, kuat semangat. Walaupun dia keras kepala, tapi dia sentiasa menyenangkan semua orang. Ala... biasalah tu semua orang sukakan Nara. Bukan aku seorang saja," kata Aisar. Buah fikirannya fokus menyusun strategi untuk mengalahkan Mustaqim dalam permainan catur.

"Bukan itu maksud aku."

"Lah. Habis tu apa maksud abang?"

Seketika, Mustaqim menatap wajah Aisar yang duduk bertentangan dengannya. Bibirnya terherot dengan senyuman sinis. Buah caturnya digerakkan lagi. Aisar memang sentiasa juara dalam permainan catur. Mustaqim tidak dapat menafikannya.

"Kau cintakan Inara lagi kan? Sampai bila? Sampai bila kau nak pertahankan perasaan..."

"Checkmate! Yes aku menang! Yahoo! Bagi lima ringgit... aku nak beli jajan," pintas Aisar bersama senyuman lebarnya. Nada suaranya kedengaran ceria sehingga membuatkan Sumayyah, Mikail dan Alif terkebil-kebil memandang aksi Aisar yang sudah menadah tangan ke arah Mustaqim.

Mustaqim tertawa sinis dengan ulah Aisar. Kepalanya digelengkan. Tubuh disandarkan di belakang sofa. Wajah Aisar yang sudah menjongketkan kening kirinya ditatap. Mustaqim akui. Aisar memang bijak. Bijak  menyembunyikan perasaannya dengan bertindak seperti keanak-anakan.

"Tahu aku handsome. Janganlah pandang lama-lama. Risau pula aku bila abang pandang aku macam nak terkam," ujar Aisar sambil menyebak rambutnya ke belakang. Anak matanya terus dialihkan dari memandang raut wajah Mustaqim. Keluhan berat terlepas dari bibir merahnya yang bebas dari rokok.

"Okeylah aku mengaku. Aku masih cintakan Doktor Nur Inara. Move on? Dah puas aku pujuk diri aku untuk move on. Tapi hati aku ni degil. Ramai yang datang... dia masih nak Inara. Dah puas mak bagi nasihat dekat aku. Tapi..."

Aisar menjongketkan bahunya. Nafas panjang dihela. Wajah Mustaqim kembali ditatap. Choki choki kepunyaan Alif dicapai lalu dimakan. Menyedapkan hatinya yang walang dengan coklat.

Mendengarkan pengakuan Aisar, Inara terus jadi kejur. Sepinggan kuih bingka yang berada di tangan ditatap sayu. Tubuh masih melekat di sebalik dinding. Mendengar segala perbualan Mustaqim dan Aisar berkaitan dirinya.

Oh sungguh, Inara tidak mahu perasaan Aisar terus kukuh terhadapnya. Dia akan sah menjadi hak milik Zulfan. Dia sudah melupakan perasaannya buat Aisar. Tapi sebagai sahabat, Inara juga tidak mahu sekeping hati Aisar terus terluka dalam diam.

Inara buntu.

"Mak su main sorok-sorok ke? Nak ikut boleh?"

Tak semena-mena, pinggan berisi kuih bingka hampir terlepas sebaik saja Mikail dan Alif menyerbu Inara. Sepasang kembar itu sudah terkebil-kebil melihat Inara yang tersandar di belakang dinding. Wajah Inara pula terus naik membahang apabila Aisar sudah berdiri di hadapannya dengan senyuman nakal.

"Kau nak jadi cicak ke melekat dekat dinding?" usik Aisar seraya mencapai pinggan berisi kuih bingka kegemarannya dari tangan Inara. Langkah kembali diatur ke ruang tamu.

Entah mengapa, hari ini moodnya bahagia saja walhal hari pernikahan Inara hanya tinggal tiga minggu saja lagi. Apa yang Aisar tahu, dia hanya mahu menikmati hari-harinya di kampung halaman. Aisar juga mahu menceriakan orang sekelilingnya sebelum dia kembali berkhidmat sebagai pengawal peribadi Datuk Sri Lee Abdullah.

"Apa yang kau ajar dekat anak-anak buah aku? Kau ni otak sewel. Risau pula aku bila kau dah dekat-dekat dengan anak buah aku," omel Inara seraya melabuhkan duduknya di sebelah Mustaqim.

"Apa kutuk member sendiri. Kau kena puji aku, Nara. Aku tengah berlatih untuk jaga anak kau dengan Zulfan nanti. Yelah, kau orang berdua kan doktor. Selalu sibuk. Lagi-lagi, kalau on call. Hah, nanti bolehlah aku jadi babybrother dekat anak kau orang. Apa macam? Bagus tak rancangan aku?"

Seketika, Inara terus mengalihkan pandangannya ke wajah Mustaqim. Seakan-akan meminta bantuan abangnya untuk menyedarkan Aisar dari terus mengarut. Namun, Mustaqim terus bangun dan berlalu keluar rumah. Meninggalkan Inara, Aisar dan anak-anak buah Inara di ruang tamu.

"Rasa macam jadi bapa budak pula sekarang ni. Kau tak rasa kau tengah jadi mak budak ke Nara?" soal Aisar sambil menyuapkan kuih bingka ke dalam mulut Mikail dan Alif.

Inara terus membaling buku lukisan ke arah Aisar. Geram! Terkekek-kekek Aisar melihat Inara yang sudah berwajah tegang. Sengaja mengusik gadis itu. Kemudian, Aisar mengarahkan anak-anak buah Inara menunjukkan hasil lukisan kepada gadis itu.

"Mak su! Ini yang pak cik Aisar ajar dekat kita orang. Dia suruh lukis muka mak su," kata Mikail. Matanya terkebil-kebil menikmati keenakan kuih bingka.

Tergaris senyuman di bibir Inara tatkala menerima lukisan anak-anak buahnya. Hatinya tercuit lucu. Bermacam-macam bentuk dan warna terpapar di atas kertas lukisan.  Ada-ada sajalah ulah seorang Kapten Aisar Mumtaz. Boleh pula sahabatnya mengenakannya semula.

"Kau memang sewel, Aisar Mumtaz!"

"ABANG kau tu single ke available?"

Sebaik saja soalan cepumas menyusup masuk ke corong telinga Airis, gadis yang sedang mengemas pinggan kotor tetamu terus memusatkan pandangannya ke laman wajah Aisar. Kelihatan, abangnya yang berbaju Melayu berwarna hitam sedang berbual bersama bekas rakan sekolahnya di halaman rumah.

"Kenapa? Berkenan?" Soalan dibalas dengan soalan. Ada senyuman nipis tergaris di bibir Airis.

Lana yang baru saja menghidangkan minuman dan kuih muih kepada tetamu terus tersengih dengan soalan maut rakannya. Wajah Aisar dipandang tanpa berkelip. Senyuman pemuda itu benar-benar menggetarkan hatinya.

Kacak!

"Tak payah nak sengih-sengih. Kalau kau nak cuba nasib, pergilah try. Aku okey saja kalau kau nak minta tolong. Cuma tulah... aku nak rehat sebulan dari jadi posmen kawan-kawan aku," ujar Airis seraya melangkah ke dapur.

"Kenapa pula? Kata okey tolong member. Ala, takkan dengan aku pun kau nak berkira babe!" rungut Lana yang sudah membuntuti Airis dari belakang.

"Aku tak berkira. Aku penatlah dengan perangai abang aku tu. Hati macam ais batu! Kalau kau nak tahu... dalam hati abang aku tu ada satu nama saja tau!" tegas Airis. Si gadis berselendang jingga terus melabuhkan duduknya di atas kerusi kecil. Bersedia untuk mencuci pinggan mangkuk yang sudah diletakkan di dalam besen.

"Lah... fake hope betul kau ni! Cakap macam abang kau tu single. Aish..."

"Memang abang aku single but not available. Sebab hati dia dah dimiliki oleh sahabat dia sendiri. Tu, Kak Inara yang tengah hantar kuih dekat depan tulah yang buat abang aku selalu jadi gila bayang," pintas Airis seraya menghalakan jari telunjuknya ke arah Inara yang sedang membawa sedulang kuih muih.

"Lawanya. Macam iras-iras muka Mawar Rashid! Patutlah abang kau gila bayang. Tadi cara dia cakap dengan aku pun lembut saja. Ramah pula tu. Pakej dengan murah senyuman dan sedap mata memandang! Serasinya!" puji Lana. Anak matanya sudah bersinar-sinar memandang Inara yang anggun berbaju abaya hitam itu.

"Sayangnya... Kak Inara dah nak kahwin tiga minggu lagi. Abang aku pula... bujang terlajak. Buntu aku memikirkan abang aku yang susah nak move on!" keluh Airis. Kepalanya tergeleng-geleng memikirkan keadaan Aisar yang setia dengan perasaannya terhadap Inara.

Mendengarkan itu, Lana sudah terkelu seribu bahasa. Dia juga kematian diksi tatkala mengetahui kebenaran itu. Alahai, kes cinta tak terbalas rupanya abang kepada rakannya itu.

USAI saja menghantar kuih di halaman rumah, nama Inara dipanggil membuatkan langkah gadis itu terbejat di muka pintu. Inara kalih ke belakang. Memandang si figura yang memanggilnya sebentar tadi.

"Amanda!" panggil Inara seraya memeluk tubuh bekas rakan sekolahnya. Senyuman gadis itu kian melebar tatkala bertemu dengan rakan yang sering menemani harinya selain Aisar.

"Aku ingat kau tak nak jumpa aku lagi," kata Inara. Ada nada berjauh hati di sebalik butir bicara gadis itu. Tangan Amanda digenggam lantas mereka melabuhkan duduk di atas pangkin yang kosong.

"Aku sibuk. Uruskan butik pengantin dekat pekan. Ini pun... Aisar paksa laki aku bawa aku ke sini. Mana ada aku tak nak jumpa kawan aku yang dah bergelar doktor ni," ujar Amanda sambil mengenggam erat tangan Inara. Mereka saling berbalas senyuman.

"Doakan aku tau supaya aku selamat menjalani pemindahan hati. Aku perlukan sangat-sangat, doa daripada orang sekeliling."

"Mestilah! Semua orang nak tengok Doktor Inara sembuh. Nak lagi... Aisar Mumtaz merangkap budak paling nakal dekat sekolah dulu," kata Amanda. Seketika, anak matanya memandang Aisar yang rancak berbual bersama suaminya.

"Aku kan... mati-mati ingat kau akan bersatu dengan Aisar. Kau orang kan... selalu disalah anggap sebagai sepasang kekasih masa sekolah dulu. Ikatan persahabatan kau orang terlalu kuat sampai ada yang cemburu. Lagipun... kau ada perasaan lebih dari seorang sahabat dekat Aisar. Sama juga dengan Aisar. Tapi, itulah kan orang cakap... jodoh ni selalu tak disangka-sangka. Tup tup... kau dengan orang lain," tambah Amanda. Anak matanya terus dialihkan semula ke laman wajah Inara. Ada nada kesal di sebalik suara wanita berbadan dua itu.

Manakan tidak, dia ingin sekali melihat Aisar dan Inara bersatu!

Senyuman Inara berubah kelat sebaik saja Amanda menuturkan bicaranya. Anak mata terus dialihkan ke sawah padi yang terbentang luas di hadapan rumah keluarganya. Entah mengapa, rasa bersalah itu kian berada di kemuncak.

"Semua ni salah Marissa dengan Thariq tulah! Kalau difikirkan balik... susah nak maafkan kesilapan dua malaun tu. Sebab dia orang, satu kampung pulaukan dan hina Aisar. Sampai Aisar buat keputusan tak cukup bijak tinggalkan kau macam tu saja. Hah sekarang... baru padan muka dia orang hidup tunggang langgang!" marah Amanda. Ada nada tegas di bait bicaranya saat teringat akan kejadian hitam yang berlaku dalam hidup Aisar.

"Siapa tunggang langgang? Hah, mengumpat!"

Serentak, Inara dan Amanda memandang figura Rizman yang sudah mencela di antara mereka berdua.

"Dia orang ni dari zaman sekolah memang suka mengumpat. Kau tahu... dia orang pernah kutuk rambut aku yang kena gunting sampai botak oleh Cikgu Shahir. Dia orang kata... rambut aku macam bola golf dekat padang. Tak patut kan dia orang kutuk Aisar yang kacak dengan golf!"

Mendengarkan itu, Inara, Amanda dan Rizman terus terkekek dengan keluhan Aisar. Tercuit hati tatkala teringat akan kejadian rambut Aisar yang panjang digunting oleh guru disiplin.

Malam itu, mereka terus berbual dan mengimbau kenangan zaman sekolah. Gelak tawa menghiasi perbualan mereka dek jenaka dan ulah Aisar yang sentiasa menghiburkan. Hingga tetamu mula berpusu-pusu pulang barulah Amanda dan Rizman berpamit untuk pulang ke rumah.

"Rasa macam jadi budak sekolah pula bila kita semua berkumpul. Jumpa kawan-kawan lama. Tengok suasana kampung. Kan?" kata Inara seraya mengalihkan pandangannya ke laman wajah Aisar yang duduk di sebelahnya.

Aisar tersenyum. Wajah Inara turut ditatap sedalamnya. Aisar mengangguk. Bersetuju dengan omongan sahabatnya. Kemudian, Aisar memandang semula sawah padi yang terbentang luas. Bagaikan ada bayangan dia dan Inara yang masih kanak-kanak bermain di bendang hingga senja. Akibatnya, mereka berdua dimarahi kerana pulang dalam keadaan kotor dengan lumpur.

"Inara..."

"Ya?"

Senyuman di bibir Aisar kian melebar. Seutas gelang bertuliskan AISARA diangkat setingginya. Bintang di dada langit malam memancarkan lagi gelang yang digenggamnya. Bulan seolah-olah tersenyum menjadi saksi persahabatan Aisara.

"Gelang tu... aku ingat aku dah tercicir!"

"Tak. Gelang ini tak akan tercicir. Sebab aku bagi dekat seseorang yang hargai erti persahabatan. Samalah macam persahabatan kita. Sejauh mana kita terpisah, sebesar mana pun dugaan persahabatan kita... Aisara, tetap ada dalam diri kita. Selamanya," ujar Aisar seraya menghulurkan semula gelang kepada Inara.

"Ya. Aisara... akan tetap teguh dalam diri aku. Sampai nafas aku yang terakhir. Aku sayang sangat-sangat dengan persahabatan kita, Aisar," luah Inara. Gelang dicapai lalu dipakai semula. Anak matanya semakin tunak memandang raut wajah Aisar. Nafas panjang dihela.

"Dan aku... akan selalu jadi bayang untuk melindungi persahabatan kita. Terima kasih... sebab sudi jadi sahabat yang terbaik dalam hidup aku. Aku nak kau tahu... kau di antara harta yang paling bernilai dalam hidup seorang Aisar Mumtaz," kata Aisar. Tangannya terus diangkat seraya mini love dihalakan di hadapan Inara.

Serentak, Inara dan Aisar saling tertawa senang. Inara terus mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Aisar. Wajahnya naik membahang dengan luahan Aisar. Ada debaran memalu jantungnya bertalu-talu.

Bersambung...

Thanks korang sudi baca karya syaf 🌹

Korang suka tak episod kemanisan Aisara ni? 🤣

Kalau suka, jangan lupa tekan vote ⭐

Maaf guys, panjang pula episod ketiga terakhir ni 🤭

Nak debaran episod kemuncak (episod kedua terakhir)? Ada di bawah 👇

Sedutan episod 43...

"Kenapa kau sanggup buat benda yang diluar dugaan? Apa lagi..."

"Kau dah tahu jawapannya. Aku memang tak akan dapat merasai cinta daripada Nara lagi. Sebab tu... aku nak bagi sesuatu yang ada dalam diri aku untuk dia. Jaga dia baik-baik, Zulfan. Jangan sakiti dia," pintas Aisar seraya mengenakan jas hitam yang dihulurkan oleh Zulfan. Matanya dikenyitkan kepada Zulfan seraya melangkah keluar dari ruangan itu.

"Kapten..."

"Pergi! Biar aku yang uruskan sisa baki malaun ini! Bawa Cik Sandra dan datuk keluar dari sini! Cepat!" jerkah Aisar sambil menambahkan peluru ke dalam kelongsong. Nafasnya sudah turun naik melepaskan lelah. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipinya yang berlumuran dengan darah.

Ini tugasnya sebagai pengawal peribadi Datuk Sri Lee. Maka, Aisar juga sudah bersedia untuk mengorbankan dirinya demi tugas!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro