Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 37

LANGKAH yang diatur semakin longlai tatkala lelah mula mendominasi diri. Sesekali, Inara memegang abdomen kanannya yang mula terasa nyeri. Kepala mula berdenyut sakit seakan-akan ditusuk dengan berjuta jarum. Terik mentari di atas kepala pula seakan-akan menambahkan lagi denyutan kesakitan di kepala.

Tak semena-mena, langkah Inara semakin pincang. Lutut sudah terasa longgar untuk meneruskan langkah di kawasan hutan belantara itu. Pandangan Inara semakin kabur sebelum gadis itu akhirnya rebah.

Buru-buru, Aisar menyambut tubuh Inara. Perlahan-lahan, tubuh longlai Inara disandarkan di belakang sebatang pokok. Air mineral kepunyaannya yang tinggal sedikit terus dihulurkan kepada Inara. Wajah Aisar yang dipenuhi dengan rintik peluh sudah kelihatan cemas.

"Minum lagi. Habiskan," arah Aisar apabila Inara hanya meneguk sedikit saja air mineral.

"Kau... pun perlu... kan... tena... ga," ujar Inara. Senyuman pahit terkulum di bibirnya. Kalau dua hari ini Aisar yang selalu menenangkannya, hari ini Inara mahu membuat perkara yang sama kepada Aisar pula.

"Tak apa. Jangan risau pasal aku. Nanti kita boleh dapat air yang baru kalau jumpa sungai. Setakatni, aku kuat lagi. Kalau kau nak aku jadi kaki kau untuk melangkah pun... aku okey," ujar Aisar diselitkan dengan usikan. Pemuda itu tersengih seperti kerang busuk. Walhal, luka tetakan di dadanya kembali menyucuk. Aisar masih memerlukan daun kapal terbang untuk mengubati lukanya.

Tak semena-mena, Inara memukul bahu Aisar dengan botol mineral. Pemuda itu sudah terkekek melihat wajah geram Inara. Dengan mata yang dijelingkan ke atas dan bibir terherot, Inara kelihatan comel.

"Kita... boleh keluar... ke?"

"Keluar dari hutan ni?"

Inara angguk.

"Mestilah boleh. Ingat tak masa zaman sekolah dulu? Masa kita join kem Pengakap. Masa ekspedisi tu, kumpulan kita sesat sebab aku bergaduh dengan Razak. Tiga hari kemudian baru dia orang jumpa kita berlima. Dengan aku yang patah kaki lepas jatuh. See? Kalau masa budak-budak kita boleh survive. Mesti sekarang pun sama," ujar Aisar. Duduk terus dilabuhkan di sebelah Inara. Melepaskan lelah setelah mereka mula menaiki bukit di kawasan hutan itu.

Berdasarkan ilmu hutan yang Aisar pelajari ketika berada di latihan ketenteraan, kawasan yang tinggi di dalam hutan sudah tentunya memberikan peluang kepada seseorang yang tersesat meninjau keadaan sekeliling.

Mendengarkan itu, Inara menghela nafas berat. Dia sedikit lega tatkala Aisar memberikan sinar baru kepada mereka. Mata terpejam rapat. Menahan sakit yang bukan kepalang. Tangan yang menyentuh abdomen semakin digenggam erat.

Melihat Inara yang semakin kesakitan membuatkan Aisar mula gelisah. Sakit gadis itu mula menyerang. Buru-buru Aisar menghulurkan roti yang terakhir untuk Inara mengisi perut bersama ubat.

"Kita rehat dalam sejam. Nanti bila kau dah lega, kita sambung perjalanan. Dekat bawah bukit ni aku yakin ada sungai. Aliran sungai ni akan memudahkan kita untuk keluar dari sini."

Kata-kata Aisar mula sayup-sayup kedengaran di corong telinga Inara. Dia hanya menjamah roti sebelum menelan sebiji ubat. Ya, Inara hanya perlukan rehat saja saat ini. Tenaganya sudah diragut sekelip mata.

Kalau itu yang Aisar arahkan, Inara akan menurut.

"KAU yakin ke bedebah-bedebah tu lalu jalan ni? Kau punya kebodohan tu dah boleh buat aku hilang sabar! Dua orang macam tu pun kau tak boleh handle! Sepatutnya, aku letupkan saja kepala kau sampai otak kau bersepai. Tak pun... aku jadikan kau sebagai umpan harimau macam Poji dan Ken. Menaikkan darah aku sajalah!" marah Kadir. Belakang kepala Ray dihempuk dengan glocknya.

Ray mengeluh berat tatkala makian dilemparkan kepadanya. Mahu saja dia membunuh Kadir saat ini juga. Kesabarannya menjadi senipis kulit bawang. Kalau tidak memikirkan budi Kadir, sudah lama Ray bertindak gila dengan membunuh ketuanya itu.

"Yakin bos! Tu buktinya. Daun nipah dengan buluh. Mesti dia orang buat pondok. Ada kayu api yang aku yakin dia orang gunakan sebagai unggun api. Dia orang dah semalaman dekat kawasan ni. Mesti dia orang dah naik ke tempat yang lagi tinggi untuk memudahkan mereka meninjau sekeliling hutan," ujar Ray. Dia menguis-nguis buluh dan daun nipah. Mahu mencari lagi bukti yang menandakan keberadaan Aisar dan Inara.

Kadir mencekak pinggang sambil memerhatikan konco-konconya. Ada benarnya omongan Ray. Berdasarkan pemerhatiannya, kawasan tersebut juga seolah-olah baru saja menjadi tempat manusia berteduh. Tambahan pula, ada sisa daun kapal terbang yang ditumbuk di atas tanah.

"Ray! Kau depan. Aku ikut cadangan kau. Kalau salah juga, aku tak akan teragak-agak letupkan kepala kau. Ingat!" arah Kadir. Nada suaranya tegas. Ada ugutan yang terselit di bait bicara Kadir.

Memang itu niat Kadir. Dia merasakan, Ray terlalu lemah untuk menjadi seteru Aisar. Manakan tidak, pemuda yang sudah dicederakan itu masih bisa berjalan jauh. Entah tenaga apa yang dimiliki oleh Aisar pun Kadir tidak tahu.

MUSTAQIM dan pasukan penyelamat yang melakukan misi pencarian Aisar dan Inara masih bertungkus lumus dalam menjejak keberadaan dua sahabat itu. Sungguh, pencarian itu benar-benar mengalami kesukaran dek tidak ada petunjuk yang kukuh bagi mengesan keberadaan mereka.

Perasaan risau dan takut semakin bermain di benak fikiran Mustaqim. Terlintas di fikirannya, beberapa kelongsong peluru di atas tanah. Namun, tidak ada kesan darah di kawasan itu. Mustaqim cuba berpositif bahawa Black Eagle gagal dalam membunuh Aisar dan Inara di kawasan itu.

Akan tetapi, hal itu masih tidak dapat memberikan kelegaan buat Mustaqim selagi Aisar dan Inara belum ditemui.

Tiba-tiba, langkah Mustaqim terbejat. Pandangannya menerawang ke sekeliling hutan. Keadaan yang sunyi sepi tika itu seakan-akan memberikan rangsangan kepada pasukan mereka bahawa bahaya sedang menanti. Tiada lagi kicauan burung dan bunyi-bunyi unggas.

Bau hamis yang tiba-tiba menusuk rongga hidung membuatkan para pasukan penyelamat saling berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing sudah dalam keadaan bersiap sedia. Ilmu yang dipelajari lantas diaplikasikan saat itu juga.

Seminit kemudian, bunyi ngauman harimau kedengaran. Si Pak Belang yang tiba-tiba melompat dari belukar menegangkan suasana. Tiga orang para penyelamat terus mengeluarkan mercun bola bagi menghalau haiwan buas tersebut.

Namun, belum sempat mereka membaling mercun bola, si Pak Belang yang mulutnya berlumuran dengan darah kelihatan seperti dalam keadaan kesakitan. Ada kesan tembakan di tubuh binatang itu.

Serentak, erangan seorang lelaki menarik perhatian para penyelamat. Alangkah terkejutnya mereka melihat seorang lelaki dalam keadaan cedera parah sedang menembak si pak belang bertubi-tubi. Akibatnya, si Pak Belang membaham lelaki berambut hijau itu.

Buru-buru, pasukan penyelamat menembak si pak belang bagi menyelamatkan si lelaki malang.  Mercun bola segera dilempar bagi melemahkan lagi harimau belang itu. Keadaan yang semakin genting benar-benar mendebarkan jantung!

Tinbul persoalan di benak fikiran Mustaqim. Apakah Aisar dan Inara turut diserang oleh haiwan buas?

Oh sungguh, Mustaqim tidak dapat membayangkan jika hal itu berlaku. Dalam keadaan Inara yang sakit, Mustaqim semakin gusar jika perkara buruk seperti yang dialami oleh mereka terjadi kepada Inara.

BUNYI ranting yang dipijak menyedarkan Inara dari lena panjangnya. Perlahan-lahan, mata yang terasa berat dicelik. Inara menerawangkan pandangannya ke sekeliling. Langit biru yang cerah pada pagi itu mendamaikan persekitaran.

Namun, kedamaian itu hanya sebentar cuma. Intuisi Inara mula terasa tidak enak tatkala derapan tapak kaki semakin menghampiri. Derapan tapak kaki itu lebih dari satu. Sayup-sayup kedengaran suara makian seseorang yang membuatkan jantung Inara kembali berdebar kencang.

Lantas, gadis yang sedang bersandar di belakang pokok menyembulkan kepalanya ke arah suara tersebut. Anak matanya serta-merta membuntang melihat figura Kadir, Ray dan dua orang konco Black Eagle.

Sontak, Inara mahu melarikan diri. Namun, pergerakannya terkunci tatkala Aisar menghalang dengan tangan kanan diletakkan di belakang pokok Inara bersandar. Anak mata dua sahabat itu sudah saling bersabung. Masing-masing dengan sorotan mata yang menegangkan.

Aisar menggeleng. Menegah Inara dari bergerak. Sesekali, dia menyembulkan kepalanya di sebalik pokok. Mahu melihat ruang untuk Inara melarikan diri. Strategi mula disusun. Dalam keadaan mereka berhadapan dengan penyerang hendap, seseorang perlu mengalihkan perhatian musuh.

"Kita tak boleh lari sama-sama kali ini. Kau lari ikut arah hadapan. Aku alihkan perhatian mereka. Tadi masa aku cari daun kapal terbang... aku ada terdengar air sungai. Kau ikut saja aliran air sungai tu. Kebiasaannya akan ada penempatan kat sana. Nanti bila kau dah jumpa penempatan, minta bantuan. Aku percaya... kau boleh dan kau kuat!" ujar Aisar dalam keadaan berbisik.

Aisar berura-ura bangun dari duduknya. Namun, Inara tangkas menghalang dengan mencengkam baju Aisar. Gadis itu menggelengkan kepalanya. Sorotan matanya berubah sayu.

"Jangan. Kau cedera! Macam mana kalau dia orang bunuh kau? Huh? Kita fikirkan..."

"Aku okey! Hey... aku dah biasa hadap pertempuran sewaktu aku menjadi askar dulu. Aku selalu dihantar ke negara yang berkonflik. Tapi... dengan kuasa doa, aku masih selamat dan kita masih boleh bertemu kembali. Jangan risau!" pujuk Aisar. Senyuman nipisnya terkulum di bibir. Raut wajah Inara yang kembali muram ditatap sedalamnya.

Perlahan-lahan, cengkaman Inara mula longgar. Tiada diksi yang mampu Inara ucapkan lagi. Jantungnya seakan-akan berdebar kencang dengan ketakutan yang semakin menerajui sukmanya. Angin pagi seakan-akan mendinginkan suasana.

"Hoi! Bangsat! Keluar kau orang sekarang. Dekat mana lagi kau orang nak lari? Ni dah dekat kawasan cerun bukit. Mudah saja untuk kami bunuh kau orang berdua!" jerkah Kadir. Sesekali, tawa sinisnya terletus. Membayangkan Aisar dan Inara yang mati di tangannya sendiri.

Mendengarkan itu, Inara kembali menggenggam hujung baju Aisar. Dia tidak tega membiarkan Aisar berkorban. Inara masih belum puas meluangkan waktu bersama Aisar  setelah 13 tahun terpisah. Inara juga mahu melihat Aisar didampingi oleh seseorang yang bisa menerima cinta pemuda itu.

"Zulfan sedang tunggu bakal isteri dia. Aku kena lindungi bakal isteri sepupu aku. Jadi, tolong bagi aku bantu kau orang realisasikan impian kau orang."

Usai berkata, Aisar terus bangun dari duduknya. Hanya dengan isyarat mata, Aisar mengarahkan Inara untuk menyelamatkan diri. Setapak demi setapak, Aisar berundur ke belakang seraya berhadapan dengan Black Eagle yang tersisa empat orang.

"Aisar... sekuat itu ke... perasaan kau untuk aku?" desis hati Inara. Sungguh, hatinya meruntun pilu dengan kata-kata terakhir Aisar. Sedang pemuda itu mencintainya, dalam masa yang sama Aisar juga sanggup berkorban demi kebahagiaan Inara dan Zulfan.

Oh sungguh! Inara tidak tega membiarkan Aisar terus memendam kesakitan itu. Kesakitan bila mana Aisar hanya mampu tumpang bahagia dengan hubungan Inara dan Zulfan.

Bunyi pekikan dan makian menusuk telinga Inara. Menyedarkan terus gadis itu dari memikirkan rasa terkilannya. Lantas, Inara bangun dan menurut perintah Aisar. Gadis itu langsung tidak menoleh ke belakang lagi.

Strategi Aisar benar-benar kukuh. Kadir dan konco-konconya langsung tidak perasan akan kehadiran Inara. Ditambahkan pula dengan kawasan semak di kawasan tinggi tersebut.

Aisar terus menerus membalas serangan dan sesekali menyerang seterunya. Tendangan dan tangan yang sedang mengenggam pisau kerambit lincah bergerak tanpa henti. Ray yang lebih mendominasi konco-konco Kadir yang lain seakan-akan sudah mengerti dengan pergerakan tangkas Aisar. Membuatkan serangan Aisar terhadap Ray sesekali dibawa angin.

Sementara itu, Kadir terus mencari keberadaan Inara di sekeliling. Amarahnya kembali berada di kemuncak apabila bayang gadis itu tidak kelihatan. Sesekali, pandangannya dipusatkan ke arah Aisar yang sudah berjaya menjatuhkan seorang lagi konco Kadir. Kini, pertempuran di antara Ray dan Aisar semakin sengit.

Ray yang sedang mengenggam sebilah pisau mengacukan senjatanya ke arah Aisar. Tangkas, Aisar mengelak dengan mengenggam pergelangan tangan Ray. Dua seteru itu sudah saling bersabung mata. Masing-masing dengan pandangan yang penuh kebencian.

Tak semena-mena, Ray menghayunkan tendangannya ke dada Aisar. Sontak, Aisar terundur beberapa tapak ke belakang. Kaki masih dalam posisi kekuda. Sungguh, penangan Ray benar-benar mengembalikan kesakitan di luka Aisar.

Lantas, Aisar meluru ke arah Ray seraya melompat dengan tendangan ditujahkan ke kepala lelaki yang memakai eye patch hitam itu. Ketangkasan Aisar membuatkan Ray hampir rebah. Kepalanya yang pusing digeleng-gelengkan. Tendangan padu Aisar benar-benar memeningkan kepalanya. Air liurnya yang bercampur dengan darah diludah di tepi cerun bukit.

Seorang konco Kadir kembali bangkit. Glock yang disisip di pinggangnya lantas dihalakan ke arah Aisar. Picu ditarik. Senyuman sinisnya sudah terkulum di bibir. Kemenangan akan berpihak kepada mereka!

Namun, Aisar terlebih dahulu berpusing seraya membentes pelipat lutut musuh. Glock yang berada di tangan musuh terus ditarik lalu dibuang ke arah cerun. Bertubi-tubi pukulan Aisar tujahkan kepada seterunya. Ketangkasan Aisar membejatkan peluang musuh untuk membalas. Hingga akhirnya, tendangan padu yang ditujahkan ke tengkuk musuh membuatkan seteru rebah serta-merta.

Ray kembali meluru ke arah Aisar. Nafas pemuda itu sudah kelihatan mengah. Dengan kecederaan di dada bidangnya, Ray yakin bahawa Aisar tidak akan menang dalam pertempuran ini!

Lantas, leher Aisar dicekik dari belakang dengan lengannya. Semakin kuat Aisar melawan, Ray mengetatkan lagi cengkamannya. Setapak demi setapak, Ray mengheret Aisar menuju ke cerun bukit. Tiada langsung empati dalam dirinya melihat Aisar yang semakin kesesakan.

"Mana Inara?" jerkah Kadir.

Aisar hanya diam. Hanya senyuman sinisnya yang terkulum di bibir. Sebaik mungkin, Aisar cuba menentang Ray yang seakan-akan mahu menolaknya ke cerun yang curam. Kelihatan ada akar kayu yang menjalar dan tanah lembap serta beberapa batang pokok di cerun tersebut.

"Aku kata mana Inara?" bentak Kadir seraya menghayunkan tendangannya ke rusuk Aisar. Akibatnya, Aisar tertunduk menahan sakit. Sungguh, isi perutnya seakan-akan dirodok saja oleh Kadir.

Belum sempat Aisar menarik nafas panjang, rambutnya dijambak kuat oleh Kadir. Tawa sinis Aisar tiba-tiba saja meletus melihat wajah galak Kadir. Mengejek lelaki tua yang membuatkan hidup gadis kesayangannya merana.

"Kurang ajar! Berani kau hina aku..."

Kadir kematian kata tatkala belakang kepalanya tiba-tiba berdenyut sakit. Serta-merta, Aisar terlepas daripada lelaki jahat itu. Setapak demi setapak, Kadir berundur ke belakang. Saat itu juga, satu lagi pukulan dihambat di belakang tengkuknya.

Saat Kadir menoleh, terpampang wajah bengis Inara yang masih dalam keadaan bersedia untuk menghayunkan tendangan mautnya. Melihatkan itu, Kadir terus menghalakan glocknya ke arah Inara.

"Bangsat!" teriak Kadir sekuat hati seraya melepaskan tembakannya ke arah Inara. Dia tercabar! Namun, tembakan Kadir hilang sasaran bila mana Aisar mencengkam pergelangan tangan Kadir dari belakang.

Akibatnya, tubuh Kadir terpusing ke belakang. Tembakan buat kali kedua tersasar tepat di kepala Ray yang baru saja terduduk setelah Aisar berjaya melepaskan diri. Anak mata Kadir serta-merta melotot melihat Ray yang tumpas di tangannya sendiri. Sekelip mata saja, orang kanannya sudah menggelupur seperti ayam disembelih.

"Sial! Kau halang kerja aku!" tengking Kadir. Amarah mula mengawal mindanya. Nafasnya turun naik melepaskan amarah. Anak matanya seakan-akan melotot tatkala Aisar menghancurkan niatnya sekelip mata. Wajah tegang Aisar dipandangnya dengan sorotan mata penuh kebencian.

"Kau patut mampus!"

"Aisar!"

Serentak dengan laungan Inara, bunyi tembakan kedengaran.
Tubuh Aisar akhirnya menjadi sasaran Kadir. Sebutir peluru sudah tertanam di tubuh Aisar. Masa seakan-akan berhenti berputar tatkala Aisar merasakan nyawanya berakhir saat itu juga.

Sedas lagi tembakan dilepaskan ke tubuh Aisar sehingga pemuda itu terundur beberapa tapak ke belakang. Sontak, tubuh Aisar melayang ke dalam cerun. Wajah Inara menjadi tatapan terakhirnya sebelum darah merecik keluar dari mulutnya.

Oh sungguh! Tembakan yang dilepaskan ke tubuhnya, meragut seluruh kekuatan Aisar. Pandangannya semakin kabur. Namun, belum sempat tubuhnya menjunam jatuh, satu tangan  mencapai tangan kanannya.

"Aisar! Aku tak akan biarkan kau mati! Aku masih perlukan kau dalam hidup aku! Tolonglah bertahan. Sambut tangan aku!" teriak Inara seraya mencuba mengangkat Aisar ke atas.

Melihat kesungguhan Inara di sebalik wajah sayunya, benar-benar meluluhkan hati Aisar. Mustahil Inara bisa menariknya ke atas. Tubuhnya jauh lebih besar jika dibandingkan dengan Inara.

Titisan air mata yang mengalir ke pipi Inara bagaikan air sungai yang mengalir deras. Dahi Inara berkerut- kerut mencuba menarik Aisar kembali naik.

"Lepas... kan a... ku. I..."

Aisar kematian kata tatkala dia terbatuk-batuk sekali lagi. Pandangannya semakin layu. Nafasnya terasa sesak di dada. Darah mengalir di dadanya tanpa henti. Tak putus-putus, hati Aisar merintih agar Allah membantunya dan Inara.

"Aku tak akan lepaskan tangan kau. Aku sayangkan kau, Aisar. Aku tak nak hilang kau lagi. Tolonglah... aku merayu!" lirih Inara. Kenapalah dia terlalu lemah sehingga tidak mampu melindungi Aisar tika ini?

Luahan hati Inara benar-benar meruntun hati Aisar. Ingin sekali Aisar memujuk Inara seperti selalunya. Tetapi, Aisar sudah terlalu lemah. Dengan dua butir peluru yang sudah tertanam di tubuhnya, kekuatan Aisar jadi lumpuh.

Kadir sudah ketawa terbahak-bahak melihat kesengsaraan Inara yang sudah duduk bertinggung di tepi cerun sambil mencuba menarik tangan Aisar.

"Sedihnya kisah cinta kau orang ni. Seorang nak berkorban... seorang lagi tak sanggup melepaskan. Baiklah... apa kata kalau aku yang tentukan nasib kau orang," tegas Kadir seraya melangkah ke arah Inara.

"Kau nak buat apa?" jerkah Inara. Mahu saja dirodoknya jantung Kadir yang sudah menembak Aisar sehingga pemuda itu jatuh ke dalam cerun.

"Aku nak buat..."

Jeda.

Kadir memandang wajah pucat Aisar dan Inara silih berganti. Kemudian, anak matanya memandang cerun. Ada air sungai yang mengalir deras di bawah. Kemungkinan seseorang yang jatuh akan berakhir dengan kematian. Akibat lemas.

"Aku nak buat ni!"

Serentak dengan jerkahan Kadir, jeritan nyaring Inara kedengaran tatkala tubuhnya ditolak ke dalam cerun. Tak semena-mena, tubuh Aisar dan Inara akhirnya menyentuh lantai cerun. Tubuh mereka bagaikan bola yang terhempas di atas tanah. Hingga akhirnya, bayang mereka tidak kelihatan lagi.

Melihatkan itu, Kadir terus terduduk. Anak matanya tunak memandang cerun yang dikelilingi dengan pokok dan tanah lembap. Tawanya semakin kuat. Mentertawakan nasib Aisar dan Inara yang berakhir di tangannya sendiri.

"Akhirnya kemenangan berpihak kepada aku! Selesai! Selamat bertemu dengan bapa kau wahai Doktor Inara!" jerkah Kadir. Suaranya bergema di kawasan bukit yang tinggi itu. Kepalanya didongak memandang dada langit yang terbentang luas.

Puas!

Kadir benar-benar berpuas hati!

Tamat...

Berakhirlah sudah kisah AISARA yang jatuh ke dalam cerun 😕

Korang sukakan ending ni tak? Korang kan nak AISARA sama-sama 🤭
Cuba komen 👇

🌳🌳🌳🌳🌳🌳🌳🌳🌳🌳🌳🌳🌳🌳🌳

Eh tak adalah

Syaf bergurau 🤭 jangan marah jangan stres 🤣 saja nak mengusik

Bersambung...

Thanks korang sudi baca karya syaf 🌹

Kalau sukakan karya ini jangan lupa tekan butang vote ⭐ (jangan kecam) 🤭

Adakah Aisar telalu bodoh sebab tak move on daripada Inara? Dahtu, dia pentingkan nyawa Inara daripada diri sendiri 🤣

FAKTA ILMU HUTAN:

1. Harimau- Jika tiba-tiba hutan jadi sepi, kebiasaannya haiwan buas seperti harimau, harimau akar dan beruang sedang menghendap. Kemudian akan disusuli dengan bau hamis. Di sinilah fungsi mercun bola sebagai senjata

2. Masak air- ambil air di bahagian tengah sungai atau tempat yang mengalir deras. Hal ini kerana, tikus, rusa, kancil dan lain-lain membuang najis di tepi sungai.

Sumber:
https://www.google.com/url?sa=t&source=web&rct=j&url=https://www.maskulin.com.my/suka-jungle-tracking-baca-12-ilmu-hutan-ini-yang-ramai-orang-tak-tahu/amp/&ved=2ahUKEwj_jIWu6e7wAhWuzzgGHUqVAMwQFjAKegQIBRAC&usg=AOvVaw33OwiNTyeBygQUdO18GFPq&ampcf=1

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro