Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 40

HARI baharu bersama cuaca yang redup pada petang itu sangat menenangkan. Matahari yang berselindung di sebalik awan malu-malu menunjukkan sinarnya.
Sesekali, kedengaran suara penduduk kampung yang sedang beriadah di perkarangan rumah. Kaum wanita kelihatan sedang mengangkat kain di ampaian. Kaum lelaki pula sedang bertukang di tepi rumah.

Meskipun mereka hidup dalam kedaifan, namun gambaran bahagia masih terlakar di raut wajah penduduk kampung. Tiada langsung kesedihan yang menghiasi wajah. Melihatkan itu, Inara jadi malu dengan diri sendiri.

Manakan tidak, ujian demi ujian yang dilaluinya sentiasa berakhir dengan air mata. Akibat terlalu lelah, Inara mahu mengalah dengan kekuatan yang disemai di dalam diri. Sebab itu, dia didatangi arwah abahnya di dalam mimpi.

Seakan-akan memberikan petunjuk agar Inara kembali kuat seperti seteguh karang di lautan.

"Kau nampak tenang hari ini," ujar Hanifah yang sudah melabuhkan duduk di beranda rumah.

Segaris senyuman manis terkulum di bibir pucat Inara. Pandangannya yang khusyuk memerhatikan penduduk kampung beralih ke laman wajah Hanifah yang duduk di sebelahnya.

"Saya suka tengok suasana perkampungan ini. Rasa ketakutan saya hilang macam tu saja. Tenang. Saya bersyukur sangat dapat dipertemukan dengan awak, keluarga awak dan penduduk kampung. Kalau kau orang tak ada... entahlah apa yang akan jadi dekat saya dan Aisar," ujar Inara.

"Syukurlah kalau semangat kau kembali pulih. Semua ini ketentuan Tuhan yang menemukan kami dengan kau orang berdua. Kami juga senang, menerima kedatangan kau dan Aisar. Sekurang-kurangnya, kami dapat melakukan sebuah lagi kebaikan untuk dijadikan sebagai amalan," kata Hanifah. Sesekali, tangannya mengusap perutnya yang sedang memboyot. Ada gerakan si bayi yang membuatkan pinggangnya lenguh.

Senyuman Inara kian melebar dengan omongan Hanifah. Kata Hanifah, keluarga mereka merupakan satu-satunya keluarga mualaf di perkampungan itu. Inara berdoa agar Islam di perkampungan itu akan tersebar dengan lebih meluas.

"Boleh aku tanya sesuatu?" soal Hanifah.

Inara kembali memusatkan pandangannya ke laman wajah Hanifah. Gadis itu mengangguk setuju.

"Macam mana kau dengan Aisar boleh jatuh dari cerun? Kau orang... bukan penjenayah kan?"

Tak semena-mena, Inara tertawa kecil dengan soalan Hanifah. Hatinya tercuit lucu dengan soalan polos wanita berkain batik itu. Inara menggenggam hujung tudungnya yang ditiup angin petang.

Lantas, Inara terus menceritakan kronologi sebelum dia dan Aisar jatuh ke dalam cerun. Satu per satu Inara cerita tanpa berselindung. Tika itu juga, riak wajah Hanifah kelihatan berubah tegang. Ada kejutan menghiasi wajahnya.

"Maaf. Aku tanya soalan bodoh. Aku cuma tertanya kenapa peluru boleh ada dekat tubuh Aisar," kata Hanifah. Raut wajah Inara dipandang dengan perasaan bersalah.

"Tak apa. Saya faham. Berapa usia kandungan awak? Dah nampak sarat dah ni." Inara terus mengubah topik. Tidak mahu mengingati memori buruk itu lagi. Tangannya terus mengusap lembut kandungan Hanifah.

"Dah tujuh bulan. Kata bidan Esah, kandungan aku lemah. Sebab aku dah pernah keguguran sebelum ini," kata Hanifah. Tutur bicaranya tenang saja meskipun hal itu sangat berat untuk diterima.

Mendengarkan itu, Inara terkesima. Ketenangan Hanifah menghadapi ujian membuatkan Inara kagum. Sungguh, Inara merasakan dirinya sedang ditegur oleh Allah secara sedar mahupun tidak sedar. Ditemukan dengan orang-orang yang masih teguh meskipun dugaan menimpa.

Belum sempat Inara menyambung perbualan, anak matanya tertancap ke arah satu susuk tubuh yang sudah berdiri di hadapan rumah Sugit. Senyuman Inara mula pudar. Jantung yang berdegup mula berubah kencang. Inara tertunduk seketika sambil mengawal pernafasannya.

Dia kaget!

"Nampaknya... Doktor Inara tak mengalami kecederaan yang parah macam Kapten Aisar Mumtaz. Kau rindu aku tak Nara?"

Sontak, Inara terus memanggung kepalaya tatkala suara si figura mula kedengaran. Terasa kelat liur yang ditelan tatkala wajah pucat Aisar terpampang di depan mata. Sengihan terhias di bibir pemuda itu. Kening kirinya dijongketkan menanti jawapan daripada Inara.

"A... Aisar. Kau... dah bangun?" soal Inara dengan suara yang tergagap-gagap. Anak matanya tunak merenung wajah Aisar. Pemuda itu sedang menggunakan topang untuk membantunya berdiri.

"Kenapa? Kau tak percaya aku dah bangun? Ini bukan mimpi. Aku dah sedar sejak semalam lagi," ujar Aisar.

"Okeylah! Kau sambunglah borak petang dulu. Aku nak jalan-jalan keliling kampung. Lama sangat aku terbaring macam mumia dekat rumah tok batin. Karang aku lupa cara nak berjalan, macam mana aku nak jadi bodyguard kau lagi. Betul tak?" kata Aisar seraya mengatur langkah menuju ke sebuah sungai.

Langkahnya agak pincang dek kaki kanannya yang patah tika itu. Aisar memerlukan udara segar. Bukanlah namanya Aisar Mumtaz jika hanya terbaring tanpa berusaha merawat diri sendiri.

Tanpa berlengah, Inara terus meluru ke arah Aisar. Menghalang pemuda itu dari terus melangkah. Hampir saja Aisar tersembam tatkala Inara tiba-tiba menghalangnya. Gadis itu sudah mendepakan tangannya dengan wajah yang galak.

"Tak boleh! Aku tak izinkan kau keluar dari rumah tok batin. Pergi rehat dululah Aisar. Kau tak sihat lagi!" marah Inara dengan dahi yang berkerunyut seribu. Anak matanya yang sudah berapi tunak merenung anak mata Aisar.

"Uish! Garangnya Doktor Inara ni. Rasa macam ada bola api dekat muka aku sekarang ni! Fuh. Panas dia..."

"Aku tak main-main, Kapten Aisar Mumtaz bin Yusof! Kau baru je sedar dan kau dah nak gunakan tenaga kau balik? Boleh tak waraskan sikit kepala otak kau tu!" tegas Inara. Nada suaranya sudah naik seoktaf. Ada penegasan di sebalik bait bicara gadis itu.

Melihatkan itu, Aisar terkelu buat seketika. Hanya sorotan matanya saja memandang wajah polos Inara. Sungguh, Aisar bersyukur melihat Inara tidak cedera. Memang itu kemahuannya. Menyelamatkan Inara dan membiarkan kesakitan itu diberikan kepadanya saja.

"Jangan risaulah! Aku dah bagi air akar kayu dekat budak tu. Dia dah bertenaga. Biarkan dia bergerak. Dah enam hari dia terbaring tanpa bergerak. Bagi dia peluang hirup udara segar," laung batin Salman yang sedang meraut rotan sambil menghisap rokok daun di beranda rumah.

"Tapi..."

"Kau bukan doktor aku sekarang ni. Aku di bawah pantauan batin Salman. Memandangkan dia dah bagi aku lampu hijau, aku bebas nak buat apa saja yang aku nak. Bye Inara!" pintas Aisar seraya melambaikan tangannya.

Melihatkan ulah Aisar dan Inara membuatkan batin Salman terkekek. Hatinya terhibur melihat wajah polos Inara berubah galak. Hailah, anak muda berdua itu sudah buat drama percintaan swasta di kawasannya pula.

Inara masih tidak mahu mengalah. Gadis itu terus membuntuti Aisar dari belakang. Bibirnya diketap menahan geram. Anak matanya dipusatkan ke arah Aisar yang hanya menonong. Tangan digenggam erat bagi mengawal amarahnya.

"Apahal kau ikut aku? Nak dating dengan aku ke dekat sungai? Boleh..."

"Aisar! Pergilah masuk balik. Tolonglah dengar cakap aku," tegas Inara. Getaran di sebalik suaranya sudah kedengaran di halwa telinga Aisar.

Seketika, Aisar kematian langkah. Inara turut kematian langkah lantas kembali menghalang langkah Aisar. Tatapan galaknya berubah sayu. Risau kalau-kalau Aisar rebah secara tiba-tiba. Kecederaan pemuda itu sangat parah jika diingat semula!

"Masuk mana? Hati kau? Seriuslah boleh? Pintu hati kau dah terbuka untuk aku ya? Aku memang nak masuk..."

"Cukuplah main-main di atas benda yang serius! Kau ingat aku bergurau? Kau ingat kau kena jentik ke? Aisar! Tolong! Aku merayu dekat kau, berhenti berlagak kuat. Kau dah ditetak dengan jahanam tu! Kau dah ditembak sebelum kita jatuh dalam cerun!" marah Inara. Tangan yang digenggam sudah menyucuk tapak tangan.

"Aku benci... tengok kau macam ni! Berlagak kuat walhal kau cedera parah!" jerkah Inara. Suaranya bergema di seluruh kawasan sungai. Nafasnya turun naik melepaskan amarahnya. Wajahnya semakin membahang panas. Tubir matanya mula terasa hangat.

Aisar tersentak. Tiada diksi yang mampu diujarkan tatkala Inara melontarkan amarahnya. Hanya dinding hatinya yang seakan-akan tersiat melihat kerisauan terlakar di wajah Inara.

"Aku risaukan kau separuh mati. Aku tak nak... kau berkorban sebab aku lagi. Cukuplah... jadi orang bodoh demi seseorang yang tak ada perasaan untuk kau! Aku..."

"Aku tak suka tengok kau menangis sekarang. Aku meluat tengok kau menangis sebab aku! Aku tak mati lagi, Inara. Tak payahlah nak menangis macam budak-budak! Dahlah! Aku malas nak hadap muka kau buat masa ni. Cengeng!" pintas Aisar seraya berpatah semula ke rumah batin Salman. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Omongan Inara benar-benar meluluhkan jiwa Aisar.

Bukan ini yang dia mahu! Aisar tidak mahu Inara bersedih kerana dia.

Inara tersentak dengan ketegasan Aisar. Hatinya terhenyak. Hanya sorotan matanya saja memerhatikan langkah Aisar yang sudah pergi. Empangan air mata kembali pecah. Sungguh, Inara terkilan. Kenapa sukar benar Aisar mahu memahami kerisauannya?

Saat air mata menitis ke pipi Inara, cepat-cepat Inara mengesat kasar. Tidak! Dia tidak bisa menangis kerana Aisar lagi. Sia-sia saja air matanya jika Aisar tidak memahami.

AISAR meraup wajahnya dengan kasar. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Ada titik penyesalan tatkala dia terlepas bicara. Entah syaitan apa yang merasukinya sehingga melontarkan cemuhan kepada Inara. Sesungguhnya, seorang Aisar Mumtaz tidak sengaja menyakiti Inara dengan kata-kata lancangnya.

Dengan langkah yang pincang, Aisar kembali menghampiri Inara yang duduk di pinggir sungai. Sekuntum bunga kertas yang dipetik di halaman rumah batin Salman dipandang sejenak. Teknik memujuk Inara kembali diaplikasikan.

"Dapat tangkap ikan tak bila kau mengelamun depan sungai?" soal Aisar. Cuba mengusik Inara.

Inara yang kaget terus memalingkan wajahnya ke belakang. Kepalanya didongak memandang Aisar yang sudah menghulurkan sekuntum bunga kertas kepadanya. Inara terus memalingkan wajahnya ke kanan. Tak betah memandang wajah Aisar yang sudah menyakitinya.

Perlahan-lahan, Aisar melabuhkan duduknya di sebelah Inara. Senyuman terkulum di bibir pemuda itu. Kakinya yang patah dilunjurkan ke hadapan. Pandangannya tunak memandang air sungai yang mengalir tenang.

"Aku mengaku aku salah. Aku dah sakiti kau dengan kata-kata lancang aku. Aku minta maaf... sebab aku berkasar dengan kau. Aku cuma tak nak kau risaukan aku. Kesihatan kau lebih penting daripada fikirkan pasal aku. Aku nak aktifkan semula diri aku supaya kita boleh keluar dengan secepatnya. Kau perlukan rawatan. Itu saja," ujar Aisar. Sesekali, dia memandang wajah Inara yang sudah memalingkan wajah ke kanan. Senyuman Aisar semakin lebar.

Oh sungguh, Inara kelihatan comel ketika merajuk.

"Aku dah okey sikit. Ubat tradisional tok batin memang mujarab. Air akar kayu yang dia bagi dekat aku tu, memang mantap pak Abu! Aku rasa bertenaga lepas minum air tu," kata Aisar lagi. Nada suaranya kedengaran teruja ketika bercerita.

Inara tersenyum sendiri dengan suara Aisar yang kedengaran ceria. Sungguhlah, ulah Aisar memang sentiasa menceriakan hari Inara. Lantas, kepalanya kembali dikalih memandang wajah Aisar yang sedang bermain bersama bunga kertas.

"Kenapa kau selalu berkorban untuk aku?" soal Inara tak semena-mena.

Aisar menumpukan pandangannya ke raut wajah Inara. Soalan Inara membuatkan Aisar turut tersenyum. Nafas panjang dihela. Pelipis yang tak gatal digaru.

"Sebab... kau..."

Aisar jeda.

Soalan Inara sebenarnya sudah pernah dijawab. Dia mencintai Nur Inara. Hanya itu sebab utama Aisar sanggup berkorban. Inara nyawanya.

Kalau Inara sakit, Aisar mahu memindahkan kesakitan itu ke tubuhnya. Katakan saja dia bodoh kerana terlalu mencintai Inara. Tapi, Aisar juga buntu bagaimana untuk membuang perasaan yang hadir sejak dia berusia 17 tahun lagi.

"Sebab?"

"Sebab anak Pak cik Rosham ni cengeng. Aku dapat bayangkan... kalau kau dengan Zulfan ada anak nanti mesti Zulfan sakit kepala nak pujuk kau atau anak kau orang! Aduh! Lawak!" kata Aisar seraya ketawa terbahak-bahak. Seronok mengenakan Inara. Menghiburkan suasana tatkala Inara sudah bertanyakan soalan yang mengancam emosi.

Inara mencebik geram. Dia sengaja bertanyakan soalan itu walhal Inara sudah tahu jawapannya. Aisar mencintainya. Sampai bila? Inara tidak tahu. Ingin saja Inara memaksa Aisar membuang perasaan itu. Tetapi, Inara memahami. Bukan mudah untuk membuang perasaan yang dianugerahkan oleh Allah.

"Ingat lagi tak masa kita first time jumpa?" soal Inara. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Inara hanya mahu membahaskan tentang Aisara saat ini.

"Mestilah ingat. Ada seorang budak baru tu... sombong bukan main lagi. Tak fasal-fasal kena dengan aku. Hari-hari aku buli dan kacau kau sampai abang kau datang sekolah. Marah aku sebab kacau adik dia. Abang kau siap ugut nak tangkap aku masuk penjara pula tu," kata Aisar. Menggamit memori ketika mereka berusia lapan tahun.

Inara tertawa saat memori itu menjengah tingkap memorinya. Angin redup petang itu benar-benar mendamaikan suasana. Daun berguguran di atas sungai lalu dihanyutkan dibawa arus sungai.

"Tapi... bila aku kena buli dengan orang lain, kau pula yang back up. Sampai bertumbuk dekat kantin sekolah. Balik sekolah je, kau terus kena rotan dengan bapa kau," ujar Inara. Sisa tawanya terus disambut oleh Aisar.

"Aku seorang saja yang boleh buli kau. Orang lain tak boleh! Yalah, kau kan cengeng. Tapi kalau aku buli kau... kau tak pernah menangis. Kau marah aku adalah."

Seketika, Aisar dan Inara saling berbalas pandangan. Masing-masing berwajah ceria. Tiada lagi kesedihan mahupun kemarahan. Kenangan manis sepanjang Aisara terbina benar-benar membahagiakan mereka.

"Sebab aku tahu... kau buat macam tu sebab nak berkawan dengan aku. Kau buli dan kacau aku sebab kau sengaja nak dekat dengan aku. Tak macam dia orang yang nak aniaya aku," tutur Inara.

"Yalah. Dah aku nak kawan dengan kau... kau tolak. Tapi tulah kan, siapa sangka budak baru yang sombong tu, bila dah naik sekolah menengah terus petah dalam berhujah. Semua kagum dengan dia. Sekarang... dia dah capai cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Aku kagum dengan kau."

Wajah Inara serta-merta membahang panas tatkala Aisar terus menerus memujinya. Cepat-cepat, Inara mengalihkan pandangannya ke arah sungai. Ada debaran yang maha kuat mengetuk dinding hatinya.

"Kau? Kenapa kau berhenti jadi tentera?"

"Sebab mak tak nak anak dia mati awal. Mak tahu anak dia banyak dosa. Tak cukup amal lagi kalau nak mati katak masa misi kemanusiaan," jawab Aisar spontan. Aisar tidak menipu. Puan Suhaila memang mengarahkannya untuk berhenti menjadi tentera setelah kejadian dia selamat daripada tawanan teroris.

Inara ketawa lagi dengan jawapan spontan Aisar. Dia terhibur. Namun, tawanya hanya seketika tatkala abdomen kanannya mula menyucuk sakit. Kepala Inara juga berdenyut sakit. Inara terus tertunduk sambil mengenggam tangannya dengan erat.

"Inara... kau..."

"Inara! Kau doktor, kan? Aku perlukan jasa kau sekarang. Kakak aku..."

"Ke... kenapa dengan kakak awak?" pintas Inara. Resah melihat wajah Seri yang pucat tak berdarah. Nafasnya tercungap-cungap.

"Kakak aku nak melahirkan! Bidan Esah tak sihat. Bidan Rani pula tengah uruskan Sinta yang tengah melahirkan!"

Sontak, Inara terus bangun dari duduknya. Kesakitan yang kian menyucuk dilawan sebaik mungkin. Dia perlu menyelamatkan penyelamat nyawanya! Hanya itu saja yang berada dalam fikiran Inara tika ini.

Aisar terpegun. Dia tahu, Inara sedang menanggung sakit sekali lagi. Gadis itu sudah terlalu lama meninggalkan rawatan. Sudah tentunya kesihatan Inara semakin merosot. Oh sungguh, Aisar tidak akan membiarkan Inara merana dengan penyakit kanser hatinya lagi!

Bersambung...

Thanks korang sudi baca karya syaf 🌹

Kalau sukakan karya ini, jangan lupa tekan vote ⭐

Sepatutnya episod 40 ni, episod terakhir AISARA. Tapi, Syaf rasa kelam kabut kalau habiskan dalam episod tu. Jadi, road to final episod 45/46 ☺

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro