Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 36

SUASANA sepi buat seketika. Burung-burung yang berterbangan di dada langit petang kelihatan bertebaran. Seolah-olah menerima signal bahawa bahaya sedang menghampiri. Angin bertiup kencang petang itu. Dinginnya yang bercampur dengan dingin selepas hujan mencengkam hingga ke tulang hitam.

Anak mata Kadir sudah membuntang tatkala melihat pergelangan tangannya berlumuran dengan darah. Lelaki bermisai nipis itu menggeletar sebaik saja kejutan menyerangnya. Sontak, glock yang berada di tangan terjatuh di atas tanah. Nafasnya semakin turun naik dengan keberanian si pelaku.

Perlahan-lahan, anak matanya yang semakin galak dipusatkan ke arah si figura. Namun, belum sempat dia melihat wajah si pelaku dengan jelas, bagaikan ada angin kencang meluru ke arah Kadir tatkala si figura terus menarik Inara dan disembunyikan di belakang figura tersebut.

Seketika, jelas di hadapan mata Kadir seorang figura bertopi hitam yang mengenakan topeng pelitup muka. Sorotan mata si figura kelihatan dingin tanpa emosi.

"Sial! Kerjakan mereka habis-habisan!" jerkah Kadir sekuat hati. Tiada langsung kompromi apabila dia diserang hendap. Kemarahannya membuatkan urat-urat hijau mula timbul di dahinya. Anak matanya sudah melotot melihat penyelamat Inara itu.

Serentak dengan arahan mandatori Kadir, konco-konco Black Eagle terus mengelilingi Aisar dan Inara. Ada yang sudah mengeluarkan pisau dan sebilah parang bagi membunuh dua figura tersebut.

Melihatkan itu, tubir mata Inara kembali hangat. Tidak perlu Inara bertanya gerangan siapa yang sedang menjadi heronya tika ini. Inara dapat merasakan aura Aisar berada di sisinya meskipun lelaki itu mengenakan topeng.

Hujung baju Aisar digenggam erat. Empangan air mata Inara kembali menuruni pipi. Dia takut. Dia tidak mahu Aisar dicederakan hanya demi menyelamatkan nyawanya saja.

Aisar mula memusatkan pandangannya ke arah musuh. Ada enam orang yang sedia untuk membunuhnya dan Inara. Empat daripada enam orang penjahat sedang memegang senjata. Jadi, Aisar akan fokus kepada yang bertangan kosong saja terlebih dahulu.

Serentak, mereka meluru ke arah Aisar. Pisau dan parang dilibas ke arah pemuda itu bertubi-tubi. Aisar terus melepaskan tembakan ke arah musuh yang menyerang. Ada yang sempat mengelak, ada juga yang sudah menerima tembakan tepat di bahu dan kaki. Aisar tidak akan sesekali mensasarkan ke tempat yang mematikan.

Sesekali, Aisar menghayunkan bertubi-tubi tendangan ke arah figura yang mara ke hadapan. Aisar tidak bisa menghabiskan pelurunya saat itu juga. Dia harus menyimpannya dengan baik. Dalam masa yang sama, Aisar tetap fokus melindungi Inara yang berada di belakangnya. Pantang ada musuh ingin merampas Inara daripadanya, Aisar akan menyerang dengan tendangan padunya.

Melihatkan pertempuran bersama konco Black Eagle semakin menegangkan, Inara semakin gerun. Setiap pergerakan Aisar membuatkan Inara turut kelelahan. Pergerakan tangkas Aisar benar-benar membuatkan nafas Inara terasa sesak.

Tiba-tiba, Ray menumpukan serangannya ke arah Inara. Wajah Aisar yang semakin kelelahan memberikannya peluang untuk menyerang gadis itu. Sementara konco-konco yang lain masih bergasak dengan Aisar, Ray pula akan menyerang Inara. Lantas, Ray meluru ke arah Inara dengan sebilah parang. Tubuh Inara yang masih berada di belakang Aisar menjadi tumpuannya.

Dalam beberapa saat kemudian...

Inara terjelopok di atas tanah sebaik saja tubuhnya ditolak kasar oleh Aisar. Dahi Inara sudah berkerut menahan perih di sikunya yang tergesel pada batu kerikil. Perlahan-lahan, Inara memanggung kepalanya. Saat itu juga, jantung Inara berdebar kencang melihat titisan darah yang mengalir di hadapannya. Wajah Aisar yang sedang menjadi benteng pertahanannya daripada ditetak oleh Ray dipandang.

Oh sungguh! Dunia Inara seakan-akan berhenti berputar. Tubuhnya menggigil melihat t-shirt putih Aisar yang sudah sedikit terkoyak sehingga menampakkan lukanya. Nampaknya, tubuh Aisar sudah ditetak! Senekad itu, Aisar melindungi Inara sehingga sanggup menjadikan tubuh sebagai benteng pertahanan. Inara jadi kejang.

"Aisar... kau..."

"Jom main lari-lari! Aku... dah bosan asyik nak... bertumbuk. Gunakan... bakat terpendam kau... masa sekolah dulu. Kau kan... selalu juara dalam sukan lumba lari!" pintas Aisar seraya bangkit dari duduknya. Suaranya seakan-akan serak. Rasa perih di dada ditepis buat seketika. Aisar tiada masa untuk memanjakan dirinya saat ini.

Mendengar derapan tapak kaki meluru ke arahnya dari belakang, Aisar cepat-cepat berpusing seraya menghayunkan tendangannya ke tubuh Ray. Tak cukup dengan itu, Aisar meluru seraya menendang rusuk Ray bertubi-tubi. Tangan Ray yang masih memegang sebilah parang dipulas seraya tubuh Ray dibanting kuat ke belakang.

Ketangkasan Aisar yang seperti angin kencang benar-benar membejatkan tindakan Ray. Erangannya kedengaran. Tiada langsung ruang untuk Ray membalas serangan Aisar. Malahan, sekelip mata saja, Aisar dan Inara sudah melarikan diri ke dalam hutan yang lebih dalam.

"Apa tunggu lagi? Pergi kejar manusia-manusia bacul tu. Jangan bagi dia orang terlepas!" jerkah Kadir. Suaranya bergema di kawasan hutan. Wajah Kadir sudah merah menyala. Bagaikan dituang dengan minyak panas. Giginya terkacip menahan amarah. Sungguh, Kadir benar-benar tercabar dengan Aisar. Kekuatan pemuda itu menentang anak-anak buahnya membuatkan Kadir mahu mencabut jantung pemuda itu saat ini juga!

Tanpa berlengah, keempat-empat konco-konco Kadir yang sudah dibantai kembali bangkit. Keempat-empat mereka juga masih selamat daripada tembakan Aisar. Ray terus mencapai glock kepunyaan Kadir di atas tanah. Seperti Kadir, Ray turut tercabar dengan kekuatan Aisar menentangnya. Sudah ditetak dengan parang, pemuda itu masih bertenaga melarikan diri.

Bunyi tembakan yang kedengaran di belakang membuatkan Inara terjerit kecil. Dia kaget. Kakinya sudah terasa lenguh untuk berlari. Tenaganya kian menipis. Sesekali, Inara kalih ke belakang. Memandang Aisar yang turut berlari di belakangnya. Sungguh, Inara tidak bisa tenang melihat luka tetakan di dada bidang pemuda itu.

Tiba-tiba, Aisar mencengkam pergelangan tangan Inara yang berlapik seraya bersembunyi di dalam semak. Keduanya sudah tercungap-cungap akibat kelelahan. Sorotan mata Aisar terus memerhatikan kelibat konco-konco Kadir yang masih mengejar.

Melihatkan bayang Aisar dan Inara sudah tidak kelihatan, Ray terus menjerit sekuat hati. Tembakan dilepaskan secara rambang ke udara. Anak matanya melingas memandang sekeliling. Entah kuasa apa dimiliki dua sahabat itu pun Ray tidak tahu.

Larian mereka terlalu laju seperti seekor kuda!

"Fuh! Tak sia-sia kita selalu juara dalam acara lumba lari masa dekat sekolah. Kapten Aisar bangga..."

Aisar kematian kata tatkala Inara tiba-tiba menangis sambil menekup mulutnya. Senyuman sinisnya terbejat. Topeng pelitup muka ditanggalkan. Aisar jadi tak keruan dengan tangisan sayu sahabatnya. Seolah-olah, melihat Inara menangis lebih menyakitkan berbanding kecederaannya.

"Nara... kau dah selamat. Aku minta maaf sebab lambat selamatkan kau. Jangan takut. Kan aku dah janji... aku akan selalu jadi bayang untuk kau walau ke mana saja kau pergi?" pujuk Aisar. Sesekali, dahinya berkerut menahan perih luka yang terdedah. Lukanya seakan-akan disiat ditetak oleh Ray sebentar tadi.

Perlahan-lahan, Inara mengalihkan pandangannya ke laman wajah Aisar. Sesekali, pandangannya dijatuhkan ke tubuh Aisar yang tercedera. Bibirnya menggeletar menahan sebak. Sungguh, Inara takut. Dia tidak dapat membayangkan jika Aisar terkorban hanya demi melindunginya.

"Kenapa kau... buat macam tu? Kenapa... kau selalu korbankan diri kau... untuk aku? Kau buat aku... tak berguna sebab selalu... susahkan kau! Aisar..."

Inara jeda.

Kepalanya terus tertunduk menekur tangan yang digenggam erat. Esakannya semakin sayu. Wajah Inara serta-merta disimbah panas. Emosi Inara bercampur baur. Pertempuran sebentar tadi bagaikan mimpi ngeri buat Inara.

"Inara. Aku dah janji..."

"Kita patut putuskan persahabatan kita! Aku tak nak kau buat benda bodoh semata-mata demi aku. Janji? Janji kau dekat arwah abah? Tu dah lapuk, Aisar! Dah berlalu berbelas tahun yang lalu lagi," tegas Inara. Anak matanya tajam menikam raut wajah Aisar yang seakan-akan terkelu.

"Aku sayangkan kau, Aisar. Aku tak nak hilang kau lagi. Jadi, demi keselamatan kau... kita harus putuskan persahabatan kita atau kau akan mati jika persahabatan kita diteruskan!" tambah Inara seraya menekup kedua belah wajahnya. Bahu Inara sudah terhinggut-hinggut melepaskan beban. Jiwanya rapuh. Inara lelah.

Mendengarkan itu, tubir mata Aisar mula terasa hangat. Bahu yang sentiasa gagah jatuh serta-merta. Kepalanya turut tertunduk menekur tangannya yang berlumuran dengan darah. Luahan hati Inara benar-benar meruntun pilu di hati Aisar Mumtaz. Setitis air mata mengalir ke pipinya.

"Aku tak akan ulangi benda yang sama. Aku buat semua tu... sebab aku... terlalu... cintakan kau, Inara. Aku tak akan tinggalkan kau lagi. Aku nak kau pegang kata-kata ini, demi nama Aisara, aku akan selalu menjadi bayang untuk melindungi kau! Sampailah Zulfan sah jadi pelindung dan ambil tempat aku," tutur Aisar seraya menghela nafas panjang. Tubuhnya kembali ditegakkan. Air mata yang mengalir ke pipi dikesat kasar.

Tiada lagi diksi yang meniti di bibir Inara tatkala Aisar menuturkan sumpah setianya. Kepala Inara benar-benar sesak dan sakit. Hanya tangisan Inara saja yang masih berlagu sayu di kawasan semak itu.

Konco-konco Kadir sudah beransur pergi. Mengalah. Tapi, itu tak bererti mereka tidak akan menjejak keberadaan Inara dan Aisar di hutan tebal itu lagi.

UNGGUN api yang masih marak hanya dipandang dengan tatapan yang kosong. Cahaya berwarna oren yang terhasil dari unggun tersebut seakan-akan menerangi malam yang pekat tanpa butiran bintang dan bulan. Inara merapatkan kedua belah lututnya ke dada. Menghangatkan tubuh yang dingin. Wajahnya sudah sembap akibat terlalu lama menangis.

Fikiran Inara jadi kosong. Dia buntu. Roti dan mineral yang diberikan oleh Aisar hanya diletak di sisinya. Inara kehilangan selera untuk mengisi perutnya yang kosong. Hanya satu, Inara memikirkan konsekuensi yang akan berlaku kepadanya dan Aisar nanti. Adakah mereka akan keluar dengan selamat di hutan tebal itu?

"Nara... makanlah sikit. Aku risau tengok kau muram macam ni. Kau takut ya? Kalau kau takut dengan gelap, nak aku ceritakan kisah dongeng sampai kau tidur?" pujuk Aisar. Suaranya kedengaran begitu lembut. Pemuda yang sedang bersandar di belakang pokok itu cuba menenteramkan hati Inara yang gundah. Aisar risau.

Sesekali, dahinya berkerut menahan perih pada lukanya yang sedang disapu dengan daun kapal terbang yang sudah ditumbuk. Bertujuan untuk menghentikan darah kesan tetakan sebentar tadi.

Mujur, nasib menyebelahi Aisar. Sedang dia dan Inara mencari kayu api, Aisar turut mengambil daun pokok kapal terbang. Semuanya berkat ilmu yang pernah dipelajari ketika dia menjadi askar dulu. Jadi, Aisar bisa mencuci luka siatan yang begitu dalam. Sekurang-kurangnya, Aisar bisa mengelakkan lukanya daripada dimasuki kuman.

Melihat Inara hanya diam seperti patung cendana, Aisar bangun perlahan-lahan. Langkah diatur ke arah Inara yang duduk bertentangan dengannya. Roti yang berada di sisi Inara dibuka lalu dihulurkan kepada gadis itu.

"Makanlah sikit. Sedap ni. Roti gardenier. Sungguh lazat dimakan bersama Aisar," usik Aisar sambil menghalakan roti berperisa jagung kepada Inara.

Inara hanya menggelengkan kepalanya. Air matanya mengalir lagi ke pipi saat Aisar masih berusaha memujuknya. Walhal, sahabatnya itu sedang menanggung sakit. Bibir Inara terus menggeletar.

"Secubit saja. Asalkan..."

"Aku tak naklah! Jangan paksa boleh tak," marah Inara seraya menepis kasar tangan Aisar. Sorotan matanya yang sudah dipenuhi dengan empangan air mata menikam wajah Aisar.

"Kau marah ke sebab aku mengaku yang aku masih cintakan kau?" soal Aisar tak semena-mena. Tiada lagi kelembutan di sebalik suara pemuda itu. Tatapan tajam Inara benar-benar melemahkan jiwa Aisar.

Inara terus menundukkan pandangannya tatkala Aisar meluahkan perasaannya sekali lagi. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu. Inara jadi sesak. Bibirnya diketap menahan esak. Hari ini, Inara terlalu banyak menangis sehingga dia jadi lelah.

"Aku tak marah. Aku... cuma tak nak kau mati sebab aku," rintih Inara. Luka di dada Aisar yang terdedah dipandang dengan rasa sayu. Kali ini, dia sebagai doktor langsung tidak bisa merawat sahabatnya. Inara terkilan.

Mendengarkan itu, Aisar tersenyum pahit. Beg galas yang berada di belakang Inara dicapai. Tangan terus menggagau jaket yang dibawa buat gadis itu. Tak lupa, bungkusan berisi ubat-ubatan turut dikeluarkan.

"Jangan fikir pasal aku. Aku tak nak kau sakit kalau kau asyik fikir yang bukan-bukan. Sekarang, makan sikit lepas tu makan ubat. Kau tak makan ubat lagi seharian ni," ujar Aisar lalu barangan yang dikeluarkan dari beg dihulurkan kepada Inara.

Sontak, Inara memanggung kepalanya tatkala melihat ubatnya dikeluarkan oleh Aisar. Ada senyuman masih meniti di raut wajah pemuda itu. Seakan-akan mahu menenangkan keadaan Inara yang kaget.

"Aku tahu kau sakit. Aku tahu kau sengaja tak nak bagi tahu aku sebab aku selalu bertindak bodoh bila melibatkan kau. Tapi kau silap. Aku kenal kau dari kita umur lapan tahun lagi. Kita terlalu akrab bagaikan kembar, belangkas dan isi dengan kuku. Aku tahu ada yang tak kena dengan kau," jelas Aisar. Menjawab persoalan yang bermain di sebalik sorotan mata Inara.

"B... bila ka... kau tahu? Zulfan... ba... bagi tahu?" soal Inara tergagap-gagap.

"Aku cari jawapan aku sendiri. Masa aku temankan kau buat pemeriksaan, esok tu juga aku jumpa Doktor Iftina. Dia yang jelaskan semuanya kepada aku. Dia kata... sahabat aku... menghidap barah hati tahap tiga. Kau tahu apa yang aku rasa masa tu? Aku rasa aku nak dermakan hati..."

"Tak! Aku tak akan terima hati kau, Aisar! Aku tak cintakan kaulah! Buat apa kau nak bagi hati kau dekat aku? Nak sakitkan diri sendiri..."

Tak semena-mena, Inara kematian diksi tatkala Aisar tertawa. Seakan-akan mengejek melihat kekalutan terserlah di wajah Inara. Kepala tergeleng-geleng sebelum jaket diletakkan di belakang tubuh Inara.

"Aku berguraulah. Tak nak aku dermakan hati aku dekat kau. Aku takut nak kena bedah. Tapi... aku akan doakan semoga kau kembali sihat macam dulu. Lambat laun nanti... mesti ada yang sudi dermakan hati dia untuk kau," ujar Aisar.

Mendengarkan itu, Inara menarik nafas lega. Inara tidak mahu Aisar berkorban lagi. Mengetahui perasaan sebenar Aisar terhadapnya juga membuatkan hati Inara sakit. Roti yang dihulurkan oleh Aisar terus dijamah. Sesekali, pandangannya tertancap ke laman wajah Aisar yang masih duduk di sisinya. Kali ini, ketakutan Inara seakan-akan dibawa pergi.

Aisar memang seorang yang menenangkan. 13 tahun mereka terpisah, Inara masih selesa menjadikan Aisar sebagai pelindungnya. Hanya saja, Inara tidak bisa menerima cinta Aisar.

"Sakit lagi tak?" soal Inara, polos. Mineral dibuka lalu diteguk perlahan-lahan.

"Duduk sebelah kau terus rasa tak sakit," jawab Aisar. Dia tersengih. Seketika, dua sahabat itu saling berpandangan. Inara tersenyum pahit. Air matanya dikesat lembut.

"Terima kasih... selamatkan aku."

"Mestilah. Itu kewajiban aku. Aku ni superhero kau kut sejak kita kecil. Siapa nak kacau kau... mari... hadap silat pendekar Aisar Mumtaz ni dulu," ujar Aisar diselitkan dengan jenaka. Tangannya sudah digawang membuat aksi membuka silat.

Tak semena-mena, tawa Inara terhambur juga. Usikan dan jenaka Aisar menghiburkan hati kecilnya. Seolah-olah segala ketakutan yang bermain di sanubari dibawa pergi buat seketika. Malam ini, Inara hanya mahu menatap wajah Aisar. Pemuda itu sajalah ubat dukanya tika ini.

Hingga akhirnya, Inara yang kelelahan terus tertidur pulas beralaskan beg galas milik Aisar. Melihatkan Inara sudah lena, wajah Aisar serta-merta berubah tegang. Tiada lagi usikan mahupun jenaka. Apa yang tinggal, hanyalah pandangan sayu melihat wajah pucat Inara.

"Aku... tak akan biarkan kau sakit lagi, Nara. Kau jangan takut. Aku akan sentiasa lindungi kau hingga akhir hayat aku. Aku minta maaf... sebab buang peluang yang kau berikan kepada aku. Aku sia-siakan cinta yang kau hulur buat aku. Tapi... selamanya tetap kau yang teristimewa dalam hidup aku," ujar Aisar. Seakan-akan Inara bangun dan mendengar butir bicaranya.

Demi Aisara, Aisar akan tetap menjadi pelindung buat Inara. Kalau perlu berkorban, Aisar juga sanggup!

KAYU kecil yang diikat dengan kain berwarna koko di batang pokok seolah-olah memberikan petunjuk kepada pasukan penyelamat untuk menjejak keberadaan Aisar dan Inara. Sudah dua hari dua sahabat itu hilang tanpa jejak.

Dek kerana hujan dan angin kencang membadai Kampung Dusun, misi pencarian Aisar dan Inara terpaksa ditangguhlan terlebih dahulu. Semuanya kerana kejadian pokok tumbang yang menghalang pasukan penyelamat memasuki kawasan berkenaan.

Malahan, Zulfan dan Pak Reman yang meminta bantuan di kawasan luar Kampung Dusun turut terhalang untuk memasuki Kampung Dusun.

Mustaqim yang turut mengikuti misi pencarian Aisar dan Inara hanya mampu berharap kepada Allah agar dua sahabat itu dalam keadaan yang selamat. Dia risau. Tambahan pula, keadaan adiknya yang sakit.

"Tuan! Ini satu lagi markas tersembunyi Black Eagle!" laung salah seorang anggota polis yang berpakaian serba hitam.

Buru-buru, Mustaqim dan beberapa orang pasukannya meluru ke arah markas yang dimaksudkan. Saat itu juga, bau hanyir menusuk rongga hidung mereka. Alangkah kagetnya mereka tatkala melihat dua mayat yang sudah bergelimpangan di belakang markas tersebut.

Masing-masing dengan keadaan yang begitu tragis. Tempurung kepala mereka pecah. Lalat sudah menghurung dua mayat yang kemungkinan merupakan ahli Black Eagle.

Sedang mereka menganalisis markas yang berselerak, anak mata Mustaqim terus tertancap ke arah topi hitam berlogo sebuah organisasi. Mustaqim yakin, logo tersebut sudah pastinya logo syarikat majikan Aisar.

Malangnya, jejak Aisar dan Inara sampai di situ saja. Tiada lagi penanda yang Aisar berikan kepada pihak penyelamat. Hal ini sudah tentunya kerana marabahaya berada di depan mata. Namun, kesan kasut di atas lumpur yang kering seakan-akan memberikan semula sinar kepada Mustaqim.

Bersama-sama, mereka memasuki pula hutan belantara yang menjadi jejak yang baru buat pasukan penyelamat.

Bersambung...

Thanks korang sudi luangkan masa baca karya syaf 🌹

Kalau sukakan karya ini, jangan lupa tekan vote ⭐

Mula-mula syaf rasa nak tamatkan dalam bab 40 tapi nampaknya macam cepat semacam je. Progres macam kelam kabut. Jadi, Syaf akan tambah lagi bab. Tapi jangan risau, tak akan lebih sampai 50 bab pun 😁

Dapatkah AISARA diselamatkan? Atau adakah mereka akan mati bersama-sama di tangan Black Eagle 😪

FAKTA DAUN KAPAL TERBANG:

1.Sejenis tumbuhan renek yang banyak bercabang.

2. Tumbuhan ini berbatang lembut ketika muda dan beransur-ansur menjadi gabus ketika matang dan tua.

3. Didapati di kawasan semak

4. Hanya boleh digunakan untuk luaran sahaja

5. Tidak boleh dimakan

6. Memberikan rawatan traditional. Seperti merawat kesan terbakar, luka tisu dan jangkitan kulit

7. Bahan antioksida yang kuat di dalam daun pokok kapal terbang merupakan salah satu punca dalam meningkatkan proses penyembuhan luka. Air perahan daripada daun pokok kapal terbang boleh menghentikan darah dari terus mengalir melalui luka

8. Daun pokok kapal terbang yang direndam di dalam air boleh digunakan untuk mengurangkan bengkak, kemerahan, kesan panas dan sakit akibat jangkitan kulit

9. Cecair yang pekat daripada akar pokok kapal terbang digunakan untuk mengelakkan atau mengurangkan demam serta bertindak mengurangkan sakit

SUMBER: ATA. MINYAK PENAWA HITAM (FACEBOOK)

Daun kapal terbang

Daun kapal terbang yang ditumbuk

Daun kapal terbang disapu pada luka

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro