EPISOD 39
USAI mengenakan selendang yang baru dihulurkan oleh Seri, perlahan-lahan Inara bangun dari duduk di atas tikar mengkuang. Dengan langkah yang agak pincang, Inara melangkah keluar dari pondok yang menjadi kediaman Seri, Hanifah dan keluarga mereka.
Pada mulanya, Inara juga khuatir untuk bergerak. Takut kalau-kalau kakinya yang terseliuh langsung tidak boleh digerakkan. Namun, berkat keinginan hatinya yang membuak-buak ingin bertemu dengan Aisar, Inara gigihkan saja dirinya meskipun seluruh sendinya masih terasa sengal.
"Jom, kita ke rumah batin Salman," kata Seri sambil memimpin tangan Inara. Membantu Inara untuk melangkah keluar. Senyuman ramah terukir di bibir gadis berbaju t-shirt lusuh itu. Dalam keadaan Inara yang baru saja sedar, Seri khuatir jika tenaga Inara masih belum kuat. Lagi pula, kaki gadis itu masih belum pulih sepenuhnya.
"Terima kasih. Saya... tak tahu macam mana nak balas budi awak sekeluarga. Kau orang dah banyak bantu saya. Saya minta maaf kalau sepanjang kau orang rawat saya, saya banyak susahkan keluarga awak," ujar Inara. Ada rasa bersalah menjalar di sanubarinya. Pasti Seri dan keluarganya bertungkus lumus menyelamatkan nyawanya yang jatuh dari cerun.
"Tak apa. Kami ikhlas membantu kau. Lagi pun, kami senang dapat membantu orang yang dalam kesusahan. Kau tak perlu balas budi kita orang. Cukuplah kau kembali sihat seperti sedia kala," kata Seri. Wajah pucat Inara menjadi perhatiannya. Meskipun pipi kanan gadis itu masih ditutupi lebam, manisnya masih tetap kelihatan.
Senyuman Inara semakin mekar tatkala omongan Seri menyenangkan hatinya. Gadis itu benar-benar merasakan dirinya diterima oleh penduduk orang asli di perkampungan itu. Sungguh, Inara bersyukur. Allah mendengar doanya sebagai orang yang teraniaya.
Pandangan dipusatkan ke arah perkarangan perkampungan orang asli. Terdapat enam buah rumah yang berderet dan saling bertentangan di kawasan itu. Anak-anak kecil kelihatan seronok bermain sesama mereka di perkarangan rumah. Gelak tawa mereka kedengaran begitu menyenangkan. Ditambahkan pula dengan pepohon hijau yang mengelilingi kawasan perkampungan.
Sungguh mendamaikan. Serta-merta, perasaan takut Inara bagaikan dibawa angin lalu.
"Kau dah kahwin?" soal Seri tak semena-mena.
Inara terus memandang wajah Seri yang berjalan beriringan dengannya. Ada tanda tanya di sebalik wajah gadis berusia pertengahan 20 an yang tunak memandang wajah Inara.
"Lelaki tu... suami kau..."
"Tak! Dia... bukan suami saya. Dia cuma sahabat saya sejak kita orang kecil," pintas Inara. Jawapannya hanya ringkas bagi mengelakkan kesalahfahaman berlaku.
"Kenapa... awak tanya saya macam tu?"
Kali ini, Inara pula yang bertanyakan soalan kepada Seri. Aneh bila mana soalan mengejut dilontarkan kepadanya. Adakah riaknya yang terlalu merisaukan Aisar membuatkan Seri salah faham?
Seri tidak menjawab. Hanya senyuman manisnya saja diukir buat Inara. Mereka berhenti melangkah di hadapan sebuah pondok yang terletak paling hujung di antara rumah penduduk orang asli yang lainnya.
Pintu rumah yang diperbuat daripada kayu kelihatan ditutup rapat. Hanya bunyi tumbukan lesung batu dan perbualan lelaki asing menyapa pendengaran mereka. Seri terus mengetuk pintu rumah batin Salman. Kebiasaannya, jika pintu rumah batin Salman ditutup, itu bererti bahawa lelaki tua itu tidak mahu diganggu.
Tapi, Seri kasihan melihat keadaan Inara.
Cuba nasib sajalah.
Beberapa saat kemudian, pintu dibuka dari dalam. Terpampang wajah bengis seorang lelaki berkulit sawo matang di hadapan Inara dan Seri. Inara jadi kecut perut melihat wajah lelaki yang dianggarkan sebaya dengannya dan Aisar. Wajah lelaki itu kelihatan galak.
"Ada apa kau ke mari? Bukankah batin Salman dah kata, kalau dia tutup pintu maknanya dia tak nak terima tetamu? Kau lupa?" Bertalu-talu soalan diujarkan kepada Seri. Suaranya tegang dan penuh dengan autoriti.
"Aku tak lupa. Aku cuma berniat nak membantu tetamu kita. Aku harap, kali ini kau dan batin Salman boleh tunaikan permintaan tetamu kita," kata Seri.
Lelaki itu memusatkan pandangannya ke laman wajah Inara. Wajah lembut Inara benar-benar mengundang simpati di sudut hati Deraman. Kain anduh yang masih membaluti kepala gadis itu cukup memberikan informasi bahawa gadis inilah yang jatuh bersama Aisar di cerun.
"Siapa nama kau?"
"I... Inara," jawab Inara. Suaranya antara dengar tak dengar saja saat sorotan anak mata Deraman yang tajam menusuk kornea mata Inara.
"Aku Deraman. Suami kau ada dekat dalam. Keadaan dia masih lemah dan belum sedarkan diri. Batin Salman masih berusaha memulihkan semangat dia agar dia kembali sedar. Aku minta maaf... buat masa ini, kau tak boleh bertemu dengan dia. Batin Salman tak mahu diganggu."
Seusai berkata, Deraman kembali menutup pintu. Menandakan dia sebagai pembantu batin Salman menolak kedatangan dua orang gadis. Namun, Inara terus menghalang. Bukanlah namanya Nur Inara jika mendengar kata.
"Tolong, saya merayu dengan encik. Saya nak tengok keadaan dia dengan mata kepala saya sendiri. Saya tak boleh tenang selagi saya tak nampak muka dia," rayu Inara. Tangan kanannya menghalang pintu dari ditutup sepenuhnya. Sorotan mata gadis itu berubah sayu.
"Deraman..."
Deraman kalih ke belakang. Memandang batin Salman yang duduk di sisi Aisar. Lelaki tua itu hanya mengangguk. Memberikan keizinan kepada Inara.
Perlahan-lahan, Deraman kembali membuka pintu. Hanya dengan sorotan mata, pemuda itu mengarahkan Inara dan Seri untuk masuk.
Inara hanya mampu mengucapkan terima kasih tatkala rayuannya diterima. Buru-buru, dengan langkah yang pincang Inara melangkah masuk ke dalam rumah. Tatkala itu juga, senyuman Inara pudar. Kaki Inara seakan-akan kejung melihat sekujur tubuh yang terbaring lemah di atas tikar mengkuang. Tiada lagi kegagahan seorang Aisar Mumtaz saat itu. Sungguh, lutut Inara terasa lemah untuk menampungnya terus berdiri.
Raut wajah Aisar yang memar dipandang sayu. Kepala pemuda itu sudah dibalut dengan kain anduh. Ada kayu yang dibalut di tangan kiri dan kaki kanan Aisar. Digunakan sebagai tuap bagi kecederaan patah. Malahan, seluruh tubuh Aisar yang terdedah dipenuhi memar dan parut.
"Aisar..."
Perlahan-lahan, Inara melorot di sisi Aisar. Nadi Aisar diperiksa. Lemah. Sangat lemah sehingga membuatkan Inara kembali sebak. Malahan, nafas Aisar kedengaran begitu sempit di dada. Aisar benar-benar cedera parah!
"Aisar..."
Inara terus menerus memanggil nama Aisar. Mengharapkan Aisar kembali bangun. Menenangkan Inara yang ketakutan. Suara Inara semakin lirih. Anak matanya tunak merenung raut wajah Aisar yang pucat. Kerana dia, Aisar berkorban. Tapi apa balasannya kepada Aisar?
Tiada.
Apa yang ada hanyalah menyakiti Aisar dengan melupakan cintanya terhadap pemuda yang sentiasa menjadi pelindungnya. Oh sungguh, hati Inara benar-benar luluh. Hanya air mata yang mengalir deras ke pipi tanpa henti tika itu.
KETINGGIAN cerun yang menjadi tempat kejadian tragis Aisar dan Inara ditolak, benar-benar melemahkan jiwa Zulfan. Nafasnya terasa sesak di dada melihat air sungai yang mengalir deras di bawah. Suara Mustaqim dan para penyelamat seakan-akan sayup-sayup di pendengaran pemuda itu.
Dalam keadaan membahayakan seperti itu, adakah Aisar dan Inara bisa selamat? Zulfan benar-benar tidak bisa berfikiran rasional tika ini.
"Zulfan, kita kena turun ke bawah. Hari hampir senja. Kita kena cari tempat berteduh dan tunaikan solat Maghrib dulu. Malam nanti, kalau keadaan mengizinkan kita teruskan pencarian," kata Mustaqim. Bahu Zulfan yang tegak berdiri di tepi cerun bukit ditepuk.
"Di... dia orang masih... hidup ke?"
Soalan kurang bijak yang menyapa pendengaran Mustaqim membibitkan suasana dingin. Para penyelamat sudah saling berpandangan antara satu sama lain. Sudah tentunya soalan itu bisa bermain di minda sesiapa saja. Kemungkinan untuk mangsa selamat terlalu tipis.
"Inara tunang kau. Bakal isteri dan ibu kepada anak-anak kau nanti. Ikut kata hati kau kalau kau mahukan jawapan. Aku tahu, kau terkejut melihat cerun tempat Aisar dan Inara jatuh. Aku tak dapat nafikan yang aku juga beranggapan yang sama dengan kau. Tapi..."
Mustaqim jeda.
Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Dada bidang Zulfan ditepuk bertalu-talu. Membuatkan Zulfan tersentak dari kesedihan dan putus asanya. Seketika, dua insan saling berbalas pandangan.
"Tapi hati aku kuat menyatakan bahawa mereka selamat. Aku dah lama kenal Aisar. Dia ada sisi pejuang yang disemai dalam diri. Aisar dah diterapkan dengan ilmu survival. Inara... darah daging aku sendiri. Biarpun dia tu cengeng... tapi aku tahu adik aku kuat semangat orangnya. Kau sendiri dah ada bukti yang Inara itu kuat. Cuma mungkin kau lupa!" tegas Mustaqim. Ada nada autoriti di sebalik bicaranya. Ingin menyerapkan semangat ke dalam jiwa Zulfan yang kian rapuh.
"Jadi, tak mustahil kalau dia orang selamat, kan?"
Sontak, kata-kata Mustaqim bagaikan halilintar yang memanah tepat ke sudut hati Zulfan. Terasa wajahnya mula membahang dengan aksara yang diucapkan oleh bakal abang iparnya. Kepala Zulfan tertunduk. Menekur tangannya yang digenggam erat.
Benar kata Mustaqim, Inara mempunyai semangat juang yang terlalu tinggi dan kuat. Meskipun keadaan kesihatannya kian merosot, Inara masih gagah menyertai projek amal di Kampung Dusun. Sebaik mungkin Inara melawan kanser yang meragut kekuatan gadis itu. Hal itu bukanlah sesuatu yang mudah melainkan si empunya diri mempunyai tekad dan iltizam yang kukuh.
LAUK pauk yang terhidang di atas tikar mengkuang hanya dipandang dengan pandangan yang kosong. Suara penghuni rumah sayup-sayup kedengaran di corong telinga. Sesekali, Inara mengalihkan pandangannya ke arah Aisar yang masih terbaring kaku. Di tepi pemuda itu masih terdapat sisa daun kapal terbang yang belum digunakan bersama beberapa ubatan tradisional.
"Kau terlalu risaukan suami kau sampai tak lalu nak makan?" soal batin Salman. Dia menyambut sepinggan nasi yang dicedok oleh Seri.
"Dia bukan suami saya. Kami..."
"Kau tak menipu?" pintas batin Salman. Nada suaranya sedikit meninggi akibat terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh Inara.
Gadis yang sedang bersandar di belakang papan terus mengalihkan pandangannya ke laman wajah batin Salman. Lelaki tua berjanggut lebat itu kelihatan tegang. Tiada senyuman mahupun keramahan di sebalik wajah tuanya yang berkedut.
"Saya tak menipu. Kami cuma sahabat. Membesar bersama-sama dekat kampung. Persahabatan kami masih kukuh hingga ke saat ini. Tapi hubungan kami tak lebih dari itu, tok," jelas Inara. Ada rasa aneh menjalar di ruang hatinya tatkala wajah Deraman, Sugit dan Hanif kelihatan kaget. Hanya Seri yang masih beriak tenang.
"Masa aku jumpa kau dengan budak tu... kami ingatkan kau orang laki bini yang kemalangan. Tak sangka, kami salah menilai," kata Sugit. Bapa kepada Seri dan Hanifah.
"Dia hampir hanyut dibawa kepala air masa kau orang jatuh. Dalam keadaan dia cedera parah, dia letak tubuh kau tepi sungai sebelum dia tak sedarkan diri. Sebab tu... aku dengan bapa ingatkan dia suami kau. Dia lindungi kau tanpa fikirkan keadaannya," sambung Hanif. Suami kepada Hanifah. Nasi berlaukan ikan dan ulam dijamah.
Mendengarkan itu, hati Inara kembali luluh. Wajah Aisar kembali ditatap dengan pandangan sayu. Aisar yang baru ditembak masih sanggup menepikan kecederaan dan kesakitan hanya untuk menyelamatkannya? Oh sungguh, Inara benar-benar kematian diksi saat ini.
"Kau mesti pelik kenapa kaki kau hanya terseliuh kan?" soal batin Salman. Ada senyuman pahit terkulum di bibir tuanya.
Inara tertunduk memandang buku lalinya yang masih dibalut. Debaran mula mengetuk jantung gadis itu. Intuisinya mula merasakan penjelasan batin Salman akan mengundang kesedihan Inara sekali lagi. Ya, kakinya hanya terseliuh sementara Aisar? Aneh.
"Masa kau orang jatuh... aku syak dia jadikan tubuh dia sebagai benteng perlindungan untuk kau. Sepanjang kau orang jatuh, dia..."
Batin Salman jeda buat seketika. Melihat wajah keruh Inara menimbulkan rasa simpati dalam dirinya. Ada kekesalan di sebalik raut wajah tetamunya itu. Wajah Aisar dipandang sekilas sebelum kembali ke laman wajah Inara.
"Dia gunakan tangan dia untuk lindungi tubuh kau dari terhempas di atas tanah. Agaknya... dia sudah gila sebab kau. Dengan luka tembakan dekat tubuh dia... masih saja dia melindungi kau daripada terluka. Sebab tu, tangan dan kaki dia patah. Tulang rusuk dia patah kesan hentakan dan peluru."
Sekali lagi, empangan air mata Inara terus tumpah dengan pengorbanan Aisar Mumtaz terhadapnya. Mulutnya ditekup menahan esak. Sungguh, Inara kaget. Dia terkilan. Kepalanya berdenyut dengan penjelasan batin Salman. Tembok kekuatan Inara kembali rapuh saat itu.
"Aku buat semua tu... sebab aku... terlalu... cintakan kau, Inara. Aku tak akan tinggalkan kau lagi. Aku nak kau pegang kata-kata ini, demi nama Aisara, aku akan selalu menjadi bayang untuk melindungi kau!"
Tak semena-mena, kata-kata Aisar menjadi babak ulang tayang di benak fikiran Inara. Hatinya terlalu sakit tika ini. Sehingga Inara hanya mampu tertunduk. Dia tewas lagi dengan air mata. Kenapa perasaan yang dahulunya hadir buat Aisar akhirnya hilang sekelip mata?
Inara tidak tega melihat Aisar terus menerus berkorban hanya demi nyawanya!
"Sebab tu kami terkejut bila kau kata dia bukan suami kau. Kuat benar persahabatan kau orang berdua sehingga budak tu sanggup korbankan diri dia," kata Deraman yang hanya menjadi pemerhati sejak tadi.
"Budak tu terlalu cintakan kau. Sebab tu dia bertindak gila," ujar Sugit pula. Sudah jelas betapa tingginya kekuatan cinta Aisar terhadap Inara saat ini.
"Jangan sibuk urusan anak mudalah Sugit. Kita cuma orang luar. Kau pula Inara, jangan risaukan dia. Percayalah, dia akan bangun. Bagi dia rehat dulu. Dia dah hilang banyak darah masa Sugit jumpa kau orang. Tenaga dia hilang sekelip mata."
"Semangat budak tu terlalu kuat. Aku yakin dia akan bangun. Waktu aku keluarkan peluru dekat tubuh dia pun... dia berjaya berjuang dengan kematian. Apa nama budak tu? Aku lupa nak tanya," tambah batin Salman. Memujuk hati Inara yang gundah gulana.
"Aisar Mumtaz," jawab Inara dengan suara yang lirih. Suaranya kedengaran serak akibat terlalu banyak menangis. Kedua belah tangan digeggam erat. Sungguh kata-kata mereka benar-benar menyuntik hati Inara dengan keperihan.
"Inara... kau makanlah dulu. Kita doa sama-sama supaya Aisar kembali bangun. Kalau kau nak tahu, batin Salman ni hebat dalam mengubati orang. Abang ipar aku pernah kena cakaran harimau pun dia boleh pulihkan. Ini kan pula Aisar," pujuk Seri pula. Dia mengusap belakang tubuh Inara. Segelas air suam dihulurkan kepada gadis yang masih teresak-esak itu.
Inara menghela nafas berat. Air matanya dikesat lembut. Kepala kembali didongak. Senyuman pahit terkulum di bibirnya. Pinggan berisi nasi dan lauk dicapai. Benar, Aisar akan kembali sihat. Aisar seorang yang kuat semangat.
Namun, baru saja Inara berdoa, batin Salman tiba-tiba bangun dari duduk seraya meluru ke ruang tengah rumah. Mendapatkan Aisar yang tiba-tiba mengerang sakit. Suasana yang tenang serta-merta bertukar cemas tatkala itu.
Buru-buru, Inara turut menghampiri. Terasa kelat liur yang ditelan melihat rintik-rintik peluh mengalir ke pipi Aisar. Pelupuk mata Aisar turut bergerak ke kiri dan ke kanan. Inara mula cemas.
"I... na... ra"
Luluh hati Inara tatkala Aisar cuba memanggil namanya. Nadi Aisar diperiksa. Lemah. Nafas Aisar pula sudah turun naik. Kesan daripada rusuknya yang sudah patah. Sungguh, tika itu juga Inara yang tidak mempunyai alat bantuan benar-benar merasakan dirinya tidak berguna sebagai sahabat Aisar.
Sia-sia saja dia menjadi doktor jika tidak mampu merawat penyelamat nyawanya!
"Dia demam. Dia memang suka panggil nama kau bila demam menyerangnya. Deraman! Kau sediakan sebesen air suam untuk Aisar. Aku nak sediakan ubat untuk kebahkan demam dia."
Deraman menurut. Batin Salman terus menyediakan ubat buat Aisar. Inara pula hanya kaku seperti patung cendana. Ingin sekali Inara mengenggam tangan Aisar. Menyalurkan kekuatan buat sahabat yang dikasihi.
Baru saja Deraman melabuhkan duduknya, Inara terus mencapai besen berisi air suam panas. Kain dicapai. Perlahan-lahan, Inara menuam dahi Aisar dengan kain yang digenggamnya.
Inara hanya mahu duduk di sisi Aisar saja saat ini. Merawat dan menanti Aisar untuk kembali sedar. Inara yakin, Aisar juga memerlukan kehadirannya. Buktinya, erangan kesakitan pemuda itu hilang serta-merta sebaik saja Inara duduk di sisinya.
"Aisara sedang menanti kau untuk bangun. Supaya kita boleh cipta banyak lagi kenangan. Aku tahu kau kuat. Kita akan keluar dari sini sama-sama. Aku janji aku tak akan sia-siakan pengorbanan kau," desis hati Inara bersama senyuman pahitnya.
Inara tidak akan menangis lagi. Itu tekadnya. Kalau Aisar sanggup menepikan kesakitannya, Inara juga akan menepikan ketakutan dan tangisannya demi Aisar. Dalam erti kata lain, Inara mahu kuat demi Aisar!
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 🌹
Kalau sukakan karya ini jangan lupa vote ⭐ vote dan komen korang amat dihargai ☺
Korang tak rasa ke sejak Inara dengan Aisar sesat di hutan, Inara mula banyak fikir pasal Aisar berbanding Zulfan? Ke sementara je ni 🤭
FAKTA TUAP/SPLINT:
Sumber: http://www.myhealth.gov.my/apa-itu-splint/
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro