EPISOD 4
"HARI ini, anak kau orang dah patahkan tangan anak aku. Entah-entah esok anak kau orang pukul orang sampai mati agaknya! Ajarlah sikit anak kau orang ni elok-elok. Bukannya tahu nak bantai orang saja."
Baik Encik Yusof mahupun Puan Suhaila, keduanya hanya mampu mendengar aduan Puan Ramizah yang tak putus-putus mencaci Aisar. Wajah Baizul yang sudah memar dengan tangan yang berbalut dengan kain anduh ditatap. Bisu seribu bahasa saja anak muda itu.
"Sekarang, aku nak ganti rugi atas kos kecederaan anak aku! Tangan dia dah patah. Lepas ni, macam mana dia nak bekerja kalau tangan kanan dia cedera?" marah Puan Ramizah lagi. Terkumat kamit bibirnya seusai berbicara.
Puan Suhaila cuba menenangkan diri. Dia harus bertoleransi demi mempertahankan anaknya. Memanglah Aisar itu suka bertumbuk. Tapi, entah mengapa intuisinya mengatakan bahawa Aisar tidak bersalah. Lagi pula, dia mengenali sikap Baizul yang sering bergaul dengan mat gian itu.
"Apa yang dah jadi sebenarnya? Boleh
Baizul jelaskan kepada kami?" soal Puan Suhaila. Ada nada tegas di sebalik suara wanita itu.
Baizul hanya berdiam diri. Pandangannya dikalih memandang muka pintu yang ternganga luas. Masih terasa kesakitam menggigit tulang temulangnya setelah dibelasah oleh Aisar. Sungguh, Baizul masih tak puas hati pabila kemenangan berpihak kepada Aisar Mumtaz.
"Zul! Apa dah jadi? Kenapa kamu diam..."
"Dah buat salah, memanglah diam. Manusia bacul macam ni mana nak mengaku salah!" pintas satu suara yang muncul di belakang Encik Yusof dan Puan Suhaila. Serentak, keempat-empat figura yang duduk di ruang tamu memandang wajah si pemilik suara.
Jelas terpampang wajah Aisar yang memar dan basah kuyup. Inara yang berdiri di sebelah Aisar hanya tersenyum kelat pabila mereka sudah menjadi perhatian.
"Jaga sikit mulut kau! Suka hati kau saja panggil anak aku bacul. Anak aku sendiri kata kau serang mereka masa mandi-manda dekat sungai tu. Kau jangan nak reka cerita yang bukan-bukan pula!" kata Puan Ramizah. Mempertahankan anaknya daripada tuduhan Aisar.
"Wow! Sembang kau padu betul ya Baizul. Aku serang kau orang dekat sungai? Sumpah! Menarik juga kan cerita itu untuk dijadikan bahan bawang rangers yang dianggotai oleh mak kau sendiri!" kata Aisar disusuli dengan tawa sinis.
"Aku cakap benda yang betul! Kerja kau tu... cuma nak belasah..."
"Kau tak payah nak reka cerita lagilah Baizul! Depan mata kita orang sendiri kau buli Abu dan ambil duit dia. Pak cik, mak cik... tolonglah percayakan Aisar. Aisar cuma nak tolong Abu!" pintas Inara. Mempertahankan Aisar yang sering dilemparkan dengan kesalahan.
"Argh, sudah! Kau dengan budak tak ada didikan mak bapa ni sama saja. Agaknya sudah mabuk bercinta kut sampai nak pertahankan perkara yang salah!" jerkah Puan Ramizah. Turun naik dadanya tatkala Aisar dan Inara terus menujah kesalahan kepada anaknya. Matanya sudah melotot memandang wajah Aisar dan Inara silih berganti.
"Mak cik jangan nak biadab dalam rumah saya. Mak bapa saya tak ada kena mengena dalam hal ini! Mak cik tu yang tak reti nak ajar anak!" jerkah Aisar. Kesabarannya serta-merta hilang dibawa angin senja. Jari telunjuk dihalakan tepat ke wajah wanita gemuk itu.
Melihatkan anaknya sudah mengamuk membuatkan Encik Yusof sudah tidak mampu berkompromi. Dia mendengus kasar seraya bangun dari duduk. Tangan Aisar dijatuhkan. Namun, Aisar sengaja mengeraskan tubuhnya.
"Ya mak cik, saya tahu saya ni setan. Tapi... anak mak cik ni lagi setan daripada saya! Jangan mak cik ingat abang mak cik tu ketua kampung, sewenangnya saja mak cik biarkan dia aniaya orang lain! Ajarlah sikit anak mak cik ni jadi orang yang berakal!"
"Aisar Mumtaz!"
Tak semena-mena, tamparan kuat ditujahkan ke pipi Aisar. Turun naik nafas pemuda itu setelah melontarkan amarahnya. Wajah bapanya dipandang dengan tatapan kekecewaan.
"Jangan melampau, Aisar. Aku tak pernah ajar kau jadi kurang ajar macam ni," tegas Encik Yusof. Menggeletar hebat tangannya setelah menampar wajah Aisar sebentar tadi.
Melihat dua beranak itu semakin ditujah dengan amarah membuatkan Puan Ramizah kecut perut. Dia membuat isyarat mata kepada anaknya untuk pulang. Gerun pula dia melihat amukan Encik Yusof.
"Kau orang uruslah anak kau orang ini betul-betul. Apa nak jadilah dengan budak-budak zaman sekarang. Mak bapa pun satu, tak reti nak ajar anak! Aku nak balik dulu. Ingat, aku nak ganti rugi kos rawatan anak aku. Sediakan RM 500 kepada aku esok juga!" tegas Puan Ramizah diselitkan dengan arahan mandatori. Wanita berbadan gempal itu sempat memberikan pandangan sinisnya kepada Inara yang kelihatan kaget.
Baizul yang membuntuti ibunya sempat memberikan pandangan nakal dengan mata yang dikenyit kepada Inara. Mahu saja Inara membantai Baizul secukupnya untuk melepaskan rasa amarahnya. Ini keterlaluan!
"Pak cik... Aisar tak salah," ujar Inara tatkala Encik Yusof sudah meluru ke almari kaca. Anak matanya tunak memandang Encik Yusof yang sudah menyinga sedang mencapai rotan bersaiz panjang.
"Dengarlah dulu penjelasan budak-budak ini. Abang macam tak tahu Baizul tu budaknya bermasalah!" kata Puan Suhaila pula. Dia berdiri membelakangi Aisar yang akan dibantai oleh bapanya sebentar saja lagi.
Encik Yusof tidak mengendahkan omongan Inara mahupun Puan Suhaila. Wajahnya sudah jelas kelihatan merah. Tangkas, lengan Aisar direntap sebelum rotan panjang dihayun kuat ke belakang tubuh pemuda itu.
"Aku hantar kau pergi sekolah supaya jadi orang yang berguna! Aku dah kata, kawal baran kau! Tapi kau dah melampau, Aisar! Mulut kau ni bapa rasa nak pecahkan saja sampai bisu. Biar orang mengata kau tapi jangan kau tunjukkan lagi bukti yang kau tu memang setan!" jerkah Encik Yusof yang semakin ligat menghayunkan rotan ke tubuh Aisar.
Aisar hanya kaku. Membiarkan tubuhnya menjadi libasan rotan bapanya. Bibir sudah diketap menahan perih. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipinya. Sungguh, sakitnya bukan kepalang! Aisar merasakan kulitnya seakan-akan disiat saja. Namun, dinding hatinya lagi luluh tatkala kebaikannya disalah ertikan.
"Abang! Dahlah tu. Abang nak bunuh anak kita ke?" pujuk Puan Suhaila sambil menarik lengan baju suaminya. Malangnya, semakin dia memujuk, suaminya semakin mengganas.
Bunyi pukulan yang menghambat tubuh Aisar membuatkan jiwa Inara rapuh. Bening matanya mula terasa hangat. Pandangannya mula kabur. Wajahnya mula membahang panas. Sungguh, Inara tidak suka melihat Aisar dihukum! Cubit paha kiri, paha kanan terasa jua! Itulah yang dirasakan oleh Inara saat itu.
"Pak cik! Aisar tak salah. Aisar cuma nak tolong Abu yang jadi mangsa buli Baizul. Aisar cuma nak mempertahankan maruah diri saya! Tolonglah pak cik, jangan pukul Aisar macam ni," lirih Inara. Bersungguh-sungguh mempertahankan Aisar yang sudah menanggung sakit.
Mendengarkan rayuan Inara membuatkan Encik Yusof terkesima. Wajah pucat Aisar dipandang dengan tatapan tajam. Tangan yang ligat memukul serta-merta terbejat. Serentak dengan itu, bunyi azan berkumandang di masjid. Menandakan sudah masuk waktu solat Maghrib.
"Jangan bagi Aisar makan malam ni! Aku nak bagi dia peringatan jaga kata bila bicara! Kau, Inara... pergi balik sekarang! Nanti apa pula orang kampung mengata kalau anak dara Encik Sham masih ada dekat rumah aku," tegas Encik Yusof seraya meluru masuk ke dalam kamarnya. Keluhan berat terlepas dari bibir. Bibir lantas beristighfar tatkala amarah semakin menguasai minda.
Sontak, hampir saja Aisar terduduk akibat kesakitan yang semakin menusuk. Kakinya terasa lemah untuk menampungnya berdiri.
Tangannya memaut meja perhiasan dengan nafas yang cuba diatur. Perlahan-lahan, pandangan Aisar tertancap ke laman wajah Inara yang sudah menangis teresak-esak itu.
"Aisar... aku minta maaf," rintih Inara. Luluh hatinya melihat lengan Aisar yang sudah berbirat dengan rotan. Kalau saja dia tidak lancang dalam berkata, pasti Aisar tidak dikerjakan.
"Buruklah... muka kau bila... menangis. Macam lapik kaki... dapur mak aku," usik Aisar dengan sengihan kelat. Tidak mahu Inara terus bersedih melihat dirinya yang dihukum.
Tambah kuat esakan Inara bila mana Aisar masih menghiburkan hatinya dalam kesakitan. Aisar Mumtaz. Walau seperit mana sekalipun kesakitannya, Aisar tetap setia menjadi penghibur buat Inara. Sungguh, Inara akan buntu jikalau Aisar pergi dari hidupnya. Bagi Inara, Aisar penghiburnya tika duka menjemput.
RINTIK-RINTIK hujan yang jatuh membasahi alam pada malam itu membuatkan kedinginan menerpa jagat raya. Sesekali, angin kencang yang bertiup seakan-akan mengetuk tingkap rumah. Sehingga membuatkan Inara tidak bisa lena.
Pandangan si gadis hanya tertancap ke kipas siling yang ligat berputar. Fikirannya jadi kacau. Intuisinya seakan-akan tidak enak dengan cuaca pada malam itu. Sekejap Inara berpusing ke kanan, sekejap dia berpusing ke kiri sehingga akhirnya, Inara mengeluh berat. Gadis berambut ikal mayang itu bangun dari pembaringannya.
Jam loceng di meja sisi dicapai. Sudah pukul 1 pagi Inara masih tidak bisa lena. Matanya terasa segar bugar tika itu. Manakan tidak, hukuman yang dikenakan kepada Aisar itulah yang membuatkan jiwa Inara galau. Entah apa yang terjadi kepada Aisar tika ini.
Lantas, Inara mencapai getah rambut lalu mengikat rambutnya yang panjang paras pinggang. Langkah diatur keluar dari bilik. Fikiran Inara mula merancang sesuatu untuk menyenangkan hatinya yang resah memikirkan Aisar Mumtaz.
Setibanya di ruang tamu, Inara menghampiri tingkap. Langsir diselak sedikit bagi melihat perkarangan rumah Encik Yusof. Saat itu juga, alangkah runtunnya hati Inara melihat sahabatnya yang sedang duduk di luar rumah dalam keadaan kedinginan. Pasti Aisar dihukum tidur di luar rumah lagi.
"Kau tunggu kejap Aisar. Aku akan tolong kau. Aku tak akan biarkan kau sakit lagi," desis hati Inara bersama keluhan berat terlepas di bibirnya.
Projek dimulakan.
Inara mengeluarkan ayam yang diletak di dalam bekas dari peti sejuk. Bawang putih, halia, daun sup dan kuib pati ayam turut dicapai. Mee putih direndam di dalam besen yang diisi dengan air panas. Inara mahu menyediakan mee sup ayam buat Aisar. Pasti sahabatnya yang kedinginan kelaparan.
Setelah memasukkan kesemua bahan dan sementara menunggu masakannya siap, Inara masuk ke kamarnya semula. Dia mencapai jaket tebal untuk diberikan kepada Aisar dan memakai tudung sarung menutup auratnya.
Tak terkecuali, Inara turut mencapai minyak gamat bagi mengubati luka kesan daripada hambatan Encik Yusof. Saat itu juga, fikiran Inara semakin segar dengan projek untuk melindungi Aisar Mumtaz daripada jatuh sakit.
Sejam berlalu, projek Inara sudah siap. Kesemua barangan diletakkan di dalam beg kertas. Senyuman pahit terukir di bibir si gadis. Puas hati bila dia dapat membantu Aisar saat itu. Lantas, perlahan-lahan Inara keluar dari rumah melalui pintu belakang. Tak mahu ibu dan kakaknya mengetahui projek rahasianya itu.
Baru sahaja beberapa tapak Inara keluar, kedinginan malam sudah menggigit hingga ke tulang hitam. Bau rumput selepas hujan terasa begitu nyaman. Perlahan-lahan, Inara meneruskan langkahnya ke arah Aisar. Jelas, wajah pemuda yang sedang tertidur pulas itu semakin pucat akibat kedinginan malam. Buru-buru Inara mengeluarkan jaket tebalnya lalu diletak di tubuh Aisar.
Inara duduk mencangkung di hadapan sahabatnya. Wajah Aisar menjadi tatapannya. Ada memar kesan perkelahian di pipi kanan pemuda itu.
Aisar Mumtaz.
Orangnya sering menjengkelkan Inara dengan ulah nakalnya. Tapi, Inara tidak dapat menafikan bahawa hidupnya pasti sepi tanpa Aisar.
Aisar segalanya buat Inara. Aisar penghiburnya. Aisar pelindungnya. Sejak Inara kehilangan ayahnya, Aisar sentiasa menceriakan hari seorang Nur Inara. Susah senang mereka bersama. Aisar tidak pernah berkasar meskipun ada kalanya Aisar membuatkan Inara kecil hati.
"Kau tak akan tinggalkan aku... kan? Kau akan selalu ada untuk aku sampai bila-bila, kan? Aisar, aku... aku takut kalau kau pergi dari hidup aku. Aku tak sedia... nak berpisah dengan kau," kata Inara. Nada suaranya kedengaran lirih menahan sebak di dada. Sungguh, Inara tidak bersedia untuk berpisah demi melanjutkan pengajiannya. Dia mahu Aisar sentiasa ada buatnya. Tapi, apakan daya. Cita-citanya dan Aisar berbeza.
"Nara?"
Hampir saja Inara terduduk tatkala Aisar tiba-tiba terjaga. Cepat-cepat Inara duduk di sebelah Aisar. Tidak mahu Aisar tahu dia asyik merenung wajah pemuda itu.
"Kau buat apa dekat luar ni? Main hujan eh?"
Inara hanya diam. Tidak mahu rasa sebak di dada memecahkan tangisnya. Perlahan-lahan, Inara mengeluarkan bekas berisi mee sup ayam yang masih panas berasap.
"Kau mengigau ke makan dekat luar? Pergilah makan dekat dalam rumah kau. Dah, pergi! Sejuk ni. Nanti kau demam," halau Aisar. Dahinya sudah dilapisi dengan kerutan tatkala melihat Inara mengeluarkan bekas. Bau aroma sup benar-benar membuatkan Aisar kecur liur.
"Aku masakkan untuk kau. Kau makanlah," kata Inara.
Aisar terkedu. Tidak menyangka Inara sanggup menyediakan makanan buat dirinya. Buat seketika, dua sahabat itu saling berpandangan. Aisar dengan wajah yang kaget. Inara pula dengan wajah yang mendung menahan sebak.
"Aku risaukan kau. SPM kan dah nak dekat. Kau kena jaga kesihatan juga. Makanlah dulu," jelas Inara. Senyuman pahit terkulum di bibir si gadis.
Melihatkan air muka Inara mendung membuatkan Aisar buntu. Dia tidak suka melihat Inara bersedih. Lantas, fikiran mula berputar bagi menghiburkan sahabatnya itu.
"Serius ke ni kau masak? Selama ni kan kau tu pemalas nak masak budaknya," soal Aisar lantas mencapai makanan yang dihulurkan oleh Inara.
"Seriuslah! Kau mesti sejuk kan duduk dekat luar ni. Tambah lagi bila hujan. Mee sup ayam ni aku masak spesial untuk Aisar Mumtaz saja tau," kata Inara.
Mendengarkan omongan Inara membuatkan Aisar tertawa kecil. Comel pula dia melihat Inara berceloteh pagi-pagi buta. Dengan lafaz bismillahirahmanirahim, Aisar menjamah makanan yang diberikan oleh Inara. Sungguh, hangatnya dapat memberikan keselesaan kepada Aisar yang kedinginan.
Seketika, suasana sepi. Hanya bunyi cengkerik yang kedengaran di luar rumah. Aisar yang sudah kelaparan itu kelihatan berselera. Memang tidak dapat Aisar nafikan, Inara memang pandai masak.
"Aisar, aku ada bawakan minyak untuk kau. Nanti kau sapulah dekat lengan kau yang berbirat. Apa pula kan cakap cikgu kalau dia nampak kau macam ni," kata Inara. Minyak gamat dihulurkan kepada sahabatnya.
"Tak naklah aku! Nanti tak pasal-pasal badan aku berminyak. Dahlah bau orang tua. Kau jangan risaulah Nara. Ni Aisar Mumtazlah! Masa kecil dulu, dia bercita-cita nak jadi iron man supaya badan dia kalis sakit. Alih-alih bila dah besar, betul-betul jadi iron man! Tak sakit pun bapa pukul aku," kata Aisar dengan nada yang angkuh. Senyuman lebar meniti di bibir anak muda itu.
Tak semena-mena, air mata Inara mengalir ke pipi. Hatinya sebu. Tidak tahan lagi mahu menahan perih yang mencengkam sanubarinya. Wajah Aisar dipandang dengan sorotan mata yang sayu. Bibirnya sudah menggeletar melepaskan tangis.
"Ta... tapi bukankah... iron man mati pada akhirnya? Aku tak nak kau mati awal! Aku... tak bersedia lagi nak berpisah dengan kau. Nanti siapa nak bergaduh dengan aku?" lirih Inara. Tangisannya semakin mendayu tatkala kotak memori teringat akan babak kematian iron man.
Aisar sudah terkebil-kebil melihat Inara teresak-esak. Alahai, dia salah kata lagi tika ini. Bekas yang berada di tangan di letak ke bawah. Dahi yang tak gatal digaru. Nampaknya, ideanya mahu menghiburkan Inara gagal pula bila mana Inara menangis.
"Err... Inara, janganlah menangis. Aku... minta maaf kalau aku salah cakap," tutur Aisar serba salah. Kesian pula dia melihat Inara teresak-esak seperti budak tidak cukup kasih sayang.
Makin dipujuk, makin kuat esakan Inara. Sensitif benar hatinya bila melibatkan soal perpisahan dan kematian. Cukuplah dia sudah kehilangan ayahnya. Dia tidak sanggup kehilangan Aisar Mumtaz walaupun Aisar menjengkelkan.
"Kalau kau menangis macam ini, aku rasa muka kau dah jadi macam bini Shrek versi mak kau hijau. Tak pun, macam muka lembu nenek aku yang masam itu. Kau jangan Nara. Takut aku kalau kau jadi lembu jadian. Nanti tak fasal-fasal heboh satu kampung yang Nur Inara menjelma menjadi lembu jadian akibat menangis tanpa henti."
Sontak, Inara memanggung kepalanya memandang wajah Aisar yang sedang mengusik. Terkebil-kebil dia memandang Aisar yang baru sahaja menyamakannya dengan Shrek dan lembu. Dalam erti kata lain, Aisar sedang mengejek mukanya yang hodoh akibat menangis!
"Alahai. Kau ni garang tapi tetap cengeng bila depan aku. Dah, jangan menangis lagi. Malu bila orang nampak mata kau sembap esok. Aku ni tak apa. Aku dah selalu sangat tengok kau menangis," kata Aisar lagi.
"Mak aku dah sapukan ubat tadi. Dah reda sikit lebam-lebam ni semua. Pandai-pandailah aku nak tutup luka aku esok. Apa yang penting, kau masuklah rumah sekarang. Sejuk ni. Aku tak nak tengok kau sakit," tambah Aisar lagi. Tangannya ligat memasukkan bekas mee sup yang sudah habis ke dalam beg kertas.
Inara hanya memerhati. Air matanya dikesat lembut sambil tersedu-sedan. Terpujuk juga hati Inara dengan omongan mengarut Aisar. Terasa masalah bersama Thariq hilang buat seketika.
"Sebelum tu, sebagai ucapan terima kasih... aku nak bagi magis dekat kau."
"Magis?"
"Ya. Magis. Kejap, aku kena pusing belakang dulu untuk bagi kejutan kepada kau," jawab Aisar. Kepalanya ditoleh ke belakang. Bibir menguntumkan senyuman manis tatkala fikiran ligat memikirkan idea bagi menghiburkan Inara.
"Dalam kiraan tiga ya. Satu... dua... tiga!"
Tak semena-mena, Inara ketawa terbahak-bahak tatkala Aisar kembali kalih. Dinding hatinya digeletek kelucuan melihat mimik muka Aisar yang hodoh. Dengan mata yang dijulingkan dan hidung yang kembang kempis, Aisar benar-benar kelihatan menjengkelkan bagi Inara.
"Meluatlah aku tengok muka kau ni! Nak muntah tahu tak!" ejek Inara bersama tawa yang masih tersisa. Terasa pijar rahangnya dengan ulah Aisar itu.
"Hebat kan magis aku. Dengan hanya membuat muka macam monyet Wak Mail saja kau dah boleh gelak. Kan manis senyum macam tu. Janganlah sedih lama-lama. Tak elok untuk mental Doktor Nur Inara to be!" kata Aisar. Senang hatinya dapat melihat Inara kembali tersenyum.
"Terima kasih, sebab pertahankan maruah aku. Terima kasih sebab hiburkan hati aku," ucap Inara. Senyuman di bibirnya semakin mekar.
"Kan aku dah cakap, aku nak jadi bodyguard untuk kau. Aku akan buat apa saja untuk melindungi kau. Sekarang, baik kau balik sebelum penjajah bawang dekat kampung ni buat cerita yang bukan-bukan pasal kita," kata Aisar. Dia membetulkan jaket di tubuhnya tatkala kedinginan semakin membaluti kulit.
Inara hanya menurut. Dia bangun dari duduk. Tiada diksi lagi yang terbit di bibir gadis itu. Saat itu, dinding hatinya seakan-akan berkecamuk dengan omongan Aisar. Meskipun Aisar tidak pernah serius namun tekadnya masih menyentuh hati Inara.
"Inara!"
Inara kalih tatkala namanya diseru dari belakang. Saat itu juga, senyuman lebar terukir lagi di bibir Inara. Membalas senyuman manis Aisar yang menampakkan lesung pipit di pipi kirinya.
"Aisara, selamanya," ujar Aisar sambil memberikan mini love kepada Inara.
Inara mengangguk. Ya, selamanya Aisara akan tetap tersemat di lubuk hati Inara. Gabungan namanya dan Aisar itu tidak akan dilupakan hingga hujung nyawa. Inara akan selalu menyayangi persahabatannya bersama Aisar.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 💕
Kalau sukakan karya ini, jangan lupa tekan bintang lepas baca 😄
Anyway mesti panas dengan makcik bawang tu kan 🤣
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro