EPISOD 33
HASIL pemeriksaan x-ray yang dipaparkan di skrin menjadi tumpuan Inara. Jantungnya berdebar kencang. Sesekali, Inara yang sedang berpeluk tubuh bermain dengan kukunya. Terasa kedinginan menggigit setiap sendi-sendi gadis berbaju blouse Mustard dipadankan dengan selendang putih.
"Saya harap, doktor bertenang dengan apa yang saya nak jelaskan sekarang. Take a deep breath and listen what I want to explain right now," ujar Doktor Iftina seraya melabuhkan duduknya bertentangan dengan Inara.
Inara hanya diam. Sorotan matanya tak lekang dari memandang tompok putih yang terdapat di dalam x-ray. Tidak perlu lagi Inara menunggu penjelasan Doktor Iftina. Kebenaran yang amat menyakitkan sudah terpampang di depan matanya sendiri.
"Hasil pemeriksaan x-ray dan pemeriksaan lain yang telah dilakukan termasuk laporan kesihatan daripada pengalaman Doktor Inara sendiri... Doktor Inara disahkan menghidap barah hati tahap tiga," tambah Doktor Iftina lagi. Rasa simpati semakin menggunung. Menghidap penyakit mematikan dengan pekerjaan mereka yang sentiasa aktif sudah tentunya akan merisikokan kerjaya Inara.
"Apa penyebabnya?" soal Inara. Pandangannya dipusatkan ke wajah Doktor Iftina. Kedengaran suara Inara juga begitu lirih. Seakan-akan menahan sebak di dada.
"Bagi kes doktor, sirosis hati dan hemokromatosis iaitu zat besi yang berlebihan dalam badan menjadi penyebab utama. Dalam erti kata lain, sistem imun dalam badan doktor menjadi punca doktor menghidap hepatoma atau barah hati," jelas Doktor Iftina. Pamphelet berkaitan barah hati dihulurkan kepada Inara sebagai rujukan di kemudian hari.
"Berapa lama lagi... jangka hayat yang saya ada?"
Soalan mendadak Inara membuatkan Doktor Iftina terpempan buat seketika. Tidak menyangka, Inara seakan-akan pasrah dengan takdir tanpa memikirkan jalan untuk kembali sembuh. Tapi, Doktor Iftina mengerti. Kesihatan Inara akan mendadak merosot hari demi hari.
"Bukan itu yang patut kita fikirkan dulu. Masih ada jalan untuk doktor sembuh. Jangan sempitkan pemikiran doktor mengenai penyakit yang doktor sedang hidapi saat ini. Kita kena berusaha, berdoa dan akhirnya bertawakal supaya keadaan doktor kembali pulih. Doktor kena kuat untuk lawan sakit. Semangat doktor tu sudah tentunya dapat melambatkan sel kanser merebak dengan cepat," nasihat Doktor Iftina. Kerusi didekatkan ke arah Inara yang sudah tertunduk. Lantas tangan Inara digenggam erat tanda menyokong.
"Saya tahu, berita ni berat untuk diterima. Tapi saya nak ingatkan balik, Allah... tak akan sesekali menguji hambaNya jika hambaNya tidak dapat menghadapi ujian itu. Allah uji tanda Allah sayang. Allah nak kita dekat dengan Dia," tambah Doktor Iftina bersama senyuman manis terkulum di bibirnya.
Mendengarkan itu, Inara terkesima. Kata-kata semangat yang diberikan oleh rakan sejawatnya seolah-olah membawa sinar baru bagi Inara. Lambat-lambat, Inara mengangguk tanda setuju. Ya, ini ujian yang Allah berikan agar Inara semakin menguatkan imannya lagi.
Meskipun, mahu menerima kebenaran ini amat perit.
"Sekarang, saya akan aturkan temu janji doktor dengan saya untuk kemoterapi dan pemeriksaan. Dalam masa yang sama... saya akan tolong carikan penderma hati yang baru bagi doktor. Pemindahan hati ini sudah tentunya akan menyihatkan kembali tubuh doktor," terang Doktor Iftina. Menjelaskan prosuder yang Inara akan lalui untuk merawat sakit yang dihidapinya.
Sebaik saja Inara melangkah keluar dari ruang Doktor Iftina, nafas panjang dihela. Segaris senyuman cuba diukir di bibirnya. Namun, senyuman itu bukan lagi senyuman ikhlas yang sentiasa mekar di bibir Inara. Bagaimana dia mahu menyampaikan kepada orang terdekatnya bahawa dia menghidap kanser hati tahap tiga?
"Doktor cakap apa?" suara yang muncul dari belakang membuatkan Inara kaget. Tubuh lantas dipusing memandang si figura.
"Sibuk je nak tahu pasal apa yang aku bincang dengan doktor," rungut Inara. Langkah lantas diatur keluar dari ruangan itu.
"Eh mestilah! Aku risau tengok kau sakit. Baik kau bagi tahu aku apa doktor tu cakap sebelum aku malukan kau dekat sini," ugut Aisar yang sudah menahan Inara dari terus melangkah. Wajahnya tegang tanpa senyuman. Sudah sejam dia menunggu Inara, hatinya tidak tenteram.
"Bukan kau marah aku ke? Buat apa kau nak tahu pasal aku?" soal Inara. Suaranya sengaja ditegaskan. Tidak mahu Aisar mengetahui bahawa kesedihan sedang bermaharaja di sukma Inara.
Mendengarkan itu, Aisar terkekek. Wajah cemberut Inara benar-benar menggeletek hatinya dengan kelucuan. Tak semena-mena, Aisar menundukkan wajahnya ke arah Inara agar ketinggian mereka setara.
Sontak, Inara terundur ke belakang. Kaget dengan usikan Aisar yang membuatkan wajahnya membahang merah. Pandangan terus dialihkan dari menatap wajah Aisar. Beberapa pasang mata yang sudah memandang mereka di ruangan menunggu membuatkan Inara malu!
"Apa?"
"Ada nampak muka aku marah lagi ke?" Soalan dibalas dengan soalan. Aisar mengunjuk dirinya. Senyuman sinis terherot di bibir Aisar. Suka melihat rona wajah Inara kemerahan.
"Eh dahlah! Cepat hantar aku balik. Aku nak rehat. Selagi aku hadap muka kau... selagi tu aku meluat!" marah Inara. Langkah kembali diatur meninggalkan Aisar yang kembali dalam mood tak semenggahnya.
"Nenek aku kata... jangan meluat dengan seseorang tu lama-lama. Nanti... Allah bolak balikkan rasa tu jadi cinta macam mana? Dekat situlah baru..."
"Maaflah Kapten Aisar Mumtaz. Perasaan tu cuma khas untuk Zulfan seorang saja. Kalau pun aku tak jumpa Zulfan dulu, aku rela bagi perasaan tu dekat Meon pengembala kambing nenek kau daripada kau yang otak tak center ni! Ish!" cemuh Inara seraya memukul tubuh Aisar dengan tas tangannya. Geram bila Aisar semakin ligat mengusik kasar.
"Aduh! Sakitnya bila doktor lebih pilih pengembala kambing daripada kapten yang kacak ini. Doktor boleh rawatkan saya tak? Pukulan doktor tu buat saya rasa macam baru kena hempap dengan gajah pula," adu Aisar sambil mengusap lengannya. Sengaja mengusik Inara yang sudah menonong di hadapan.
KEJADIAN yang tiba-tiba berlayar di kotak memori, membuatkan Inara tersenyum sendiri. Sikap Aisar tidak pernah berubah. Aisar memang bijak menceriakan hidup Inara. Meskipun ada kalanya menjengkelkan, namun sikap itu jugalah yang bisa melupakan kesedihan seorang Nur Inara.
Hanya saja, Inara tidak mampu menyampaikan sebuah kebenaran kepada Aisar lagi.
"Tak nak! Maya tak nak kena cucuk. Sakit! Mama, tolonglah... Maya takut."
Rengekan seorang kanak-kanak perempuan menarik perhatian Inara. Langkahnya terbejat di muka pintu pesakit luar. Kelihatan seorang gadis kecil berambut pendek dan nipis sudah menangis. Tubuhnya kelihatan cengkung.
"Kalau Maya nak sembuh, Maya kena ikut cakap mama. Sekejap saja. Tak lama pun," pujuk si ibu yang sudah menarik tangan anaknya ke ruangan kemoterapi.
"Tak..."
"Ada apa-apa yang saya boleh tolong?" pintas Inara. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Ramah.
"Anak saya ni kena buat kemo. Kanser paru-paru. Saya pun buntu nak pujuk dia macam mana. Ini pun kena paksa baru dia menurut," ujar si ibu. Ada resah terlakar di wajahnya.
Mendengarkan itu, Inara terus menjatuhkan lututnya. Tangan si gadis kecil digenggam erat. Senyuman Inara semakin melebar demi memaniskan wajahnya. Dengan harapan, gadis kecil itu menerima pujukannya.
"Janganlah menangis. Mama sayangkan adik sangat-sangat tau sebab tu mama bawa adik ke sini. Kalau adik dapatkan rawatan, mesti adik cepat sembuh. Tak payah rasa sakit kena cucuk dah," pujuk Inara sambil mengusap air mata si gadis kecil.
"Betul ke?"
"Mestilah betul. Sakit tu sekejap saja. Tak lama pun. Jom, kakak temankan adik. Kakak pun takut kena cucuk. Tapi, kakak nak cepat-cepat sihat supaya kakak tak payah rasa sakit lagi," jawab Inara seraya bangun dari duduk mencangkung. Tangan si gadis kecil yang digenggam semakin dieratkan.
"Kakak sakit ke?" soal si gadis kecil polos. Kepalanya didongakkan memandang Inara. Sungguh, kelembutan Inara benar-benar menyejukkan hati kecilnya.
"Ya. Kakak pun sakit yang sama macam adik. Kakak selalu takut nak pergi sini. Tapi sebab kakak ni doktor, kakak kena sihat supaya kakak boleh rawat pesakit lain," kata Inara. Menggunakan diksi yang akan membuatkan Maya dekat dengannya.
Tika itu, pujukan Inara menjadi. Maya tidak lagi menangis ketakutan. Sengaja Inara duduk di sebelah Maya yang sudah diuruskan oleh ibunya. Dia perlu menunjukkan kekuatan hatinya di hadapan Maya. Inara berharap Maya akan terus kuat dan berani menjalani rawatan kemoterapi. Termasuk pada hari-hari yang mendatang.
Zulfan dan Mustaqim turut menemani Inara menjalani kemoterapi. Melihat Inara yang semakin pucat akibat kesan kemoterapi benar-benar meluluhkan dua figura itu. Inara masih mampu tersenyum dan berbicara bersama Maya. Sebaik mungkin, Inara juga masih melaksanakan tugasnya sebagai seorang doktor meskipun dalam keadaan sakit.
"Aisar dah tahu?" soal Mustaqim yang berdiri di sebelah Zulfan. Mereka hanya memerhatikan Inara di hadapan tingkap kaca lut sinar.
"Dia tak nak Aisar tahu. Nampak sangat dia terlalu sayangkan Aisar sampai tak nak Aisar fikirkan pasal dia," jawab Zulfan. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Meskipun ada ketikanya Zulfan cemburu dengan hubungan persahabatan Aisar dan Inara, namun Zulfan juga tidak tega jika mahu terus berahsia.
Seketika, Mustaqim mengalihkan pandangannya ke laman wajah Zulfan. Nampaknya, hanya Aisar seorang saja yang tidak tahu mengenai keadaan Inara. Usai saja berita buruk tentang Inara dikhabarkan kepada keluarganya, Puan Kirana sebagai seorang ibu terus mengadakan majlis bacaan Yassin.
Menyerahkan semuanya kepada Allah agar Inara kembali sihat.
"Dia perlukan penderma hati. Pemindahan hati tu... akan kembalikan Inara yang sihat seperti sediakala," tambah Zulfan. Pandangannya sudah saling bersatu dengan Mustaqim.
"Aku dah buat ujian. Malangnya... hati aku tak sepadan dengan Inara. Maafkan aku. Aku tak mampu... selamatkan Inara," tutur Zulfan. Nafas panjang dihela. Hati Zulfan benar-benar remuk. Dia kecewa. Tidak dapat melindungi bakal isterinya seperti mana Aisar melindungi Inara.
Mustaqim menepuk bahu Zulfan. Dia mengerti perasaan bakal adik iparnya itu. Arwah isterinya juga seorang pejuang kanser. Cuma, umur Delisha tidak panjang setelah melahirkan anak tunggalnya.
"Terima kasih di atas keikhlasan kau mahu menjadi penderma buat Nara. Tapi, kita boleh usaha lagi. Aku yakin... pasti ada jalan supaya Inara kembali sihat. Aku nak tengok adik aku bahagia dengan orang yang dia sayang. Jadi, aku harap kau terus kuat dan jangan sesekali kecewakan Inara," pesan Mustaqim. Pandangannya kembali tertancap ke arah Inara. Kelihatan wajah gadis itu mula berkerut. Seakan-akan menanggung sebuah kesakitan.
Belum sempat Zulfan berkata, buru-buru Zulfan dan Mustaqim meluru mendapatkan Inara. Namun seperti biasa, bila ditanya situasinya, Inara hanya akan membalas dengan senyuman pahit.
DUA figura berpakaian preman yang sedang berbincang bersama Datin Sri Zurina di taman mini rumah agam, menjadi pemerhatian Aisar. Kelihatan, dua figura berwajah bengis itu turut mengapit seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 50 an. Panampilannya kelihatan seperti orang berada.
Ada rasa aneh menjengah diri Aisar. Tidak pernah sesekali Aisar melihat isteri majikannya berurusan dengan lelaki asing. Tambahan pula, riak wajah mereka kelihatan tegang. Ada kesinisan terpancar di wajah Datin Sri Zurina dan lelaki yang duduk bertentangan dengannya.
Persoalannya, apakah motif pertemuan mereka pada petang itu?
"Hi my favourite bodyguard! Fokusnya perhatikan mummy dengan scandal dia," sergah Cassandra dari belakang seraya berdiri di hadapan Aisar. Kepalanya mendongak memandang wajah tampan pengawal peribadi kesayangannya itu. Meskipun tegang tanpa senyuman, aura Kapten Aisar Mumtaz masih saja membuatkan Cassandra jadi angau.
Aisar mengeluh berat dengan tindakan Cassandra. Langkahnya diundurkan setapak ke belakang tatkala tubuh Cassandra hampir berlaga dengannya. Aisar rimas!
"Scandal?"
"Ya! Tu scandal mummy. Kenapa? Tak percaya apa yang I cakap?" Soalan dibalas dengan soalan. Cassandra menghulurkan segelas jus oren kepada Aisar.
"Maaf. Saya puasa," tolak Aisar. Langkah kembali diatur ke garaj rumah. Mahu membantu rakannya yang lain memasukkan barang-barangan yang akan dibawa ke Kampung Dusun ke dalam lori. Tak betah mahu melayan Cassandra yang seakan-akan memfitnah Datin Sri Zurina.
Senyuman Cassandra terus terbejat dengan penolakan Aisar. Terkumat kamit Cassandra memaki tanpa suara. Segelas jus oren yang sudah dicampurkan dengan ubat perangsang terus saja dibuang ke dalam sinki. Seenaknya saja Aisar menolak sekali gus menghancurkan rancangan Cassandra.
Sudah tentunya ubat perangsang itu akan memberikan kesan sampingan kepada Aisar. Itu sajalah jalan terakhir yang Cassandra mampu lakukan agar Aisar terpancing dengannya. Namun, semuanya gagal dalam beberapa saat saja.
"Kau tak rasa pelik ke dengan perbincangan datin tu? Tak pernah-pernah dia bawa lelaki ke rumah. Nak-nak lagi sekarang ni datuk outstation," ujar Ramesh. Sama seperti Aisar, titik persoalan turut bermain di benak fikirannya.
"Aku dah pernah nampak datin jumpa orang tu. Bukan main mesra lagi aku tengok dia bawa datin ke Swarovski. Aku rasalah kan... tu scandal datin kut," kata Lukman pula. Sekotak mineral dihulurkan kepada Aisar.
"Boleh jadi..."
"Aisar! I nak tolong juga boleh?"
Kelima-lima pengawal peribadi Datuk Sri Lee terus memandang figura Cassandra yang sudah menghampiri Aisar. Masing-masing terpesona dengan penampilan baru Cassandra petang itu. Tidak dapat dinafikan, gadis berketurunan Cina itu memang cantik. Hanya saja, sikapnya yang liar membuatkan dirinya jadi buruk.
"Tak payahlah. Baik Cik Sandra berkemas untuk esok. Kita kena gerak ke Kampung Dusun seawal 6 pagi. Malam nanti, bolehlah cik berehat awal," tolak Aisar. Kotak yang sudah tersusun di dalam lori dikira satu per satu. Tidak mahu ada barangan derma yang tertinggal.
Cassandra mencebik. Sikap acuh tak acuh Aisar benar-benar menjengkelkan gadis berselendang maroon itu. Lantas, Cassandra menarik catatan yang sedamg ditulis oleh Aisar.
"Cik..."
"Cuba tengok penampilan I. Okay ke tak?" pintas Cassandra. Dia berpusing dan menayangkan busana labuh dan selendang yang menutup rambut perangnya.
Aisar terus mencekak pinggang kanan dan menggaru pelipis yang tidak gatal. Senyuman pahit terkulum di bibir pemuda berkemeja hitam itu. Gadis bernama Cassandra Lee ini memang benar-benar terdesak nampaknya dalam memikat Aisar.
"Alhamdulillah kalau Cik Sandra dah mula pakai pakaian yang menutup syariah. Dapatlah kurangkan dosa ayah Cik Sandra nanti. Lagipun, penampilan Cik Sandra nampak lagi sopan dan manis," jelas Aisar. Dia ikhlas memuji Cassandra yang sedang menutup aurat. Meskipun Aisar tahu Cassandra mempunyai motif lain, dia berdoa agar Cassandra diberikan hidayah.
Ramesh, Lukman, Fir dan Saiful mula mengusik tatkala Aisar memuji perubahan Cassandra. Ada bunyi siulan dan dehaman yang membuatkan Cassandra membahang panas. Sudah semestinya dia malu dengan pujian pujaan hatinya.
"I dah agak you suka perempuan berhijab. Jadi... kalau I pakai macam ni..."
"Jangan pakai sebab saya. Pakai sebab ini kewajiban Cik Sandra sebagai seorang muslimah. Ikhlaskan hati untuk berhijab. InsyaAllah, pahalalah ganjaran yang Cik Sandra akan terima," pintas Aisar seraya menarik semula catatan yang berada di tangan Cassandra.
Bisa saja dia menerima dan mendidik Cassandra ke arah jalan yang diredai Allah. Namun, hati Aisar hanya milik Inara. Bukan mudah untuk Aisar menerima gadis lain.
Nasihat daripada Aisar sedikit menyuntik hati Cassandra. Dia tambah malu! Senyuman gembiranya drastik berubah pahit. Cassandra terangguk-angguk seraya kembali melangkah masuk ke dalam rumah. Nampaknya, Aisar menolaknya sekali lagi.
"Buta agaknya mata kapten. Cik Sandra tu dia syok betul dekat kapten sampai ubah penampilan. Senang-senang saja kapten reject. Kapten nak apa..."
"Kapten Aisar, Fir. Ke sini kejap."
Tak semena-mena, omelan Lukman terbejat tatkala suara Datin Sri Zurina kedengaran. Hanya senyuman sinis yang Aisar berikan kepada Lukman apabila hujah rakannya terbejat.
"Tolong angkatkan barang dekat bonet Datuk Abram. Barang-barang ni kita akan bawa ke Kampung Dusun juga," arah Datin Sri Zurina.
Segera Aisar dan Fir mengambil kotak berisikan sabun mandi di bahagian bonet kereta. Entah mengapa, intuisi Aisar tiba-tiba berasa tidak enak dengan renungan tajam Datuk Abram. Lelaki berkepala botak itu seakan-akan memandangnya seperti seekor helang!
Tatkala tangan Aisar sudah mencapai kotak, secara tidak sengaja, anak matanya tertancap ke arah serbuk putih yang bertaburan di bonet. Dahinya sudah dilapisi dengan kerutan. Entah Fir perasan atau tidak pun Aisar tidak tahu. Pemuda itu sudah kembali memasukkan barangan ke dalam lori.
Demi mematikan persoalan di benak fikirannya, jari Aisar sudah sedia untuk mencalit serbuk tersebut. Malangnya, bahunya ditepuk kuat dari belakang. Sontak, Aisar terus berpaling.
"Jadi kaulah Kapten Aisar Mumtaz yang selalu excort Datuk Sri Lee ke mana saja?" soal Datuk Abram. Tangannya masih singgah di bahu kekar Aisar.
Aisar mengangguk. Mengiakan omongan tetamu Datin Sri Zurina. Saat itu juga, kedinginan menyerbu Aisar. Sesekali, anak matanya memandang dua orang pengawal peribadi Datuk Abram. Masing-masing seakan-akan menilik figura Aisar.
"Aku dengar kau dulu bekas askar. Selalu juga aku dengar ketangkasan kau menyusun strategi dan bertarung demi melindungi majikan kau. Cuma satu... aku harap kau akan sentiasa baik-baik saja. Majikan kau yang kaya raya itu betul-betul perlukan bodyguard macam kau. Hati-hati."
Sebaik saja omongan yang seakan-akan berbaur amaran menyapa pendengarannya, Aisar terus menepis tangan Datuk Abram. Wajah Datin Sri Zurina dipandang sekilas. Semakin banyak persoalan yang timbul tatkala Aisar merasakan dirinya diperhatikan.
Ada apa sebenarnya dengan Datin Sri Zurina dan Datuk Abram?
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya Syaf 🌹
Kalau sukakan karya ni tolong vote boleh 🤭⭐
Kalau tak ada apa-apa halangan, kemungkinan karya ini akan tamat pada 31 Mei
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro