EPISOD 35
GELANG bertuliskan AISARA yang berada di genggaman Aisar, benar-benar meremukkan hati pemuda itu. Anak matanya tajam menikam gelang pemberiannya kepada Inara dahulu. Jantung yang mengepam darah ke seluruh tubuh semakin berdebar kencang. Sungguh, kemarahan benar-benar mendominasi seorang Kapten Aisar Mumtaz pagi itu.
Sekali lagi, Aisar gagal melindungi gadis kesayangannya! Kekecewaan dan kemarahan sudah sebati menjadi satu.
"Takkan tak ada sesiapa yang nampak Doktor Inara keluar dari pondok dia?" soal Aisar. Wajah rakan sekerjanya yang sudah berkumpul di perkarangan Kampung Dusun dipandang satu per satu.
"Lukman... dia... ada nampak tiga orang lelaki tarik Doktor Inara ke sebuah hutan. Dia cuba nak selamatkan Doktor Inara. Tapi... dia pula yang diserang dari belakang sampai tak sedarkan diri," jelas Fir, selaku rakan serumah Lukman sepanjang program sukarelawan di Kampung Dusun dijalankan.
Mendengarkan itu, Aisar terus meraup wajahnya dengan kasar. Tubir mata mula terasa hangat. Dia risaukan Inara! Terasa mahu putus nyawa saja mendengarkan Inara sudah diculik. Aisar memandang ke arah khemah staf kesihatan. Tanpa berlengah, Aisar meluru ke arah Lukman yang sedang dirawat oleh Zulfan.
"Kapten..."
Tak semena-mena, Lukman yang baru saja dirawat terbangun dari duduk tatkala Aisar mencekak kolar kemejanya. Jelas, sorotan mata ketuanya kelihatan membara dengan api!
"Kenapa kau tak jerit nama aku bila kau nampak Inara kena culik? Hah! Kenapa kau bodoh sangat bertindak seorang diri? Sia-sia sajalah kau jadi pengawal..."
"Aisar. Cukup!"
"Kalau sesuatu yang buruk berlaku dekat Nara, aku tak akan teragak-agak belasah kau sampai koma! Aku tak akan maafkan kau dan aku akan pastikan kau diberhentikan..."
"Aisar! Kau tak boleh layan emosi..."
"Kau diamlah Zulfan! Kau tak nampak macam mana seksanya Inara diserang dulu. Tak boleh layan emosi? Eh, apahal kau tenang sangat hah! Suka tengok tunang kau menderita di tangan musuh?"
Sebaik saja Aisar melepaskan amarahnya kepada Zulfan, emosi Zulfan mula berubah drastik. Penumbuknya digenggam erat. Nafasnya mula turun naik di dada. Tanpa berkata, segenggam buku lima dihayunkan ke wajah Aisar. Kuat! Seakan-akan melepaskan beban yang dipikul di bahunya.
Sontak, kepala Aisar terteleng ke kanan dengan tumbukan padu sepupunya. Tubuh Lukman serta merta terlepas. Terasa mahu patah saja hidung Aisar dengan penangan Zulfan. Belum sempat Aisar menarik nafas panjang, Zulfan terus mencekak baju Aisar. Sorotan mata dua sepupu itu sudah saling bersatu.
"Aku tak pernah rasa tenang lepas aku dengar Inara hilang! Dia bakal isteri aku! Aku cintakan dia. Aku tak nak tengok dia menderita! Tapi aku tak boleh... nak layan emosi aku seperti kau. Boleh saja aku salahkan kau sebab tak pegang amanah yang aku bagi. Aku tak pernah suruh Lukman jagakan Nara. Aku bagi amanah tu kepada kau!" jerkah Zulfan seraya menolak kasar tubuh Aisar. Kepalanya tergeleng-geleng. Kecewa melihat Aisar lebih mengikut emosi dari akal.
Omongan Zulfan benar-benar menyedarkan Aisar daripada amarahnya. Wajah sugul Lukman dan Zulfan dipandang silih berganti. Tengkingan Zulfan Ridhwan sememangnya menyedarkan Aisar daripada bisikan syaitan. Lantas, hati Aisar beristighfar. Sedar khilaf yang sedang dilakukan tika itu.
"Aku... minta maaf sebab berkasar dengan kau orang. Aku takut kehilangan dia. Aku terlalu sayangkan Nara. Aku tak nak... sesiapa sakitkan dia lagi," ujar Aisar seraya menundukkan kepalanya. Gelang bertuliskan AISARA digenggam erat. Keluhan berat terlepas dari bibir Aisar yang sudah memar. Hatinya benar-benar merintih pilu!
"Tak apa kapten. Aku faham. Aku minta maaf sebab tak dapat selamatkan Doktor Inara. Ada seseorang pukul curi kepala aku dari belakang malam tu."
Sejurus berkata, Zulfan mengarahkan Lukman kembali menenangkan penduduk kampung. Meninggalkan Aisar yang masih tertunduk di bawah khemah. Perlahan-lahan, Zulfan meletakkan tangannya di atas bahu Aisar.
"Maafkan aku Zulfan. Aku..."
"Kita sama-sama risaukan dia. Tapi kau tahu kan, Nara tu kuat orangnya. Sesakit mana pun dia, sahabat kau tu tak akan sesekali mengalah! Jadi, daripada kita layan emosi... lebih baik kita fikirkan cara untuk selamatkan Inara. Saat-saat macam ni, emosi tak mampu selesaikan masalah," pujuk Zulfan. Nada suaranya sudah kembali beransur tenang. Cuba berdiplomasi dengan Aisar yang kelihatan sedih. Baru kali ini, Zulfan melihat Aisar yang sentiasa gagah jadi lemah.
Nampaknya, perasaan Aisar buat Inara terlalu kuat. Ada rasa bersalah menyelinap masuk ke sudut hati Zulfan. Manakan tidak, perasaan Inara hanya buat Zulfan. Aisar hanyalah cinta pertama Inara yang tak kesampaian. Namun, itulah sungai takdir yang ditentukan oleh Allah. Perasaan itu juga Allah yang gerakkan. Allah juga bisa membolak-balikkan hati manusia.
SINARAN matahari yang menerobos masuk melalui tingkap jeriji menyilaukan Inara. Dahi gadis itu sudah berkerut seribu. Kepalanya masih berpinar-pinar. Kesakitan di segenap sendi-sendi kian menyucuk. Perlahan-lahan, Inara cuba mencelikkan matanya. Tika itu, hanya satu wajah saja berlayar di kotak memori Inara.
Kenapa wajah Aisar bermain di fikirannya pun Inara tidak tahu. Hanya satu, Inara mengharapkan Aisar menyelamatkan nyawanya. Kerana Aisar itu seorang pelindung buat Inara.
"Aisar..."
"Aisar? Superhero kau tu? Oh itu ke nama si jahanam tu. Maaflah, dia tak datang selamatkan kau lagi. Mungkin, tak akan jumpa kau buat selama-lamanya!"
Sebaik saja kata-kata itu dituturkan, Inara terus memusatkan pandangannya ke arah Ray. Serta-merta, Inara bangun dari pembaringannya. Dia mahu melawan. Malangnya, kaki dan tangannya sudah diikat dengan tali. Membuatkan pergerakan Inara terkunci.
"Apa lagi yang kau nak daripada aku! Tak puas lagi ke kau hampir bunuh aku malam tu?" jerkah Inara. Wajahnya tegang tanpa secangkir senyuman. Tiada langsung rasa gerun di sudut hati gadis itu. Inara tidak mahu musuh melihatnya sebagai sorang yang lemah!
Tatapan mata Inara yang tajam benar-benar membangkitkan kemarahan Ray. Dia merasakan bahawa gadis itu sedang mencabarnya. Lantas, Ray duduk mencangkung di hadapan Inara seraya mencengkam dagu gadis itu.
"Lepaskan akulah pembunuh! Jijik tahu tak tangan kotor kau tu!" tengking Inara. Giginya dikacip. Wajahnya diteleng ke kanan ingin mengelak daripada disentuh.
"Jijik? Kalau aku buat macam ni... mesti kau pun sama-sama jijik, bukan?"
Usai berkata, Ray terus mendekatkan wajahnya ke arah Inara. Pipi mulus gadis itu diusap lembut sebelum berhenti di bibir merah bak delima Inara. Oh sungguh, wangian dan raut wajah Inara yang ayu benar-benar menaikkan semula gelojak di jiwa Ray.
Tak semena-mena, Inara menghentak kepalanya ke dahi Ray. Sontak, Ray terduduk ke belakang dengan kekasaran Inara. Terpancar sudah ketakutan di sebalik wajah gadis itu. Rintik-rintik peluh sudah merecik di dahi licinnya.
"Kau jangan nak sentuh aku. Selagi aku ada kudrat... selagi tu aku akan terus melawan! Aku tak akan senang-senang bagi tubuh aku dekat manusia jahanam macam kau!" jerkah Inara seraya menyandarkan tubuhnya di belakang dinding. Sungguh, kelakuan Ray membuatkan bibit ketakutan mula bertamu di dinding hati Inara.
Semakin Inara lantang bersuara, Ray semakin dibakar dengan lautan amarah. Dia masih belum berpuas hati selagi dia tidak mendapatkan gadis itu. Lantas, tudung Inara dicengkam. Berniat untuk menanggalkan hijab gadis itu.
Melihatkan itu, Inara terus merempuh tubuh Ray dengan bahunya pula. Tak putus-putus, Inara merintih kepada Allah agar kehormatannya terjaga. Hanya kepada Allah sajalah Inara mampu berserah.
"Ray! Kau nak buat apa dengan perempuan tu?"
Ray mendengus. Dia kembali bangun seraya mencapai kotak Dunhill yang terletak di atas meja kayu. Entah, kekuatan apa yang dimiliki oleh Inara pun Ray tidak tahu. Penangannya benar-benar luar biasa sehingga membuatkan Ray mengalah buat sejenak.
"Aku nak sentuh sikit je. Selebihnya, ikut boslah nak buat apa dekat perempuan tu! Aku tak tahanlah, Ken. Dah lama tak dapat lauk baru sejak aku kena susun strategi untuk dapatkan dia," ujar Ray seraya melangkah keluar dari pondok tinggal yang terletak di hutan belantara Kampung Dusun.
"Kau ni memang gila agaknya! Kan bos dah kata jangan sentuh tebusan dia," tegas Ken seraya membuntuti Ray keluar dari pondok tersebut.
Sebaik saja dua figura itu melangkah keluar, Inara terus merapatkan kedua belah lututnya ke tubuh. Tubir matanya mula terasa hangat. Perutnya sudah berkeroncong minta diisi. Malahan, kesakitan di bahagian abdomennya mula menyucuk. Dia belum makan ubat yang sudah menjadi rutin hariannya!
"Tolonglah aku, Ya Allah. Aku takut... aku tak nak mati dalam keadaan hina."
"Aisar... tolonglah... cepatlah datang. Aku perlukan kau. Kau dah janji kau akan lindungi aku kan."
Inara terus menerus merintih seraya meletakkan dahinya di atas lutut. Air matanya terus mengalir ke pipi. Tenaga Inara semakin beransur hilang. Dia lelah. Dia lapar. Kesakitan pada tubuhnya pula sudah kembali menjelma.
Tiba-tiba, hujan gerimis turun membasahi bumi. Bau rumput ketika hujan mula menusuk rongga hidung. Inara yang masih nerintih kepada yang Maha Esa seakan-akan mendapatkan ketenangannya semula. Inara suka bau hujan. Sama seperti Aisar. Teringat akan hal itu, air mata Inara semakin merembas laju.
Sungguh, Inara hanya memerlukan Aisar Mumtaz sebagai penyelamatnya saja saat ini!
"APA semua ni Aisar? You nak abaikan tanggungjawab sebagai bodyguard keluarga I ke? You nak makan gaji buta dengan abaikan tugas you untuk melindungi I? Macam tu?"
Soalan bertalu-talu Cassandra seakan-akan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri saja. Aisar menyisipkan glock di pinggangnya. Topi diletak di atas kepala. Topeng pelitup muka berwarna hitam dipakai. Pisau kerambit yang diletak di dalam sarung disisipkan di kasutnya. Beg berisi bekalan makanan digalas di bahu sebagai langkah kecemasan.
Kalau musuh mahu bertempur, Aisar sudah lama bersedia. Kerana nyawa Inara lebih penting dari nyawanya sendiri. Persetankan perasaannya yang tidak berbalas. Asalkan Inara selamat!
"Lukman, Fir, Ramesh... aku amanahkan Cik Sandra kepada kau orang. Maaf aku terpaksa keluar dari tugasan kali ini. Pastikan Cik Sandra pulang dengan selamat," tegas Aisar. Telefon pintar yang memaparkan sebuah peta dan titik merah dipandang sekilas.
Titik merah tersebut menunjukkan keberadaan Inara. Mujur, rantai yang Aisar berikan kepada Inara tidak tertanggal. Jadi, Aisar masih mempunyai peluang untuk menyelamatkan Inara. Sengaja Aisar memberikan kalung yang dimodenifikasikan dengan GPS telefon pintarnya kepada Inara.
"Cik Sandra, saya minta maaf sebab saya tak dapat laksanakan tanggungjawab saya. Kalau cik nak pecat saya... saya terima dengan hati yang terbuka. Nyawa..."
"Jadi you memang nekadlah pilih that girl berbanding I? Lepas daddy I amanahkan I kepada you... senang-senang saja kan you abaikan tanggungjawab! Tak kira! I nak you yang hantar I balik. I stres! I rasa nak gila duduk dekat tempat sampah..."
"Jaga sikit mulut tu Cik Sandra!" marah Aisar. Telinganya bingit dengan cemuhan daripada Cassandra. Kecil besar saja dipandangnya gadis berbaju t-shirt lengan panjang itu.
Setapak demi setapak, Aisar menghampiri Cassandra. Tangan digenggam erat. Sorotan anak matanya yang tajam membibitkan rasa gerun di sudut hati Cassandra. Gadis berambut sanggul itu terus terdiam seribu bahasa.
"Nyawa Inara... lebih penting daripada pekerjaan aku. Tak ada siapa boleh halang aku untuk selamatkan nyawa orang yang aku sayang. Kali ini, aku korbankan kerjaya aku demi sahabat aku. Aku minta maaf sebab kecewakan Cik Sandra. Jaga diri," tegas Aisar. Nada suaranya mendatar. Ada nada autoriti terselit di bait bicara pemuda berjas hitam itu. Aisar nekad!
Cassandra terkelu. Terasa kelat liur yang ditelan tatkala pandangan tajam Aisar seakan-akan menikam jantungnya. Tambahan pula, nada suara Aisar yang berubah dingin.
"Kapten... bahaya kalau kapten pergi seorang. Aku temankan kapten..."
"Jaga Inara tugas aku. Arwah abah dan abang dia dah titipkan amanah kepada aku. Jadi, kehilangan dia juga tanggungjawab aku. Aku tak nak sesiapa terlibat dalam rancangan aku. Bagi tahu Dokror Zulfan, aku akan buat penanda sepanjang perjalanan ke tempat Inara," pintas Aisar.
"Tapi kapten tak nak tunggu Doktor Zulfan dan Pak Reman selesai berurusan di pekan ke?" soal Fir. Sungguh, titik keresahan benar-benar menjengah sukmanya. Meskipun Aisar mahir dalam pertarungan dan sudah terbiasa didedahkan dengan marabahaya, masih saja intuisi Fir merasakan tidak enak jika Aisar bersendirian.
Senyuman pahit terkulum di sebalik topeng pelitup muka. Aisar menggeleng. Ada rasa terkilan tatkala rakan-rakannya resah dengan tindakannya ini. Dua tahun mereka menjadi satu pasukan, hubungan silaturahim mereka semakin erat.
"Aku pergi dulu. Sekali lagi, jaga Cik Sandra baik-baik. Aku akan kembali bersama Inara. Jangan risaulah. InsyaAllah, Allah akan melindungi aku," tegas Aisar. Soalan Fir langsung diabaikan.
Dalam keadaan hujan yang semakin lebat, Aisar mengatur langkah mengikut titik GPS. Aisar hanya mampu berdoa dan berserah kepada Allah. Hanya kepada Allah sajalah dia meminta agar keselamatannya terjaga.
DERAPAN tapak kaki yang kedengaran di luar pondok membangkitkan Inara dari lenanya. Entah sejak bila dia terlena pun Inara tidak pasti. Dek kerana menahan sakit yang bukan kepalang, Inara hanya mampu meletakkan kepalanya di atas lutut hingga akhirnya dia dibuai lena. Ditambahkan pula dengan bunyi hujan yang seakan-akan menenangkan.
"Bos nak buat apa sebenarnya dekat doktor tu? Dah nak dekat malam pun bos tak sampai-sampai lagi. Aku rimas tahu tak duduk sini lama-lama!"
"Itu satu hal! Ni, bila si Ray nak sampai? Aku dah kebulur tunggu dia belikan makanan dari tadi. Dahlah bosan asyik tengok muka kau orang bertiga. Nak kacau budak tu... bos tak bagi pula!"
Rungutan demi rungutan yang kedengaran di luar pondok seakan-akan memberikan peluang kepada Inara untuk bertindak. Kelihatan konco-konco Black Eagle lalai untuk mengawasinya. Anak mata Inara mula melingas memandang sekeliling pondok usang itu. Mencari sebarang alat yang bisa membantunya melepaskan diri.
Sebaik saja melihat paku yang hampir tercabut dari meja kayu, Inara terus mengengsot ke arah perabot tersebut. Perlahan-lahan, Inara duduk melutut dan mendekatkan tangannya yang diikat ke belakang ke arah paku tersebut. Tali terus digeserkan bertubi-tubi. Pandangan pula tunak memandang pintu sebagai langkah berjaga-jaga.
Hanya dalam seminit, Inara berjaya meleraikan tali tersebut. Buru-buru, Inara membuka ikatan di kakinya pula. Saat itu juga, tak putus-putus Inara mengucapkan 'Alhamdulillah' sebagai tanda kesyukuran.
Doanya dimakbulkan!
Lantas, Inara mencari pula senjata untuk melawan musuh. Sebelum itu, Inara mencapai beg galasnya yang berisi ubat-ubatan. Buru-buru, Inara mencapai ubat tahan sakit agar kesakitannya kembali dibawa pergi.
Namun, belum sempat Inara bangun, rambutnya yang berbalut dengan selendang dicengkam dari belakang. Pisau sudah diacukan tepat ke lehernya. Desahan nafas si figura seakan-akan menampar wajah Inara.
"Kau nak lari ke mana? Ini hutan! Jangan mimpi..."
Tak semena-mena, Inara mencengkam pergelangan tangan si penjahat lalu dipulas kuat. Sontak, pisau terlepas dari tangan si jahat berambut kuning. Buru-buru, Inara menyiku pula wajah yang hanya sejengkal dari wajahnya itu. Kuat!
Akibatnya, Inara berjaya melepaskan diri.
Buru-buru, Inara menghayunkan bertubi-tubi tendangan ke tengkuk dan tubuh si lelaki. Apabila si lelaki ingin membentes lutut Inara, gadis itu terlebih dahulu peka dengan berundur beberapa tapak ke belakang. Lantas, Inara mencapai sebilah pisau yang hampir membunuhnya seraya ditujahkan ke bahu si penjenayah.
Erangan si jahat kedengaran. Darah mengalir deras di bahunya. Pergelutan Inara dan si penculik mencuri perhatian beberapa orang penculik yang berjaga di luar pondok.
Inara terus mencapai sebatang kayu yang tergeletak di pondok itu. Nafasnya sudah tercungap-cungap akibat kelelahan. Inara cuba mengaplikasikan seni silat yang pernah dipelajarinya ketika berada di bangku sekolah dahulu. Inilah masanya ilmu itu dikeluarkan semula setelah berbelas tahun Inara tidak menggunakannya lagi.
Inara mula fokus.
Dia sudah dikelilingi dengan tiga orang penculik. Masing-masing seakan-akan kaget melihat Inara bisa melawan. Manakan tidak, sepanjang hari gadis itu kelihatan lemah tak berdaya!
Salah seorang daripada mereka mara terlebih dahulu. Dia cuba mencapai kayu yang dipegang oleh Inara. Malangnya, Inara terlebih dahulu menghayunkan kayu ke tengkuk si penjahat dan kepalanya. Sasaran berjaya apabila si penjahat terduduk. Terasa tengkuknya mahu patah dengan pukulan Inara. Darah mula mengalir di dahinya.
"Poji, kau kanan... aku kiri. Lain macam perempuan ni punya ganas. Mahunya dia lari kita pula yang kena bunuh!"
Serentak dengan rancangan si penjahat bertatu di leher, mereka berdua yang masih gagah berdiri terus menyerang Inara sekali gus. Inara terus meluru keluar dari pondok tersebut. Dia lelah. Kudratnya sudah tak sekuat dahulu.
Saat itu jugalah, lima orang lelaki sudah berdiri di hadapan Inara. Masing-masing dengan wajah yang bengis. Poji dan rakannya yang mahu menyerang Inara terus terbejat tatkala melihat gerangan di depan mata.
"Bos..."
"Selamat bertemu, Doktor Inara. Dah lama aku nak jumpa kau. Tak sangka, harinya sudah tiba," ujar Kadir seraya melangkah ke arah Inara. Wajah gadis itu ditatap dengan anak mata yang tersirat dengan dendam. Inilah dia, ahli keluarga musuhnya.
"Apa lagi yang kau nak! Abah aku dah mati sebab kau! Sampai bila kau nak musnahkan keluarga aku? Apa..."
Tak semena-mena, pipi Inara ditampar kuat sekali gus mematikan bicaranya. Kepalanya terteleng ke kanan. Darah sudah mengalir di birai bibir gadis itu. Ketakutan mula menjelma kembali.
"Aku benci keluarga kau! Aku nak hapuskan sisa-sisa keturunan Rosham! Aku... tak akan puas selagi keturunan dia masih bernyawa!" jerkah Kadir seraya mengacukan glock di dahi Inara. Picu ditarik. Dia akan membunuh gadis itu dengan tangannya sendiri!
Segala amarah dan dendam benar-benar mendominasi Kadir. Kematian abangnya akibat ulah Mustaqim menambahkan lagi minyak sehingga api kemarahannya menjulang tinggi. Teringat juga akan kumpulannya yang semakin hancur dikerjakan oleh Mustaqim benar-benar membulatkan tekad Kadir.
"Selamat tinggal, Doktor Nur Inara," bisik Kadir. Serentak dengan itu, bunyi tembakan kedengaran. Membuatkan suasana yang tegang serta-merta bertukar sepi.
Kalau ini penghujungnya, Inara reda. Barangkali, kesakitan ini akan menghapuskan segala dosanya. Air mata sudah mengalir ke pipi Inara. Seluruh tubuhnya menggeletar hebat.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 🌹
Tegang ke tak tu episod kali ini? 🤭
Stay tuned hingga ke penghujungmya tau 😊
Kalau sukakan karya ini, jangan lupa tekan vote ⭐
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro